ATASI ‘GELOMBANG KEMABUKAN’ DENGAN ‘SEMANGAT AGAMA’

Mohammad Asad (1900 – 1992) adalah seorang cendekiawan muslim, mantan Duta Besar Pakistan untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dan penulis beberapa buku tentang Islam. Antaranya The Message of the Qur’an (1980), Road to Mecca (1954), The Principles of State and Government in Islam (1961), Shahih of al-Bukhari:The Early Year’s of Islam (1981), Home-Coming of the Heart (1932-1992): Part II Road to Mecca (2016), This Law of Ours and Other Essays (1987), Unromantic Orient (terjemahan Inggeris 2014 dari Unromantisches Morgenland: Aus dem Tagebuch einer Reise (1924) dan Islam at the Crossroads (1934).

Dilahirkan dengan nama Leopold Weiss pada 2 Julai 1900 di Lemberg, Galicia (kini dikenali dengan nama Ukraine), dalam empayar Austria. Pada tahun 1926 memeluk Islam dan menukarkan nama asal kepada  Muhammad Asad.

Berasal dari keluarga Yahudi yang taat beragama dan sejak kecil  lagi dididik dengan pendidikan agama dengan mempelajari bahasa Aram, Kitab Perjanjian Lama dan teks yang berkaitan dengan Talmud, Mishna, Gemara dan Targum.

Ketika berusia 14 tahun, Asad lari dari rumah memasuki pasukan tentera Austria dan terbabit dalam Perang Dunia Pertama. Ketika berusia 19 tahun, meninggalkan pengajian dalam bidang falsafah dan sejarah seni untuk membabitkan diri dalam penerbitan filem Dr Murnau di samping mempelajari teater dengan Max  Reinhardt, di Berlin.

Semasa berusia 22 tahun menjadi wartawan untuk akhbar harian terkemuka Jerman, Frankfurter Zeitung dan kemudiannya dihantar ke Timur Tengah sebagai koresponden.

Titik permulaannya berlaku pada musim luruh tahun 1925 di kawasan pergunungan Afghanistan, jelas Asad, ‘seorang gabenor wilayah yang muda berkata kepada saya: Tetapi anda adalah seorang Islam, hanya anda sendiri tidak mengetahuinya.

Kefahaman ‘tiap sesuatu dalam ajaran Islam dan tuntutan Islam adalah pada tempatnya yang sesuai’ telah meninggalkan kesan yang kuat, Asad menjelaskan:..cinta terbentuk daripada banyak perkara: dari keinginan kita dan kesunyian kita, dari kekuatan kita dan kelemahan kita… Islam datang kepada saya seperti seorang pencuri, ia masuk ke rumah pada malam hari; tetapi, tidak seperti seorang pencuri, ia masuk untuk terus menetap selamanya.”

Gambaran itu dicatatkan oleh Asad dalam ‘Pendahuluan Kepada Edisi Pertama 1934’ dari bukunya, Islam at the Crossroads (1934) yang baharu sahaja diterbitkan edisi terjemahan ke Bahasa Melayu pada bulan Ogos 2016 dengan tajuk Islam Di Persimpangan Jalan. Terjemahannya diusahakan oleh Ahmad Nabil Amir dan diterbitkan Islamic Renaissance Front. Meskipun terlewat 34 tahun dari edisi Indonesia (1982) dan pernah diterbitkan di Malaysia oleh Thinker’s Library (1988) ia bukanlah sebuah buku yang boleh diketepikan, idea dan pokok perbahasannya masih relevan dengan persekitaran umat Islam masakini.

Buku setebal 110 halaman (tidak termasuk kata pengantar, pendahuluan edisi pertama dan edisi semakan) mengsintesiskan sebuah perjalanan pemikiran dalam pandangan hidup yang tenang tetapi setiap saat terpaksa bergeser dengan ‘cara hidup terburu-buru dan mekanistik’, yang akhirnya menjadikan Islam terus berada di persimpangan, persimpangan jalan peradaban dan juga persimpangan ‘penaklukan ruang’.

Bagi menjadikan Islam sentiasa kuat dan berpengaruh, Assad menulis: peradaban Islam pada asasnya adalah bercirikan agama, kita harus, pertamanya, berusaha untuk mentakrifkan peranan umum agama dalam kehidupan manusia. Apa yang kita ungkapkan sebagai ‘sikap agama’ adalah natijah yang tabii dari konstitusi intelek dan bilogi manusia. Manusia tidak mampu untuk menjelaskan kepada dirinya misteri kehidupan, misteri kelahiran dan kematian, misteri tentang infiniti dan keabadian. Penalarannya berhenti di hadapan dinding yang tak dapat ditembusi….(hal.3)

“…Manusia, dengan semua mekanisma jiwanya yang rumit, dengan semua keinginan dan ketakutannya, perasaannya, ketidaktentuan spekulasinya; melihat dirinya terhadap sebuah Alam di mana kebajikan dan kezaliman, bahaya dan keselamatan bercampur dalam cara yang menakjubkan, tidak dapat dijelaskan dan tampaknya bekerja di atas garis yang sepenuhnya berbeza dari metod dan struktur pemikiran manusia. Tidak pernah falsafah intelek yang murni atau eksperimen sains berupaya untuk merungkai konflik ini. Demikian inilah persis poinnya di mana agama masuk.” (hal.5)

Atas seruan itulah menurut Asad, di dalam Islam ‘tidak dipaksa untuk meninggalkan dunia’,  tiada pertapaan diperlukan untuk ‘membuka pintu rahsia bagi penyucian spiritual’ dan ‘tiada tekanan yang dikenakan terhadap pemikiran untuk percaya kepada dogma yang tidak dapat difahami supaya keselamatan diperoleh.’ Kedua-duanya diharmonikan, idea tentang Tuhan dan Keesaan-Nya, dibuktikan dalam ritual tawaf dan sembahyang. Ritual itu bukan sekadar gerakan fizikal, ia adalah gerakan ‘spiritual yang dilakukan secara sedar’.

Islam memandang kehidupan dengan ‘tenang dan hormat’ dan secara kerasnya menolak ‘optimisme materialistik Barat’ kerana ada satu lagi kehidupan yang lebih ‘abadi’, iaitu di Akhirat. Sebab itulah Islam “memimpin manusia  ke arah kesedaran tentang tanggungjawab moral dalam semua yang dia lakukan, baik besar atau kecil.” (hal.16)

Menurut Asad, “Islam tidak pernah mengambil mudah, sebagaimana Barat, bahawa sifat manusia—dalam pemahamannya yang umum, supra-individu—menjalani proses perubahan yang progresif dan peningkatan mirip dengan pertumbuhan sepohon pokok; hanya kerana Islam bersandar kepada premis bahawa asas daripada sifat itu, jiwa manusia, bukan satu kuantiti biologis.” (hal.21).

Sebab itulah peradaban Barat semakin kehilangan roh, kesemuanya diukur secara fizikal dan data, sedangkan Islam yang bersifat ‘transenden’ menganggap roh sebagai ‘realiti yang di luar persoalan atau keraguan.’

Berbeza dengan Barat yang melihat ‘setiap orang harus berusaha ke arah tujuan spiritual sebagai individu, dan setiap orang harus bermula dan berakhir dengan dirinya; Islam memperhatikan kehidupan manusia dari sudut spiritual serta material, dan kedua-duanya saling berhubungan, individu dan kemasyarakatannya’ kerana ‘sikap beragama’ itu sentiasa berlandaskan kepercayaan adanya undang-undang moral yang terikat dan tunduk kepada perintah-Nya. (hal. 22)

Walaupun ditulis lebih lapan dekad yang lalu, kerangka pemikiran Asad tentang peradaban Barat yang cenderung ‘mengecualikan Tuhan’ akhirnya telah ‘membangunkan kemungkinan-kemungkinan materi dan intelek’ tanpa mengizinkan ‘etika transenden dan saran moral’ yang menjurus kepada ‘kejahatan’. Sebab itulah peradaban Barat terpaksa melalui ‘balas dendam’ terhadap ‘gereja’ sehingga bertekad untuk menghapuskan satu sama lain apabila masing-masing kepentingan bertembung.

Hal ini terus berlaku sehingga sekarang, di mana ‘agama’ hanyalah ritual yang diperlukan selepas dilahirkan (pembabtisan) dan tatkala disemadikan sebaik sahaja seseorang disahkan meninggal dunia. Persoalan semasa hidup yang lainnya tidak melalui ‘sikap beragama’ sehingga ada di antaranya berusaha kuat melakukan penentangan, termasuklah menghalalkan apa yang agama melarangnya, misalnya perkahwinan sejenis, bersekedudukan dan homoseksual.

Dominasi kehidupan berpusatkan kepada ‘faedah material’ dan etika pula bersandarkan prinsip ‘kesukarelaan’ yang akhirnya menjadi ‘racun yang membunuh’ di dalam ‘jurang khayalan’ struktur pemikiran manusia.

Menurut Asad, akibat kekosongan spiritual umat Islam semakin terjajah secara fizikal dan fikirannya sehingga takjub dengan budaya dan ideologi Barat. Ketakjuban seperti ini menyebabkan umat Islam semakin mereput dan menunggu kematian tanpa berusaha mendengar suara abadi. Lantaran itulah menggerakkan Asad untuk berusaha memecahkan persoalan ‘kekosongan hati’ bagi memperkuatkan kembali ‘sikap beragama’ dalam kalangan umat Islam.

Beliau mendedikasikan buku ini kepada ‘generasi baharu’ agar mereka bukan sahaja mampu berfikir positif bahkan meneliti setiap kekurangan bagi mencipta semula kebangkitan ummat. Umat Islam tidak perlu mencari prinsip-prinsip yang baharu dari luar, sebaliknya perlu menerapkan ‘semangat agama’ yang ditinggalkan setelah dikelirukan dengan fahaman material dan proses kemodenan Barat yang terlalu individualistik.

Meskipun sejak penerbitan buku ini, menurut Asad dalam kata pengantarnya untuk edisi semakan 1982, banyak berlaku salah faham terhadap gagasannya, al-Qur’an dan as-Sunnah tetap memberi ruang yang besar terhadap kreativiti budaya asalkan tidak berlaku pelanggaran yang boleh ‘membunuh agama’. Atau berlaku ‘pertentangan Gereja’ sehingga menghasilkan ‘gelombang kemabukan’ material, kebebasan dan hak asasi yang kemudiannya mengetepikan prinsip moral dan kemayarakatan.

Asad mengharapkan tulisannya ini mampu mengembalikan semula ‘keyakinan diri kita yang hilang’ bagi memacu peradaban Islam yang lebih besar dan hebat. Untuk menuju ke jalan itu, janganlah sekali-kali ‘memusnahkan institusi sosial kita sendiri dan meniru peradaban asing’, yang tidak hanya dalam pemahaman sejarah atau geografi, tetapi juga dalam pemahaman spiritual.

Hari ini, jelas Assad, “Islam adalah seperti kapal yang tenggelam. Semua tangan yang dapat  menolong diperlukan di atas kapal. Tetapi ia akan selamat  sekiranya umat Islam mendengar dan memahami seruan dan jalan yang telah ditunjukkan kepada kita dalam perkataan al-Qur’an: Sesungguhnya, pada diri Pesuruh Tuhan ada suri tauladan yang baik bagi setiap orang yang mengharapkan Tuhan dan Hari Akhir’ (Al-Qur’an 33:21).

Inilah pemerhatian tajam Asad terhadap peradaban Barat dan keadaan umat Islam yang ‘takjub’ sehingga menerima apa sahaja daripada Barat sepenuhnya, akhirnya telah memusnahkan makna kehidupan sebenar. Sumbangan Asad dalam membangunkan semula ‘semangat agama’ terus dihargai dan penerbitan buku ini dalam edisi bahasa Melayu walaupun agak terlewat, ia bukanlah sesuatu yang basi dan tidak bermakna.

Usaha seperti ini perlu diteruskan untuk menterjemahkan lain-lain buku yang mempunyai ‘wawasan besar’ walaupun sudah dikategorikan klasik, termasuklah dua buku tersohor Asad yang lain, Road to Mecca dan The Principles of State and Government in Islam.

Nama Pengarang : Muhammad Asad

Nama Buku : Islam Di Persimpangan Jalan

Nama Penerbit: Islamic Renaissance Front. 2016

Jumlah Halaman : 110 + xxiv

Nama Pengulas : Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply