APA KATA AL-FARABI MENGENAI SOSIOPOLITIK

Menurut al-Farabi dalam kitabnya Fi Mabadi Ara’ ahl al-Madinah al-Fadilah, beliau mengatakan bahawa sosiopolitik merupakan amalan sosial yang dihubungkan dengan amalan politik. Ia digambarkan dalam bentuk peningkatan pengaruh politik dalam masyarakat sama ada melalui penyertaan dalam organisasi, persatuan atau parti politik.

Antara penekanan beliau dalam sosiopolitik ialah etika berpolitik. Menurut beliau, etika berpolitik adalah sebagai salah satu jalan bagi mengekalkan kepimpinan yang berakhlak. Akhlak pula menjadi pertimbangan dalam mengukur kualiti seseorang individu dalam Islam. Oleh yang demikian, De Boer seorang pengkaji politik dan jurnalis mengakui bahawa agama dan politik mempunyai pertalian yang amat rapat dalam pemikiran tokoh-tokoh Islam.

Hal ini bertepatan dengan tokoh Islam seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh Kenegaraan yang jelas mengatakan bahawa Islam telah menyiapkan cara-cara yang sempurna bagi mengatur kehidupan manusia. Cara-cara itulah yang dipakai bagi mengatur kehidupan politik. Tanpa kuasa politik, negara kita tidak dapat melaksanakan kewajipan mengajak orang supaya melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan, berjihad, menegakkan keadilan, mendirikan sembahyang, dan menolong orang yang teraniaya.

Ahmad Atiyatullah dalam kitabnya Da’irat al-Ma’arif al-Hadithah juga menjelaskan bahawa politik (siasah) ialah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan kenegaraan dan melaksanakan urusan rakyat. Ia bukan sahaja berkaitan pembinaan jati diri kepimpinan manusia, bahkan termasuk juga hal ehwal memelihara haiwan. Sungguh bermanfaat kata-kata ulamak, ‘tegakkan agama, dan jaga dunia dengan agama’.

Kembali kepada perbincangan sosiopolitik al-Farabi dalam kitabnya Fi Mabadi Ara’ ahl al-Madinah al-Fadilah. Al-Farabi menyenaraikan dua belas fasal yang membincangkan mengenai hal ehwal pemerintahan sesebuah Negara. Daripada dua belas fasal ini, ia dirumuskan dalam lima tumpuan berkaitan sosiopolitik. Pertama, kerjasama dalam masyarakat; kedua, masyarakat yang sempurna; ketiga, masyarakat yang terbaik dan kemakmuran yang sempurna; keempat, keadilan manusia; dan kelima, negara jahil.

Bagi yang pertama iaitu kerjasama dalam masyarakat, beliau membahaskan keperluan kerjasama sesama individu yang nantinya membentuk kelompok yang lebih besar iaitu kelompok masyarakat. Masing-masing berhajat kepada masyarakatnya untuk menyempurnakan hajat mereka. Minat, sikap dan kepakaran yang berbeza antara sesama individu dalam masyarakat mewujudkan kebergantungan keperluan antara satu sama lain. Kebergantungan pula menurut al-Farabi diharuskan jika disulam dengan sikap yang baik dan sikap mahu tolong-menolong berasaskan persefahaman yang satu. Pengaruh politik yang terbina hasil daripada persetujuan ideologi dalam kelompok yang kecil mampu mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk membentuk persetujuan bersama dalam jumlah masyarakat yang besar sehingga membentuk sebuah Negara Kota.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada permusuhan, dan takutlah olehmu akan Allah. Sesungguhnya, Allah akan mengenakan seksaan yang amat dahsyat”.

Tumpuan kedua iaitu masyarakat yang sempurna dikategorikan oleh al-Farabi kepada tiga bentuk. Pertama, kamilah ‘uzma (kesempurnaan utama) iaitu masyarakat dunia yang mempunyai berbilang bangsa, keturunan, peradaban dan budaya tetapi mereka mempunyai sifat-sifat kesempurnaan seperti bersatu padu, tolong menolong, dan bersefahaman. Dengan itu mereka hidup dengan aman.

Kedua, kamilah wusta (kesempurnaan pertengahan) iaitu masyarakat yang berada pada tahap pertengahan. Pertengahan di sini bermaksud sebuah negara atau negeri. Ketiga, kamilah sughra (kesempurnaan kecil) bermaksud masyarakat yang tinggal di wilayah-wilayah, atau pun bandar yang didiami oleh kebanyakan orang. Selain daripada ketiga-tiga bentuk itu, masyarakat tidak mampu berada dalam keadaan sempurna untuk mencapai taraf pertumbuhan kehidupan yang baik.

Selain itu, al-Farabi menambah hujahnya bahawa segala kebaikan dan kesempurnaan hanya dapat dicapai apabila masyarakat atau rakyat bekerja ikhlas untuk negara. Ia bermaksud rakyat sesebuah negara itu telah bersedia untuk menabur bakti pada bila-bila masa dan di mana sahaja apabila diperlukan oleh negara.

Kebaikan dan kesempurnaan itu pula pada hakikatnya akan tercapai dengan adanya usaha dan kehendak untuk saling tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain. Hasilnya akan terbentuklah tumpuan ketiga sosiopolitik al-Farabi iaitu ummah fadilah (masyarakat terbaik) yang membawa kepada al-ma’murah al-fadilah (kemakmuran yang sempurna) atas sikap saling tolong-menolong tersebut.

Menurut al-Farabi lagi, sesebuah negara itu juga masih belum cukup terbaik sekiranya tidak mempunyai lima jenis manusia. Pertama, ilmuwan iaitu ahli falsafah, cendekiawan, dan ahli fikir. Kedua, pakar bahasa iaitu jurucakap, pemidato, penyair, ahli muzik, dan penulis. Ketiga, ahli-ahli professional iaitu ahli matematik, ahli statistik, fizik, dan astronomi. Keempat, pejuang iaitu tentera dan pengawal keselamatan. Kelima, orang tahan lasak atau tegap, pengumpul wang seperti petani dan peniaga.

Membentuk ummah yang terbaik harus berpaksikan keadilan sosial yang menjadi tumpuan keempat al-Farabi dalam perbincangan artikel ini. Adil di sini bermaksud memberikan hak kepada yang berhak. Institusi politik ada tanggungjawab dalam menjaga keadilan sosial. Dengan institusi ini juga dapat membentuk kerjasama dan saling mempercayai dalam satu perkumpulan masyarakat atau ummah. Hasilnya, mereka berupaya mengatasi segala kesulitan hidup tanpa berlaku kekerasan, penindasan, dan kezaliman.

Sekiranya sesebuah negara itu tidak mempunyai perkara-perkara berkenaan, maka terbentuklah Madinah al-Jahilah (Negara Jahil). Negara ini mempunyai rakyatnya yang tidak ingin merasai perasaan bahagia. Hanya kebahagiaan fizikal secara zahir sahaja yang jelas mahu dinikmati seperti sihat tubuh badan dan cukup harta. Terdapat enam jenis negara yang disenaraikan di bawah Negara Jahil. Pertama, negara darurat; kedua, negara kapitalis; ketiga, negara keinginan atau megah; keempat, negara feudal; kelima, negara imperialis; dan keenam, negara anarki.

Begitulah pemikiran sosiopolitik al-Farabi yang membentuk bidang baharu dalam dunia akademik iaitu bidang sosiopolitik. Beliau membawa sekurang-kurangnya lima tumpuan besar berkaitan idea-idea sosial yang dihubungkan dengan politik. Pertama, kerjasama dalam masyarakat; kedua, masyarakat yang sempurna; ketiga, masyarakat yang terbaik dan kemakmuran yang sempurna; keempat, keadilan manusia; dan kelima, negara jahil. Pemikiran beliau ini secara tidak langsung ada perjuangan untuk dakwah kerana sedikit demi sedikit masyarakat mula mengenali Islam dengan pemikirannya. Masyarakat yang mahukan perubahan mula mengorak langkah keluar daripada menggunakan perkhidmatan berasaskan konvensional dan masuk kepada Islam sepenuhnya.

Oleh Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)

11800 Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply