ASWJ KUMPULAN SEDERHANA DALAM ISLAM

Istilah Ahlu Sunnah dalam bahasa Melayu merujuk kepada istilah bahasa Arab, Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, bermaksud “golongan yang membela Sunnah Nabi dan keimanan orang ramai.” Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai “Sunnis” atau “Sunnites.” Pada kebiasaan aliran Ahlu Sunnah dilihat bertentangan dengan aliran Shiah sebagai golongan minoriti, manakala Ahlu Sunnah mewakili majoriti umat Islam seluruh dunia yang melebihi 1 bilion.

Antara ciri-ciri utama Ahlu Sunnah ialah aliran sederhana dan pertengahan yang dibawanya. Inilah apa yang dapat disimpulkan oleh al-Marhum Prof. Irfan ‘Abd al-Hamid Fattah (2004) tentang Ahlu Sunnah dalam kertaskerjanya yang berjudul, “Usul al-Din: The Content, Methods of Teaching, the Contemporary Attempts to Re-Structuring its Traditional Contents.” Dari sudut sejarah pemikiran Islam, aliran Ahlu Sunnah adalah unik kerana kebangkitan, perkembangan dan menjadi sebagai aliran majoriti. Kajian yang lebih mendalam boleh dibuat dengan melihat aliran ini daripada segenap segi terutama dari perspektif kesahan, keaslian, keboleh-percayaannya dan hubungannya yang erat dengan warisan kenabian. Secara umum boleh dikatakan bahawa pendekatan aliran Ahlu Sunnah ini nampaknya melepasi sisa-sisa sempadan pembahagian atau polarisasi sektrian yang berlaku dalam sejarah pemikiran Islam itu sendiri dengan akibatnya yang buruk dan merosakan kepada masyarakat dan ajaran Islam.

Dari konteks umum pemikiran agama, istilah Ahlu Sunnah perlu difahami berdasarkan beberapa manifestasinya yang tersendiri. Antaranya ialah walaupun ada pelbagai aliran agama yang berbeza dari segi ajaran dan bilangannya, aliran ini secara umumnya mencuba untuk menterjemahkan ajaran syariah dalam bentuk ketaatan beragama dan secara sejarah juga, mereka mencuba untuk menghubungkan antara ajaran mereka dengan tradisi and warisan agama Islam. Ini kerana kesemua aliran-aliran agama menganggap semua kebenaran hendaklah bersumberkan warisan, dan sekiranya ia adalah warisan ia hendaklah diriwayatkan oleh golongan terdahulu menerusi sanad yang berterusan. Selain itu kita juga boleh menyatakan bahawa pemikiran agama secara semulajadinya tidak terlepas daripada unsur perkembangan dan percambahan menyebabkan lahirnya pelbagai kumpulan, aliran, sekta dan juga melahir bid’ah dalam agama selaras dengan perkembangan pemikiran dan konteks semasa.

Tujuan sebenar Ahlu Sunnah ialah untuk menghentikan tren buruk ini dan kecenderungan tetap kearah percambahan kumpulan yang berbeza menerusi pendekatan mereka yang bersifat pertengahan, sederhana dan seimbang, mencari titik penyelarasan dan perdamaian dan memupuk semangat islah atau reformasi antara kumpulan yang berbeza. Dengan itu tidaklah pelik untuk menyatakan bahawa aliran Ash’ari yang mewakili Ahlu Sunnah merupakan pemimpin kepada generasi awal Islam atau salaf dan majoriti  umat Islam semasa sehingga mereka layak mendapat gelaran aliran pertengahan dan titik penyelarasan.

Aliran Ahlu Sunnah juga melepasi polarisasi atau perbezaan ketara antara tiga pendekatan dalam memahami dan menterjemahkan ajaran Islam menerusi aliran-aliran seperti aliran Salafi yang bersifat terlalu literalis, aliran Muktazilah yang bersifat rasionalis dan aliran tasawuf yang cenderung kepada mistik.  Aliran Ahlu Sunnah ini  meletakan kriteria yang bagaimana untuk menilai yang baik dan yang buruk daripada

Aliran-aliran tersebut dengan menjadikan prinsip kesederhanaan, keseimbangan, penyelarasan, maslahah sebagai tonggak ajaran mereka. Kesemuanya memberi peluang kepada umat untuk menerimanya  dan seterusnya dikembangkan menjadi aliran perdana dalam masyarakat Islam. Ahlu Sunnah menjadi aliran yang masyhur dengan kepercayaan dan amalannya  diiktiraf sepanjang masa, tempat dan oleh semua orang. Ajaran Ahlu Sunnah menetapi  semangat kumpulan dan ajaran yang dikitiraf dalam bahasa latin sebagai “quod semper, et ubique, et ob omnibus”.

Secara perbandingan, kewujudan aliran Ahlu Sunnah dapat menyelesaikan masalah yang berpanjangan yang berlaku dalam agama terdahulu terutama dalam agama Yahudi dan Kristian. Kita lihat dalam perspektif sejarah umum agama yang berpusat kepada penerimaan wahyu dan kenabian dalam tradisi Yahudi-Kristian, Islam membayang kemungkinan muncul tiga pendekatan utama, iaitu:

  1. Tren ekslusif yang lebih bersifat kepercayaan yang dogmatik dan literalistik yang melahirkan kepercayaan kufur yang bersifat literalistik juga. Sebagai contohnya, kita dapat dilihat apabila dikaji hubungan antara agama Yahudi dan Kristian, iaitu apabila orang Yahudi sendiri menghina Nabi Isa a.s dan mengaitkan baginda dengan sifat orang kafir dan hipokrik semata-mata.
  2. Begitu juga dengan aliran rasionlisme dalam agama yang cenderung untuk dicemari dengan sikap skeptik dan keraguan yang berpanjangan dalam agama. Ia akan menyebabkan berlaku kelemahan dalam amalan beragama dan seterusnya membawa kepada kehancuran agama itu sendiri. Ini kerana meletakkan akal yang automi dalam agama selalunya melibat penolakan kepada sistem kepercayaannya, pihak berkuasa agama dan seterusnya tradisi agama itu sendiri.
  3. Manakala mistisisme selalunya bergelut dengan soal-soal subjektif dalam menghayati ajaran agama sehingga membawa kepada sikap antinomianisme dan anarki spiritual. Ini termasuklah mengabai dengan suruhan dan larangan agama kerana mengganggap ia bukan intipati agama dan menggunakan pangkat dan pengaruh agama untuk kepentingan diri.

Dengan lahirnya aliran Ahlu Sunnah pendekatan di atas yang akhirnya membawa kehancuran agama dapat dibendung sehingga mewujudkan aliran pertengahan dan kesederhanaan dalam beragama sama ada daripada sudut kepercayaan dan amalannya.

Dalam hal ini kita mengambil kesimpulan yang dibuat oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Arba’in fi Usul al-Din bahawa: Pengikut Ahlu Sunnah wa Jama’ah itu mengambil jalan pertengahan antara mereka [iaitu antara jabariyyah dan Qadariyyah]. Mereka tidak menghapuskan secara total pilihan daripada manusia dan tidak pula menghapuskan qada’ dan qadar keseluruhan dari Allah, tetapi menyatakan: Perbuatan hamba [manusia] itu daripada satu sudut daripada Allah dan daripada sudut yang lain juga daripada hamba; hamba ada pilihan dalam melakukan perbuatannya (wa li-al-‘abd ikhtiyarun fi ijad af’alihi). (al-Ghazali, 10; lihat juga Marmura, “Ghazali & Ash’aris Revisited,” Arabic Sciences & Philosophy, 12 (2002), 91-110).

Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri.

No Comments

    Leave a reply