APA ITU ASABIYAH

DEFINISI

Secara harfiah, asabiyah bererti “perpaduan atau fanatisisme kesukuan atau golongan.”

Mengikut Kamus Dewan (edisi keempat), fanatisisme ialah orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian yang berkaitan dengan keagamaan.

Dalam bahasa Inggeris, istilah asabiyah biasa diertikan sebagai racist.

Menurut kamus Oxford, racist ialah “a person who believes that a particular race is superior to another”. Istilah ini boleh diertikan bahawa sesiapan sahaja yang mempunyai keyakinan satu bangsa tertentu lebih hebat dan unggul daripada bangsa lain disebut sebagai asabiyah.

Secara istilah menurut Ibn Manzur dalam kitabnya Lisanul Arab, asabiyah adalah mengajak orang lain untuk membela keluarga sama ada keluarga itu zalim atau tidak daripada diserang oleh pihak lain.

Rasulullah s.a,w. sendiri pernah berasa bimbang akan bibit-bibit permusuhan antara suku di kalangan orang Arab. 

 

SEBAB-SEBAB

Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab seringkali mengalami peperangan dan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh semangat asabiyah melampau.

Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan tampil sebagai pemimpin di kalangan suku yang ditaklukinya.

Perasaan taksub dan asabiyah atau dengan kata lain fanatik adalah diharamkan dalam agama Islam.

Punca fanatisme melulu adalah disebabkan kejahilan ilmu pengetahuan. Kejahilan mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat dan negara.

CIRI-CIRI

Rasulullah pernah mendiskripsikan ciri-ciri asabiyah ketika ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah? Sabda baginda: “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman” (Hadis Hasan riwayat Abu Dawud).

Namun demikian secara umumnya, pengamal asabiyah dapat dilihat dalam rumusan berikut:

Pertama: meletakkan bangsanya sendiri sebagai asas perjuangan melebihi kepentingan agamanya sendiri.

Memperjuangkan kebudayaannya, adat-istiadat, pakaian tradisinya, kepercayaan kuno yang diwarisi datok nenek moyang, seni dan alat-alat muzik tradisi dan amalan-amalan tertentu yang tidak ada nas sahih daripada al-Quran dan sunah.  Kedua: Lebih mengutamakan bangsanya sendiri melebihi persaudaraan Islam.

Meletakkan bangsanya ditempat yang paling tinggi walaupun bangsanya melakukan kezaliman dan ketidak adilan kepada bangsa-bangsa lain. Menyatukan bangsanya atas asas  keturunan, bukannya atas asas akidah dan menafikan hak persaudaraan Islam sedangkan keutamaan sepatutnya diberikan kepada saudara seakidah walaupun berlainan bangsa. Menganggap bangsa lain kelas ke dua walaupun mereka seorang muslim. Ketiga: Tidak berusaha bersungguh-sungguh mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT.

Orang yang terjerumus dalam amalan asabiyah memperlekehkan hukum-hukum Allah SWT, sering mencari alasan dan mengulangi dakwaan bahawa hukum hudud, qisas dan takzir yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah dan ijmak ulama sebagai tidak sesuai dengan masyarakat majmuk.

Keempat: Pelaku asabiyah tidak membawa syaksiah dan akhlak Islam seperti tidak menutup aurat, menggalakkan percampuran bebas lelaki dan wanita dan banyak memperomosi hiburan-hiburan yang bertentangan dengan syariat Islam.

Kelima: pengamal asabiyah sukar menerima nasihat dan teguran daripada para ulama dan sering membuat tuduhan kepada ulama dan para pendakwah Islam sebagai pelampau, ekstrim, ketinggalan zaman dan menyekat dakwah tersebar di dalam masyarakat.

Keenam: menggunakan kaedah “matlamat menghalalkan cara”. Ia sentiasa menggunakan semua cara samaada halal atau haram untuk mencapai matlamatnya. Samaada cara menipu, ugutan, menyebarkan fitnah dan mendedahkan aib seseorang yang tidak disukainya.

 

DALIL-DALIL

Maksud hadis: “Bukan termasuk ummatku bagi sesiapa yang menyerukan kepada asabiyah” (Hadis riwayat Abu Daud).

Dari hadis riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ”Barangsiapa yang terbunuh di bawah panji-panji kesesatan, ia menyeru ‘asabiyah’ atau menolong ‘asabiyah’, maka bangkainya itu adalah bangkai jahiliah”.

 Dari Abu Hurairah radliyallahu anhu dari Nabi Shallallahu alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah (kesepakatan kaum muslimin) lalu dia mati, maka dia mati jahiliyyah. Sesiapa yang berperang di bawah bendera kebutaan dan menyeru kepada asabiyyah atau marah kerana asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah” (Hadis riwayat Muslim, Nasai, Ibn Majah).

Nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menghilangkan dari kalian fanatisme jahiliyah serta mengagungkan nenek moyang. Manusia itu berasal dari Adam dan Adam itu berasal dari tanah. Tidak ada keutamaan seorang Arab atas seorang ‘ajam (bukan Arab) selain dengan ketakwaannya” (Riwayat Ahmad).

JENIS-JENIS ASABIYYAH

Istilah “asabiyah” dalam Islam mempunyai konotasi buruk kerana mengandungi unsur ekstremis atau sikap patriotik yang keterlaluan terhadap suku atau golongannya, yang merupakan salah satu ciri kehidupan jahiliah (asabiyyah jahiliah).

Walau bagaimanapun, Ibn Khaldun mengklasifikasi asabiyyah kepada dua asabiyyah yang bersifat positif dan negatif iaitu asabiyyah Islamiyyah  atau asabiyyah jahiliyyah.

Asabiyyah Islamiyyah ialah semangat permuafakatan dan persefahaman yang terbentuk dalam struktur sosial masyarakat hingga membudaya sikap tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain.

Asabiyah jahiliyyah ialah sikap yang membuta tuli dalam membela kaumnya secara mati-matian hingga menggadaikan nyawa sendiri tanpa dapat membezakan perkara yang haq dan batil. Membuta tuli dengan mendiskriminasikan hak kaum yang lain dan memerangi kaum lain kerana tamak terhadap kuasa dan harta benda.

PERBEZAAN ASABIYYAH ISLAMIYAH DAN ASABIYAH JAHILIYAH

Menurut Ibn Khaldun, Asabiyah Islamiyyah (perpaduan sosial atau kesetiakawanan) amat penting untuk menciptakan perpaduan dan etika sosial yang mengikat hubungan manusia dalam sesuatu bangsa atau umat itu menjadi kuat.

Dalam hubungan dengan agama, asabiyyah Islamiyyah amat penting sehingga Ibn Khaldun menyatakan bahawa “tanpa asabiyyah syariat-syariat agama tidak akan berjaya dan berkesan dalam hidup manusia (la batalat)”.

Bentuk asabiyah yang terpuji (Islamiyah) didokong oleh hadith yang dinukilnya dalam al-Muqaddimah yang bermaksud: “Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan ia berada dalam lindungan kekuatan bangsanya(illah fi manati qaumihi).

Bangsa yang terbelenggu dengan asabiah jahiliah sering kali terbudaya dengan nilai sombong, tidak rasional sehingga menolak nilai-nilai kebenaran dan keadilan semata-mata atas dorongan sentimen dan kepentingan kelompok.

Asabiyyah yang ditentang oleh syara’ dan Nabi Muhammad saw itu ialah asabiyyah yang berlaku dalam hubungan dengan penindasan dan perbuatan zalim, bukannya zat asabiyyah itu sendiri, sebagaimana juga keadaan manusia dengan sifat marah.

KESAN POSITIF

Penghayatan kepada semangat kebangsaan berorientasikan nilai-nilai Islam sejati berupaya menjelmakan natijah positif terhadap apa jua usaha untuk membangunkan negara.

Perasaan cinta kepada negara yang lahir daripada penjiwaan kepada semangat kebangsaan yang Islamik pasti mampu menggerakkan setiap warga untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara secara ikhlas dan penuh amanah.

Cinta tanah air dan menjunjung semangat kebangsaan dicontohkan langsung oleh Nabi Muhammad ketika baginda mendengar cerita tentang Mekkah daripada sahabat Ushail.

Setelah berhijrah ke Madinah dan dalam tempoh lama tidak menginjakkan kaki ke Mekkah, Nabi Muhammad begitu rindu terhadap tanah kelahirannya. Baginda sampai sebak bercucuran air mata menahan rindu sambil bersabda: “Wahai Ushail, biarkan hati ini tenteram”.

Nasionalisme atau faham kebangsaan sememangnya mudah disalahertikan sebagai satu bentuk asabiah atau fanatik kesukuan melulu yang memberi konotasi negatif.

Sejarah awal kebangkitan penentangan penjajahan di rantau Melayu, nasionalisme Melayu banyak diwarnai dan dijiwai dalam kerangka Islam yang kudus berlandaskan semangat jihad membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Mencintai negara dan tanah air sebagai tanah tumpah darah umat akan memberi cetusan semangat kepada perjuangan untuk memakmurkan dan mensejahterakan rakyat yang mendiami negara itu.

Apa yang ditentang dalam Islam adalah taksub buta tanpa hujah dan rasional. Islam menentang taksub jahiliyah yang tiada ilmu. Membela dan memperjuangkan bangsa ialah berdasarkan tuntutan ilahiah dan nilai Islam.

KESAN NEGATIF

 Bersikap tertutup dan tidak dapat menerima pendapat orang atau golongan lain.

Hanya dapat menilai sesuatu itu benar atau salah berdasarkan kepada kesamaan suku, golongan atau aliran.

 Mengasing dan menjauhkan diri daripada percaturan dunia luar.

Mencetuskan sikap syak wasangka, curiga mencurigai dan pengkhianatan sesama muslim.

Akibat taksub, meskipun berpengatahuan tinggi pada hakikatnya mereka buta. Tidak dapat membezakan mana yang benar mana yang salah, tidak menggunakan akalnya bagi memahami ajaran Islam yang sebenar.

Catatan: Abu Fattah

No Comments

    Leave a reply