ARTIS DAN PELACURAN

 

 

Novel Lingkaran Jiwa tulisan Armaya Junior yang diterbitkan pada tahun 2013 berjaya menggambarkan keserakanan hidup glamour para artis atau selebriti. Antara kutipan menarik dalam novel itu berbunyi:

Untuk empat dari lima korban itu, Dita menduga hidup mewah menjadi faktor pemicu keserkahan mereka, hingg akhirnya jatuh ke jaringan prostitusi kelas atas. Betapa tidak, pekerjaan yang tidak menuntut beban fikiran, tidak mengeluarkan banyak tenaga, tetapi sering menghasilkan banyak wang.

“Benar-benar kehidupan sekarang sudah memperTuhan-kan wang. Demi mendapatkan wang yang banyak, dan kesempatan menggunakan uang untuk kehidupan mewah, mereka rela merendahkan diri mereka sebagai perempuan. Adalah kesalahan mereka bila para perempuan baik-baik, kemudian diperkosa di kandaraan umum atau ditempat-tempat gelap.” (hal. 69).

Ragam hidup sebagai pelacur juga dapat kita selami dengan jelas melalui watak Dewi Ayu dalam novel Cantik Itu Luka karya Eka Kurniawan. Sebagai seorang wanita cantik, khidmat Dewi Ayu sentiasa menjadi rebutan ‘lelaki’ dalam sebuah desa di Halimunda dan tinggal di rumah Mama Kalong. Kecantikan Dewi Ayu adalah gabungan dua bangsa, ayahnya Belanda manakala ibunya adalah berketurunan Jawa.

Dewi Ayu terpaksa hidup sebagai pelacur di rumah Mama Kalong, melayani keinginan seks tentera Jepun (mengingatkan saya kepada Comfort Women di China semasa penjajahan Jepun), dan mendapat bayaran yang paling mahal di antara lain-lain perempuan pekerja seks yang lain. Setelah bergelut dengan dunia pelacuran begitu lama, Dewi Ayu mempunyai empat orang anak perempuan yang dilahirkan tanpa diketahui siapakah ayah kepada anak-anak itu.

Tiga putrinya digambarkan turut memiliki wajah yang cantik dan diharapkan dapat menyambung tugas Dewi Ayu yang semakin tua dan didesak resah serta sesal. Setelah anak-anaknya meningkat remaja, Dewi Ayu saperti menyesal mempunyai anak-anak perempuan yang cantik kerana ia bukan sahaja mendapat perhatian ramai lelaki, bahkan turut menjadi rebutan sehingga ada di antara lelaki ‘patah hati’. Dalam rasa kecewa itulah Dewi Ayu sedar bahawa kecantikan wajah bukan sahaja dianggap sebagai komoditi, bahkan suatu dosa yang meyakitkan hati orang lain.

Ketika menyedari dirinya hamil lagi, Dewi Ayu mengharapkan kandungannya kali ini, jika perempuan tidak lagi dianugerahkan dengan wajah yang cantik. Setiap hari dan malam Dewi Ayu berdoa agar puteri bongsu itu tidak cantik. Ia menjadi kenyataan, setelah puteri bongsu itu lahir, Dewi Ayu sendiri tidak bersedia menatapi wajah anaknya yang hitam dan hodoh. Dewi Ayu menamakan putri bongsu itu Cantik. Cantik dibiarkan tanpa belaian si ibu manakala si ibu sedang sibuk mengharapkan dirinya segera dimatikan.

Dewi Ayu membungkus diri dalam kain kafan. Ketika Cantik berusia dua belas hari, Dewi Ayu benar-benar mati.  Novel setebal 496 halaman itu memperlihatkan kecenderungan Eka Kurniawan untuk menggambarkan ghairah seks laki-laki yang terpesona ketika memandang seorang perempuan cantik, berbadan seksi dan  montok sehingga menjadi suatu kegilaan besar lelaki untuk memilikinya. Suatu gambaran sinis terhadap dunia manusia dan kehidupannya yang sudah berakar sekian lama dan masih menjadi gaya hidup masyarakat.

Kita mungkin boleh menjengah kisah perempuan yang memiliki wajah yang cantik dan berbadan seksi apabila membaca tulisan Moammar Emka dalam Jakarta Undercover (2003) dan Jakarta Undercover II (Karnaval Malam, 2004) dan Jakarta Undercover III (Forbiden City, 2007). Keseluruhan cerita yang diselongkarkan oleh Emka itu merupakan hasil penyiasatan dan penelitiannya secara ‘observation-participation’ dalam dunia pelacuran yang membabitkan artis dan selebriti Indonesia. Jakarta Undercover pernah diterbitkan sebagai filem komersial pada tahun 2007 dan edisi yang lain pada tahun 2017.

Saya juga teringat dengan kisah penyiasatan yang dilakukan oleh Yuyu A N Krishna dalam bukunya Menyusuri Remang-Remang Jakarta (1996). Yuyu menyelongkar kehidupan gelap di celahan lorong Jakarta yang kotor dan penuh dengan noda bila mana persoalan moral kehidupan bukan lagi menjadi pedoman bagi sesetengah orang atas nama desakan hidup, keinginan tanpa batas dan peminggiran agama.

Secara lazimnya kita memahami dunia pelacuran sebagai satu bentuk desakan dan tekanan hidup. Sebahagian besar perempuan menjadi mangsa ‘pemerdagangan seks’ disebabkan oleh kemiskinan yang dihadapi, maka menjadi pelacur adalah satu bentuk kerjaya yang boleh ‘membebaskan’ diri daripada kemiskinan untuk sementara waktu, iaitu sementara tubuh dan tenaga yang ada mampu melakukannya.

Pelacuran juga berlaku disebabkan oleh pelbagai ‘jerat yang memaksa’ apabila orang yang diharapkan dapat membantu mula memikirkan ‘mangsa’ sebagai komoditi yang menguntungkan. Dalam konteks ini, Karl Marx pernah memberikan pandangan dalam kehidupan, kita akan mencari sesuatu yang bernilai. Nilai itulah yang akan memungkinkan sesuatu benda dipanggil komoditi.

Di dalam sesuatu komoditi, ia dibahagikan kepada beberapa nilai. Antaranya ialah nilai pakai, nilai tukar dan nilai kerja.Tubuh boleh dianggap sebagai komoditi, kerana ia memberikan nilai iaitu nilai pakai dan nilai tukar. Nilai pakai tentunya dikaitkan dengan permintaan manakala nilai tukar dikaitkan dengan harga terhadap komoditi itu.

Falsafah hedonism itu telah muncul sejak sekian lama dan kini berkembang ke komoditi ‘pemerdagangan orang’ atau bahasa sebelumnya ialah pelacuran. Kisah pemerdagagan  orang, bukan sahaja berlaku secara mudah dan ringkas sebagaimana kisah perempuan di rumah Mama Kalong atau di lorong-lorong gelap di bandar besar, berkembang menjadi suatu bentuk industri yang menguntungkan sapaerti Lembah Dolly (di Surabaya) sebagai pekerja seks komersial, hinggalah pembabitan ‘orang tengah’ dalam ‘perkhidmatan online’.

Kes yang melanda dunia artis dan selebriti Indonesia pada tahun 2015, Robby Abbas di Surabaya pada 8 Mei 2015. Robby Abbas adalah juru solek artis dan hubungan akrabnya dengan artis itu telah membolehkan dirinya turut menawarkan ‘layanan ekstra’ kepada mana-mana lelaki yang mempunyai wang yang banyak. Ini menggambarkan, kemakmuran ekonomi seseorang itu membuatkan dirinya mudah terjerumus ke lembah maksiat dan pelacuran.

Ketika Robby ditangkap, dikatakan memiliki lebih 200 orang artis dan selebriti yang sedia dilanggani oleh mana-mana lelaki yang sanggup membayar wang langganan sebanyak Rp 20 hingga 80 juta. Robby mendapat komisyen antara 20 hingga 30 peratus daripada setiap bayaran langganan artis dan selebreti yang ditawarkan melaluinya. Sebelum boleh melanggani artis dan selebriti, Robby menetapkan lelaki yang mahu meniduri ‘artis atau selebriti’ berkenaan membayar deposit sekitar 30 peratus. Setelah bayaran itu dipersetujui, Robby akan menghubungi ‘artis atau selebriti’ tersebut di mana artis berkenaan akan hadir sebagaimana dijanjikan, dengan syarat tempatnya mestilah hotel kelas mewah.

Selepas bebas dari penjara, Robby Abas dalam satu wawancara (19 September 2018) memberitahu kegiatan sebagai penghubung itu telah dimulakan pada tahun 2005 dan dalam tempoh sepuluh tahun, sudah berjaya mengumpulkan lebih 200 orang yang terdiri dari artis, model, mahasiswi, pramugari. Mereka ini memang memerlukan wang yang banyak untuk hidup mewah, kerana wang itulah yang menentukan corak dan gaya hidup kita.

Melihat kepada situasi itu maka tidak hairankan apabila dua artis yang sedang meningkat naik di Indonesia menjadi dua kes terbaharu yang menyintak semula emosi masyarakat terhadap kehidupan selebriti. Minggu lepas (Sabtu, 5 Januari 2019), Vanessa Angel dan Avrillia Syakilla telah ditangkap pihak berkuasa di sebuah hotel di Surabaya.

Vanessa dikatakan mengenakan bayaran ‘one off’ sebanyak Rp 80 juta (RM 17,680) manakala Avrillia sekitar Rp 25 juta (RM 7,070) dan dianggap masih rendah berbanding bayaran yang pernah diminta oleh seorang penyanyi dangdut di Lampung, Indonesia sebanyak Rp 100 juta (RM 28,100) pada 19 Februari 2016. Ada anggaran lain mengatakan, semakin genit dan popular nama artis atau model itu, harga yang perlu dibayar adalah juga semakin mahal. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, kerana ramai pelanggan bersedia membida harga tinggi asalkan artis atau selebriti berkenaan sanggup ‘menemaninya di ranjang’ hanya untuk beberapa jam.

Vanessa Angel bukan sahaja menjadi artis. Beliau juga dikatakan mempunyai perniagaan kosmetik yang berpengkalan di Surabaya. Wanita yang berumur 27 tahun itu dikaitkan dengan cucu Seokarno, Didi Mahardika. Tentunya, dari perspektif keperluan kewangan tidak begitu mendesak bagi Vanessa, tetapi mungkin kerana ‘ingin memperoleh wang secara mudah dalam tempoh begitu singkat’ menjadi faktor pembabitannya dalam pelacuran secara online.

Turut ditangkap ialah seorang mucikari, atau dalam istilah lazimnya ialah ‘orang tengah’ atau sebelumnya ialah ‘bapa ayam’. Cuma berbeza, mucikari tidak memiliki ‘mangsa’ tetapi ‘mangsa’ menggunakan khidmatnya sebagai ‘penghubung’ dan mencari pelanggan yang sanggup membayar harga mahal.

Saperti juga Robby Abbas, mucikari itu mungkin akan dipenjarakan di bawah undang-undang Indonesia, tetapi, ia tidak akan dapat menyekat mucikari lain untuk mengambil alih peranan sebagai penghubung kerana ‘artis dan selebriti’ sentiasa ada keinginan untuk dapatkan wang dengan cepat, hidup mewah dan mempunyai aset yang banyak dalam masa yang singkat.

Maman Suherman, seorang wartawan hiburan pernah menulis bagaimana dirinya pernah menjadi saksi kepada amalan negative dalam dunia hiburan. Umpamanya, seorang ibu sanggup sanggup ‘menjual anak gadis’nya sendiri kepada ketua redaksi (akhbar dan majalah) hanya kerana mahukan kerjayanya anaknya dalam dunia hiburan naik meroket. Catatan Maman Suherman, Bokis: Kisah Gelap Dunia Seleb (Gramedia, 2012) melengkapkan persepsi umum bahawa dunia hiburan bukan sahaja dikaitkan dengan narkotik, alkohol dan pergaulan bebas. Ia turut dihitamkan oleh artis itu sendiri yang sanggup melakukan apa sahaja untuk melonjakkan kerjayanya, termasuklah sedia mengorbankan ‘ aset’ untuk dinikmati oleh mereka yang dianggap boleh membantu melonjakkan populariti.

Populariti itu mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Semakin popular seseorang artis atau selebriti, maka semakin mahallah bayaran yang dikenakan, baik bayaran kerana lakonannya ataupun peragaan dalam dunia pengiklanan. Itu juga memungkinkan ada artis atau selebriti meletakkan ‘harga’ untuk bersamanya secara intim dalam tempoh beberapa jam, yang memungkinkan ramai lelaki kaya bersedia menyahut cabaran itu kerana ia adalah suatu ‘kelebihan’ dan ‘keluarbiasaan’ secara psikologi.

Budaya hedonism ini akan terus menjerat kehidupan bermoral selagi kapitalisma ekonomi menjadi keutamaan dan sistem budaya masyarakat manusia. Apa pun peraturan yang sedia ada, ia hanya sekadar berusaha mengawalnya, tetapi tidak berjaya menghapuskannya kerana penyediaan perkhidmatan pelacuran semakin canggih dan terancang.

 

monosin sobri

 

No Comments

    Leave a reply