APAKAH ‘KAPSUL MASA’ TUN DR MAHATHIR BAKAL DIBUKA HARI INI? PELBAGAI DOKUMEN DITANAM DI RAWANG 24 TAHUN LALU

BANGI, 15 Ramadan 1439H, Khamis – Hari ini, 31 Mei 2018. Hari yang ternyata dinanti-nantikan rakyat Malaysia untuk mengetahui sama ada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan membuka ‘kapsul masa’ yang ditanamnya di Rawang, Selangor, 24 tahun lalu.

Setakat ini, tiada pula makluman bahawa beliau mempunyai apa-apa acara khas pada pagi ini.

Pastinya, ramai yang tertanya-tanya apa isi kandungan dokumen yang ditulis oleh Dr Mahathir yang dimasukkan ke dalam kapsul itu dan ditanam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, menghala Utara di Lebuh Raya Utara Selatan, pada 8 September 1994, ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat.

Catatan pada tugu yang dibina oleh PLUS Malaysia Berhad, di R&R itu menyebut:

Di bawah ini terletaknya sebuah kapsul yang mengandungi dokumen-dokumen yang telah ditanam oleh YAB Dato Seri Dr Mahathir bin Mohamad Perdana Menteri Malaysia bersempena dengan Perasmian Penyempurnaan Lebuhraya Utara-Selatan pada 8 September 1994 dan akan dikeluarkan selepas tamat tempoh Konsesi Lebuhraya Utara-Selatan pada 31 Mei 2018“.

Tempoh konsesi awal bermula pada 1988 dan berakhir tahun ini. Namun, ia dilanjutkan sehingga 2030 melalui perjanjian konsesi tambahan pada 1999 bagi tujuan pampasan ke atas keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian.

Tempoh ini kemudian dipanjangkan lagi kepada 2038 melalui perjanjian konsesi tambahan ketiga yang ditandatangani pada 2005, kerana sejak 2005 hingga 2014 tidak ada kenaikan tol.

No Comments

    Leave a reply