APAKAH VIDEO SEKS ‘JEMPUTAN HARI RAYA’ ITU HOAX?

Sejak dua hari lalu, heboh seluruh negara mengenai rakaman video pelakuan seks sejenis seorang menteri kanan dengan seorang pegawai timbalan menteri. Aksi itu dilaporkan berlaku di sebuah bilik di sebuah hotel ternama di Sandakan ketika kempen PRK Sandakan pada 11 Mei lalu.

Semalam (Selasa, 11 Jun 2019) ketika ditanya mengenai video tersebut, Perdana Menteri menjawab dirinya ‘tidak tahu’ dan meminta sesiapa yang sudi mengirimkannya untuk ditonton. Pagi ini, (Rabu 12 Jun 2019), salah seorang pelaku mengakui bahawa dirinyalah lelaki yang terbabit dalam video berkenaan membuat pengakuan dan saperti menyesal kerana rakaman yang dibuat itu tanpa pengetahuan dan keizinannya.

Menariknya, ketika video itu tersebut diperkatakan, proses penyebarannya hanya berlaku dalam kalangan kelompok aplikasi WhatsApp. Ia membabitkan wartawan yang awalnya dijemput sebagai ahli kumpulan whatsApp. Dilaporkan tiga pemilik akaun WhatsApp yang cuba menularkannya disamping cetakan layar mengenai ‘sogokan wang’ dua tahun lalu dan kemudiannya disebarkan  dalam aplikasi facebook.

Dua pendirian berbeza mengenai video tersebut. Pendirian pertama menjelaskan bahawa ia adalah fitnah yang cuba digunakan untuk menghancurkan Pakatan Harapan, yang bakal mengulangi episod lama ketika Anwar Ibrahim dipecat oleh Dr Mahathir pada tahun 1998. Hanya berbeza ialah pada tahun 1998, Ketua Polis Negara melaporkan apa yang berlaku di Tivoli Villa, tetapi kali ini, video itu tular dalam media sosial.

Tahun 1998, tidak ada pihak yang mengakui terbabit. Kali ini, salah seorang pelakunya telah membuat pengakuan bersumpah manakala pasangannya belum membuat pengakuan yang sama. Berdasarkan laporan media, ahli keluarga menteri berkenaan ‘setia bersama dalam keadaan susah dan senang’ ketika berhadapan dengan situasi yang dianggap fitnah itu. Satu majlis sholat hajat dijangka akan diadakan di kediaman Menteri Besar Selangor dengan harapan ‘fitnah’ itu tidak menjadi sesuatu yang sahih dan benar.

Kes ini kemudiannya ‘disamakan’ dengan kes yang membabitkan pegawai peribadi kepada Anwar Ibrahim dan dikatakan berlaku pada tahun  2008. Saiful Bukhari membuat laporan polis di Balai Polis Travers pada 28 Jun 2008.  Pada 16 Julai 2008, Anwar Ibrahim ditahan sepasukan polis bertopeng.  Anwar kemudiannya didapati bersalah dan dijatuh hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 .

Pendirian kedua ialah mengaitkan video seks berkenaan dengan parti pembangkang. Parti pembangkang yang sentiasa mencari kelemahan Kerajaan PH dikatakan telah gagal menggunakan pelbagai strategi menyerang, dari isu-isu agama, pentadbiran, ekonomi semuanya tidak berjaya ‘melumpuhkan’ kedudukan PH. Akhirnya memperoleh ‘ilham’ untuk menularkan video tersebut.

Secara rasional, mungkin kita boleh membuat kesimpulan. Apakah untungnya parti pembangkang menyebarkan video berkenaan? Pertanyaan kedua, apakah pengakuan bersumpah itu tidak dapat menjelaskan perkara sebenar? Apakah kerana perlakuan itu berlaku ‘tanpa ada saksi’ maka video tersebut hanyalah suatu rekayasa yang bertujuan menjatuhkan seseorang?”. Bukankah pencitraan dengan ‘wajah jelek’ itu merupakan sesuatu yang bertentangan dengan politik mulia. Pencitraan itu dianggap sebagai hoax?

Setakat ini belum muncul dakwaan bahawa isu seks sejenis bakal menyebabkan peluang menteri akan terjejas, dan ia dilihat sebagai konspirasi sebagaimana Anwar pernah alami ketika didakwa melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, yang akhirnya diputuskan bersalah beberapa jam sebelum hilangnya pesawat MH 370 dalam perjalanan dari KLIA ke Beijing (awal pagi 8 Mac 2014).

Tersungkurnya maruah seorang ahli politik dalam perlakuan sedemikian bukanlah satu perkara baharu dalam politik Malaysia. Pada 8 Ogos 1988, rumah seorang pemimpin kanan MIC telah dipecah masuk di mana penceroboh telah membawa lari sebelas pita video ‘aksi lucah’ yang tersimpan di dalam sebuah peti besi. Video itu kemudiannya tersebar luas dan pada 6 Disember 1988, Karpal Singh membangkitkan isu tersebut dan lima hari selepas menamakan pelakunya ialah Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, DP Vijandran.

Menjelang PRU ke-8 (1990), MG Pandhitan mendesak agar DP Vijandran meletakkan jawatan walaupun beliau tidak disabitkan kesalahannya di mahkamah. Ada laporan mengatakan video yang dihantar kepada Peguam Negara dimusnahkan. Turut mengesyorkan pelelatakan jawatan DP Vijandran ialah Ketua Pergerakan Semangat 46, Rahmah Osman.

Akhir tahun 2007, tersebar DVD aksi seks seorang pemimpin MCA dengan seorang wanita penjual bunga di pekan Tangkak, Johor. Adegan tersebut dilaporkan berlaku di dalam sebuah bilik hotel di Batu Pahat, yang mana video berkenaan pada mulanya tersebar.

Pada 1 Januari 2008, Dr Chua Sooi Lek mengakui bahawa ‘dialah lelaki dalam video itu’. Chua akhirnya sebagai seorang lelaki ‘gentlemen’ kerana mengakui secara jujur kesilapannya, dan mencabar mana-mana pemimpin yang dikaitkan dengan skandal seks berbuat demikian untuk dilihat lebih bermoral.

Dr Chua meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan, Naib Presiden MCA, Pengerusi MCA Batu Pahat dan Ahli Parlimen Labis. Beliau kembali ke gelanggang politik selepas menang jawatan Timbalan Presiden MCA dalam pemilihan yang diadakan pada 18 Oktober 2008. Bagaimana pun, sebahagian ahli MCA terutama dalam kalangan wanita tidak boleh menerima semula Dr Chua sebagai pemimpin mereka, atas alasan ‘menghina wanita’.

Anaknya, Chua Yee Tong menggantikannya untuk bertanding di Parlimen Labis. Yee Tong menang. PRU ke-12 (2008), MCA mengalami kekalahan teruk dan prestasi buruk itu menyebabkan Dr Chua mendesak agar Presiden MCA, Ong Ka Ting meletakkan jawatan. Ada yang mengatakan desakan itu dibuat kerana Dr Chua berhasrat untuk bertanding sebagai Presiden MCA dalam pemilihan.

FB_IMG_1560345369854

Dalam kenyatan terbaharu, Azmin menafikan sekeras-kerasnya mengenai perlakuan yang tidak bermoral itu. Sebagaimana dijelaskan dalam Kenyataan Akhbar (12 Jun 2019), tuduhan dalam video tersebut adalah komplot jahat dan fitnah.

Jelas Azmin, “Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya.

“Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.” (Baca:  https://www.sinarharian.com.my/article/32196/KHAS/Pendapat/Saya-menafikan-sekeras-kerasnya-tuduhan-ini-ndash-Azmin)

Penafian ini menjadikan “perang politik” dalam PKR sedang bermula. Haziq (Haziq Abdullah Abdul Aziz), setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar Md Akin itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan. yang sudah membuat ‘pengakuan bersumpah’ akan tetap mempertahankan dirinya, dan tidak mudah Azmin untuk menangkisnya, selain mengheret ke mahkamah.

Berdasarkan kenyataan akhbar tersebut, Azmin mengarahkan peguamnya  untuk “mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.”

Azmin menyifatkan pendedahan itu sebagai ‘gutter politics’ dan ia tidak mempunyai tempat dalam Malaysia Baru. Dalam istilah Melayu, ‘gutter’ adalah ‘talang, gaung, alur, longkang, palung atau kawasan setinggan’.

Gutter Politics boleh difahami sebagai satu tindakan untuk menghina atau menjatuhkan maruah seseorang menerusi pencitraan imej buruk. Ia saperti peranan ‘palung’ yang dipasangkan di penghujung atap rumah, untuk menakung air hujan dan dialirkan secara sistematik ke longkang. Bila dihubungkan dengan politik, ‘gutter’ membawa makna buruk dan jelek, saperti air yang mengalir dalam longkang. Bercampur antara air hujan dan air-air lain yang menjadi sisa buangan manusia.

Jika dalam media, kita akan menemui istilah hoax. Istilah hoax menjadi popular selepas Lasse Hallstrom mengarahkan sebuah filem berjudul The Hoax pada tahun 2006. Filem tersebut berdasarkan tajuk sebuah buku yang ditulis oleh Clifford Irving dengan bantuan Howard Hughes. Tema filem tersebut ialah mengenai kebohongan. Sejak itu, apabila munculnya sesuatu berita palsu atau bohong, komuniti internet Amerika Syarikat memanggilnya hoax.

Menurut seorang pakar filologi, Robert Nares (1753-1829) istilah itu telah muncul pada abad ke-18, iaitu dari istilah hocus. Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay Dictionary (2007:680) menjelaskan dari perspektif ‘nama’ hoax adalah “tipu daya yang nakal ditujukan kepada seseorang untuk berjenaka; olok-olok” manakala dari perspektif teknologi, ia bermaksud “ menipu seseorang sebagai jenaka; perdaya” dan dari aspek pelakuan ia adalah “saya telah diperdaya sehingga percaya cerita mereka itu.”

Apa yang berlaku sekarang bukan sindiran atau pencitraan imej secara olok-olok atau jenaka. Ia membabitkan dakwaan yang serius, yang boleh mengakibatkan ‘kemusnahan peribadi’ dan permusuhan yang besar. Dalam konteks perkembangan media sosial, hoax dirujuk sebagai satu usaha menyebarkan maklumat atau gambar bagi memperdayakan orang ramai terhadap seseorang berkaitan dengan imej buruk.

Ini kerana media sosial semakin berpengaruh membentuk persepsi, dan kebiasaannya ialah persepsi buruk atau negatif. Ini juga pernah dilakukan dalam proses pemberitaan dalam dimensi ‘manusia gigit anjing’ bukannya ‘anjing gigit manusia’. Sensational, speculative dan manipulative.

Tentunya, rukun penyebaran yang pernah dikaitkan dengan pakar propaganda Jerman ketika zaman Hitler dipakai sepenuhnya. Dr Paul Joseph Goebles yang merumuskan bahawa “kebohongan sekali tetap merupakan kebohongan tetapi kebohongan yang disampaikan ribuan kali akan menjadi kebenaran”. (If you repeat a lie often enough, it becomes the truth). Dalam hal ini, ia bukan diulang-ulang, tetapi disebarkan seluas-luasnya. Media sosial telah membantu menjadikannya cepat diketahui, tersebar dan dikongsikan dalam masa yang relatif singkat.

Inilah bahaya yang sedang berlaku selepas manusia berjaya merevolusikan teknologi maklumat. Sebelumnya manusia menggunakan akhbar dan media elektronik untuk melakukan proses pencitraan buruk itu. Kini, media sosial menjadi lebih cepat dan tanpa kawalan untuk menyebarkan ‘kebohongan’.

Terpulanglah kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada benar atau ‘hoax’ mengenai video yang disebarkan itu. Orang ramai bersedia menunggu, tetapi, apa yang dikhuatirkan ialah nasib terhadap dua orang pelaku yang dikatakan terbabit, bukannya mereka yang menyebarkan video berkenaan.

Orang ramai merasakan ada sedikit ‘keanehan’. Pelaku tidak dihadapkan ke pengadilan kerana ada kelompongan undang-undang manakala mereka yang menyebarkannya boleh dihukum sebagaimana pernah terjadi ke atas penyebar video China Doll di Carcosa Sri Negara pada suatu ketika. Seandainya keputusan sedemikian berulang, maka rakyat bukan sahaja menolak imej seseorang pemimpin bahkan tidak lagi mempercayai ‘wajah-wajah cantik mereka’ pada pemilihan selanjutnya.

Persepsi seterusnya mula terbentuk, apakah pengakuan salah seorang pelaku dalam video tersebut akan mengulangi kes yang membabitkan Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bakhari? Ia membabitkan proses yang hampir sama, iaitu pengakuan Saiful. Mungkin kali ini ia berbeza kerana tidak ada bukti yang boleh disandarkan sebagai ‘medical evidence’ sebabnya, tidak disebut ada laporan pemeriksaan perubatan. Meskipun kesalahan tersebut mendapat ‘pengampunan penuh’, ia tetap terakam dalam sejarah politik Malaysia sampai bila-bila.

Mungkin video yang disebarkan itu  terus menjadi “saksi bisu” sebab tiada saksi-saksi lain yang merupakan manusia waras dapat mengesahkan ianya benar-benar berlaku.

Apakah secara kebetulan, tarikh kejadian (11 Mei 2019) itu adalah setahun selepas Iskandar Mat Akin dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perusahaan Utama (11 Mei 2018)? Haziq dilantik sebagai setiausaha sulit kanan pada 15 Januari 2019. Haziq turut didakwa mempunyai kecenderungan berpolitik dan mengharapkan dirinya terpilih sebagai calon PBB dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016. Bagaimanapun beliau tidak terpilih.

Bekas pelajar undang-undang Universiti Malaya itu merupakan pengasas dan sayap PKR, Mahasiswa Keadilan pada tahun 2012. Beliau mempunyai hubungan rapat dengan Azmin Ali dan pernah mengharapkan dilantik menduduki mana-mana jawatan dalam kerajaan negeri Selangor selepas PRU ke-13 (2013). Selepas itu beliau dikatakan merajuk dan keluar PKR apabila Azmin tidak memberikan apa-apa jawatan di Selangor.

Haziq pada tahun 2017 dilaporkan menjadi sebahagian pasukan kempen pilihan raya bagi Nancy Shukri, Ahli Parlimen Batang Saadong dan selepas PRU ke-14, beliau kembali bersama PKR. Haziq dipilih sebagai Ketua Pemuda bahagian Santubong.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply