BAGAIMANA UNIVERSITI TANPA RUH HARI INI MELAHIRKAN GENERASI ROBOT/ANDROID DAN ZOMBI

Universiti dalam tradisi keilmuan Islam dan silam adalah replika atau model insan yang terdiri dari gabungan organik ruh dan jasad. Universiti dari istilah UNIVERSALIS (Latin) atau KULLIYYAH atau JAMI’AH (Arab) merujuk kepada sifat dan tabi’at bersepadu lagi menyeluruh atau komprehensif, syamil dan kamil – merangkumi segenap dimensi-dimensi kemanusiaan yang ada. Universiti atau Kulliyyah atau Jami’ah pada akhirnya mewakili INSAN KAMIL yang diinspirasikan dari Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai Insan Paripurna paling sempurna dari bukan sahaja dari dimensi jasadiyyah dan ruhaniyyah malah dimensi aqliyyah (intelektual), qalbiyyah (psiko-spiritual) dan nafsaniyyah-amaliyyah (praktikal) berbanding dengan manusia-manusia yang lainnya. Inilah intipati, tujuan, visi dan misi pendidikan Islam iaitu melahirkan insan-insan yang bakal mengikut jejak-langkah Baginda Junjungan SAW sebagai paradigma atau prototaip dalam setiap dimensi kehidupan mereka dari peringkat paling rendah sehingga ketahap paling tinggi, tiada terkecuali.

Faham Universiti Moden yang tumbuh dan berkembang di Barat sejak Zaman Renaissance Eropah Abad ke 17 dan Zaman Pencerahan (Enlightenment) Eropah Abad ke 18 dengan gelombang Sekularisme dan Humanisme telah awal-awal membuang Tuhan dan Ruh dalam agenda kebangkitan mereka. Bermula dengan Descartes (1596-1650), beliau merubah paksi rujukan ilmu dari Tuhan kepada manusia dengan pengistiharan “AKU berfikir justeru AKU wujud” – “Ego Cogito Ergo Sum” serta membuang jauh-jauh Ruh dari skima ilmu pengetahuan manusia. Kira-kira 250 tahun selepas Descartes, Nietzsche (1844-1900) melengkapkan projek KEAKUAN (EGOISME) Descartes dengan pengistiharan “TUHAN TELAH MATI” – “Gott Ist Tot” dibunuh oleh manusia sendiri!. Dari Descartes yang dinobatkan sebagai Bapa Modenisme-Rasionalisme Barat Moden kepada Nietzsche yang diangkat sebagai Bapa PascaModenisme-Nihilisme (Nothingness) Dunia Kontemporari, masyarakat Barat Eropah sepakat pada menyatakan Tuhan dan Ruh juga Agama tiada tempat dalam arus-perdana kehidupan insan.

Oleh kerana semua universiti moden dalam dunia ini secara majoriti berinspirasi dari sistem ilmu Eropah Barat pasca Descartes yang EGO-Sentrik pada menisbahkan Akal-Rasional (Instrumental Rationaliti) sebagai satu-satunya sumber ilmu, yang meniadakan peranan Tuhan dan Ruh dalam proses perolehan ilmu kemudiannya diperkukuhkan dengan aliran ilmu pasca Nietzcshe yang dengan membunuh Tuhan menghapuskan semua makna dan nilai dalam kehidupan atau NIHILISME, maka tidak dapat tidak universiti-universiti menganut ajaran EGOISME Descartes dan NIHILISME Nietzcshe sama ada mereka sedar atau tidak sedar. Memangpun tidak ada universiti hari ini yang secara jelas dan tuntas membicarakan tentang Agama, Tuhan, Ruh dan seumpanyanya sebagai agenda utama dalam hal-hal pentadbiran, peningkatan akademik, pembangunan pelajar juga perkembangan penyelidikan mereka. Malah terdapat cakap-cakap tentang “the soul of the university” atau “ruh universiti” secara retorik disana-sini.

Impak paling besar dari skima ilmu pengetahuan anjuran Descartes dan Nietzcshe yang mempengaruhi universiti-universiti hari ini termasuk universiti-universiti di Tanah Air kita ialah Universiti Tanpa Ruh melahirkan para mahasiswa dan graduan yang juga tanpa ruh. Malah masyarakat awam juga telah menerima kenyataan bahawa universiti hari ini tidak lain dari sekadar kilang untuk menghasilkan peluang-peluang pekerjaan kepada para graduan yang bernasib baik jika kelulusan akademiknya menepati pekerjaan yang mereka pohon. Universiti-universiti di Malaysia tidak pernah dianggap sebagai pusat pencetus BILDUNG atau pencetak insan-insan yang terbina akal-budi mereka untuk pembinaan peradaban negara-bangsa seperti di Negara Jerman misalnya. Universiti-universiti di Malaysia pun tidak pernah mempunyai gagasan dan wawasan pembinaan peradaban manusia sepertimana yang dicita-cita dalam tradisi Islam dan silam.

Universiti Tanpa Ruh, tanpa wacana tahap tinggi tentang keagamaan, ketuhanan, kenabian, nilai-nilai kehidupan, peradaban kemanusiaan tentu sahaja berfungsi pada tahap minimum menyediakan pekerja-pekerja industri yang rata-rata tidak pernah menghargai dan menghormati universiti dan ilmu atas sikap kapitalis dan memaksimakan keuntungan mereka. Universiti Tanpa Ruh yang keliru antara peranan melahirkan para graduan yang sama ada menjadi insan, mengenal Tuhan atau mendapat pekerjaan tentu sahaja tidak berupaya untuk mengarahkan jasad korporat mereka ke arah pertimbangan-pertimbangan yang lebih tinggi dalam memahami intipati, tujuan, visi dan misi pendidikan Islam yang berinspirasikan dari Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai Insan Kamil seperti yang dinyatakan sebelum ini. Berdasarkan kepada realiti dan keterbatasan ini, maka Universiti Tanpa Ruh tidak berupaya melahirkan generasi Insan Kamil tetapi seperti kilang-kilang perusahaan yang lain, mereka sekadar boleh menghasilkan produk-produk mahasiswa dan graduan sebagai Robot/Android dan Zombi yang juga Tanpa Ruh!

Suka atau tidak suka kita harus menerima hakikat tentang kewujudan Generasi Android dan Zombi dalam masyarakat hari ini hasil produk kilang-kilang ilmu pengetahuan Universiti Tanpa Ruh. Golongan mahasiswa dan graduan Generasi Robot/Android dan Zombi cetakan Universiti Tanpa Ruh ini kini berada disekeliling kita dalam masyarakat semasa yang kebanyakkannya hidup tanpa keyakinan diri yang kental, tanpa kekuatan psikologi yang mantap, tanpa semangat juang dan idealisme kehidupan yang tinggi serta lebih seronok menjalani kehidupan dalam dunia konsumerisme dan materialisme yang palsu. Generasi Robot/Android dan Zombi cetakan Universiti Tanpa Ruh ini juga yang dikatakan tidak melunaskan hutang lebih RM50 bilion kepada PTPTN jelas menunjukkan betapa Generasi Robot/Android dan Zombi ini semacam tiada nilai akhlak, etika dan moral yang jelas tentang kewajiban melunaskan hutang-hutang kepada negara dan masyarakat tersebut. Bagaimana Universiti Tanpa Ruh tempat terhasilnya Generasi Robot/Android dan Zombi ini boleh menerapkan hal-hal akhlak, etika dan moral itu pun satu yang boleh dipersoalkan?

Sudah tiba masanya untuk Universiti Tanpa Ruh ini untuk mencari Ruh sebenar mereka. Jika tidak kita akan terus-terusan berdepan dengan kemunculan Generasi Robot/Android dan Zombi yang tidak boleh diharapkan untuk memelihara kelangsungan dan kestabilan agama, bangsa dan negara terutamanya dalam dunia global tanpa sempadan ini. Universiti Tanpa Ruh khususnya Universiti-Universiti berlabelkan Islam sepatutnya lebih insaf dan sedar tentang keperluan mencari Ruh Universiti Islam itu sendiri sepertimana yang diwariskan dalam khazanah keilmuan Islam yang luas dan dalam itu. Oleh kerana sifat dan tabi’at Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin maka pencarian Ruh Universiti ini tidaklah terhad kepada Universiti berlabel Islam sahaja, malah dalam konteks negara majoriti Muslim seperti Malaysia, semua Universiti Tanah Air awam dan swasta sewajarnya meneliti usaha pencarian Ruh Universiti ini agar kebanjiran Robot/Android dan Zombi dalam masyarakat boleh kita hentikan!

Oleh Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply