ANTARA MAHATHIR DAN ANWAR, SIAPA TERPERANGKAP (III)

Nik Azmi Nik Ahmad membawa kisah dan keinginannya untuk melihat Anwar berjaya. Harapannya,   PH memilih Anwar sebagai calon secara muktamad (Malaysiakini, 15 Jun 2020).  Shahbudin Hussin (Shahbudindotcom,net) pun sama, diperihalkan Anwar lebih mampu merampas kembali ‘mandat rakyat’ yang dirampas oleh  “pengkhianat”.

Kededuanya adalah orang yang paling taksub dengan Anwar (Shahbudin menafikan), biarpun dikatakan Anwar tidak akan berjaya dalam misinya, Shahbudin dan Nik Azmi tetap mahukan Anwar. Seolah-olah tidak ada orang lain yang mampu membawa cabaran tersebut, walaupun Muhyiddin sudah terbukti mendapat perhatian. Muhyiddin bukan ‘perampas’ dan juga ‘pengkhianat’.

Pengkhianatan sebenar masih boleh ketawa besar, Muhyiddin dan Azmin sudah berjaya dikambinghitamkan. Ia seumpama propaganda ‘red herring’: something intended to divert attention from the real problem or matter at hand; a misleading clue. Keruntuhan PH adalah pertelingkahan dalaman terhadap tuntutan yang panjang tentang peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar.

nuar chedet 8

Ia menjadi ‘barah’ yang kemudiannya merebak kepada wabak yang mematikan kerana suntikan vaksin dan antibodi tidak berkesan. Muhyiddin dan Azmin berusaha melarikan diri daripada wabak yang sudah memasuki tahap 4, dan seterusnya berusaha memutuskan kemungkinan berjangkit.

Azmin dan Muhyiddin bukanah berada dalam kawanan ‘ikan merah’; mereka adalah dalam kalangan ‘ikan kembong dan sardin’. Disebabkan kecekapan mereka membaca naluri ‘ikan merah’, dibuat keputusan tidak popular untuk meninggalkan PH dan mencari tukun-tukun lain yang masih ada ‘plankton’.

Ternyata tukun yang disinggahi sementara itu boleh diharapkan dan banyak membantu. Itulah sebenarnya berlaku, Muhyiddin dan Azmin bukan ‘pengkhianat’ dan juga ‘perampas’. Masalah sebenar ialah Mahathir yang gagal dan bersimpang siur pendiriannya.

Selepas tidak berjaya ‘membuktikan keyakinan majoriti’ dan ‘tidak dibahaskan di Dewan Rakyat undi tidak percaya’ pada 18 Mei 2020, elit politik terlucut kuasa mengalihkan perspektif propaganda dari ‘red herring’ membentuk ‘puzzled’. PH mula memperkembangkan pendekatan ‘misteri’ atau ‘teka teki’ siapakah yang akan dipilih bagi ‘mengembalikan mandat  rakyat’. Ia seolah-olah berusaha menutup ‘pengkhianatan dari dalam’ dan menghapuskan kesilapan sendiri.

Hari ini, seluruh pendokong PH bercakap siapakah yang akan ditentukan. Elit politik yang mempunyai kuasa penentu sibuk memberikan pandangan, mempromosi diri dan menggerakkan ‘juak masing-masing’ untuk mempamerkan kehebatan dan kepintaran menyusun strategi mengambil alih kuasa. Persoalan sebenar yang menggangu kehidupan rakyat tidak disentuh. Sebab itulah muncul gerakan agar secara drastiknya politik Malaysia tidak lagi diganggu oleh tiga entiti utama yang menyebabkan ‘perpecahan’, ‘serba salah’ dan ‘situasi muak’. Tiga entiti itu ialah Mahathir, Anwar dan DAP.

MIM (novandri blogspot.com 15 Jun 2020) mengulas mengenai ‘kesilapan taktikal’ yang dilakukan oleh Dr Mahathir bila melabelkan orang Melayu sebagai malas, dan pelabelan itu telah membangkitkan kemarahan. Mitos ‘orang Melayu Malas’ dan ‘Melayu Mudah Lupa’ telah membentuk psikik politik yang meresahkan dan dalam strategi itulah Dr Mahathir mula menyingkirkan kepentingan Melayu-Bumiputra secara beransur-ansur menggunakan dasar penswastaan dan pesyarikatan Malaysia.

Dr Mahathir ‘menyambung semula legasi itu’ ketika berkata bahawa penubuhan Khazanah Holding adalah bukan menjaga ‘kepentingan Bumiputra’ walhal sebelumnya beliau berselindung untuk mempertahankan aset negara menerusi bail-out (MAS, MISC dan PLUS), menggunakan GLC membeli dan membina aset (PETRONAS membiayai KLCC, TH dipaksa membeli TH Selborn dan TH Perdana) dan mengambilalih semua non-performing loans (NPL) oleh Dana Harta serta Dana Modal. Apa yang berlaku ialah rakan-rakan (atau kroni) terus mengaut keuntungan daripada persekitaran ekonomi bermasalah itu.

Hal yang sama cuba dilakukan Dr Mahathir apabila TH diminta memindahkan asetnya kepada sebuah syarikat SPV di bawah Khazanah. TH Plantations kemudiannya kehilangan pegangan ke atas 70 peratus aset ladangnya. Aset-aset itu telah dijual dengan alasan, TH tidak wajar membabitkan pelaburan dalam entiti perniagaan bukan teras (core business) dan bertujuan membaiki kedudukan aliran tunai. TH perlu menumpukan aktiviti pengurusan Jemaah Haji.

Namun Anwar tidak berani bercakap lebih segar mengenai isu kecuali menjelaskan dakwaan itu telah dijawab oleh Syed Hussin al-Attas dalam bukunya yang tersohor, Mitos Peribumi Malas yang diterbitkan pada tahun 1977 (diulang cetak oleh DBP 2009). Bagi saya, dakwaan Dr Mahathir terhadap orang Melayu tidak ada kena mengena dengan penolakan tesis pribumi malas yang dibincangkan oleh tokoh akademik itu.

Mahathir's Slam

Mahathir bercakap mengenai perangai sebahagian orang Melayu memangnya ada sifat malas, termasuklah malas untuk berfikir secara rasional dan rasa bersalah menolak menolak Mahathir atau Anwar daripada terus menggelorakan politik Malaysia. Samudera politik Malaysia sudah lama bergelora oleh kepakan kededua mereka, maka cukuplah kita menolaknya secara ‘kurang ajar’ setelah mereka menjadikan kita berada dalam serba salah dan ketidaktentuan haluan.

Mahathir akan dihormati sebagai negarawan jika beliau tidak ‘mengombakkan’ lagi politik tanah air. Anwar akan dilihat seorang pemikir yang berwibawa jika bersedia menguburkan angan-angannya menjadi perdana menteri setelah tiga kali kecundang. Biar atas alasan apapun, Anwar dan Mahathir perlu berjiwa besar dengan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah politik kebencian dan peperangan propaganda siapa yang lebih layak.

Kumpulan penyokong Anwar melihat Dr Mahathir adalah seorang yang mempunyai peribadi yang mengjengkelkan (Free Malaysia Today, 15 Jun 2020), dan gabungan Pakatan Harapan harus menolak pencalonannya walaupun untuk ‘tempoh enam bulan’. Otai Reformasi tetap mahukan Anwar untuk menyalakan obor menjatuhkan Muhyiddin manakala pandangan dua tokoh akademik, Azmi Hasan (UTM) dan Awang Azman Pawi (UM), Anwar harus keluar daripada ‘bayangan Dr Mahathir’ (Free Malaysia Today, 15 Jun 2020). Ini bermakna, Otai Reformasi mahukan PH melupakan Dr Mahathir dan Anwar perlu bebas mencorakkan jalan politiknya bersama PH.

Anwar tidak akan berjaya bekerja bersendirian dalam keadaan PKR semakin berkecamuk. Komponen PH, iaitu DAP dan PAN perlu menetapkan semula pendiriannya, kerana dengan menyokong Dr Mahathir, ia tidak akan membawa harapan yang jelas untuk mendapatkan semula kuasa selepas terlucut akibat ‘kegilaan Dr Mahathir’.

puzzled

Dalam keadaan PH belum dapat memutuskan siapakah yang layak diberikan tumpuan, ia akan membolehkan Muhyiddin terus mendapat sokongan atau memperbaiki kedudukannya. Beberapa hari lalu, UMNO, GPS dan komponen BN serta PAS telah memberikan jaminan bahawa mereka akan terus mempertahankan Muhyiddin walaupun UMNO belum bersedia untuk menyokong penubuhan Perikatan Nasional.

Parti-parti tersebut semakin hampir untuk memutuskan perancangan mereka bagi menentukan gabungan baharu itu boleh memenangi PRU ke-15 sekiranya Muhyiddin benar-benar mahu menamatkan dakwaan kerajaan pimpinannya bukan pilihan rakya dan menghapuskan mitos ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’.

Muhyiddin sudah memberikan gambaran kemungkinan PRU ke-15 akan diadakan dalam masa terdekat, dan mengikut ramalan penganalisis, ia akan berlaku dalam tahun ini juga, mungkin pada bulan Oktober selepas ada perkembangan ‘kurang enak’ pada 13 Julai nanti. Yakni sebaik sahaja Sidang Kedua parlimen bermula.

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply