Awalnya radio putar lagu raya

ISNIN lalu, dalam perjalanan memandu ke pejabat, dilantunkan lagu selamat hari raya menerusi corong radio. “Cepatnya main lagu raya”, bisik hati penulis. Tersentak sekejap kerana pada tarikh itu baru masuk hari ke-15 Ramadan.

Dengan kata lain, sepatutnya dalam memasuki separuh kedua Ramadan al-mubarak, kita memperkemas dan memperhebatkan lagi ibadat. Ia sebagai persediaan mencari malam al-qadr pada 10 malam terakhir.

Malam yang kita semua maklum, menjanjikan pahala lebih daripada 1,000 bulan ataupun kira-kira 83 tahun empat bulan. Satu durian runtuh yang hanya diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Ia supaya umat Islam tidak terganggu tumpuan mereka menambah ibadat. Sebabnya, belum tentu kita bertemu Ramadan tahun depan.

Memainkan lagu-lagu raya yang terlalu awal akan menimbulkan mood raya dalam kalangan umat Islam. Yang dibimbangi, ia mendorong kita membuat lebih persiapan Aidilfitri padahal Ramadan masih berbaki berbelas hari lagi.

Keberkatan Ramadan adalah sebulan lamanya, berbanding Aidilfitri iaitu pada 1 Syawal. Cuma budaya di Malaysia, kita menyambutnya sebulan.

Kalau di negara-negara Arab, Aidilfitri hanya disambut sehari. Selepas itu, umat Islam di sana sudah mula puasa sunat syawal enam hari.

Hari raya memanglah hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya melawan hawa nafsu berpuasa Ramadan dan ia adalah perayaan yang diiktiraf oleh Islam.

Ini sebagaimana hadis Nabi SAW: Ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari raya untuk bersenang-senang dan bermain-main pada zaman jahiliah. Maka baginda bersabda, “Aku datang kepada kalian dan kalian mempunyai dua hari raya di masa jahiliah yang kalian isi dengan bermain-main. Allah telah mengganti kedua-duanya dengan yang lebih baik bagi kalian, iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha (hari Nahr)”. (Riwayat Nasai dan Ahmad)

Ramadan adalah bulan yang ada banyak keistimewaan dan kemuliaan tersendiri. Ia juga dikenal dengan nama sayyidus suhur (penghulu segala bulan), syahru nuzulil Quran (bulan diturunkannya al-Quran), syahrul tarbiyah (bulan pendidikan) dan syahrul muwasah (bulan toleransi dan peduli).

Ia juga adalah bulan penghapus dosa. Berpuasa Ramadan dapat menghapus dosa-dosa yang kita lakukan sama ada yang disedari atau tidak disedari asalkan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berdasarkan iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT.

Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu. (Muttafaqun alaih).

Yang kedua, dalam bulan ini juga dibukanya pintu-pintu syurga. Hal ini kerana banyaknya amal soleh yang disyariatkan pada bulan tersebut menyebabkan masuknya seseorang ke dalam syurga dan ditutup pintu-pintu neraka pada bulan itu.

Ketiga, bulan Ramadan memiliki banyak keberkatan, keutamaan dan pelbagai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh bulan-bulan lainnya. Semasa Ramadan, setiap amal kebaikan diberi ganjaran berlipat ganda. Ganjaran pahala mengerjakan amal ibadah dalam Ramadan adalah berlipat ganda. Ibadat fardu diberi pahala hingga 70 kali ganda dan ibadat sunat diberi pahala ibadah fardu.

Keempat, syaitan-syaitan dibelenggu pada Ramadan. Syaitan tidak mampu untuk menggoda (menyesatkan) manusia, menjerumuskan manusia dalam kemaksiatan sebagaimana mereka lakukan pada 11 bulan yang lain.

Sebab itu, umat Islam lebih mudah terdorong melakukan ibadat. Ini dapat kita lihat bila mana jemaah masjid dan surau menunaikan solat fardu meningkat berkali ganda termasuk solat subuh berbanding bulan-bulan lain.

Demikian juga dengan jumlah yang mendirikan solat sunat tarawih, bertadarus, bersedekah dan melakukan pelbagai lagi amal kebaikan.

Hebatnya puasa juga kerana Allah SWT sendiri yang akan memberikan ganjarannya kepada setiap individu. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, Allah SWT berfirman: “Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.”

Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah SWT daripada bau kasturi. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh Mohd Radzi Mohd Zin

Sumber : Utusan Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply