ARUS YANG DITONGKAH DAN BADAI YANG DITEMPAH

 

 

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, politik Malaysia dilanda arus yang kuat. Arus itu mengalir dari dalam tubuh UMNO sendiri. Muhyiddin dan Shafie menjadi antagonis dan kemudiannya diikuti oleh Mukhriz. Dr Mahathir kembali bertindak sebagai ‘pencetus arus’ selepas kembali menyertai UMNO apabila Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Tahun 2007, Dr Mahathir menjadi orang paling lantang mengkritik pentadbiran penggantinya.

Tun Abdullah dianggap begitu lemah dan memberikan ‘kuasa’ kepada ‘budak lantai empat’ untuk menentukan banyak perkara. Tun Abdullah yang dianggap ‘hilang fokus’ akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa UMNO dan BN yang dipimpinnya sedang diambang kejatuhan sekiranya beliau terus berdegil untuk menjadi Perdana Menteri. Tun Abdullah menyerahkan jawatan itu kepada Najib pada awal April 2009.

Kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam UMNO mempunyai kaitan yang kuat dengan usaha Tan Sri Muhyiddin Yasin. PRU ke-12 menyaksikan BN hanya mampu memperoleh kemenangan 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan kedudukan kepada 82 kerusi (termasuk satu kerusi bebas yang menggunakan logo PAS di Kelantan). Kemenangan besar PH dari tahun sebelumnya (PRU ke-11 sebanyak 22 kerusi Parlimen) telah membawa kepada percubaan menarik dalam politik Malaysia, iaitu kemunculan sistem dua parti, BN dan Pakatan Rakyat (PR).

Selepas PRU ke-12, Anwar dibebaskan daripada sekatan politik dan malam pelepasan itu diraikan dalam satu perhimpunan besar di Kelab Sultan Sulaiman Kampong Baharu, Kuala Lumpur, yang kemudiannya menjadi titik tolak kepada Road to Putrajaya. Anwar kemudiannya, 26 Ogos 2008 bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh selepas Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi itu. Wan Azizah menjadi ahli politik ‘bidan terjun’ dalam PRU ke-10 (1999) selepas Anwar disingkirkan oleh Dr Mahathir ekoran dakwaan salah laku dalam kes yang menggemparkan negara, iaitu terbabit dengan seks songsang.

Mukhriz dipecat dan Menteri Besar Kedah digantikan oleh Ahmad Basyah. Muhyiddin disingkirkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan digantikan oleh Ahmad Zahid Hamidi. Jawatan sebagai Menteri Pendidikan digantikan oleh Mahadzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah, yang pernah dikaitkan dengan seorang wanita yang memimpin Pergerakan Puteri UMNO.

Shafei Afdal ikut dikembirikan. Kedudukannya sebagai Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar digantikan dengan Datuk Ismail Sabri. Bagaimanapun, Shafei kembali ke Sabah dan menubuhkan Parti Warisan Sabah pada 17 Oktober 2016. Parti Warisan Sabah asalnya ialah Parti Pembangunan Warisan Sabah (Sabah Heritage Development Party) dan merupakan salah satu parti di Malaysia yang berpangkalan dan beroperasi di negeri Sabah. Ia merupakan parti berbilang kaum.

Muhyiddin akhirnya kembali bersatu dengan Dr Mahathir dan Mukhriz untuk menubuhkan sebuah parti baharu. Parti itu, PPBM berusaha mengumpulkan kekuatan untuk menubuhkan gabungan yang lebih bertenaga selepas PAS disingkirkan daripada Pakatan Rakyat. Situasi politik ketika amat peka dan sensitif dengan istilah derma ekoran Najib didakwa menerim “derma berjumlah RM 2.6 bilion”. Derma itu dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Derma itu dikatakan dari negara Arab. Negara Arab bermurah hati kerana Malaysia turut bersedia untuk menubuhkan sebuah pusat bagi memerangi keganasan global, termasuklah ancaman Daesh dan militan yang boleh menjejaskan Islam.

Selain itu, wang derma itu untuk membantu Najib mendanai kempen Pilihan Raya Umum ke-13. Najib memerlukan wang banyak bagi membolehkan BN menang besar dalam PRU ke-14 kerana prestasi BN dalam PRU ke-13 adalah lebih buruk daripada apa yang dicapai oleh BN dalam PRU ke-12.

Keputusan PRU ke-12 telah memberikan tekanan hebat kepada BN apabila buat pertama kalinya hilang kekuatan dua pertiga di Dewan Rakyat. Tun Abdullah Ahmad Badawi dikritik hebat walaupun sebelumnya beroleh kejayaan besar (PRU ke-11). Pencapaian BN pada tahun 2004 begitu menyerlah dan menjadi pencapaian terbaik selepas penubuhannya pada tahun 1974 (PRU ke-5).

Pada tahun 1974, walaupun dua parti pembangkang terbesar berjaya dijinakkan oleh Tun Razak, ia belum memperoleh keputusan setanding PRU ke-11 yang menjadi mercutanda kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap bersih. PRU ke-5 (keseluruhan kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan ialah 154 kerusi), BN yang pertama kali dibentuk dan diperluaskan dari PERIKATAN, memperoleh 135 kerusi Dewan Rakyat (60.7 peratus) manakala parti-parti pembangkang ialah 19 kerusi (DAP 9, Pekemas 1 dan SNAP 9).

PRU ke-11, daripada 219 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan, BN menang 198 kerusi manakala parti-parti pembangkang hanya mampu meraih 21 kerusi. BN menguasai sekitar 90 peratus atau 64 peratus undi popular. Pencapaian tersebut dikatakan menjadi punca kepada Dr Mahathir menjadi lebih cemburu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sepanjang pemerintahannya selama 22 tahun (1981-2003), Dr Mahathir dikatakan mempunyai percapaian terbaik ialah PRU ke-7 (1982), 132 daripada 154 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan. PRU ke-7 merupakan adalah PRU pertama pimpinan Dr Mahathir.

Tahun 1974, PAS, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Gerakan menyertai BN sedangkan sebelumnya menjadi lawan yang berpengaruh. PAS menjadi saingan kepada UMNO manakala Gerakan berjaya melumpuhkan MCA di Pulau Pinang. Gabungan tersebut berjaya mengurangkan ‘politiking’ dan menyebabkan DAP terpaksa menukarkan corak kempennya untuk berhadapan dengan pilihan raya selanjutnya. PRU ke-5 dan menjadi yang pertama bagi BN, daripada 154 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan, BN berjaya memperoleh 135 kerusi (87.7 peratus).

Sebelum hari penentuan, BN sudah memenangi 48 kerusi Dewan Rakyat dan 43 kerusi Dewan Undangan Negeri secara mudah dan menyebabkan seluruh negara diperintah oleh BN. Tahun 1959, PPP menguasai 4 kerusi Dewan Rakyat dan tahun 1964, hanya mampu menang satu kerusi manakala pada tahun 1969, kekal dengan empat kerusi Dewan Rakyat.

Kemasukan PAS dan Gerakan ada kaitannya dengan ketakutan yang mungkin akan menjejaskan hubungan kaum di Malaysia ekoran kemenangan besar DAP. DAP mempamerkan aksi sombong meraikan kemenangan besar di kawasan bandar sehingga menyebabkan parti-parti politik Melayu terasa. Mereka turut bangkit dan pertembungan itu telah mencetuskan Tragedi 13 Mei 1969, iaitu tiga hari selepas Pilihan Raya Umum ke-4.

Berasaskan kepada senario politik sebelum Dr Mahathir melepaskan jawatan pada tahun 2003, gerakan parti politik pembangkang tidaklah begitu kuat. Kedudukan itu menyebabkan beberapa penganalisis politik merasakan bahawa ‘ketiadaan gabungan pembangkang yang kuat’ adalah faktor yang menyebabkan Perikatan dan BN terus berkuasa sejak PRU Pertama diadakan (1955) yang membawa kepada termeterainya perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

PRU pertama selepas merdeka diadakan pada 19 Ogos 1959 turut memperlihatkan bahawa PERIKATAN walaupun masih mendominasi kemenangan, kedudukannya sedikit tercabar apabila hanya mampu meraih 74 kerusi dari 104 yang dipertandingkan. Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pan-Malayan Islamic Party) yang kemudiannya dinamakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan parti pembangkang yang terkuat, menguasai 13 kerusi Parlimen dan dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu.

PMIP (PAS) menjadi pembangkang terkuat di negeri-negeri yang majoriti penduduk adalah orang Melayu manakala Parti Sosialis (Socialist Front) yang menang lapan kerusi adalah parti pembangkang yang terkuat di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Selepas terpisah dengan BN, PAS terus mengekalkan kedudukannya sebagai pentadbir negeri Kelantan dan sekali berjaya menguasai Terengganu (PRU ke-10 pada tahun 1999) serta Kedah dalam PRU ke-12 (2008). PRU ke-12 menyaksikan lebih banyak negeri jatuh ke tangan gabungan parti pembangkang dan asasnya ialah menafikan kemenangan dua pertiga BN di Dewan Rakyat. Hasrat itu telah berjaya dilakukan apabila BN hanya mampu menang 140 kerusi dan menjadi semakin parah dalam PRU ke-13, hanya sekadar 133 kerusi.

PRU ke-14, BN tewas dengan teruknya. Kedudukannya di peringkat persekutuan telah merosot lebih 50 peratus dan hanya menang 79 kerusi manakala PH berjaya meraih majoriti mudah untuk mengambil alih tampok pemerintahan Malaysia. Kekalahan BN bukanlah sesuatu yang dijangka, dan kerana itulah PH saperti ‘terkejut’ dengan kemenangan yang tidak dijangka itu. Salah satu faktor ialah kemunculan semula Dr Mahathir untuk mengurangkan politicking dalam PH dan seterusnya diberikan harapan besar untuk membaiki “Malaysia’ yang dirosakkkan oleh kepimpinan dan dominasi UMNO.

Gelombang kemarahan Dr Mahathir kepada kepimpinan UMNO itu telah membawa kepada keutuhan parti-parti komponen dalam PH dan menghancurkan harapan PAS untuk menjadi ‘king maker’ sama ada kepada BN atau PH. Hasrat PAS bertanding di luar kebiasaan parti telah dilihat saperti ‘tidak mengukur baju di badan sendiri’ kerana hanya mampu menang 18 kerusi daripada lebih 130 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan.

Meskipun PPBM yang dipimpin oleh Dr Mahathir berhadapan dengan tekanan kerajaan terdahulu, beliau dianggap ‘tidak mati akal’ dan seterusnya mendapat kata sepakat untuk bertanding menggunakan logo PH. Dr Mahathir tidak memilih logo DAP kerana parti tersebut masih dianggap tebal dengan perjuangan dan monopoli keturunan Cina. PKR dianggap sebagai wahana terbaik walaupun ia adalah parti pelbagai kaum. PKR mempunyai kekuatan untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Strategi itu berjaya. Penggunaan logo PKR telah benar-benar ‘membadai’ politik tanah air apabila dikesan berlakunya ‘tsunami pengundi muda Melayu’ yang tertawan dengan beberapa janji manifesto Buku Harapan. Antaranya, penghapusan bayaran tol, menangguhkan bayaran balik pinjaman pendidikan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya pendapatan bulan tidak mencecah RM 4,000, menghapuskan GST yang dipersepsikan sebagai punca kenaikan harga barang dan perkhidmatan, menyemak semula atau membatalkan projek mega dan menurunkan kos sara hidup.

Kalau dalam PRU ke-13, BN hanya mampu meraih 49 peratus undi popular, dalam PRU ke-14, BN hanya mampu mengumpul sejumlah 32 peratus. PH kekal menguasai undi popular walaupun berhadapan dengan persaingan tiga penjuru, iaitu PAS dan BN. PAS memperoleh 18 peratus undi popular. Bagaimanapun, secara terperincinya, kekuatan sebenar PPBM pimpinan Dr Mahathir adalah lebih lemah daripada apa yang dikuasai oleh PAS. PPBM hanya mampu menang 13 kerusi Dewan Rakyat berbanding PAS, 18 kerusi.

PPBM mempunyai kekuatan yang lain. Biarpun hanya sekadar menang 13 kerusi, Dr Mahathir masih merupakan penentu dalam pembentukan dasar dan pentadbiran negara. Dalam usia 93 tahun, Dr Mahathir kembali memegang jawatan Perdana Menteri untuk kali kedua selepas 15 tahun bersara.

Kemunculan semula Dr Mahathir, bukan sahaja berjaya mengukuhkan PH dan kini, meneruskan ‘ombak’ yang besar bagi melumpuhkan UMNO. Beliau tidak bimbang dengan MCA, MIC dan Gerakan. MCA hanya mempunyai kerusi tunggal di Air Itam, Johor manakala MIC dua kerusi, dan satu daripadanya bakal berubah selepas PRK Cameron Highlands diadakan. Peluang untuk calon MIC menang dalam PRK Cameron Highlands adalah tipis. Imej BN semakin berkecamuk apabila UMNO semakin gelisah dan sebahagian pemimpinnya bertempiaran lari meninggalkan parti.

Tarikh 12 Disember 2018, UMNO saperti dihempas gempa bumi besar apabila empat dari lima wakil rakyat peringkat Dewan Rakyat dan sembilan dari 10 ADUN Sabah mengisytiharkan keluar parti bersama-sama 21 Ketua Bahagian (dari 25 Bahagian UMNO). Dua hari kemudian (14.12.2018), enam lagi wakil rakyat UMNO mengemukakan surat untuk meninggalkan UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas. Episod ini memperlihatkan kedudukan UMNO tidak lagi berpengaruh walaupun hasratnya untuk menjadi pembangkang berwibawa di Dewan Rakyat.

Selepas PRU ke-14, UMNO menyaksikan kekuatannya semakin mengecil apabila dua wakil rakyat Bagan Serai, Datuk Dr Nor Azmi Ghazali (24.6.2018) dan Padang Serai, Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (27.6.2018) keluar parti. Pada 1 Julai, wakil rakyat Masjid Tanah, Datuk Mas Emieryati Samsudin dan diikuti oleh Datuk Mustapha Mohamed (Jeli) pada 18.9.2018. Sehari kemudian (19.9.2018), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) ikut keluar UMNO. Ia kemudiannya semakin ramai yang keluar, Datuk Rozman Isli (Labuan) pada 11 Oktober; Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran) pada 12 Disember dan Datuk Shahbudin Yahya (Tasek Gelugor), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Latif Ahmad (Mesring), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) pada 14 Disember.

Sebelum keadaan bertambah parah apabila parti komponen BN di Sarawak lebih bersedia menyokong kerajaan pusat yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir. Komponen BN telah pun memulakan inisiatifnya membentuk Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) dan ini bermakna BN tidak lagi ada peranannya di Sarawak. Sarawak dan Sabah, dalam dua PRU sebelumnya (PRU ke-12 dan PRU ke-13) menjadi pendeposit yang mampu menyelamatkan kuasa BN sebagai kerajaan di peringkat persekutuan.

UMNO yang menguasai 54 kerusi Dewan Rakyat, sehingga kini hanya mampu bertahan dengan 37 kekuatan. Setakat ini, empat calon bebas yang dilihat sudah menjalani proses ‘pembersihan’ mengemukakan permohonannya menyertai PPBM. Kemasukan bekas wakil rakyat UMNO kembali diperkatakan secara sinis oleh komponen PH. DAP melihat kemasukan itu telah melanggar prinsip yang dipersetujui dalam Majlis Pakatan Harapan manakala PKR tetap tidak akan menerima kemasukan mereka.

Asasnya ialah bekas pemimpin-pemimpin UMNO secara langsungnya tidak dapat memperkuatkan PH sebaliknya mereka bakal merosakkan nilai-nilai yang ingin dibentuk dalam Malaysia Baru. Bekas pemimpin UMNO itulah yang turut memperlekehkan kepimpinan PH ketika berkempen dan memperlekehkan keupayaan kepimpinan Dr Mahathir yang sudah melangkaui usia lebih 90 tahun. Mereka juga terbabit dalam beberapa persetujuan untuk mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri walaupun dikaitkan dengan derma RM 2.6 bilion dan skandal 1MDB.

Najib sedang berhadapan lebih 100 kes salah laku dan penggubahan wang haram. Begitu juga dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor dengan skandal penjualan tanah DBKL; Presiden UMNO yang dipilih dalam pengundian pada 30 Jun 2018, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dengan 46 kes salah laku wang Yayasan Akal Budi; dan Naib Presiden UMNO,  Datuk Mahadzir Khalid mengenai kontrak bekalkan tenaga solar di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak. Mungkin lebih ramai lagi pemimpin UMNO akan didakwa atas kesalahan salah laku dan penggubahan haram. Episod ini dilihat sebagai ‘arus dalaman UMNO’ yang tidak boleh dikekang lagi sehingga menyebabkan ada desakan agar Datuk Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

Zahid bukan sahaja berhadapan dengan kes salah guna wang kepunyaan yayasan yang ditubuhkannya sendiri, juga belum mempunyai perancangan yang jelas untuk membina semula UMNO yang ‘retak’ dan ‘kurang bermaya’. Mereka bimbang, jika Zahid terus memimpin UMNO, dalam tempoh yang singkat parti akan berhadapan dengan ‘krisis keyakinan’ yang kronik. Mungkin juga UMNO akan menerima nasib yang lebih buruk, iaitu kemungkinan diharamkan tetap ada sekiranya ada bukti terbabit dengan wang 1MDB ‘yang dicuri”.

Melihat kepada perkembangan semasa, Dr Mahathir sebenarnya telah berjaya merencanakan UMNO sebagai sebuah parti yang tidak lagi boleh memperjuangkan nasib orang Melayu kerana tidak mengamalkan etika yang baik. UMNO bakal dilengkapkan dengan imej yang buruk, dan seterusnya dikaitkan dengan perilaku rasuah, politik wang dan warlords.

Badai yang menimpa UMNO dan sedang dikeronyokkan dengan riak-riak ombak boleh menyebabkan parti yang pernah muncul sebagai parti Melayu terbesar dan paling berkuasa menjadi begitu kerdil, walaupun ada yang beranggapan, exodus wakil rakyatnya tidak akan menjejaskan kekuatan akar umbi. UMNO yang semakin terhimpit akan berhadapan dengan sokongan yang mengecil kerana tidak lagi berupaya untuk menaungi orang Melayu, kecuali ada sesuatu isu besar yang boleh menjatuhkan PH.

Isu ICERD misalnya boleh membantu UMNO membaiki imejnya. Tetapi, hingga kini, UMNO belum memperlihatkan kempen yang berkesan menetang proses ratifikasi ICERD. PH yang telah menangguhkan proses pengesahan ICERD juga belum memperlihatkan kesungguhannya mempertahankan kontrak sosial. Jurang pendapat antara menteri kabinet PH tidak dieksploitasikan dengan baik dan berkesan, walaupun ada ketikanya ia boleh disifatkan sebagai bola tanggung yang boleh ‘mencuri mata kemenangan.’

Riffle Effects yang dicipta oleh Dr Mahathir untuk ‘membunuh UMNO’ buat kali kedua, selepas UMNO lama ‘terbunuh’ pada tahun 1988 benar-benar telah melemaskan 17 orang wakil rakyatnya. Keadaan ini akan menjadi bertambah kuat ‘arus dalam’ yang bakal menarik UMNO ke ‘muara sengketa’, yang akhirnya UMNO hanya sekadar boleh bernostalgia, saperti seekor raksasa yang hebat dan kuat pada suatu ketika.

UMNO dengan masalah ‘kepimpinan’ dan krisis keyakinan akan memungkinkan ianya tinggal sejarah, kecualilah UMNO benar-benar berubah dan ‘bersalin kulit’ dengan imej politik yang segar dan dapat menawan ‘hati dan perasaan orang muda’. Orang muda sudah pun ada ‘rasa mual dan ditipu’ oleh PH yang sukar menunaikan manifesto atas alasan ‘hutang yang besar’, ketidakmampuan menteri memahami tanggungjawab, percanggahan pendirian dalam barisan kabinet seolah-olah tidak memahami prinsip ‘tanggungjawab bersama’, ‘malaikat pun membuat silap’, kos sara hidup yang belum berjaya diturunkan, pertumbuhan ekonomi yang menguncup, nilai matawang yang merosot dan pemberhentian pekerja.

Kelemahan-kelemahan ini akan dapat diterima oleh rakyat sekiranya UMNO tidak bersungguh-sungguh melancarkan serangan ke atas PH. Rakyat bersedia memahaminya kerana Dr Mahathir berkata, berilah peluang dan masa untuk PH melakukannya. PH akan lakukan yang terbaik, bahkan Lim Guan Eng pun memberitahu, berilah masa selama tiga tahun untuk beliau membaiki ‘kerosakan ekonomi’ dan Dr Mahathir boleh melakukannya. Retorik ini mungkin boleh mengendurkan ‘kemarahan’ tetapi, sebelum ia berjaya dikendurkan, UMNO tidak bersedia melakukannya, kerana jiwa yang masih tersisa dalam diri pemimpin UMNO adalah begitu kerdil, dan dilihat sedang mencari peluang untuk melepaskan pucuknya masing-masing.

Monosin Sobri.

 

 

No Comments

    Leave a reply