APABILA ARASY BERGEGAR…

Perceraian suami isteri melalui sistem pesanan ringkas (SMS) mahupun aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Telegram tidak pernah berhenti diperkatakan. Persoalannya, wajarkah perceraian dengan cara begini diterima? Adakah talak yang dilafazkan melalui cara sedemikian sah dari segi syariah?

Yang pasti, perceraian dengan cara sedemikian adalah suatu penghinaan terhadap kaum wanita.

Perceraian adalah satu bentuk pemutusan tali pernikahan antara suami dan isteri. Perceraian terjadi kerana talak yang dijatuhkan oleh pihak suami daripada punca yang pelbagai. Walaupun Islam membenarkan perceraian sebagai jalan keluar dalam keadaan darurat daripada kekalutan rumah tangga, namun hakikat di sebalik itu – talak tidaklah disukai dan sangat dibenci Allah SWT kerana merosak hubungan baik dan kemaslahatan antara suami isteri.

Daripada Abdullah Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbuatan halal yang dibenci Allah ialah talak.” (HR Abu Daud, Ibnu Majah, dan al-Baihaqi). Hadis ini sentiasa menjadi peringatan yang kuat kepada mereka yang tergesa-gesa dan sewenang-wenangnya menyalahgunakan kebenaran perceraian.

Hakikatnya, Islam menggalakkan perdamaian di antara suami isteri dan tidak menggalakkan mereka memutuskan hubungan itu. Ini bertepatan dengan matlamat syariah ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan.

Namun begitu, jika hubungan baik antara suami isteri tidak dapat diteruskan, Islam tidak mengikat mereka untuk meneruskan suatu ikatan yang hanya dipenuhi dengan penderitaan dan keperitan itu.

Kegagalan dalam ikatan perkahwinan disebabkan oleh beberapa keadaan juga tidak perlu diteruskan secara berpura-pura, seperti yang diamalkan oleh sesetengah pengikut agama lain yang tidak membenarkan perceraian. Oleh sebab itu, Islam membenarkan perceraian. Ini disebut dengan jelas dalam kitab suci al-Quran.

Apabila ketidaksefahaman antara suami isteri menjadi serius sehingga menjejaskan perhubungan mereka, Allah memerintahkan penimbang tara dilantik untuk menguraikan kekusutan ini sambil mendamaikan mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu ketahui ada perselisihan di antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang penimbang tara daripada keluarga lelaki dan seorang penimbang tara daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua penimbang tara itu menghendaki perdamaian, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (an-Nisa:35).

Walau bagaimanapun, jika penimbang tara gagal menyatukan semula pasangan suami isteri itu, al-Quran membenarkan suami isteri itu berpisah (bercerai). Allah berfirman yang bermaksud: “Jika kedua-duanya bercerai, maka Allah akan memberi kesenangan kepada setiap orang daripada mereka daripada limpah kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Bijaksana.” (an-Nisa:130).

Ketika di peringkat perpisahan, al-Quran memerintahkan agar si suami tidak menyalahgunakan kuasa mereka dengan meninggalkan si isteri tergantung tak bertali; terkapai-kapai di awang-awangan, kerana berpisah dan membebaskannya adalah lebih baik. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “… dan peliharalah isteri kamu dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan cara yang baik juga…”

Melafaz talak melalui sistem pesanan ringkas (SMS) mahupun melalui aplikasi media sosial tidak seharusnya berlaku kerana maksud sesuatu ikatan perkahwinan dalam Islam melangkau jauh dari hanya sekadar faktor emosi. Seorang Muslim sejati seharusnya memiliki kesopanan, budi, kesabaran dan kekuatan diri dalam menangani persoalan ini.

Hakikatnya, seseorang itu mungkin tidak menyukai sesuatu dan cuba untuk menjauhinya padahal dari segi kenyataannya ia mengandungi banyak kebaikan dan rahmat. Allah berfirman yang bermaksud: “Bergaullah dengan isteri kamu menurut yang sepatutnya. Kalau kamu benci kepada mereka (hendaklah kamu bersabar), kerana boleh jadi kamu benci pada sesuatu sedang Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.” (an-Nisa: 19).

Catatan: Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply