Apabila saham proton dijual, masih nasionaliskah kita?

Proton telah memuktamadkan rakan kongsi strategiknya apabila memilih Zhejiang Geely Holding Group dari China dan mengetepikan Renault PSA dari Perancis. Proton yang dimiliki oleh DRB Hicom telah menjual kepentingannya sebanyak 49.9 peratus saham terhadap kilang pemasangan kereta di Tanjung Malim, Perak manakala pemilikannya ke atas Lotus Car, UK dilupuskan sepenuhnya kepada syarikat automotif dari China itu.

Proses ‘pencarian rakan strategik Proton’ sudah lama bermula kerana Proton sebenarnya berhadapan dengan masalah kewangan yang besar berbanding pesaingnya, Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) yang bersaing atas kapasiti pengeluar kereta nasional. Dan, tentunya, dalam persaingan tersebut, Proton terpaksa mengalah dengan kekuatan yang dimiliki oleh Perodua sehingga kedudukannya pada suatu ketika menguasai pasaran bertukar tangan.

Proton mula menceburi bidang pembuatan kereta dengan menjenamakan semula model keluaran Motsubishi Motor Corporation dengan mengeluarkan model pertamanya Proton Saga pada tahun 1985, yang kemudiannya diangkat sebagai lambang kebanggaan negara. Sejarah kegemilangan Proton mula berubah apabila menamatkan kerjasama dengan Mitsubishi dan mula memasang kereta-kereta jenama lain bagi melengkapkan senarai produknya, termasuklah mengeluarkan model berkapasiti kecil –Savvy dan diikuti MPV Juara—yang menjadi punca kerugiannya yang besar disebabkan kedua-dua model terbabit tidak mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Perusahaan Automobil Kedua (PERODUA)  yang ditubuhkan pada tahun 1993 mula mengeluarkan kereta kecil berkapasiti 1000cc pada tahun 1994. Model tersebut merupakan pemasangan tempatan dari model Daihatsu Mira dan mula menjadi tarikan sebagai kereta bandar dan popular dalam kalangan suri rumah, golongan belia dan mereka yang bekerja disebabkan kos kepemilikan serta penyelenggaraan yang lebih murah.

Ketika model Kancil mendapat perhatian hangat, Proton mula bergelut dengan pembahagian pengedaran model Wira selepas menubuhkan sendiri agen pengedarnya dan dilihat semakin bermusuhan dengan Edaran Otomobil Nasional (EON). Model Wira Aeroback diedarkan oleh Proton Edar manakala Wira Hatcback oleh EON. Permusuhan itu kemudiannya berlanjutan apabila Proton memperkenalkan model baharunya, Gen 2 di mana EON tidak lagi menjadi agen pengedaran dan servis model-model Proton menyebabkan EON mengalih perhatian dengan mengedarkan model-model kereta lain termasuk Mitsubishi, yang kemudiannya dibenarkan menjual kenderaan pick-up dan Lancer Evo.

Apabila berhadapan dengan kerugian, Proton berusaha untuk mendapatkan suntikan kewangan daripada kerajaan dan sebelum bersara, Dr Mahathir pernah mengkritik sikap rakyat Malaysia yang semakin menurun tahap nasionalistiknya kerana tidak lagi menjadikan kereta-kereta di bawah jenama Proton sebagai pilihan utama. Rakyat Malaysia semakin beralih minat kepada model-model kereta yang diimport walaupun harganya adalah lebih tinggi disebabkan oleh ketahanan dan kemampuan teknologi yang dilengkapkan.

Semasa kelahiran generasi Proton selepas model Wira, pengguna seringkali membuat aduan mengenai tahap kualiti kereta-kereta Proton, misalnya mengenai tingkap kuasa, ketahanan pintu dan pelbagai kerosakan yang kurang diberikan perhatian. Setelah mengalami ‘kejatuhan’, Proton yang masih diterajui oleh Dr Mahathir terus memohon suntikan kewangan daripada kerajaan sehinggalah pada tahun 2015, kerajaan menetapkan agar mencari rakan kongsi bagi membolehkan pinjaman mudah sebanyak RM 1.5 bilion. Ketika itu, Proton berhadapan dengan jumlah hutang yang besar, terutama dalam kalangan vendornya menyebabkan kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan sebahagian hutang-hutang tersebut.

Sebelumnya, Proton merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan untuk mengggerakkan industri berat di Malaysia apabila Dr Mahathir mula mengambil alih pentadbiran negara pada tahun 1981. Proton ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dan merupakan syarikat kereta pertama yang wujud di Asia Tenggara.

Apabila Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Penswastaan, Proton yang dimiliki oleh Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM) dipindahkan kepada Tan Sri Yahya Ahmad menjadi DRB-HICOM dan kemudiannya, dibeli pula oleh Tan Sri Mokhtar al-Bukhary. Ini bermakna, DRB-HICOM sebenarnya telah menguasai Proton, dan bukan lagi kerajaan sebagaimana difahami oleh ramai pihak. Namun, kerajaan masih mempunyai kawalan terhadap Proton, tetapi tidak bermakna kawalan yang dilakukan telah mengongkong operasinya,

Bulan Januari 2007, General Motor menunjukkan minat untuk menjadi rakan kongsi Proton. Ia kemudiannya diikuti oleh Volkswagen dan Dr Mahathir pada awalnya bersetuju bagi membolehkan Proton dapat meneruskan kelangsungannya. Disebabkan tidak mencapai ‘kata sepakat’, hasrat yang ditunjukkan oleh Volkswagen dan General Motor tidak kesampaian. Ia berpunca daripada tiada keputusan muktamad yang diperoleh dalam menentukan entity manakah yang berhak mengawal operasi pembuatan kereta yang bakal dihasilkan oleh Proton.

Perbincangan awal General Motors dengan Khazanah Nasional (pemilik saham majoriti) terhenti dan pada tahun 2016, France’s PSA yang mengeluarkan kereta berjenama Peugeot dan Citroen menyatakan hasrat untuk bekerjasama. Sebelumnya, Proton dilaporkan telah menghantar cadangan kerjasama dengan 20 syarikat pembuat kereta terkemuka di dunia, yang kemudiannya disenaraipendekkan kepada lima, yang menjadi asas untuk dipilih sebagai rakan kongsi pada akhir tahun 2016.

Dalam cadangan itu, ia termasuk cadangan penjualan saham Proton dan keinginan DRB-HICOM untuk melupuskan kepentingannya dalam Lotus, yang berpengkalan di United Kingdom, yang dibeli oleh DRB-HICOM semasa dimiliki oleh Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad. Tujuan pembelian Lotus ialah untuk membolehkan Proton menggunakan kepakaran dan kecanggihan teknologi, membangunkan model-model enjin untuk Proton pada masa hadapan.

Teknologi Lotus itu kemudiannya diadaptasikan dalam pembuatan enjin bagi model Satria Neo, Preve, Subprima, Exora dan Persona. Walau bagaimanapun, kesemua model tersebut tidak dapat melonjakkan semula penjualan kenderaan berjenama Proton sehinggalah mula menjalin kerjasama dengan Honda dan Suzuki. Kerjasama dengan Honda untuk mengeluarkan Proton Perdana manakala dengan Suzuki melahirkan model Proton Ertiga.

Seperti juga harapan Dr Mahathir ketika membeli MV Agusta, syarikat pengeluar motosikal dari Itali yang ketika itu berhadapan dengan masalah bagi membantu DRB-HICOM memajukan motosikal berjenama MODENAS. Bagaimanapun, pembelian tersebut tidak menguntungkan dan tidak memberikan kesan positif, manakala DRB-HICOM akhirnya terpaksa melupakan segmen kenderaan dua lejangnya bersetuju dengan cadangan menjual MV Agusta oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak lagi sanggup menyuntik model yang besar dan menanggung hutang.

Penjualan tersebut menyebabkan Dr Mahathir menjadi semakin berang sehingga mencetuskan perbalahan yang besar. Hal yang sama sedang berlaku pada masa ini apabila Dr Mahathir berkata, apa lagi yang boleh dijual kepada syarikat dari China apabila Geely berjaya memiliki saham 49.9 peratus dalam Proton dan 100 peratus dalam Lotus.

Berdasarkan Laporan berasingan yang dikeluarkan oleh CIMB Equities Research, lima buah syarikat yang disenarai pendek ialah France’s Groupe PSA dan Renault SA, Volkswagen, General Motors (USA), Suzuki (Jepun) dan Geely (China). Dan, menurut CEO DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, sebagaimana dipetik oleh Paultan.org, “ Tidak kisah sama ada pembeli berpotensi itu dari Eroah, Jepun atau China. Kesemua mereka menunjukkan minat yang mendalam (terhadap Proton), mereka juga syarikat gergasi. Mereka mempunyai rangkaian yang luas dan mempunyai kaedah mereka sendiri.”

Pada tahun 2010, Geely berjaya memiliki pengeluar kereta dari Sweeden, Volvo yang juga berhadapan dengan masalah kewangan. Apabila media China memberikan laporan meluas mengenai kemungkinan berjaya menjadi rakan kongsi kepada Proton, saham syarikat Geely melonjak naik dan keadaan yang sama berlaku ketika cadangan membeli Volvo. Geely membeli Volvo dengan harga USD$1.8 bilion. Selepas enam tahun memiliki Volvo, Geely telah membelanjakan USD$11 bilion untuk membangunkan model-model terkini, termasuk berjaya menghasilkan Volvo XC 90. Akhir 2016, penjualan kereta Volvo mencapai lebih setengah juta unit (503,127 buah) dan ia berjaya membawa kejayaan besar dalam sejarah 89 tahun jenama Volvo.

Rekod itu juga telah membawa kejayaan kepada pemilihan Geely sebagai rakan strategik Proton yang baharu. Apabila nama Geely diperkatakan, ramai yang menganggap Proton bakal dimiliki sepenuhnya oleh syarikat dari China, dan seterusnya Proton tidak lagi dikawal oleh DRB-HICOM. Apa yang sebenarnya berlaku ialah Geely hanya memiliki 49.9 peratus sahaman manakala DRB-HICOM masih merupakan pemilik saham terbesar.

Akibat keresahan melampau itulah Dr Mahathir dan beberapa orang lain lagi mula melabelkan penjualan saham Proton akan menyebabkan akan terhapusnya nilai nasionalistik dalam Proton, yang pernah menjadi kebanggaan Malaysia. Sayangnya, ketika Proton berhadapan dengan masalah kerugian, mereka yang berusaha membangkitkan nilai patritotik itulah yang tidak bersedia untuk membeli kereta yang dihasilkan oleh Proton dengan pelbagai alasan dan sanggup membiarkan Proton mengalami kerugian besar.

Pada tahun 2014, Proton mencatatkan jualan sebanyak 115,783 buah dan tahun 2015 menurun kepada 102,175 buah. Kilang Proton di Tanjung Malim mampu mengeluarkan sehingga sejuta buah kenderaan setahun. Ini bermakna, kilang Proton beroperasi dalam kapasiti antara 10 hingga 15 peratus daripada keupayaan sebenar.

Seorang ahli ekonomi turut mengkritik penjualan saham Proton dan beliau juga merupakan salah seorang yang paling lantang mengkritik usaha Malaysia untuk mengeluarkan kereta pada peringkat awal. Ertinya, untuk mencapai tahap ekonomi pengeluaran, Proton sejak awal lagi telah gagal walaupun ada beberapa unitnya telah dieksport. Proton sebenarnya turut gagal dalam misi eksportnya, tetapi ketika itu, permintaan dalam negeri adalah besar sehingga membolehkan Proton melebarkan cadangannya untuk membina Proton City di Tanjung Malim.

Apabila Geely berjaya memiliki Proton, maka kemungkinan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kereta di bawah jenama Geely adalah besar. Selain Proton dapat menggunakan rangkaian pemasaran dan teknologi yang dimiliki oleh Geely, Geely dijangka menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran keretanya untuk pasaran Asia Tenggara ataupun ke lain-lain negara.

Pada tahun 2014, Proton mengalami kerugian hampir RM 620 juta walaupun pada tahun 2008 pernah memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 144 juta. Mac 2009, Proton mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM 338 juta dan tahun 2013, sekitar 800 orang pekerja Proton melancarkan mogok berkaitan gaji, faedah pekerja dan rundingan dengan pihak pengurusan. Menyedihkan, pada tahun 2016, Proton mengalami kerugian bersih hampir RM 1 bilion.

Berdasarkan senario itu maka tidak sebab Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari tidak mahu melupuskan sebahagian daripada sahamnya. Sebagai seorang peniaga, berterusan menanggung kerugian akan membawa kepada ‘derita’ dan kerana itulah, DRB-HICOM perlu melakukan perubahan untuk kelangsungannya, bukan sekadar mempertahankan identiti nasional sebagaimana ‘irama duka Dr Mahathir’.

Dengan hanya semangat untuk mempertahankan identiti nasional sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan Proton hidup, kerana Proton memerlukan wang untuk membolehkan kereta dikeluarkan dan pekerja dibayar gaji. Sebagaimana diketahui, industri pembuatan kereta memerlukan modal kajian dan pembangunan yang besar, Proton memerlukan wang untuk melaksanakan. Mengharapkan sumber kewangan daripada kerajaan adalah suatu hal yang tidak wajar dalam keadaan, kerajaan juga memerlukan wang untuk membantu rakyat dalam pendidikan, kesihatan dan keselamatan, maka memperoleh rakan strategik yang berwang amatlah diharapkan untuk kesinambungan Proton.

Hakikatnya, inilah yang sepatutnya dipertimbangkan oleh setiap orang sebelum mengkritik langkah yang diambil oleh Proton untuk memastikan hayatnya terus merentas jalan-jalan raya di Malaysia dan membawa kesejahteraan kepada ribuan pekerjanya. Dengan hanya bernostalgia untuk mempertahankan jatidiri, ia tidak akan kekal selama-lamanya, kerana setiap apa yang bakal dilakukan memerlukan wang.

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply