Anwar orang biasa, kata PM

BANGI, 12 Syawal 1439H, Selasa– “(Anwar) sama seperti orang lain. Beliau boleh ulas apa sahaja. (Tetapi) beliau tidak berada di dalam kerajaan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, namun secara umumnya apabila sesuatu dipersetujui dalam Kabinet, maka kerajaan akan tetap berpegang kepadanya.

“Tetapi, orang lain yang tidak berada di dalam Kabinet boleh kata apa sahaja. Mereka boleh kata apa yang mereka suka. Tetapi kami adalah kerajaan,” katanya ketika wawancara dengan Channel News Asia, yang disiarkan hari ini.

Minggu lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, supaya bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan terdahulu.

Anwar berkata, Guan Eng perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia akan digunakan sebagai rujukan oleh pelabur.

Anwar mencadangkan supaya tanggungjawab membongkar salah laku itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.

Menjawab soalan, Dr Mahathir berkata, beliau boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengannya.

“Saya sentiasa boleh kekal dan bekerja dengan mereka yang menentang saya. Saya berada di situ selama 22 tahun. Ada ramai yang menentang saya… tetapi saya berjaya menanganinya. Jika saya tidak dapat menanganinya, saya akan letak jawatan,” katanya

Perdana Menteri juga berpendapat beliau mendapat sokongan kuat daripada rakyat Malaysia.

Dr Mahathir juga menolak khabar angin mengatakan berlaku keretakan dalam Pakatan Harapan menyebabkan berlaku kelewatan untuk melantik menteri Kabinet yang dijangkakannya berjumlah 29 orang.

“Ianya tidak benar (pertelingkahan dalam PH menyebabkan kelewatan pelantikan Kabinet penuh). Saya sudah siapkan senarai nama dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Semua parti komponen PH menyerahkan senarai nama individu untuk jawatan menteri untuk pertimbangannya, walaupun Perdana Menteri berkata, beliau memberitahu semua pemimpin parti itu bahawa beliau akan memilih siapa sahaja, termasuk yang tidak ada dalam disenaraikan itu dan beliau tiada menerima bantahan.

“Saya hubungi mereka, menteri dan timbalan menteri untuk bertanya sama ada mereka terima jawatan yang saya berikan… dan peliknya, tidak banyak bantahan.

“Ada yang merasakan bahawa, saya sepatutnya memberikan itu dan ini… tetapi, apabila saya jelaskan kepada mereka bahawa saya telah mengisi kekosongan di tempat-tempat itu, mereka tidak bantah, mereka menerima,” katanya.

Sumber : Ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply