APAKAH KITA TERMASUK ORANG YANG MENYUCIKAN DIRI?

Seminggu lagi  kita akan meninggalkan bulan Ramadan, bulan yang penuh barakah. Kita akan menyambut hari besar dalam Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah yang bererti kembalinya manusia kepada keadaan sucinya dengan fitrah untuk tunduk dan patuh pada tuntutan kehidupan yang diredhai Allah s.w.t.

Setelah mengasah dan mengasuh jiwa iaitu berpuasa selama satu bulan, diharapkan setiap Muslim dapat kembali ke asal kejadiannya dan menemukan `jati dirinya,’ iaitu kembali suci sebagaimana ketika baru dilahirkan serta kembali mengamalkan ajaran agama yang sebenar.

Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Di zaman pra-Islam, Hari Raya disebut sebagai Nairuz dan Mahrajan. Bagi kaum Quraisy zaman jahiliah, Hari Raya Nairuz dan Mahrajan dijadikan majlis atau upacara penyerahan ufti daripada rakyat kepada penguasa. Perayaan ini juga diiringi dengan pesta dan pelbagai permainan. Setelah kedatangan Islam, Rasulullah s.a.w telah menggantikan dengan perayaan lain yang menepati konsep ajaran Islam sepertimana sabdanya yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih dari keduanya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. (Hadis riwayat Malik bin Anas).

Bagi tujuan membezakan cara dan sikap sebelumnya menghadapi Hari Raya, Rasulullah s.a.w menganjurkan umat Islam mempereratkan tali silaturahim, saling maaf memaafkan, solat Aidilfitri, membayar zakat fitrah dan memperbanyakkan amal kebaikan yang lain. Inilah Hari Raya yang rasmi yang diajarkan dalam agama kita selain Aidiladha.

Umat Islam tidak seharusnya menyambut Hari Raya dengan melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam atau sesuka hati mengikut tuntutan nafsu syahwat. Aidilfitri seharusnya dimulakan dengan takbir dan sembahyang. Dengan cara inilah Hari Raya itu sebenarnya mengandungi makna rabbani yang ada hubungan dengan Allah s.w.t.

Berakhirnya bulan Ramadan bukan bermakna kita harus memutuskan hubungan dengan Allah dengan tidak lagi mengunjungi masjid bersembahyang jemaah atau beriktikaf.

Sesungguhnya Ramadan telah pergi, namun barang siapa yang menyembah Allah maka Dia sentiasa hidup dan tidak mati. Allah menyukai sikap manusia yang sentiasa dalam ketaatan pada setiap waktu dan bencikan maksiat pada setiap ketika.

Pada 1 Syawal ini kita diibaratkan dilahirkan kembali. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita harus tampil sebagai manusia yang suci dan baik sesama manusia. Bukan menjadi manusia yang bankrap rohaninya di mana dia tidak menyedari perbuatan salah yang dilakukan selama ini dan sentiasa menganggap bahawa dia telah berbuat kebaikan.

Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah, kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-ruginya amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. (Surah al-Kahfi ayat 104-105)

Inilah sebenar yang dikehendaki dalam semangat Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah. Mulai hari ini kita semua memikul beban berat untuk mempertahankan kesucian ini. Selama sebulan, Tuhan menyaksikan kita bangun di waktu dinihari dan mendengarkan suara istigfar kita. Alangkah malangnya setelah hari ini Tuhan melihat kita tidur lelap bahkan melewati waktu subuh seperti bangkai tidak bernyawa.

Selama sebulan bibir kita tergetar dengan doa, zikir dan kalimat suci al-Quran. Celakalah kita bila kita gunakan bibir yang sama untuk mengumpat, memfitnah dan mencaci maki kaum mukmin yang tidak sealiran dengan kita.

Selama sebulan, kita melaparkan perut daripada makanan dan minuman yang halal di siang hari. Relakah kita sekarang memenuhi perut kita dengan makanan dan minuman yang haram? Setelah hari ini kita akan diuji, apakah kita termasuk orang yang menyucikan diri, berzikir dan solat atau tetap mencintai dan mendahulukan dunia. Apakah kita termasuk orang yang disebut di dalam al-Quran, surah al-A’la ayat 14 hingga 15, firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang dengan khusyuk.

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply