ANWAR-MAHATHIR, SENGKETA ‘BELUM SELESAI’

MALAM tadi, hujan yang diharapkan tidak turun. Sejak pagi lagi langit menunjukkan suasana mendung manakala di sebelah petang, ada angin yang membawa khabar bahawa lanskap politik Malaysia akan berubah. Hingga ke dinihari, hujan tidak juga turun walaupun ada cerita ‘duka’ tersebar, kesetiaan sudah terpalit dengan ‘pengkhianatan’, ketenangan bertukar menjadi ribut yang menakutkan sesetengah orang.

Orang yang paling terkesan dengan ‘ribut politik’ yang sudah melanda itu ialah Anwar Ibrahim. Setelah merasakan ‘angin bertiup ganas’, Anwar mengatur suatu majlis di rumahnya, Majlis Selawat Nuril Anwar bermula jam 6 petang. Isterinya, Wan Azizah sekitar jam 8.15 malam meninggalkan rumah bergegas ke luar menziarahi ibunya yang dimasukkan ke hospital.

Anwar malam semalam begitu resah dan sibuk. Selepas berakhirnya Majlis Selawat Nuril Anwar, bergegas pula untuk bertemu dengan sekutunya yang masih setia berjuang dan bekerjasama. Di benaknya mungkin tergambar sebuah episode yang memualkan apabila kemungkaran politik terjadi hanya dalam masa kurang 48 jam selepas persetujuan konsensus diterima sebagai langkah penyelesaian proses peralihan kuasa.

Enam pemimpin utama daripada PPBM, UMNO, Gabungan Parti Sarawak, serpihan PKR, PAS dan Parti Warisan hadir dalam perjumpaan khas bagi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. Khabarnya, sokongan untuk Dr Mahathir melebihi separuh daripada Ahli Parlimen, bermakna ‘kerajaan pintu belakang’ boleh dibentuk setelah serpihan PKR tidak lagi patuh kepada Presidennya, yakni Anwar Ibrahim.

Kisah permusuhan Anwar-Azmin memang telah diduga akan sampai ke kemuncaknya. Sejak Anwar memenangi jawatan Presiden PKR dan sah kembali ke Parlimen, sengketa dengan Azmin dilihat semakin membesar. Ada dakwaan kerana Anwar tidak menyenaraikan Azmin sebagai calon pilihan untuk dipertimbangkan sebagai menteri kabinet, tetapi Dr Mahathir lakukan. Azmin terpaksa meninggalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor untuk menerima lantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Tidak cukup dengan itu. Azmin terpalit pula dengan video tulen tapi pelakunya kabur. Bagi Azmin, beliau tahu siapakah dalang yang menyebarkannya. Tetapi, Azmin enggan mendedahkan. Orang awam terus membuat spekulasi, seolah-olah membenarkan kenyataan Azmin, “orang dalam yang sengaja menjatuhkan imej’ dan ‘mematika karier politik’ menerusi politik longkang.

Anwar sedikit kecewa kerana Dr Mahathir bertekad: Azmin belum bersalah kerana belum dibuktikan salah. Azmin terlepas daripada dakwaan, namun Anwar semakin meluat. Bila tersiar pula kisah Anwar melakukan ‘penderaan seksual’ ke atas cucu pengasas Persatuan Pengguna Pulau Pinang, ia sekali lagi menjadikan harapan Anwar berjerubu. Kini, naratif tersebut belum terpadam sepenuhnya.

Sengketa Anwar-Mahathir kali ini kembali berulang. Episod 1998, Anwar terkeluar daripada peralihan kuasa kerana diasak dengan masalah moral. Episod itu membawa kepada demonstrasi jalanan dan seterusnya tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (Keadilan). KEadilan kemudiannya ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Walaupun memasuki gelanggang pertarungan 1999, PKR tidak menjadi cabaran besar. Aura Anwar tidak mampu menggugat BN yang diterajui oleh Dr Mahathir.

Perbalahan itu berpanjangan sehinggalah tertubuhnya Pakatan Harapan pada tahun 2016. Dr Mahathir sanggup bertemu Anwar dan Anwar pula dikatakan ‘sangat mempercayai keikhlasan Dr Mahathir’. Kata Anwar, beliau sudah memaafkan Dr Mahathir. Kata-kata itu akhirnya membawa harapan baharu kepada perjuangan reformasi. Mereka sedia bekerjasama untuk menamatkan penguasaan BN selama 60 tahun, dan keyakinan itu tetap ada setelah PRU ke-12 dan Ke-13, prestasi BN semakin menurun. PRU ke-12, BN tidak mampu mempertahankan kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat, dan hilang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

PAS terus kekal memerintah Kelantan. Harapan BN yang disandarkan kepada Mustapha Mohamed berkecai. Peluang Mustapha Mohamed sebagai bakal Menteri Besar Kelantan disemadikan secara jelas di dalam hati. PRU ke-13, Mustapha bermimpi lagi, namun beliau kecundang lebih besar apabila PAS semakin kuat mencengkam bumi Kelantan. Selepas PRU ke-14, Mustapha membuat keputusan ‘ubah angin’ dengan menyertai PPBM. Mungkin kerana takut dikaitkan dengan penerimaan wang daripada 1MDB.

Sejak menang PRK Port Dickson, Anwar ke sana ke mari mempromosikan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-8. Beliau bakal menggantikan Dr Mahathir, kerana Dr Mahathir adalah Perdana Menteri sementara. Dr Mahathir dijangka melepaskan jawatan itu setelah semua ‘halangan Anwar’ berjaya diatasi, termasuk mendapat pengampunan di raja. Namun, dalam situasi suka dan duka, Nurul Izzah, puteri kesayangan Anwar mengambil langkah berbeza.

Akibat rasa terkilan dengan Dr Mahathir, Nurul Izzah melepaskan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bila Dr Mahathir masih mengekalkan Ronald Kindie, yang  menyertai PH. Bila Anwar menang bergaya jawatan Presiden PKR, beliau menamakan Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang. Nurul Izzah tidak setuju, akhirnya membuat keputusan hanya kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Dalam resah itulah Mujahid muncul sebagai kekanda menasihati adinda, tabah berhadapan situasi dan gundah gulana. Warkah Cordova itu akhirnya ‘menjerat’ dan dilihat sebagai pesanan menggoda daripada Mujahid oleh warganet.

Anwar tidak berdiam diri. Beliau ke sana ke mari membentangkan wawasan diri agar dipercayai benar-benar Perdana Menteri menanti. Penyokong-penyokong mula sedar, janji yang dibuat secara lisan oleh Dr Mahathir tidak akan menentukan peluang Anwar. Mereka mula mendesak dan membuli Dr Mahathir agar menyegerakan proses peralihan kuasa. Namun, Anwar seolah-olah mahu mengawal keadaan, lantas diberikan pengakuan bahawa dirinya tidak terdesak untuk itu, dirinya yakin Dr Mahathir akan laksanakan bila ‘sampai waktunya’.

Dr Mahathir berkali-kali menyatakan tetap berpegang ‘kepada janji’. Namun janji Dr Mahathir berubah-ubah, dari tempoh enam bulan kepada dua tahun dan terakhir selepas selesainya Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bulan November nanti. Ada juga tempikan marah, penyokong Anwar memberikan tempoh akhir kepada Dr Mahathir, iaitu peralihan kuasa mesti dilaksanakan pada bulan Mei 2020, iaitu genap dua tahun pentadbiran PH.

Malam Jumaat lalu (21 Februari 2020) berlangsung perbincangan untuk memuktamadkan proses peralihan kuasa dalam Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana. Ada laporan menjelaskan mesyuarat itu dilangsung dalam suasana tegang, dua pihak terus mempertahankan pendirian masing-masing. Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR dan Bersatu mahukan Dr Mahathir terus memimpin sehingga sepenggal. Kumpulan yang menyokong Anwar mahukan proses peralihan kuasa dimuktamadkan secara jelas, bukan lagi berdolak-dalik selepas APEC.

Semasa sidang media, Dr Mahathir memberitahu bahawa keputusan telah dicapai bahawa proses peralihan kuasa tetap menjadi prerogatifnya. Ertinya, Anwar perlu meningkatkan kesabarannya, Dr Mahathir mempunyai hak untuk menentukan keputusan terbaik. Sebelum ini, Anwar berkata beliau tidak terdesak untuk memaksa Dr Mahathir. Beliau mengharapkan ‘peralihan kuasa’ berjalan secara aman dan harmoni.

Namun, Otai Reformasi terus memberikan pandangan tegas. Mereka akan kembali berdemo bagi menuntut janji peralihan kuasa, walaupun Anwar berkata ‘saya bersabar’. Tetapi, perkembangan semalam memungkinkan Otai Reformasi kembali ke jalan raya menuntut ‘peralihan kuasa’.

Mohamad Sabu sudah mengeluarkan pandangan sebagai Pengerusi PAN. Tidak sepatutnya berlaku rampasan kuasa ‘tengah jalan’ dan PH belum genap dua tahun sebagai kerajaan. Sebelumnya, Mohamad Sabu berkata, PAN sedia kembali sebagai pembangkang. Beliau sudah lama dilatih dan berada dalam kem pembangkang. Ertinya, kerana budaya pembangkang belum lupus dalam jiwa politik mereka, akhirnya gabungan PH tidak pernah menunjukkan gandingan yang harmoni walaupun sudah membentuk kerajaan.

Ia berbeza dengan senario politik ketika Dr Mahathir adalah Perdana Menteri ke-4. Gandingannya dengan Musa Hitam dijolokkkan sebagai 2M, menampakkan persetujuan dasar yang jelas. Meskipun Musa Hitam membuat keputusan mengejutkan kerana tidak berpuas hati Tg Razaleigh dikekalkan dalam kabinet, Musa terus menjaga hubungannya dengan Dr Mahathir. Kisah Dr Mahathir yang dikatakan tidak berada dalam negeri ketika peristiwa Memali (1985) hanya didedahkan selepas 29 tahun berlalu (2014).

Dengan Ghafar Baba, hubungan baik juga berlangsung. Selepas Dr Mahathir dikecam hebat akibat meminda imuniti Raja-Raja Melayu, Ghafar menjadi perantara yang menarik. Bagaimanapun, Ghafar Baba akhirnya membawa diri selepas Dr Mahathir merasakan Anwar adalah calon paling layak untuk menggantikannya. Ketika itu, Anwar sudah bersedia mengatur langkah seterusnya, kerana telah membina rangkaian kuasa yang besar dan berpengaruh dalam kerajaan.

Anwar mula berkrisis dengan Dr Mahathir pada tahun 1997. Bagi sesetengah orang, sikap Anwar yang tidak sabar menunggu itulah yang menjerat peluangnya. Anwar dikatakan merancang untuk menjatuhkan Dr Mahathir; mungkin kerana percaya bahawa Dr Mahathir sudah terlalu lama memerintah. Dr Mahathir pernah menyindir Tunku Abdul Rahman, dalam tempoh pemerintahan yang lama (1957-1970), beliau tidak lagi efisyen. Mungkin juga bagi Anwar, Dr Mahathir semakin galak membina kroni politik setelah merasakan kedudukannya kuat dan lama berkuasa (1981-1997), iaitu lebih lama daripada Tunku Abdul Rahman.

Jika Tunku terpaksa meletakkan jawatan selepas Tragedi 13 Mei 1969, Dr Mahathir memerlukan kejutan yang sama. Tetapi, kekuatan Anwar tidak cukup untuk menjatuhkan Dr Mahathir. Audio percubaan Anwar ‘merampas kuasa’ tersebar, manakala beberapa orang menteri memberikan pandangan, Anwar tidak layak kerana berhadapan dengan masalah moral.

Setelah terbukti ada aktiviti tidak bermoral, Anwar diminta untuk melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagi Anwar, ia sesuatu yang tidak adil, maka Anwar enggan melakukannya. Anwar dipecat, dan pemecatan itu mencetuskan krisis politik yang besar. Bagaimanapun, Anwar didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, tetapi terlepas daripada kesalahan semburit. Anwar dijatuhkan hukuman penjara. Ketika itu, Azmin muncul sebagai salah seorang yang kental memperjuangkan pembebasan Anwar.

Jika kemelut politik ini berakhir dengan ‘kerajaan baharu’ tanpa melalui pilihan raya umum, memang jelas sengketa Anwar-Dr Mahathir tahun 1998 belum berakhir. Sengketa ini belum terpadam sepenuhnya. Keyakinan Dr Mahathir terhadap Anwar tidak sepenuhnya, maka episod  duka Anwar akan terus mewarnai lanskap politik Malaysia, sekurang-kurangnya dalam PRU ke-15 akan ada keputusan yang lebih mematikan salah seorang daripadanya.

Ertinya, lanskap politik Malaysia sudah terlalu lama berkisar daripada persengketaan Anwar -Dr Mahathir. Entah bila akan berakhir, kerana selagi Dr Mahathir hidup beliau akan terus mencipta pelbagai paradoks dalam politik.

Rakyat semakin tidak sabar menunggu, kerana kenyataan rasmi belum dikeluarkan apakah ‘kerajaan baharu’ akan benar-benar terjadi meskipun ada harapan berbunga-bunga. Bagi Anwar, mungkin cahaya di hujung terowong semakin kelam dan gelap, meskipun disokong oleh DAP dan PAN. Jika ‘kerajaan baharu’ menjadi realiti, DAP akan mengalami defisit keyakinan dan harapannya untuk menguasai pengundi Melayu semakin tipis, dan Lim Guan Eng akan terus membebel ‘gendang perang’ benar-benar dipalu.

MONOSIN SOBRI

 

No Comments

    Leave a reply