Islam larang umatnya minum arak. Ia ditegaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya… (al-Baqarah: 219)

Di Malaysia, kita tidak halang orang bukan Islam minum arak. Namun jika minum arak itu dilakukan di tempat terbuka sehingga dijadikan pesta, maka ia wajib dihalang. Sebabnya, ia mem­bawa mudarat bukan sahaja kepada peminum arak tetapi juga membahayakan orang lain.

Orang mabuk ini apabila melanggar kenderaan lain, dia pula yang marahkan orang! Lagipun, selama ini sudah ada pelekat amaran Don’t drink and drive dan If you drink don’t drive.

Penagih arak akan hilang nilai diri, tidak terurus dan tanpa segan silu bertindak ber­lawanan dengan norma kebiasaan masyarakat. Kesan kepada sosial pula termasuk fenomena tidak sedar diri, hilang pertimbangan diri, mu­dah marah dan bertindak ganas kepada orang di se­ke­liling, terutama ahli ke­luarga.

Justeru, Islam meng­ha­ram­kan arak dan segala minuman yang memabukkan. Tidak kira atas nama apapun sama ada wain, wiski, bir, vodka, todi, samsu, tuak dan lain-lain. Walau di­minum sedikit namun tetap di­haramkan sebagaimana yang pernah disebut oleh nabi SAW, barang yang memabukkan bila banyak, maka sedikit pun menjadi haram juga. (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud).

Menurut Laporan Kementerian Kesihatan 2013, setin 440ml bir mengandungi 3.6% alkohol; setin 320ml bir (5% alkohol); 140ml wain (12% alkohol) dan 45ml brandi (36% alkohol). Bayangkan ‘kemabukan’ individu yang teguk bergelas-gelas atau bertin-tin bir dalam program seperti Oktoberfest. Sudah tentu dia ‘berisiko tinggi’ mengancam ketenteraman dan keselamatan orang lain.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Uthman Affan r.a. ketika berkhutbah berkata: “Hati-hatilah kamu dari khamar (arak) sebab ia induk dosa-dosa yang keji. Sesungguhnya dahulu ada seorang abid yang biasa pergi masjid, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang wanita yang rupa-rupanya pelacur, maka ia dipanggil oleh pelayannya dan masuk ke dalam rumahnya, lalu ditutup pintunya. Sedang di sisi wanita itu ada segelas khamar dan seorang anak kecil.

Maka berkata wanita itu: “Engkau tidak boleh keluar sehingga minum khamar atau berzina denganku atau membunuh anak kecil ini. Jika tidak saya akan menjerit dan berkata: “Ada orang masuk ke rumahku.” Jawab abid itu: “Zina saya tidak mahu, membunuh juga tidak.” Lalu ia memilih khamar sahaja. Dan setelah ia minum dan mabuk maka ia berzina dan membunuh bayi itu.”

Oleh sebab itu, tinggalkanlah arak kerana ia adalah ibu segala dosa. Banyak lagi minuman yang halal. ‘Simpanlah’ arak itu untuk kita minum di syurga kelak.