ANWAR DAN ROAD TO PUTRAJAYA? (Bahagian 1)

 

Setiap kali hadir rumah terbuka Aidilfitri, ada pelbagai teori politik yang dibincangkan bagi menerangkan apa yang sedang dan akan berlaku. Syawal 1440 H, dihiasi pelbagai perbincangan yang ‘menyesakkan spekulasi” kerana mengenai tarikh pemuktamadan proses peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Proses itu masih belum berlaku sedangkan ada aura-ura mengatakan  akan berlaku dalam dua tahun. Tempoh masa itu kemudiannya diperbaharui menjadi tiga tahun. Banyak juga andaian dibuat mengenainya. Ada yang enak didengar, ada juga terasa tidak lojik dan kurang bijak perhitungan. Tetapi, itulah sebenarnya warna-warni politik Malaysia sekarang.

Prinsip utama dalam politik ialah ‘soal siapa yang mendapat apa, mengapa, bila dan bagaimana’. Idea itu dicetuskan oleh seorang sarjana sarjana sains politik Amerika Syarikat iaitu Harold Dwight Lasswell (1902-1978) pada tahun 1936.  Beliau juga terkenal sebagai pencetus teori komunikasi apabila mendefinisikannya dengan pertanyaan (1948): “Who says what, to whom, to which channel and with what effect.”

Meskipun dianggap klasik, Lasswell berjaya membuka perspektif teori ilmu politik; sesuai dengan apa yang sedang berlegar dalam pemikiran masyarakat Malaysia ketika ini. Biarpun beberapa kali Anwar menyuarakan rasa terkilannya, media dan orang ramai akan tetap bercakap mengenai ‘peralihan kuasa’ sehinggalah perkara itu benar-benar berlaku. Jika berlaku di sebaliknya, Anwar tetap akan disorot sebagai ‘tokoh yang kecewa’ dan ‘berduka lara’.

Saya mengambil rumusan ini berdasarkan matlamat perjuangan Anwar Ibrahim selepas dirinya dilumpuhkan dalam kerangka politik kuasa. Akibat kelumpuhan itu, Anwar memulakan langkah bukan konvensional termasuk melaksanakan agitasi untuk membolehkan dirinya kembali berada dalam ruang lingkup kuasa politik. Setelah terkeluar pada tahun 1998, Anwar mengambil masa selama sepuluh tahun untuk membinanya kembali walaupun pengaruhnya masih dilihat ‘berbisa’.

Le_Mythe_de_Sisyphe

Ia berlaku selepas dirinya bebas daripada tahanan penjara (2004) tetapi tidak dibenarkan bertanding dalam PRU ke-12 (2008). Episod mendaki semula dikupas dengan baik oleh Rahman Shaari dengan menarik berdasarkan kisah mitos Sisyphus tokoh lagenda Greek. (Rahman Shaari, Tingkah Politik, Shah Alam: Buku Prima-Karangkraf, 2009).

Albert Camus pernah  menulis sebuah esei mengenai mitos Sisyphus pada tahun 1942 dalam bahasa Perancis dan tahun 1955, esei itu diterjemahkan oleh John O’Brien ke bahasa Inggeris. Dalam esei init Camus memperkenalkan falsafah absurd (kabur) iaitu kisah pencarian makna yang sia-sia oleh manusia.

Pada suatu ketika, Sisyphus berada dalam situasi yang menarik, hampir di menakluki punca kuasa. Akibat pencarian makna hidup yang sia-sia, Sisyphus terjatuh ke lembah dan menjadikan dirinya tidak ada apa-apa kuasa lagi. Sisyphus berusaha untuk mendaki semula, tetapi terpaksa menarik bersama bongkahan batu. Beberapa kali dia gagal, akhirnya sampai di pertengahan pendakian, bongkahan batu yang ditolaknya menimpa Sisyphus. Kematiannya dianggap sebagai satu tragedi.

Rahman Shaari menterjemahkan persoalan tersebut dan mengaitkannya dengan situasi politik yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim. Anwar yang sudah dua kali gagal. Apakah percubaan ketiganya kali ini berakhir dengan tragedi atau kejayaan yang besar? Itulah yang menarik minat awam untuk bercakap, berbincang, ber’sewang-sewangan’ kerana mereka mahu mengetahui pengakhiran kisah politik Anwar Ibrahim. Anwar tidak perlu melahirkan rasa terkilan,  sesiapa pun berhak untuk ber’sewang-sewangan’. Anwar memang sangat kepingin untuk jadi Perdana Menteri.

Selepas edah (larangan) itu tamat, penyokong-penyokong Anwar menganjurkan sebuah majlis yang memberikan impak besar dalam sejarah politik Malaysia. Suatu perhimpunan bersemangat, Anwar memberikan andaian bahawa akan berlaku proses peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Rakyat bermula 16 September 2008. Selepas suatu perhimpunan diadakan pada   April 2008 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Baru, Kuala Lumpur, Anwar telah bersedia untuk kembali aktif berpolitik dan menjadi wakil rakyat. Keinginan itu mencetuskan banyak perkara, antaranya kesanggupan isterinya, Wan Azizah mengosong kerusi Permatang Pauh bagi membolehkan suaminya kembali ke Parlimen.

Semasa kempen PRK Permatang Pauh, Anwar memperkenalkan roadmap politiknya sebagai Road to Putrajaya. Pada 26 Ogos 2008, Anwar menang dalam PRK tersebut mengalahkan calon BN, Arif Shah dan calon AKIM, Hanafi Mamat. PRK tersebut turut digelar ‘ibu segala pilihan raya kecil.’ Ada penulis meramalkan, “Permatang Pauh adalah ibu segala pilihan raya di Malaysia. Di sana nanti akan ditemui emas, permata, bahkan tanah lumpur yang tidak bernilai”. (Ridhuan Mohamad Nor, Tsunami Politik Permatang Pauh, K.Lumpur: Jundi Resources, 2008:111).

reformasi

Ketika berkempen, Anwar cuba digagalkan dengan kes Liwat II yang mula meletus pada 7 Ogos 2008 di mana Saiful Bakhari telah melakukan sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Beliau kemudianya dituduh berdasarkan Kanun Kesiksaan Seksyen 377B. Bagaimanapun, berdasarkan amalan undang-undang, Anwar masih berhak untuk bertanding kerana dirinya belum dibuktikan bersalah.

Kemenangan Anwar dalam PRK tersebut mencetuskan gelombang pilihan raya kecil yang lebih banyak, yang sebahagian penganalisis politik  mengatakan, ia adalah salah kaedah untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa atau Road to Putrajaya. Mood pilihan raya sentiasa dihidupkan dan seboleh-bolehnya berlaku setiap bulan.

Selain Permatang Pauh, lima lagi PRK diadakan di peringkat Parlimen, iaitu Kuala Terengganu (2009), Bukit Gantang (2009), Hulu Selangor (2010), Hulu Selangor (2010), Sibu (2010) dan Batu Sapi (2010). Berlaku 10 PRK di peringkat DUN iaitu Bukit Selambau, Kedah (2009); Batang Ai, Sarawak (2009); Penanti, Pulau Pinang (2009); Manek Urai, Kelantan (2009); Permatang Pasir, Pulau Pinang (2009); Bagan Pinang, Negeri Sembilan (2009); Galas, Kelantan (2010); Tenang, Johor (2011); dan Kerdau, Pahang (2011).

PRK DUN Penanti dan Bukit Selambau disebabkan keinginan PKR untuk menggantikan wakil rakyat yang dianggap tidak sehaluan dengan kehendak parti atau calonnya kurang ‘lunak’ dengan Anwar Ibrahim. Mungkin kerana PRU ke-12 merupakan permulaan proses politik berdasarkan ‘dua parti’ apabila parti-parti pembangkang berjaya bersatu dalam satu pakatan. Gabungan itu dikenali sebagai Barisan Rakyat dan kemudiannya ditukar kepada Barisan Alternatif sebelum dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

Gabungan parti-parti pembangkang itu berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat dan menyebabkan lima negeri berubah parti pemerintah (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor) manakala di Kelantan, PAS kekal berkuasa. PR  menang 82 kerusi manakala BN meraih 140 kerusi. Situasi ini menyebabkan kedudukan BN ‘kurang selamat’ dan selepas Anwar kembali semula ke Dewan Rakyat, beliau menetapkan agenda ‘peralihan kerajaan’ pada 16 September 2008, iaitu Malaysia meraikan sambutan penubuhan Malaysia.

Dalam tempoh 11 bulan selepas PRU ke-12, berlaku krisis politik di Perak. Tampuk pemerintahan bertukar daripada PR kepada BN, iaitu selepas bulan Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009. Abdullah berundur disebabkan kritikan peda Dr Mahathir ekoran kegagalan BN mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Namun, ramai penganalisis politik meramalkan kritikan pedas Dr Mahathir kerana Abdullah Ahmad Badawi enggan meneruskan projek Jambatan Bengkok.

Munculnya Najib sebagai Perdana Menteri ke-6 menyebabkan Anwar semakin tertekan dan mendesak Najib berundur atas dakwaan terbabit dengan pembunuhan seorang rakyat Mongolia pada 9 April 2009, iaitu kurang seminggu daripada tarikh mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6. Anwar menggunakan dakwaan itu sebagai modal kempennya di Permatang Pauh, kerana pada masa itu Najib adalah Pengarah Pilihan Raya Kecil BN.

Pada hari ulang tahun penubuhan Malaysia, Anwar menjangkakan lebih 40 orang wakil rakyat BN akan ‘menyeberang’ dan menyatakan sokongan terbuka kepada PR. Sokongan itu akan membolehkan PR mempunyai kuasa majoriti mudah, iaitu 122 kerusi. Sebelum itu, Ibrahim Ali yang menang atas tiket PAS di Pasir Mas telah menyatakan pendiriannya, tidak akan memberikan sokongan kepada PH.

reformasi 1

Proses ‘perburuan wakil rakyat’ yang ingin menyeberang menjadi sesuatu yang menakutkan. Jika benar ada, maka penguasaan BN berjaya ditamatkan melalui ‘jalan belakang’. Difahamkan beberapa hari sebelum tiba ulang tahun pembentukan Malaysia, mereka yang disenaraikan ‘menyeberang’ mengadakan lawatan sambil belajar ke Taiwan. Dua orang pemimpin PKR ditugaskan untuk memburu mereka, tetapi gagal. Setibanya di Taiwan, sebahagian wakil rakyat berkenaan telah pulang ke Malaysia manakala sebahagiannya melancong ke beberapa buah negara.

Kegagalan tersebut menyebabkan Anwar gagal dalam misi Road to Putrajaya. Anwar kemudian membuat kenyataan dan memberikan jaminan, atas beberapa masalah teknikal, proses peralihan kuasa terpaksa dilanjutkan. PH memerlukan ‘sedikit masa’. Ia tidak juga berlaku sehinggalah mandat PRU ke-12 berakhir dan PRU ke-13 berlangsung pada 5 Mei 2013. PRU ke-13, PR berjaya menambahkan kekuatan politiknya di Dewan Rakyat apabila menguasai 89 kerusi manakala UMNO merosot kepada 133 kerusi.

Selepas PRU ke-13, Anwar kembali melebarkan strategi politiknya untuk bertanding dalam PRK Kajang. Anwar dikatakan berusaha menjadikan DUN Kajang sebagai batu loncatan sebagaimana Recep Tayyib Erdogan berjaya di Turki. Erdogan asalnya memenangi kawasan di bandar Istanbul, begitu juga dengan Jokowi yang pernah dipili sebagai Gabenor Jogjakarta. Visi Anwar itu kemudiannya dikenali Langkah Kajang, dengan harapan selepas menang di situ, beliau akan mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim meletakkan jawatan. Beliau akan mengemudi pentadbiran politik.

reformasi 2

Nasib tidak menyebelahi Anwar. Beliau sudah meramalkan dirinya akan kalah dalam kes Liwat II, akhirnya mencadangkan Dr Wan Azizah bertanding di DUN Kajang selepas penyandangnya ‘dipaksa’ mengosongkan kerusi. Wan Azizah yang terkenal dengan imej kipas, akhirnya menang dan disahkan sebagai ADUN Kajang. Ketika itu, Wan Azizah sudah dibolehkan bertanding kerana pengosongan kerusi Permatang Pauh sudah melebihi period lima tahun.

Berlaku pula saga peralihan kuasa di Selangor. PR mencadangkan Wan Azizah menggantikan Tan Sri Khalid, tetapi PAS tidak bersetuju. Akhirnya, PR terpaksa akur dengan perkenan Sultan Selangor memilih Azmin Ali sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim. Lebih setahun kemudian, PAS membuat keputusan untuk meninggalkan PR, dan menjadi ‘king maker’ dalam PRU ke-14. Dua episod besar itu membuktikan Anwar terus gagal dalam percubaannya menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya namakan peristiwa kegagalan itu sebagai Road to Putrajaya 1.

(bersambung)

No Comments

    Leave a reply