ANWAR BERPUTIH MATA, MAHATHIR TERPAKSA MENGALAH

 

Berdasarkan senario politik semasa, perkembangan di Johor jelas membuktikan bahawa Muhyiddin menang dalam kemelut yang berlaku sedangkan Anwar Ibrahim terpaksa berputih mata dan Mahathir mengaku kalah, nasib tidak menyebelahi mereka berdua.

Mahathir dari awal lagi tidak mahu membentuk kerajaan campuran dengan UMNO atas alasan parti yang pernah menaikkan imejnya sebagai perdana menteri paling lama di Malaysia lebih dominan berdasarkan jumlah kerusi.

Jika Mahathir bersetuju dengan Muafakat Nasional, bermakna kerajaan campuran boleh dibentuk pada hari Isnin atau ketika majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada malam minggu lalu.

Akibat keengganan itu, UMNO dan PAS menarik balik sokongan ke atas Dr Mahathir, sebaliknya pada Selasa membuat pengumuman, pilihan raya umum perlu diadakan bagi menentukan siapakah sebenarnya lebih layak.

Hari ini, mungkin kerana Dr Mahathir menyatakan persetujuannya, selepas menerima semula pelantikan sebagai Pengerusi PPBM, tidak dapat lagi membendung arus dari dalam, akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti pimpinannya.

Dua orang Setiausaha Agong, iaitu PAS dan UMNO dengan rasa senang hati telah mengeluarkan kenyataan bersama bahawa kesemua wakil rakyat di bawah Muafakat Nasional menyokong pencalonan Muhyiddin.

Sebelum itu, Dr Mahathir mahu meneruskan cadangannya agar wakil rakyat dipanggil ke Dewan Rakyat pada 2 Mac nanti untuk membuat pilihan siapakah perdana menteri berdasarkan undian. Ketika itu, tidak terbayangkan bahawa Muhyiddin adalah salah seorang daripada calon, masing-masing tertumpu antara Anwar dan Mahathir.

Speaker Dewan Rakyat mengakui telah menerima permohonan tersebut, tetapi disebabkan ia tidak mencukupi syarat, maka diputuskan bahawa tidak akan pengundian calon perdana menteri di Dewan Rakyat pada Isnin nanti.

Sekali lagi, setelah mendengar nama Muhyiddin berada di peringkat teratas, Anwar dengan banggannya mengumumkan bahawa dirinya adalah yang paling layak, mempunyai sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri. Namun, Anwar tidak memberikan butiran yang lengkap, hanya sekadar menyatakan cukup bilangan majoriti mudah.

Secara mudah, Anwar adalah calon perdana menteri yang diputuskan oleh Pakatan Harapan, yang mana sudah kehilangan 26 wakil rakyat daripada PPBM dan 11 wakil rakyat PKR yang tidak sebulu dengannya.

Langkah Sheraton dikatakan dirancang oleh kumpulan Azmin atas kesedaran bahawa kedudukan mereka ‘tidak lagi selamat’ dan sedang mengalami proses ‘cantasan’ sebaik sahaja Anwar bergelar wakil rakyat dan Presiden PKR. Ada beberapa hal yang menyebabkan Azmin yang pernah menjadi penggerak utama untuk membebaskan Anwar berubah sokongan dan tidak dapat dibungkam lagi.

Anwar pernah menyekat peluang Azmin untuk bertanding merebut jawatan Presiden PKR. Anwar turut merasakan tawar hati dengan Azmin apabila pencalonan isterinya sebagai calon Menteri Besar Selangor tidak diterima. Azmin turut didakwa tidak menyediakan peruntukan untuk PKR melaksanakan peranannya termasuk perbelanjaan pilihan raya.

Azmin bukanlah nama yang dicadangkan oleh PKR untuk dilantik sebagai menteri. Mahathir sebenarnya mempunyai kuasa penuh untuk melantik calon yang dianggap boleh bekerja dalam pasukannya bagi memulihkan ‘kerosakan’ yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Namun, Azmin dihalang dengan penyebaran video seks luar tabie, yang bagi Azmin, tindakan dari dalam untuk menjatuhkan kedudukannya dalam politik kerana semakin menjadi harapan Dr Mahathir. Azmin tidak keseorangan dalam ‘genosid’ tersebut. Zuraida Kamarudin menjadi mangsa seterusnya. Bila situasi itu semakin meruncing, PKR telah mengumumkan pemecatan Azmin dan Zuraida. Ia tidak berhenti di situ, sembilan lagi wakil rakyat PKR mengambil keputusan keluar parti dan berhasrat membentuk ‘wakil rakyat bebas’.

langkah sheraton

Anwar terpaksa menerima ‘karma politik’ yang boleh menyebabkan peluangnya dari perdana menteri menanti kepada perdana menteri tak jadi. Ini kerana, Muafakat Nasional sudah menetapkan keputusan tegas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang di dalamnya ada DAP.

Berdasarkan senario terbaharu, kerajaan perpaduan tanpa parti idea Mahathir sudah gagal manakala PH hanya amat bergantung kepada sokongan daripada GPS dan Parti Warisan.  Tanpa dua parti tersebut, Anwar akan kecundang.

Dari perspektif umum, Warisan dan GPS lebih bersedia menerima Muhyiddin, tetapi ia tertakluk kepada jaminan Muhyiddin terhadap pelaksanaan tuntutan mereka mengenai MA 63 (apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963). Shafie Afdal mungkin akan menyokong Muhyiddin sekiranya PPBM bersedia membatalkan cadangan Dr Mahathir untuk memperluaskan pengaruh parti itu di Sabah, mungkin juga di Sarawak. Difahamkan, GPS turut menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Langkah Sheraton turut dikaitkan secara halus sebagai manifestasi penolakan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir. Azmin menjadi ‘dalang’ kepada percaturan tersebut kerana tidak ingin Anwar menggantikan Dr Mahathir setelah berkali-kali dinyatakan akan berlaku ‘peralihan kuasa’ sebagaimana dijanjikan ketika terbentuknya PH.

Anwar mendapat sokongan daripada DAP manakala PAN adalah ‘khadam’. PAN tidak akan menentang keputusan DAP walaupun dalam memperkatakan ‘peralihan kuasa’, suara lantang pemimpin serpihan PAS itu tidaklah segarang penyokong Anwar mahupun beberapa orang wakil rakyat DAP.

Azmin memang tidak bersetuju Anwar dilantik sebagai perdana menteri, atas alasan diketahui umum. Penyokong-penyokong Azmin akan di’kuarantin’kan kalau pun tidak disisih secara drastik. Genosid itu sudah pun dimulakan oleh Anwar apabila menggantikan kepimpinan negeri dengan penyokong-penyokongnya. Akhirnya, sikap dan pendirian antara mereka dilihat seolah-olah ‘berdendam’.

Biarpun Azmin ketika hadir dalam mesyuarat PH terakhir sebelum Langkah Sheraton dimulakan, suasana tegang mahukan peralihan kuasa ditetapkan dengan jelas, terasa penyingkirannya semakin hampir terlaksana. Jadi, bagi Azmin sebelum dirinya dan kumpulannya disingkirkan, adalah lebih baik mengambil tindakan lebih drastik untuk menggagalkan ‘peralihan kuasa’.

Biarpun Langkah Sheraton gagal, ia tidak boleh dianggap gagal sepenuhnya. Matlamat untuk menyingkirkan Anwar adalah kejayaan terbesar Langkah Kajang. Dari situ, meskipun dituduh ‘pengkhianat’, Azmin sebenarnya berjaya menetas keluar ‘dendam’nya, bukan lagi membungkam perasaan.  Azmin mempunyai sokongan, dan kerana itulah sebaik sahaja Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Muhyiddin mengisytiharkan secara rasmi PPBM keluar PH.

Mahathir merajuk dan menghantar surat peletakan jawatan sebagai pengerusi PPBM. Mahathir cuba menyekat kemaraan Muhyiddin dengan memberikan penegasan, tidak aka nada kerjasama dengan UMNO sedangkan Muhyiddin merasakan ia adalah perlu. Arus yang lebih kuat akhirnya berjaya menyekat ego Dr Mahathir, dan bersetuju dengan pencalonan PPBM bahawa Muhyiddin adalah calon perdana menteri.

Ketika ini, Muhyiddin dikatakan mendapat sokongan keseluruhan wakil rakyat Bersatu (26  + 11 daripada serpihan PKR), wakil rakyat BN (UMNO 39, MCA 2 dan MIC 1) dan PAS (18). Ini bermakna, tinggal lagi 15 wakil rakyat dan ia mungkin daripada GPS (18) dan Warisan (9).  Jika Warisan dan GPS menyebelahi Muhyiddin, Anwar akan kempunan untuk kali ketiga (1998, 2008 dan 2020).

Dua kegagalan Anwar adalah ‘permainan politik’ yang dirancang secara halus oleh Dr Mahathir atas sebab-sebab tertentu. Kegagalan pertama kerana Anwar ‘ghairah’ untuk meletakkan dirinya lebih berkuasa daripada Dr Mahathir, merancang ‘rampasan kuasa’ lebih awal sebelum masanya. Kegagalan kedua, Dr Mahathir merasakan apa yang hendak dilaksanakan, termasuk menghancurkan UMNO secara organik belum berjaya, tetapi kumpulan pro-Anwar dan Anwar sendiri terlalu mendesak.

Dalam dua situasi itu, keadaan ekonomi negara tidak begitu memuaskan. Pada perancangan pertama, Anwar lebih ghairah untuk menuruti cadangan badan-badan ekonomi antarabangsa agar menaikkan kadar faedah dan menerima pakej bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mensyaratkan regulasi sistem dan peraturan termasuk membuka seluas-luasnya pemilikan asing. Ketika itu, nilai ringgit susut dengan banyaknya akibat serangan penyangak mata wang yang turut berlaku di Korea Selatan.

Kali ini, nilai ringgit, pasaran saham dan pelaburan asing begitu rendah. Pertumbuhan ekonomi pada suku terakhir 2019 paling rendah sejak Malaysia berjaya keluar daripada kemelut ekonomi pada tahun 1998. Pada tahun 2017, pertumbuhan ekonomi di tahap 5 peratus dan apabila PH mengambil alih pentadbiran ia turun kepada 4.7 hingga 4.5 peratus. Nilai ringgit merosot daripada RM 3.80 bagi setiap dolar Amerika kepada RM 4.22. Kos sara hidup terus meningkat manakala peluang pekerjaan semakin sukar.

Langkah memindahkan aset TH kepada sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dilihat punca kemarahan orang Melayu-Islam yang menyebabkan Dr Mahathir ‘terperangkap’. Sebelum itu, Dr Mahathir dikatakan gagal untuk mengawal pertambahan hutang negara dan penjualan aset-aset milik GLC dan GLiC. Fenomena itu telah membangkitkan rasa marah masyarakat Melayu-Islam dan didakwa ia ada kaitan dengan agenda besar DAP.

Orang Melayu-Islam semakin membenci DAP dan hampir setiap hari tersebar di media sosial perihal ‘pertembuangan agenda’ dari peruntukan khas kepada institusi-institusi pendidikan vernakular yang sebelum ini tidak ada hinggalah persoalan pengiktirafan sijil pendidikan kelolaan pertubuhan pendidikan Cina. Masyarakat semakin mendesak agar sistem pendidikan satu aliran dimuktamadkan atas alasan mengatasi naratif perpaduan nasional yang semakin dipersoalkan.

Kemuncaknya ialah apabila dua pertubuhan pendidikan Cina melihat pembelajaran tulisan jawi dalam kurikulum bahasa Malaysia di sekolah vernakular sebagai percubaan ‘Islamisasi’. Akhirnya, pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diperlukan persetujuan ibu bapa dan ia turut membawa persoalan apakah ibu bapa lebih berkuasa daripada Kementerian Pendidikan Malaysia?

Kesemua isu-isu tersebut menyebabkan masyarakat mula curiga dengan pembabitan DAP dalam pentadbiran negara. Orang Melayu-Islam terus mengasak, agar struktur kuasa politik dikembalikan kepada ‘ketuanan Melayu’. Inilah cabaran yang terpaksa di atasi oleh Muhyiddin sekiranya beliau mahu melakarkan sejarah baharu dalam politik Malaysia. Sekurang-kurangnya Muhyiddin wajar menghidupkan semula dasar yang pernah dirangkanya untuk Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) ketika Dr Mahathir berhasrat untuk mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Jika struktur kuasa berubah dalam beberapa hari lagi, ia akan memperlihatkan usaha awal kepada penyatuan parti-parti politik yang berteraskan Melayu-Islam. Jika PAS dan UMNO boleh bersatu membentuk Muafakat Nasional, maka tidak ada sebab PPBM yang berteraskan pribumi tidak boleh melakarkan semula gagasan Ketuanan Melayu, kerana sejarah telah membuktikan di bawah dominasi Melayu, tidak ada kaum-kaum lain dipinggirkan walaupun segelintir bukan Melayu membina persepsi yang salah dan negatif.

Dari perspektif identiti, persoalan politik Malaysia masih kuat dipengaruhi oleh nilai-nilai konservatif berbanding takrifan progresif yang dibawa oleh parti-parti politik atau dominasi bukan Melayu.  Parti-parti yang berteraskan pelbagai kaum, sebenarnya belum memperlihatkan kesungguhan mereka untuk menterjemahkan nilai-nilai kebersamaan secara adil dan saksama. Masih terikat dengan dominasi kaum sebagaimana budaya politik DAP dan Gerakan. PKR pula lebih terarah kepada kehendak Anwar.

Siapa pun perdana menteri yang akan ditentukan oleh kepercayaan majoriti, ia perlu mengimbangi ‘politik kemarahan’ yang sedang berkembang dan boleh jadi memuncak dalam tempoh  tiga tahun terakhir ini sekiranya tidak berlaku transformasi yang memadai. Ia bukan lagi terus berselindung daripada kenyataan-kenyataan politik yang sedap didengar bahkan perlu dipecahkan retorik itu kepada tindakan yang membina berdasarkan acuan Malaysia meskipun Wawasan 2020 telah diisytiharkan gagal.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply