APAKAH DAKWAH TIDAK BERADA DALAM DILEMA?

DI MASJID-MASJID mahupun di surau-surau sering diadakan majlis taklim, tazkir dan dan boleh jadi juga tashwir. Taklim, tazkir dan tashwir tujuannya adalah memperkukuhkan keislaman dalaman umat.

Biasanya jemaah yang menghadirkan diri ke masjid dan berminat dengan majlis-majlis taklim, tazkir dan tashwir adalah mereka yang sudah tersedia dengan semangat keislaman di dalam diri mereka. Mereka ini rata-ratanya sudah berada di jalan Allah.

Taklim, tazkir dan tashwir adalah sinonim juga dengan dakwah. Namun apabila kita menyebut dakwah yang memberikan mengertian ajakan atau seruan ke arah Islam, ia lebih kepada gerak kerja memperluaskan Islam kepada golongan yang belum mengenal Islam.

Misalnya, jika dakwah itu ditujukan kepada kalangan penganut Islam, maka sasarannya ialah kepada mereka yang tidak jinak dengan Masjid, majlis taklim, tazkir dan tashwir itu. Malah liar dan culas daripada Islam dan daripada masjid.

Jadi tugas dakwah adalah ke luar, bukan ke dalam. Sekurang-kurangnya, kalaupun ke dalam masyarakat Islam itu sendiri, ia adalah ajakan kepada yang belum menghayati Islam. Atau jenis manusia Islam yang sebelah kaki berada dalam Islam dan sebelah kaki yang lain masih terpijak di luar Islam.

Di dalam kitab-kitab berkenaan dengan dakwah, ayat al-Quran di dalam surah  al-Nahl ayat 125 merupakan ayat utama yang disebutkan untuk membicarakan ilmu dakwah.

Ayat itu maksudnya: “Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik serta debatlah mereka dengan  apa yang paling baik; sesungguhnya Tuhanmu paling mengentahui orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dia Maha Mengentahui orang yang mendapat petunjuk.”

Ayat berkenaan suruhan berdakwah di atas, menunjukkan bahawa para pendakwah itu tidak lebih daripada orang yang – baik sepenuh masa ataupun amatur sahaja, merupakan pengajak dan penyeru ke arah kebenaran Islam.

Islam itu disebut oleh ayat al-Quran di atas sebagai “Sabilullah” atau “Jalan Allah”, iaitu Islam itu sendiri dengan segala akidah, ibadat dan nilai-nilai kemanusiaan Islamnya. Sabilullah adalah Shiraatal Mustaqim. Apa yang kita sebut syariat Allah yang sumber paling utamanya merupakan wahyu al-Quran.

Mengajak kepada yang belum percaya, apatah lagi yakin dengan Islam, supaya meminati dan mula mempercayai kebenaran Islam; lalu kemudian meyakininya, kemudian menghayatinya, itulah yang dikatakan berdakwah. Jadi, hakikat matlamat dakwah ialah perluasan Islam itu di kalangan umat manusia secara meluas.

Tentu saja yang diajak dan yang diseru ke arah Islam  adalah mereka yang belum mengenal Islam, apalagi mendalaminya. Satu kejayaan dakwah terbesar di Nusantara atau di Alam Melayu ini ialah gerakan dakwah Wali Sango dengan segala rangkaiannya, yang menjelmakan Islam menggantikan Hindu dan Buddha di seluruh Tanah Jawa.

Pada abad ke-15, dakwah Islam telah memunculkan Raden Patah menegakkan kerajaan Islam Demak melakukan strategi dakwah dengan membentuk lapan daerah dakwah yang dipimpin oleh lapan orang wali di bawah kekuasaan pusat untuk memperluaskan Islam di Jawa.

Rangkaian dakwah terus meluas sehingga menyeluruhi Jawa sehingga memunculkan Nusantara sebagai rantau umat Islam terbesar dan terkuat di dunia Islam sehingga dalam strategi melumpuhkan Islam, kuasa Barat terpaksa melumpuhkan terlebih dahulu sekalian kerajaan Islam di Nusantara.

Syarat mengajak kepada Islam, iaitu berdakwah, memerlukan hikmah. Ada ahli hikmah mengatakan, “dalam ilmu belum tentu ada hikmah tetapi di dalam hikmah sudah tentu ada ilmu.” Sikap berhikmah bukan memaksa tetapi penampilan kebijaksanaan dalam memperngaruhi sasaran. Menggunakan segala strategi yang berkesan. Di samping ketabahan dan ketekunan mencapai sasaran.

 Hikmah adalah mutiara kebenaran. Hikmah juga disamakan dengan falsafah – iaitu menyintai kebenaran, mencarinya dengan segala daya dan mengamal serta menyebarkan kebenaran setulus batin.

Dalam penggunaan biasa hikmah ialah menggunakan kebijaksanaan yang sempurna dalam mencapai kebenaran. Mengajak kepada agama Islam dengan hikmah pada zaman moden ini menjadi lebih mencabar. Ini kerana adanya dua unsur penghalang dan penggalang yang besar dan hebat:

Pertama, umat Islam kini hidup di dalam kepompong cengkaman peradaban moden. Peradaban berasal daripada pembebasan Eropah daripada cengkaman Kristianiti dan kemudian memusuhi campur tangan agama dalam membina kemajuan duniawi.

Pengaruh dan cengkaman peradaban moden yang sekular ini subur di mana-mana perkotaan umat Islam. Ia dipanggil sebagai budaya liberal. Seperti di negara kita, budaya perkotaan yang liberal ini kemudian menyerap jauh sehingga ke pelosok kampung. Ia secara membudaya menghakiskan pengaruh beragama.

Dari titik pandang pihak yang ingin menjadi sasaran dakwah kita, iaitu orang-orang moden itu, umat Islam adalah pihak yang terpencil dan tertinggal dari aliran peradaban moden. Demikian itulah yang mereka citrakan tentang umat Islam.

Ini jauh sekali dari gambaran umat Islam zaman awal, yang dikenali dari luar sebagai pembawa cahaya peradaban baru. Satu agama baru yang membawa visi pembebasan dari segala cengkaman ke atas masyarakat bawahan sebagai hamba-hamba kuasa di mana dunia berada di dalam taklukan feudalisme.

Sebab itu pada masa awal itu, Islam merupakan suatu agama yang berkembang pesat  dengan amat mengejutkan. Mesir umpamanya, dapat diislamkan dengan cepat dan sempurna menjelma sebagai wilayah umat setelah ditaklukkan.

Menjadi Muslim pada masa awal itu, adalah menjelma sebagai insan bebas di bawah kedaulatan syariat di mana hak-hak sebagai manusia dilindungi oleh kedaulatan Allah – baik dari segi perundangan mahupun dari segi budaya  masyarakat umat Islam itu sendiri yang menyanjungi kebenaran al-Quran melalui hati nurani mereka.

Kedua, masyarakat Islam itu sendiri tidak muncul  pancaran hikmah cemerlang yang menjelma sebagai ‘kesaksian’ kepada kalangan manusia di luar Islam. Umat Islam kini tidak menjelmakan sebagai “syuhadaa’ ‘ala an-naas”  seperti yang disebut pada ayat 78 surah al-Hajj.

 Dalam Islam, keislaman seseorang yang bermula dengan syahadah merupakan aplikasi menjelma peribadi dakwah. Kerena dalam syahadah itu sendiri  mencakupi diri yang Abdullah (kehambaan kepada Allah) dan juga memenuhi fungsi “khalifah Allah di bumi.” Sudut hakikinya, insan Muslim itu merupakan insan yang tercerahkan. Keperibadian itu sendiri merupakan daya dakwah.

 Di samping itu, dalam masyarakat Islam sekarang penuh dengan konflik di antara tokoh politik dengan tokoh ulama, di antara tokoh ulama dengan tokoh cendekiawan. Malah berbagai konflik yang mencelarukan umat ke arah agenda wihdah umat di dalam masalah remeh-temeh. Ia dilihat dari luar sebagai kegagalan Islam. Suatu citra yang tragis terhadap dakwah.

Keislaman versi modernis, tradisionalis dan fundamentalis bercanggah-ranggah sesama sendiri telah memburukkan dan membingungkan umat Islam awam ke dalam kelompok yang bertentangan seolah-olah tak tersembuhkan lagi.

Golongan atau puak modernis merupakan puak yang kecewa dengan halangan-halangan puak tradisi umat Islam yang tebal dengan prasangka wajah moden dan menghalang umat Islam itu daripada menjelmakan peradaban moden islami, di mana umat dapat dimartabat  separas dengan bangsa-bangsa moden yang maju.

Apa yang penting dan utama bagi modernis  yang bertekad menjelmakan umat Islam setaraf dengan masyarakat yang telah maju dengan peradaban moden dengan segala tahap kemajuan yang membanggakan. Mereka kadangkala dilihat melonggarkan apa yang sepatutnya tidak boleh diliberalkan. Ini menimbulkan tentangan dan menambahkan konflik yang sengit.

Di kalangan modernis ini, muncul  cadangan-cadangan yang janggal yang dianggap mengaibkan hakikat kebenaran Islam itu sendiri. Misalnya, mereka cuba meletakkan fiqh Islam ke dalam agenda liberalisme dengan menundukkan Islam ke dalam acuan Hak Asasi Manusia sejagat. Muncullah pemikiran seumpama Islam Liberal itu.

Dalam konsep teologi, puak modernis ini melontarkan pula gagasan pluralisme demi mencapai keuniverasalan Islam yang pada hujungnya mengaburkan kebenaran daripada Allah ke dalam falsafah theosophy universal demi meletakkan Islam separas dengan agama lain. Ini dilakukan bagi memunculkan solidariti beragama.

Adapun puak tradisi pula, memiliki sikap bahawa warisan ilmu keislaman lampau sebagai hal yang muktamad, lalu disucikan dan didewakan begitu rupa. Ini mengakibatkan keilmuan Islam dan keilmuan dunia moden jauh berjarak dan amat terpisah.

Sedangkan di dalam al-Quran sendiri tidak mengagaskan keilmuan Islam seharusnya terhenti dan menemui jalan mati. Jika kita teliti inti petunjuk al-Quran, maka keseluruhan keilmuan itu menyatu ke dalam falsafah tauhid dan menyatu pula dunia dan akhirat tanpa mencipta tembok pemisahan sehingga mencipta konflik menuju perdaban.

Sementara itu, muncul pula puak fundamentalis, seperti apa yang digelarkan oleh pihak Barat. Mereka  adalah puak yang mengobarkan jihad fizikal menentang peradaban moden tanpa apa-apa perancangan pemikirana mendalam dan matang untuk membentuk  kedaulatan Islam dalam kerangka dunia moden.

Oleh hal demikian itu, kita melihat dalam agenda puak fundamentalis ini, mereka kalah setelah mereka menang berjihad. Seperti apa yang berlaku di Afghanistan, misalnya. Mereka menang ke atas Komunis Rusia, akhirnya terjelepuk ke bawah Amerika. Dan mereka tidak dapat menyelesaikan jihad fizikal yang terus-menerus berkorban darah.

Dakwah Islam kepada pihak luar menjadi terjepit di dalam keharu-biruan konflik sesama sendiri  dan hampa mendepani pihak yang dianggap ‘orang jahil moden’ itu. Itu kerana dalam kalangan masyarakat umat Islam sendiri tidak lahir ‘pencerahan moden Islami’ sebagai suatu model yang kukuh untuk tampil sebagai mercu tanda pendakwahan.

Tidak hairan jika sekiranya di zaman moden ini para ilmuwan di luar Islam kebanyakannya diislamkan oleh penyelaman mereka terhadap teks Islam daripada terdakwahkan oleh prestasi masyarakat Islam itu sendiri.

Mereka melihat ke dalam teks Islam (al-Quran) dengan segala kecendekiawanan lampau Islam sebagai suatu agama yang dapat menyempurnakan peradaban masa kini ke masa depan. Tetapi tidak ke dalam realiti masyarakat Islam atau budaya Islam semasa yang bercelaru dan seolah-olah tidak menentu masa depannya.

Di kalangan cendekiawan Muslim sendiri, muncul keluhan pedih terhadap nasib Islam sebagai, “masih terlalu jauh untuk dapat ditampilkan sebagai pencipta dan pembawa obor peradaban baru yang segar, yang mungkin menjadi alternatif  bagi umat manusia.”

 Jika kini negara kita makmur dengan sekelian aktiviti taklim, tazkir dan tashwir di masjid, surau dan di kaca TV, maka bagi saya itu bukanlah apa yang boleh dijenamakan sebagai gerakan dakwah, jika sekiranya sasarannya kepada para Muslim semata-mata.

Jika sasarannya kepada pemilik kad pengenalan dengan pengenalan beragama Islam, namun jauh daripada pengentahun Islam dan penghayatan Islam, maka itu boleh disebut sebagai dakwah dalaman. Dan golongan inilah yang diancam murtad pada bila-bila masa.

Kalangan masyarakat Islam yang boleh mengaku Islam sekadar ada kad pengenalan berindentitikan agama Islam, namun bergelumang dengan pengaruh materialisme peradaban moden yang longgar dan relai dari segi berjemaah dan mudah menanggalkan identitinya sebagai Muslim. Memang ini sasaran dakwah yang rawan.

Demikian bahayanya kejahilan dan kecetekan iman umat Islam di kalangan masyarakat bawahan  di kota-kota, sebagai umat yang berada di bawah cengkaman taklukan peradaban moden sekarang.

Ia menyebabkan usaha dakwah memerlukan sasaran tepat dan benar. Memiliki perancangan matalamat yang meyakinkan. Hikmah perlu difungsikan ke tahap yang maksimum.

Semenjak zaman awal Islam, dakwah itu tidak untuk menjelmakan seseorang yang didakwahkan itu terus menjelma watak bulat sebagai Muslim yang sempurna secara ajaib.  Tugas penyempurnaan seterusnya adalah di tangani oleh masyarakat Islam melalui asuhan dan tarbiah berterusan, seperti majlis taklim, tazkir dan tashwir itu.

Akan tetapi, harus dipertanyakan juga, apakah taklim, tazkir dan tashwir itu sesaukah dengan perjelanan umat ke masa depan? Ataukah pengisiannya sekadar bersabar menunggu kiamat?

Jika kita umat Islam menyelasaikan hal keduniaan dengan Islam, maka hal akhirat itu juga bers dengan sendirinya. Ini kerana falsafah Islam ialah “tauhid”. Kita tidak boleh mendakwahkan manusia menuju akhirat tanpa perjalanan duniawi yang sempurna.

Oleh M Jusoff Taib

No Comments

    Leave a reply