BAHAYA BAHAN LUCAH DI INTERNET

Ketika ini, masyarakat Malaysia turut dihebohkan dengan tersebarnya aksi seks seorang penyanyi popular Negara jiran yang tersebar meluas melalui internet dan telefon bimbit.

Pada hakikatnya kelucahan dalam media, sama ada internet ataupun media arus perdana dan cetak sebenarnya bukanlah perkara baru. Sebelum kemunculan internet, terdapat video dan filem-filem lucah diperdagangkan sehingga menjadikan industri perfileman lucah amat menguntungkan.

Begitu juga dalam bentuk buku, sebelumnya popularnya internet. Sewaktu kebangkitan fahaman liberal dalam masyarakat sekitar tahun 1970-an lahir beberapa buah novel yang menggemparkan pembaca yang dlihat bukan sahaja lucah, tetapi penuh jelek. Dalam penulisan novel, penulisan lucah dan berunsurkan seks juga bukanlah perkara baru dalam masyarakat Malaysia. Kita mungkin pernah mendengar buku-buku panduan suami isteri yang pernah menggemparkan masyarakat menjadi sebuah buku terlaris bagi setiap anak muda untuk mendapatkan bimbingan seks.

Keghairan memaparkan tulisan lucah dan berbaur seks menjadi semakin meluas apabila setengah masyarakat mula melihat bahawa unsur-unsur tersebut merupakan asam garam kehidupan. Hasil perubahan gaya pemikiran dan kejayaan media mempengaruhinya, kelucahan sudah dianggap tidak lagi menjijikkan, kecualilah pemaparan aksi itu melibatkan tokoh, selebriti dan masyarakat setempat. Kalau pemaparannya adalah bukan rakyat tempatan, masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang tidak keterlaluan.

Di Britain juga ramai menteri terpaksa meletakkan jawatan apabila berhadapan dengan perilaku seks dengan wanita simpanan ataupun pelacur. Selebriti mereka yang turut terlibat dengan seks pelbagai wanita menghadapi tekanan sehingga menjadikan Tiger Wood kehilangan sumber penajaan.

Hebatnya seks sehingga menyebabkan kerjaya seseorang musnah. Lebih hebat lagi ialah hancurnya kehidupan berkeluarga dan ahli keluarga akan menanggung malu yang berpanjangan, kerana masyarakat akan lebih mudah mengingati perilaku negatif berbanding perilaku positif. Ini adalah sepadan dengan sebuah peribahasa yang sering diperturunkan oleh nenek moyang kita, “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”

Perlakuan seks tetap akan dianggap jahat dan amat memalukan. Walaupun hubungan seks itu dilakukan oleh pasangan yang sah, tetapi Islam amat melarang penganutnya mendedahkan kepada orang lain. Namun, oleh kerana niat yang tidak baik, apabila pergaduhan dalam keluarga berlaku, ada pihak mula menggunakan rakaman seks atau gambar bogel itu untuk mengugut.

Ada yang menggunakan rakaman melalui telefon bimbit untuk mengugut pasangan demi mendapatkan imbuhan wang ringgit. Perkara ini sudah dianggap sebagai sesuatu yang sedang membengkak dalam masyarakat, kerana tanpa memenuhi tuntutan tersebut, gambar itu akan disebarkan dalam pelbagai cara sama ada internet, youtube mahupun telefon bimbit. Apa yang menyedihkan kita ialah sebahagian besarnya melibatkan orang-orang Islam sendiri.

Kita mungkin akan mendasari tingkah laku sedemikian kerana berleluasanya pergaulan bebas. Ada juga data kajian membuktikan pengetahuan agama bukanlah merupakan sesuatu yang signifikan, kerana remaja yang berpendidikan agama turut melakukan perkara yang serupa. Ada laporan mengatakan lepasan sekolah agama menyebarkan klip adegan seks dengan teman wanita melalui internet dan telefon bimbit, atas alasan untuk “kenakan” bekas teman wanita tersebut.

Dalam hal ini, kita harus mengambil pendekatan yang lebih berani dan berkesan untuk mengatasi. Kita tidak boleh bertindak dengan menggunakan pendekatan lazim, kerana pendekatan itu sudah tidak boleh diterima lagi generasi muda yang semakin liberal dan bebas pemikirannya. Apa yang kita boleh lakukan ialah mentakrifkan semula pendekatan bagi membudayakan konsep amar makruf nahi munkar.

Usaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi dari perspektif agama haruslah bermula daripada keluarga. Bukan hal yang kebetulan jika dalam al-Quran ditemukan sekitar 70 ayat yang berbicara mengenai pentingnya institusi keluarga. Keluarga harus menjadi tonggak awal dalam membangun masyarakat dan selanjutnya bangsa yang bermoral.

Nilai-nilai moral yang sangat ditekankan dalam setiap agama harus dimulai pelaksanaannya dalam kehidupan berkeluarga. Keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang memiliki banyak fungsi, dan di antara fungsinya yang sangat strategik adalah fungsi pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga  hanya bersifat pelengkap kepada nilai- nilai yang sudah ditanamkan di dalam sesebuah keluarga.

Perlu ditegaskan di sini  bahawa pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak-anak sejak awal adalah pendidikan agama yang mengajarkan nilai-nilai  kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia yang bertanggungjawab dan berguna. Bukankah ada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling berguna bagi sesamanya.”

Daripada hadis tersebut difahami bahawa sejahat-jahat manusia adalah yang mengeksploitasi sesamanya. Oleh yang demikian itu, apa yang dituntut bukanlah pendidikan agama yang hanya menekankan pada hal-hal yang bersifat peraturan formal semata-mata, sebaliknya pendidikan agama yang menekankan tiga aspek penting dalam diri manusia, iaitu aspek pemikiran, jiwa dan minda sehingga dapat membangun moral yang kukuh dalam diri seseorang.

Tujuan akhir daripada semua ajaran Islam sesungguhnya adalah menjadikan manusia itu berakhlak karimah atau berbudi luhur sebagaimana dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak mulia.”

Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia yang berakhlak mulia. Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menajuhi perbuatan, perkataan dan perilaku yang keji serta kotor termasuklah bahan-bahan pornografi. Bahkan, salah satu ciri-ciri orang yang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Mukmin ayat 5. Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin juga lebih penting daripada pengurusan hati.

Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah itu, manusia harus menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri dari daripada mendekati bahaya zina seperti pornografi sendiri. Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (Al-Isra’, ayat 32). Zina memberikan kesan yang sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu sendiri juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina itu. Dalam konteks zina, ajaran Islam menekankan unsur-unsur pencegahan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Al-Isra’: 32)

Kita wajib mendisiplinkan anak-anak dengan pendekatan perhubungan menolong. Anak remaja dilihat sebagai rakan dan bukannya dalam bentuk hubungan horizontal. Ketaatan anak akan menjadi lebih terarah apabila rasa hormat dan tautan kasih sayang dalam perhubungan disemai sepanjang masa. Jangan hanya bermusim, ibu bapa perlu mengubah perspektif keibubapaannya. Pendapat anak-anak perlu diambilkira, kerana dari situlah anak-anak merasakan dirinya turut dihargainya. Ibu bapa sebagai pembimbing dan bukan lagi berperanan sebagai penjaga.

Peranan penjaga penuh dengan larangan, maka kerana terlalu banyak larangan itulah anak-anak akan menjadi “malaikat apabila berada di rumah” tetapi bila berkesempatan berada di luar rumah, “berubah menjadi setan yang menggerunkan.” Ingatlah pesanan Nabi Muhamad s.a.w:

 “Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Yusuf al-Qaradawi mengungkapkan sejumlah prasyarat untuk mengubah kemungkaran bersesuaian dengan hadis: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya…”  dan seterusnya.

Kegilaan melihat gambar-gambar pornografi di Internet merupakan tanda-tanda awal penyerapan ke arah penzinaan. Al-Quran dalam surah al-Isra ayat 32 menyebut tentang bahaya zina kerana ia satu perbuatan yang keji dan sesuatu yang buruk.

Pengaruh yang terbina dari aksi lucah dan seks akan mengakibatkan kehancuran kehidupan bermasyarakat. Ia menjadikan manusia tidak patuh lagi nilai-nilai moral, mengakibatkan zina bukan lagi sesuatu yang hina dan keji. Zina semacam menjadi sesuatu yang lumrah, dan ini telah berkembang luas di negara-negara barat melalui bersekudukan sehingga melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan. Berkahwin sudah menjadi sesuatu yang boleh membuatkan kehidupan terikat dan terkongkong, maka bersekududukan menjadi pilihan ramai.

Hal seperti itulah perlu kita bendung dalam masyarakat kita, kerana kita mempunyai ikatan agama yang kuat. Kita juga mempunyai budaya yang menyanjung nilai moral dan kekeluargaan yang kuat, maka kita perlu mempertahankannya agar menjadi semakin kental dan kuat. Dalam hal ini, kita hendaklah mengutamakan perkara-perkara yang wajib, dan tidak membebankan dengan pelbagai syarat bagi membolehkan golongan muda berkahwin dan membina keluarga.

Kalau kita benar-benar ikhlas, kita mampu atasi masalah yang melanda masyarakat kita. Walaupun kebebasan internet tidak mampu kita sekat, kita boleh memperkuatkan hasrat tidak mahu menonton adegan-adegan sedemikian kerana ia banyak mendatangkan keburukan. Tiada keseronokan, ia menambahkan kesengsaraan. Kita boleh berganding bahu, menjadi pembimbing yang berkesan dan bukanlah sebagai penjaga. Kerana istilah penjagalah adakalanya menyebabkan anak-anak kita mencari jalan mengelakkan diri dari terus dijaga, kerana penjaga selalunya lebih bersikap menghukum daripada membimbing.

Akibat seks bebas memang besar dan buruk sekali. Zina boleh memungkinkan bencana sosial, termasuk kelahiran “anak haram”, dan pelbagai penyakit termasuk  HIV/AIDS. Penyakit ini menular dengan cepat dan amat membimbangkan. UNAIDS dalam kajiannya pada tahun 2000 mendedahkan, jumlah penderita penyakit AIDS sudah mencecah 34.3 juta pesakit.

Barangkali, secara keseluruhannya kita tidak mampu menyekat kebebasan internet, namun mahu tidak mahu kita harus mampu membebaskan diri kita daripada bahaya yang ‘ditawarkannya’.

Catatan : Muhammad Qasim

No Comments

    Leave a reply