AYAT-AYAT CINTA-NYA

Oleh:  Abu Ikram

Suatu hari nanti, mungkinkah pohon meranti, cengal, tembusu, nibung, bayas, serdang, langkap dan teronoh hanya akan dapat dilihat dalam muzium khazanah negara pada zaman cucu-cicit kita kelak? Mungkinkah generasi akan datang terpaksa membayar mahal dengan membeli tiket semata-mata untuk melihat seterusnya mengenal mentibang atau kongkiak? Mungkinkah perkataan “rimba’, ‘belantara” atau “hutan” menjadi istilah yang asing buat generasi kita pada masa akan datang?

Ya, persoalan-persoalan berkenaan pernah terlintas di benak tatkala meranduk sungai separas buku lali menuju ke tebing melihat hutan kecil di hadapan saya.

Dulu, sungai itu menjadi tempat saya bercempera dengan rakan-rakan, parasnya pernah mencecah leher orang dewasa, tetapi kini hanya separas buku lali. Air sungai telah dihirup pokok-pokok kelapa sawit yang kawasan projeknya semakin melebar di hulu kampung. Kedua tebing sungai kelihatan semakin menghimpit kerana aliran air sudah mula menyusut.

Hutan kecil di hadapan saya dulunya adalah tanah bendang yang luas terbentang. Apabila perhatian orang sudah mula beralih kepada perusahaan getah dan sawit yang lebih cepat berhasil, maka tanah bendang terbiar tidak diusahakan. Perlahan-lahan menumbuhkan menerung, cenerai dan langsung menghasilkan belukar dan hutan kecil.

Suasana pagi menghantar saya di tebing sungai itu. Menghantar ingatan pada kenangan lalu yang merecup segar mengingatkan suasana desa yang tiada galang gantinya.  Apakah kini perkataan ‘desa’ untuk kita hanya sesuai menjadi sebuah memori dan tempat untuk menyelak kembali album kenangan?

Ya, itulah realiti sebuah persoalan yang terpaksa diakui dengan kata setuju. Proses urbanisasi dan modenisasi menghantar ramai di antara kita ke bandar dan akhirnya berkeluarga dan berketurunan di sana. Generasi yang lahir di bandar, sangat asing dengan istilah desa. Mujur sekali ada hari perayaan dan keberadaan ibu bapa kita melangsaikan saki-baki usia, maka desa akhirnya menjadi destinasi pilihan keluarga.

Bacalah dengan nama Rabbmu

Di hadapan saya adalah al-Kaun yang menjadi ayat-ayat cinta-Nya. Setiap insan harus terdorong melihat segala ciptaan dan nikmat-Nya di atas muka bumi sebagai mekanisme untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di negeri Akhirat. Sebagaimana firman Allah:

Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan (di muka bumi). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas 28: 77)

Interaksi dengan alam sebagai ayat-ayat Allah perlu dibaca dengan peraturan dan ketetapan-Nya, melalui perincian sunnah Rasul s.a.w sesuai dengan perintah dan larangan Allah sebagaimana firman dalam wahyu-Nya yang pertama kepada Rasulullah s.a.w dalam surah al-`Alaq ayat 1 hingga 5. Pengamatan dan penelitian terhadap fenomena alam akan menyebabkan berkembangnya ilmu pengetahuan. Potensi manusia sebagai khalifah disuburkan melalui percambahan ilmu pengetahuan supaya manusia mampu memanfaatkan lingkungan sekelilingnya, malah melestarikan serta mengelolakannya.

Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-An`am 6: 165)

Alam sekitar merupakan subjek yang perlu dilestarikan dan dikelolakan dengan berkesan dan tentulah tugas dan peranan berkenaan adalah untuk memenuhi peranan dan tugas khalifah. Penghayatan maksud desa, malah hutan kecil dan sungai di hadapan saya merupakan salah satu dari sekian banyak misal di tanah air ini yang memerlukan pelestarian dan pengelolaan yang efisien terutama sebagai khazanah generasi yang tiada galang-ganti.

Ayat-ayat Cinta Tuhan

Alam sebagai makhluk ciptaan langsung daripada Tuhan merupakan kurnia dan tanda rahmat-Nya kepada insan. Alam yang menghidupkan pengalaman menjadikan insan membimbing sifat keinsanannya ke arah makna yang menjadi inti kehidupan yang bernama Tawhid. Alam adalah lambang keindahan dan kita kadang-kadang terlalu sibuk dengan pengurusan dan administrasi yang pelbagai hingga lupa pada unsur-unsur keindahan alam yang memberi makna ketuhanan.

Barangkali kita tidak sedar, kesibukan menjadikan kita kehilangan kepekaan dan menenggelamkan sensitiviti manusiawi. Kita menjadi kering dan keras seperti tegaknya tiang yang berdiri tanpa rasa kealaman dan kebumian. Maka lahirlah manusia-manusia yang mencemar dengan pelbagai gaya nafsu bagaikan mereka boleh hidup tanpa alam, tanpa tanah dan tanpa bumi. Sedangkan pada satu alam bernama cacing yang meliuk-lentok dan berpintal itulah menjadikan tanah subur, tidak tandus dan kontang. Namun, kesibukan menjadikan kita hanya melihatnya sebagai suatu kegelian, kejijikan dan kekotoran.

Alam dan segala rahsia dan misterinya hakikatnya sering mempengaruhi gerak laku, daya tindakan apatah pada pemikiran dan perasaan kita. Tanpa alam, kehidupan kita menjadi kering dan beku tanpa warna suasana yang hidup dan menghidupkan. Lambaian daun kelapa di pinggir pantai, kicau burung yang galak, cahaya matahari rembang yang menyinar, malah banjir yang bergelombang, taufan yang berpintal, badai yang menghempas, semuanya mempengaruhi ketenangan dan kegusaran hidup insan.

Kehijauan pokok-pokok dalam belukar dan hutan kecil di hadapan saya, yang memperlihatkan kesuburan, yang sering menggeselkan dahan dan ranting antara satu sama lain apabila dihembus angin, memberikan hujah kepada akal yang sihat untuk berfikir. Ayat berikutnya memberikan pengukuhan bahawa alam menjadi mekanisme yang mensejahtera dan menyihatkan akal yang sering difungsikan untuk merenung dan berfikir.

Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkannya.” (an-Nahl 16: 11)

Ayat seterusnya memberikan penjelasan bahawa alam membawa akal yang berfikir kepada kefahaman yang jelas terhadap kekuasaan yang menjadi saluran cinta-Nya buat hamba-hamba-Nya yang bernama manusia, supaya yang kafir mendapat petunjuk dan yang beriman bertambah kukuh keimanannya.

Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahaminya.” (al-Nahl 16: 12)

Justeru, menjarakkan diri dengan alam, dengan desa, ibaratkan menjarakkan diri kita dengan ayat-ayat cinta-Nya!

No Comments

    Leave a reply