BAHANG DARI SELATAN

Dua bahang dari selatan berjaya memanaskan iklim politik Malaysia. Bahang pertama ialah jangkitan COVID-19, yang mula dikesan di Malaysia hasil daripada kemasukan pelancong China dari Singapura. Mereka kemudiannya di kuarantin di sebuah hotel di Johor Bahru  pada 25 Januari 2020.

Bahang kedua ialah perubahan lanskap politik yang bermula di Johor, iaitu rombakan  kepimpinan politik yang diadakan pada 14 April 2019. Osman Sapian (ADUN Kempas) dikatakan enggan melayan kehendak Dr Mahathir berkaitan peraturan hak milik tanah. Osman akhirnya digantikan oleh Dr Shaharudin Jamal (ADUN Bukit Kepong). Shahrudin tidak dilantik sebagai Pengerusi PPBM Johor, sebaliknya Muhyiddin memberikan tanggungjawab itu kepada Mazlan Bujang (Ketua PPBM Tebrau).

Bila pucuk pimpinan pusat berubah selepas peletakan jawatan Dr Mahathir,  Muhyiddin menyusun semula perkongsian kuasa di Johor. Dengan semangat Perikatan Nasional, Datuk Hasni Mohamad (ADUN Benut)  dilantik  sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

tokrasi mahathir

Hasni adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan juga Ketua Pembangkang DUN Johor (semasa PH). Menyandang ADUN Benut sejak PRU ke-12 (2008). PRU ke-11 (2004) beliau menang kerusi Parlimen Pontian dan dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Pontian sejak 2001.

Di awal pentadbiran PH, integriti sebahagian pemimpinya dipersoalkan, terutama berkaitan kelayakan akademik. Osman Sapian adalah salah seorang yang dikaitkan dengan ‘ijazah palsu’ kerana beliau sebenarnya gagal menamatkan pengajian di Kolej Pertanian Malaya.  Apabila terpalit dengan isu tersebut, Osman memohon maaf dan meminta agar laman rasmi dipadamkan perihal ‘ijazah’ atau ‘diploma’ dari UPM.

Ketika Johor berhadapan dengan isu ‘udara tidak sehat’, Osman dilihat tidak memainkan peranan serius menanganinya. Pencemaran udara dikatakan mula dikesan pada 7 Mac 2019, tetapi kenyataan kerajaan negeri dikeluarkan pada 12 Mac untuk mengeluarkan tender pembersihan toksik di Sungai Kim Kim. 13 Mac 2019, Osman dilaporkan bercuti ke Batan bersama rakan-rakan ‘mencari ketenangan’. Lebih memilukan apabila Osman berkata, pencemaran udara itu bukanlah ‘isu besar’ walaupun lebih 100 buah sekolah diarahkan tutup dan hampir 3,000 penduduk Pasir Gudang menerima rawatan di hospital, termasuk 12 orang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Johor dilanda masalah pencemaran udara sebanyak tiga kali, iaitu Mac, Jun dan Ogos 2019. Mac 2019 dipercayai disebabkan bau toksik yang mengalir dalam Sungai Kim Kim. Bulan Jun 2019, disebabkan oleh proses penyeruapan udara panas kerana ketika itu berlaku perubahan angin monsun barat daya dan keadaan topografi Pasir Gudang. Bulan Ogos 2019 berlanjutan sehingga bulan September, ia berpunca daripada pembakaran haram dan kualiti udara tidak sihat.

tokrasi mahathir 1

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 19 September menunjukkan Johor Bahru adalah terburuk dengan 164; Segamat (148);  Kluang (139);  Pasir Gudang (137);  Kota Tinggi, Tangkak dan Batu Pahat masing-masing 134 dan Pengerang 116.  Empat hari sebelum itu, semua sekolah di Muar, Tangkak dan Pontian diarahkan tutup. Laporan pada 29 Ogos 2019 mendapati 29 pelajar SK Taman Pasir Putih dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

Keadaan menjadi lebih serius apabila PH tewas di dalam PRK Tg Piai pada 16 November 2019. PRK diadakan apabila penyandangnya, Datuk Dr Md Farik Md Rafik meninggal dunia pada 21 September 2019 akibat kompilasi jantung. Farid adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial). Dalam PRU ke-14, Farik menang dengan majoriti kecil, iaitu 524 undi.

PPBM memilih Hj Karmanie Sardini (66) manakala calon BN ialah Wee Jeck Seng (55). Wee adalah bekas penyandang sebanyak dua penggal (PRU ke-12 dan ke-13). Gerakan meletakkan Wendy Subramaniam (38), BERJASA mencalonkan Badrulhisam Abdul Aziz (56), dan dua orang calon Bebas, iaitu Faridah Aryani Abdul Ghani (45) mewakili Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) dan Ann Chuan Lock (49), pengusaha pusat tiusyen. PRK tersebut lebih tertumpu kepada persaingan antara BN dan PH.

Terdapat beberapa kesilapan kempen di pihak PH berlaku di Tg Piai. Syed Saddiq (Ketua ARMADA PPBM dan Menteri Belia dan Sukan) memanggil calon PPBM sebagai “arwah Hj Karmanie”; Salehudin Ayob (Timbalan Presiden PAN dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dalam perjumpaan tertutup dengan guru-guru di SJKC Pei Chio, Kukup Laut berkata: Saya tahu ada marahkan PH, tapi ingat kalau bagi balik BN berkuasa, dia kawan sama Pas. Ini country akan huru hara! Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tiada orang tembak sana sini, tiada orang bakar sana sini. Nak berniaga tak boleh nak pergi laut tak boleh

tokrasi mahathir 2

Lim Guan Eng, Menteri Kewangan ketika merasmikan Konvensyen DAP Johor di Muar pada 3 November 2019, menggariskan lima sebab pengundi Tg Piai perlu menolak BN. Sebelum itu, selepas PRK Cameron Highland (26 Januari 2019),  Lim Guan Eng menyifatkan cadangan pemuafakatan PAS dan UMNO sebagai ‘permulaan gendang perang terhadap bukan Melayu’. Kenyataan-kenyatan itu telah mengasak isu perkauman. Kemudian Nga Kor Ming (Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Teluk Intan) menyambung dengan berkata kerjasama PAS dan UMNO akan mewujudkan ‘pemerintahan ala Taliban”. (Rujuk: https://malaysiagazette.com/2019/03/09/nga-kor-ming-cuba-back-up-guan-eng/, 9 Mac 2019).

Muafakat Nasional, walaupun dicemuh dan dianggap ‘permulaan gendang perang’ serta ‘pemerintahan ala Taliban’ akhirnya berjaya dimeterai dalam satu Perhimpunan Ummah (menjelang sambutan Hari Malaysia 2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). MCA dan MIC turut menyokong kelahiran ‘penyatuan dua buah parti politik Melayu’ terbesar itu dan tidak melihatnya sebagai satu keburukan sebagaimana dibayangkan oleh pemimpin-pemimpin PH.

Pemimpin-pemimpin PH sebenarnya tercabar dengan kerjasama tersebut, terutama kedudukan beberapa kerusi yang dimenangi oleh PAN dan PKR. Menurut perkiraan statistik (keputusan PRU ke-14), bila undi dua parti tersebut digabungkan, ia menunjukkan PH ‘tewas’. Misalnya, Parit Buntar. Ada beberapa kerusi lagi PH menang dengan majoriti kecil.

tokrasi mahathir 3

Bagi Lim Guan Eng, Muafakat Nasional yang dirintis itu boleh mengakibatkan permusuhan, di mana: (1) orang bukan Melayu atau bukan Islam tidak layak dilantik menganggotai kabinet; (2) sekolah vernakular yang menggunakan bahasa ibunda (bukan bahasa kebangsaan) akan ditutup; (3) bukan Islam, khususnya Kristian tidak lagi dapat berkumpul untuk menjalankan aktiviti agama; (4) produk yang dikeluarkan oleh bukan Islam akan diboikot; dan (5) orang bukan Melayu atau bukan Islam akan terus dilabelkan babi, komunis dan pengganas. (Rujuk: http://tanwir.my/prk-tg-piai-malang-buat-bersatu-dan-kesipuan-buat-dr-mahathir/ 18 November 2019).

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksi balas terhadap ‘ketakutan Lim Guan Eng’ itu berkata: “Rakyat tidak takut pun kerana rakyat sudah tahu dan rakyat pernah ditadbir di bawah kedua-dua kerajaan ini, cuma yang menggambarkan ketakutan datangnya dari Lim Guan Eng sendiri khususnya DAP terhadap Muafakat Nasional PAS dan UMNO.”(Rujuk:https://www.malaysia-today.net/2019/10/29/muafakat-guan-eng-takut-bukan-rakyat/).

PRK Tg Piai merupakan ujian pertama kepada pemuafakatan PAS dan UMNO. Dr Mahathir merasa terlalu bimbang dan cemas setelah PH kalah dengan keputusan hatrik -PRK Cameron Highland, DUN Semenyih dan DUN Rantau. Semasa turun berkempen di Tg Piai, Dr Mahathir berkata: “Ingat, jangan undi kerana marah…tidak tahu sebab apa nak marah, nak marah kat (pada saya) waktu ini pun boleh. Kita kena fikir masa depan kita dan undi dibuat untuk kebaikan kita. Kalau undi orang yang tidak boleh khidmat pada kita, kita yang rugi.” (Rujuk: https://www.hmetro.com.my/utama/2019/11/516937/luar-biasa-tun-m)

Seruan itu dibuat di tengah-tengah kemarahan akibat kegagalan PH menangani masalah kos sara hidup. Anwar, ketika berkempen di Pekan Nenas, (11 November 2019) mengakui bahawa: “Memang ada masalah ekonomi, masalah kaum, masalah agama, masalah golongan nelayan, pekebun kecil, pekebun getah, kenyataan yang hina orang dan sebagainya. Ini isu kita akui ada tapi apakah ini menyebabkan kita tukar pendirian kita tentang kerajaan dan dasar seluruhnya? Sebab apa kita tukar dulu (tukar kerajaan)? Sebab kita tidak mahu pemimpin yang salah guna kuasa. Ini isu pokok bagi saya.” (Rujuk: https://www.sinarharian.com.my/article/56780/PRU/PRK-Tanjung-Piai/Rugi-sokong-pembangkang-hanya-kerana-tak-puas-hati-dengan-PH)

Keputusan PRK Tg Piai sekali lagi memberikan tamparan hebat kepada PH, dan dianggap umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kepada Dr Mahathir dan PPBM pimpinannya. Ia adalah kedua PPBM, sebelumnya gagal mempertahankan kerusi DUN Semenyih.  Biarpun dijanjikan pada saat-saat akhir, penghapusan kutipan tol di empat lebuh raya –Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Terowong SMART, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expessway) dan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS)-tetapi digantikan dengan caj kesesakan (kadar sama dengan bayaran tol pada waktu puncak), diskaun 30 peratus di luar waktu puncak dan percuma antara 11 malam hingga 5 pagi. Sebaliknya pengundi membalas dengan pelbagai kata-kata sinis dan ejekan kerana kutipan tol tidak juga dihapuskan.

  • tokrasi mahathir 4

Ia akan dilaksanakan pada tahun 2020, iaitu setahun selepas diumumkan (23 Februari 2019).  Keputusan itu tidak dilaksanakan segera kerana ia masih dalam perundingan, melibatkan pemegang konsesi lebuh raya, iaitu Gamuda Bhd, Lingkaran Transkota Holdings Bhd (LITRAK Bhd), KESAS Holdings dan SMART Holdings dan jumlah bayaran yang besar (anggaran RM 6.2 bilion). Ia kemudian dikritik, pemegang konsesi akan memperoleh untungan ‘atas angin’ yang besar terutama kepada Gamuda.

Kaedah tersebut dikatakan  menghina pengguna lebuh raya, kerana ‘hanya babi dan mereka yang mabuk akan berada’ di lebuh raya ketika tidak dikenakan tol. PH ‘menipu’ dan tidak ‘menghapuskan tol’ sebagaimana dijanjikan tetapi mengenakan caj kesesakan sama dengan bayaran tol (waktu puncak).  Isu menjadi sepi selepas PH tidak lagi berkuasa.

Calon PH, Haji Karmanie Sardini hanya mampu meraih 10,380 undi manakala calon BN, Wee Jeck Seng 25,466 undi. Wee Jeck Seng diisytiharkan menang dengan majoriti 15,085 undi, jauh lebih besar daripada undi yang diraih oleh Haji Karmanie. Kekalahan itu menyebabkan Dr Mahathir dikecam dan tidak kurang juga mendesaknya meletakkan jawatan.

Kekalahan tersebut turut membuka perbincangan awam dan desakan ke atas Dr Mahathir semakin terbuka,  sama ada dari dalam PH mahupun bukan daripada komponen PH dan orang awam. Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Muhd Nasarudin Daud meramalkan hayat PH makin pendek (Sinar Harian, 23 November 2019).

Lain-lain pandangan ialah:  imej BN kembali pulih dan petanda awal PH akan tersungkur (M Periasamy, Astro Awani, 19 November 2019); Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan kekalahan itu sebagai ‘isyarat jelas rakyat supaya PH melakukan perubahan’ (Berita Harian, 17 November 2019); Nigel Aw menyifatkan kekalahan itu sebagai “PH berdepan dengan ombak undi protes” terutama pengundi Cina (Malaysiakini, 17 November 2019); Haspaizi Zain sebagai “Mimpi Buruk Bersatu di negeri kelahiran UMNO” (Malaysiakini, 20 November 2019); kekalahan memalukan (Fauzi Kadir, http://permadumalaysia.blogspot.com/2019/11/jika-didesak-berundur-mahathir-mungkin.html); Mahathir hilang aura dan sudah tiba masanya berundur (https://shahbudindotcom.net/2019/11/17/mahathir-telah-hilang-aura-masa-berundur-kini-tiba.html); dan paling memilukan ialah dari Syed Saddiq yang menulis di twitter miliknya “Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf.” (https://www.hmetro.com.my/utama/2019/11/517843/kekalahan-yang-pahit-ditelan-syed-saddiq-metrotv).

Dr Mahathir menerima kekalahan itu dengan berkata: “Mungkin saya salah. Mana saya tahu” (19 November 2019). Ada juga desakan agar Parlimen dibubarkan. Bekas Timbalan  Presiden PKR, Dr Syed Hussin Ali mengulas bahawa kekalahan itu adalah ‘referendum terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir’ dan  ia sudah cukup memberikan kesan buruk kepada PH.  Dr Mahathir perlu mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Anwar sebagaimana ‘dijanjikan’.

Muhyiddin VS Mahathir

Mungkin itu adalah bahang paling ‘panas’ dalam suhu politik dan mempengaruhi keputusan Dr Mahathir meletakkan jawatan secara unilateral pada 24 Februari 2020. Daripada beberapa perkembangan dan pendedahan selepas ‘PH hilang kuasa’ ia seolah-olah dapat mengesahkan faktor sebenar kenapa Dr Mahathir melepaskan jawatan lebih awal, sebelumnya kita membayangkan bahawa ia bakal bakal berlaku seawal 10 Mei 2020 (tarikh akhir yang ditetapkan oleh Otai Reformasi)  atau selepas selesai APEC akhir tahun ini.

Pendedahan Hamzah Zainudin, (Setia Usaha Agong (SUA) PPBM dan Menteri Dalam Negeri) -yang dilantik oleh Muhyiddin selepas Marzuki Yahya dipecat- ada kaitannya dengan kehendak Mahathir sendiri.  Apa yang dilakukan itu ‘bukan untuk pecah belahkan parti tapi untuk menentukan apa yang Tun (Mahathir) sendiri mahu. Dan Tun mahu supaya boleh pemimpin-pemimpin Melayu bersatu kembali. Itu saya lakukan.” (Malaysiakini, 29 Mei 2020).

Hamzah dituduh sebagai dalang kepada perpecahan dalam PPBM, iaitu menyingkirkan Dr Mahathir. Seterusnya, Hamzah berkata permintaan itu juga disampaikan kepada peimpin parti termasuk Mukhriz, Menteri Besar Perak, Faizal Azumu dan mereka ‘nak cari jalan bagaimana Bersatu keluar dari PH’ di samping ‘kukuhkan Bersatu’ dan ‘kurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP.’ Sebagai seorang politikus yang licik,  Dr Mahathir tidak mahu namanya dikaitkan dan gemar ‘lempar batu sembunyi tangan’.

Pembentukan Perikatan Nasional menyebabkan Muhyiddin dicap sebagai ‘pengkhianat’ oleh Dr Mahathir. Muhyiddin dianggap ‘pengkhianat’ kerana tidak sehaluan dengan Dr Mahathir mengenai kerjasama PPBM dengan DAP. Mahathir mahukan kerjasama berterusan dengan DAP dan menyindir pemimpin-pemimpin Melayu yang enggan bekerjasa  sebagai ‘bacul’. Muhyiddin pula dikatakan lebih bersedia bekerjasama dengan UMNO dan PAS.

Mahathir sudah lama berdendam dengan PAS, bahkan pernah mengecamnya. PAS pula terasa ‘serik’ untuk bekerjasama dengan DAP, yang sentiasa meletakkannya sebagai ‘abang besar’.  UMNO dibenci oleh Dr Mahathir sejak Tun Abdullah tidak meneruskan projek Jambatan Bengkok.  Selepas Najib mengambil alih jawatan (2009), Mahathir mula bencikan Najib kerana ‘tidak menjamin kemenangan Mukhriz’ dalam pemilihan UMNO untuk jawatan Naib Presiden (2015) dan menyekat penyingkiran Mukhriz sebagai Menteri Besar (2016). Mukhriz adalah satu-satu waris Dr Mahathir yang cenderung dalam politik dan diharapkan sebagai penyambung legasinya.

mahathir anwar

Mahathir menjadi semakin membenci Muhyiddin apabila Mukhriz dipaksa meletakkan jawatan Menteri Besar Kedah sekali lagi sebelum Aidilfitri lalu. Dilaporkan bahawa Muhyiddin mahukan PAS melakukan ‘perubahan sokongan’ berdasarkan kedudukan kerusi yang dimilikinya dan Azmin pula bertindak sebagai faktor yang mempercepatkan proses tersebut dengan menggerakkan penyokong-penyokongnya.

Babak permusuhan itu menjadi semakin dramatik apabila berlakunya pecat memecat keahlian PPBM. Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8, Dr Mahathir enggan bertemu Muhyiddin walaupun Muhyiddin memohon untuk berbincang dan menyelesaikan kemelut parti. Selepas menolak pemecatan, Dr Mahathir memecat SUK yang menghantar surat kepada mereka berlima memberitahu ‘pelucutan keahlian’ kerana melanggar peraturan parti.

Suhaimi Yahya digantikan dengan Sazmi Miah, tetapi Muhyiddin tidak boleh menerima pemecatan itu. Mahathir pula sedang berusaha untuk memecat Muhyiddin daripada PPBM tapi dengan cara ‘keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)’. Apakah MPT yang bakal membuat keputusan itu sah atau sebaliknya? Atau memenuhi syarat kerana sebahagian besar adalah dalam kem Muhyiddin. Cukup korumkah?

Tekad Mahathir adalah jelas, Muhyiddin perlu disingkirkan dengan apa cara sekali pun dan PH kembali berkuasa. Ia suatu bentuk ‘perang saudara’. Perang saudara menjadi penyebab  utama perpecahan besar orang Melayu. Perpecahan Melayu telah dan akan menguntungkan bukan Melayu (khususnya DAP);  UMNO berpecah kepada tiga (UMNO, PKR dan PPBM) dan PAS kepada dua (PAS dan PAN) dan, sedang berlaku ialah PPBM.

Muhyiddin sedar mengenai keburukan perpecahan politik Melayu, sebab itu sanggup merintis semula penyatuan kuasa-kuasa politik Melayu dengan membentuk Perikatan Nasional. Setakat ini, Muhyiddin memperoleh sokongan padu daripada Muafakat Nasional (BN dan PAS) dan ia mungkin akan merintis kerjasama yang lebih berkesan selepas ini untuk berhadapan dengan PH kalaupun tidak berjaya menewaskan penguasaan undi bukan Melayu oleh DAP.

Jika benar ada rundingan sulit dengan Anwar, dan mungkin Anwar bersedia meninggalkan DAP, PH akan cepat berkubur. Namun, Muhyiddin mesti bergerak dalam gelombang politik Melayu-Islam dan cuba mengimbangi ‘kemarahan’ rakyat kepada Anwar. Anwar telah memberikan kesan trauma yang panjang dan amat menyakitkan kepada orang Melayu.

Tiada siapa tahu, PKP merupakan ‘anugerah’ kepada Muhyiddin untuk membuktikan dirinya ‘betul dan cekap’ dalam menguruskan politik Malaysia berbanding PH yang lebih berkecamuk dan serba salah untuk menemukan ‘dua titik’ bernegara dalam  persekitaran politik ‘menang-menang’ antara Melayu dan bukan Melayu.

Monosin Sobri

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply