ANWAR DAN ROAD TO PUTRAJAYA (BAHAGIAN II).

Road to Putrajaya II bermula setelah terbentuknya Pakatan Harapan pada tahun 2017 di bawah kepimpinan Dr Mahathir yang dianggap sebagai Perdana Menteri sementara. Dalam persetujuan untuk PH menggunakan logo PKR dalam PRU ke-14, termaktub satu perjanjian lisan bahawa Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, dalam tempoh antara enam bulan hingga selepas tiga tahun.

Sebab itulah Anwar boleh menerima semula Dr Mahathir dan bersetuju Dr Mahathir memimpin PH. Dr Mahathir melakukan pertemuan pertama dengan Anwar dan seterusnya dapat melunakkan banyak pihak mengenai keikhlasannya termasuk dendam Anwar dan keluargaakibat pemecatannya (3 September 1998). Waktu itu, negara berhadapan dengan krisis mata wang, Anwar pula dihadapkan dengan dakwaan ‘rendah moral’.

reformasi 2

Untuk beberapa minggu, Kuala Lumpur dipenuhi demonstrasi jalanan (1998). Banyak sepanduk, gegantung, pelekat di arak sepanjang Sogo menuju ke Dataran Merdeka dengan ungkapan ‘menggunjing’ Dr Mahathir (misalnya ‘Mahazalim’, dan ‘Mahafir’aun’). Ketika itu, novel Shit menjadi rebutan orang ramai, kerana Shahnon Ahmad menulis mengenai budaya politik oleh mereka yang berkuasa umpama ‘tahi’. Episod itu menjadi begitu sinonim dengan gerakan membebaskan Anwar yang kemudiannya dikenali sebagai Reformasi Jalanan.

Kehadiran pemimpin-pemimpin asing menyokong ‘pembebasan Anwar’ meenyinggung emosi Dr Mahathir. Begitu juga dengan liputan meluas dan berat sebelah media asing. Akhbar-akhbar tempatan ada diterbitkan dalam dua edisi, edisi pagi dan edisi petang. Jualan akhbar Harakah melonjak terus hingga melebihi 300,000 naskhah. Ia menjadi santapan sebahagian ahli PAS dan penyokong Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir bimbang suasana tersebut, kerana beberapa hari lagi akan berlangsung pertemuan APEC –Asia Pacific Economic Cooperation (17-18 November 1998), dan sebelumnya berlangsung temasya Sukan Komanwel XVI (11-21 September 1998).

18 tahun Anwar bersengketa dengan Dr Mahathir. Atas keinginan untuk menumbangkan BN dan Najib, Dr Mahathir sedia berunding dengan Anwar. Dr Mahathir tidak dibenarkan menemui Anwar di Penjara Sungai Buloh. Mereka bertemu di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 5 September 2016.

Detik itu dirakam  oleh Dr Wan Azizah dan dimuatnaik ke akaun facebook dengan catatan “ pertemuan pertama selepas 18 tahun 2 hari…sejak 3 September 1998”. Detik itu mendapat pelbagai reaksi masyarakat dan pemimpin politik. (Baca: ‘Politik tong najis’ Mahathir, Anwar’, Malaysiakini, 10.9.2016)

Pertemuan-pertemuan  itu memudahkan penyokong PKR menerima Dr Mahathir dan akhirnya disokong untuk memimpin PH dengan persetujuan. Seandainya PH memerintah, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri untuk tempoh peralihan atau Perdana Menteri Sementara. Selepas enam bulan, Dr Mahathir perlu menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir juga berjanji akan ‘memohon pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong”. Pada 9 Ogos 2016, Dr Mahathir bersama Muhyiddin memohon perndaftaran sebuah parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). PPBM diluluskan pendaftarannya pada 9 September 2016.

Berdasarkan keputusan mahkamah,  Anwar dipenjarakan selama lima tahun mulai 9 Februari 2015. Beliau sepatutnya dibebaskan pada 9 Februari 2020. Pada 23 Mac 2016, Nurul Izzah mengumumkan keluargnya tidak akan memohon parol bagi membolehkan Anwar dibebaskan lebih awal. Nurul Izzah ayahnya tidak bersalah. Menurut perkiraan pihak penjara, setelah mengambil kira beberapa faktor, Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun 2018.

detik pembebasan anwar

Anwar mendapat ‘pengampunan penuh’ (16 Mei 2018). Setelah dibebaskan, Anwar mula mencaturkan kedudukannya, bertanding dalam PRK Port Dickson dan seterusnya menawarkan diri untuk merebut jawatan Presiden PKR.

Anwar menang besar di Port Dickson (13 Oktober 2018), tetapi, ramai yang bertanya, benarkah Anwar akan jadi Perdana Menteri selepas menang PRK? Orang ramai diyakinkan. Dr Mahathir tetap akan menunaikan janjinya. Anwar memberikan isyarat, dirinya tidak terdesak untuk jadi Perdana Menteri. Dr Mahathir tidak terdesak untuk meletakkan jawatan.

Selepas itu kedengaran kenyataan, Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa dalam tempoh dua tahun. Akhir tahun lalu, ahli PPBM membuat resolusi agar Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri untuk sepenggal.

PAS yang mendengar ada percubaan untuk memulakan undi tidak percaya, menemui Dr Mahathir (12 Februari 2019) dan seterusnya menyampaikan pendirian, akan mempertahankan kedudukanya sebagai Perdana Menteri sehingga sepenggal. Jika berlaku ‘undi tidak percaya’, PAS akan membantah.

Sokongan PAS itu menimbulkan sedikit kemarahan  Anwar. Dan, kemarahan itu dilempiaskan dengan pendedahan bahawa Haji Hadi telah membayar RM 1.4 juta kepada pengendali Sarawak Report (27 Februari 2019).

Bila isu itu muncul, Haji Hadi membuat penjelasan, beliau tidak membayar kepada Clare Rewcastle Brown. Rafizi mendedahkan, pembayaran telah dibuat melalui seorang peguam menggunakan akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Akhirnya terbongkar, seorang bernama Rameli Musa telah membuat bayaran tersebut.

Isu bayaran seperti ‘sudah selesai’. Tetapi Anwar tetap ‘menyerang PAS’ kerana bekerjasama dengan UMNO. Dr Mahathir turut mengecam kerjasama tersebut. Kecaman Dr Mahathir mungkin ‘dendam’ kerana PAS enggan menyertai PH.

Kerjasama PAS-UMNO dilihat oleh Dr Mahatahir sebagai sesuatu yang boleh melemahkan PPBM. Asasnya adalah sama, PPBM dan PAS akan hanya bertanding dalam kawasan majoriti pengundi Melayu. Keadaan ini akan menyebabkan PPBM rasa terhimpit.

Disebarkan bahawa 30 kerusi Parlimen akan memihkan kepada UMNO-PAS selepas mengambil kir undi yang diterima berbanding undi PKR. Kerjasama PAS dan UMNO telah membawa kejayaan besar kepada BN di PRK Cameron Highland, DUN Semenyih dan DUN Rantau.

Kerjasama tersebut telah membangkitkan aura positif terhadap slogan “#ApaMaluBossku. Slogan itu kemudiannya diserang oleh PPBM, PKR dan DAP. Slogan itu diperlekehkan dengan budaya kleptokrasi dan dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu.

Tetapi, slogan itu tidak mudah dimatikan. Slogan itu turut membangkitkan semangat baharu kepada penyokong UMNO dan PAS. Mungkin juga memberikan ilham kepada pengundi Sarawak agar Najib diberikan semula peluang untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang dalam PRU ke-15.

Kita lupakan persoalan itu. Kita bincangkan peralihan kuasa yang belum muktamad walaupun Anwar berkata ‘sudah dimuktamadkan’. Dr Mahathir berkata, kerajaan PH memerlukan masa tiga tahun untuk ‘memulihkan Malaysia’ dan dalam perhitungan terbaharu, beliau akan menyerahkan kuasa selepas tiga tahun menjadi Perdana Menteri ke-7. Bolehkah dipercayai?

Ramai yang masih ragu-ragu. Rais Yatim mengeluarkan pandangan, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang cekap. Apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir, hanyalah seperempat sahaja, tiga perempat lagi disimpan, tidak siapa yang tahu, kecuali Dr Mahathir sendiri.

Bagi Dr Rais Yatim, Anwar mungkin tidak akan dapat menggantikan Dr Mahathir dengan mudah, kerana ‘tiada perjanjian hitam putih’. Ini bermakna, janji yang dibuat itu adalah ‘janji politik’. Sebagai ‘janji politik’ ia boleh berubah dan boleh terpesong serta bercapah-capah.

(bersambung)

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply