BAJU MERAH BAJU KUNING, RAKYAT MAKIN PENING

Oleh: Monosin Sobri

Ketika membaca berita pergaduhan baju merah dan baju kuning, ramai yang bercakap apakah itu tandanya demokrasi di Malaysia semakin matang dan mantap?

Ada berita melaporkan, kumpulan baju merah telah menyebabkan dua penyokong baju kuning dibelasah. Sedang dalam beberapa orang netizen mempertikaikan kehadiran kumpulan baju kuning untuk bergerak melancarkan BERSIH 5.0, kerana baju kuning sebenarnya telah memulakan provokasi.

Provokasi menyebabkan kumpulan baju merah tidak tahan mendengarnya, kerana baju kuning sudah beberapa kali membuat kenyataan yang boleh menyakitkan hati. Seperti terangkum dalam simpulan bahasa Melayu, seseorang itu boleh binasa kerana “ikutkan hati.”

Banyak perkara yang bersangkutan dengan hati, dalam kehidupan manusia sebagai haiwan bermakluk. Badan binasa kerana “ikutkan hati” dan lantaran itu, bagi menjamin keharmonian antara manusia, ada nilai yang memerlukan setiap daripada kita “menjaga hati”.

Kenapa perlu “jaga hati”? Secara psikologinya, hati dipunyai oleh semua orang, dan manusia yang tidak mempunyai hati dianggap bukan lagi manusia, ia adalah manusia yang mati. Sebab itulah mereka yang berhadapan dengan penyakit hati, bukan sahaja perlu dirawat secara psikologi malah perlukan pembedahan bagi menggantikan hati yang rosak.

Dalam Islam, berdasarkan sejarah Rasullullah SAW, sebelum baginda menerima watikah pelantikan sebagai pemimpin umat dan diberikan tanggungjawab mengembangkan cara hidup Islam, terlebih dahulu dibersihkan hati. Itu berlaku kepada Nabi Muhammad SAW, seorang manusia yang sebelum kelahiran sudah diduga akan menjadi “insan mulia” dan bakal menggerakkan sebuah peradaban besar.

Imam Al-Ghazali yang terkenal dalam bidang tasauf sepanjang kehidupan berusaha keras untuk membersihkan hatinya bagi mendekatkan diri dengan Allah SWT. Bagi membolehkan seseorang itu mendekatkan dirinya dengan Allah SWT, Al-Ghazali berhujah, ia mestilah dengan menguasai ilmu.

Bagi Al-Ghazali, mencari, belajar, memahami dan mengamalkan apa yang diperoleh daripada ilmu itu merupakan suatu kewajipan setiap orang yang dikategorikan sebagai muslim. Ilmu terbahagi kepada tiga—ilmu tauhid, ilmu syariat dan ilmu sir (ilmu tentang hati).

Kitab Minhajul Abidin, menjelaskan bahawa menuntut ilmu adalah wajib untuk perubahan diri, sebagaimana kehadiran Islam itu sendiri untuk menyusun kehidupan manusia daripada belenggu kejahilan. Sebelum Islam muncul, manusia hidup dalam kelompok tertentu dan mengamalkan resam kehidupan yang seolah-olah menyamai peradaban belantara, siapa kuat menguasai mereka yang lemah. Keturunan atau nasab keluarga menjadi ikatan yang kuat, dan silang nasab menjadi suatu pencerobohan yang wajib disekat.

Islam membawa manusia kepada proses perubahan dan pencerahan, melupakan batasan nasab, keturunan dan juga status sosial yang dimiliki, kerana setiap muslim diajar bahawa kehidupan yang abadi ialah selepas roh diterima dan diperhitungkan di suatu tempat di akhirat. Ini bermakna, kehidupan di dunia adalah sementara. Tetapi, kesementaraan itu tidak bermakna, manusia bebas melakukan apa sahaja berdasarkan “kehendak hati”. Manusia perlu hidup secara harmoni, kerana apa yang dilaksanakan di dunia akan menjadi perhitungan di akhirat, dan setiap anggota badan menjadi saksi kepada tindakan. Manusia tidak boleh mengelak dan berbohong, setiap apa yang dilakukan sepanjang hayatnya dicatatkan, menjadi bahan bukti di hadapan Allah SWT.

Itulah kelebihan dan kekuatan yang cuba dibentuk oleh Islam bagi mengatur kehidupan harmoni manusia dalam fungsi sosialnya sebagai “makhluk bermasyarakat” dan fungsi politiknya sebagai “manusia politik”, memimpin dan berorganisasi. Untuk memimpin memerlukan ilmu, untuk berorganisasi juga memerlukan ilmu, bahkan untuk memperoleh rezeki manusia perlukan ilmu.

Sayangnya, semakin berilmu manusia menerusi sistem pendidikan, kelebihan ilmu telah disalahgunakan untuk membenarkan setiap tindakan yang diambil, bukannya untuk mensejahterakan kehidupan bermasyarakat. Ilmu sudah dianggap sebagai komoditi, sebagaimana difahami dalam konteks ekonomi. Ilmu dianggap sebagai pelaburan, dan sesiapa yang menguasai ilmu ia akan memperoleh kekayaan material.

Sebab itu ramai yang berusaha mempertahankan pendapat sendiri, kerana kerangka ilmu yang digunakan didakwa lebih saintifik dan lojik yang besar, maka sebarang bentuk penafiannya dianggap keterlaluan, melampau dan terlajak. Ekoran daripada pendirian itu menyebabkan ramai daripada pemikir yang hebat menjadi mangsa kepada sistem, bahkan ada yang dibunuh atas kesalahan “menyebarkan ilmu sesat.”

Kecenderungan sedemikian turut melahirkan situasi kerangka pemikiran yang bersifat mutlak, yang kadangkala merosakkan sistem yang sudah lama diyakini mampu menyumbang kepada kemaslahatan awam. Inilah yang sedang berlaku, baju kuning yang terlalu bersikap keras melancarkan serangan untuk menuntut sesuatu yang dilihatnya sebagai silap dan bertentangan dengan norma. Sedangkan, silap dan bertentangan dengan norma itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap bersifat mutlak dan sempurna.

Tentunya, kumpulan baju merah yang mewakili pihak establishmen merasakan kumpulan baju kuning sedang meracau dan berusaha untuk menjatuhkan sistem yang sekian lama berjaya memberikan faedah kepada majoriti rakyat. Semuanya berlaku kerana terlalu “ikutkan hati”. Baju kuning, di dalam hatinya menyimpan emosi marah kerana dilihatnya ada sesuatu yang tidak kena, dan perlakuan sedemikian didakwa menghakis norma dan sistem kehidupan, merobek kesempurnaan yang difahaminya. Semuanya berlaku kerana manusia mempunyai nafsu, dan kerana itulah Islam memberikan penekanan mendalam untuk menguruskan nafsu. Nafsu tanpa diuruskan dengan baik akan menyebabkan musibah yang besar, seperti nafsu terhadap kepemilikan harta dan kuasa.

Nafsu yang menguasai kumpulan baju kuning ialah menafikan kebaikan yang telah dibuat oleh pemimpin, sedangkan sejarah telah membuktikan kesinambungan kepimpinan negara telah berjaya merungkaikan kelemahan dan keterpinggiran rakyat daripada belenggu kemiskinan. Kadar kemiskinan sudah banyak berubah, dan tumpuan pemerintah ialah untuk membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif. Tetapi, kumpulan baju kuning masih bertekad untuk menggigit sehingga wajah labu tidak lagi muncul, yang muncul ialah kumpulan tertentu untuk mencorakkan negara sehingga keharmonian dan kedamaian terobek oleh kehendak rasional tanpa ikatan agama dan kerohanian.

Rasullullah SAW pernah bersabda: Dalam diri manusia ada segumpal darah. Yang apabila shalih (tidak rusak), maka akan shalih seluruhnya, tetapi apabila buruk maka akan buruk pula seluruhnya, itulah hati”. Dalam hadis yang lain, Rasullullah SAW mengingatkan: ”Sesungguhnya sebuah amal itu bergantung dari niatnya”

Niat seseorang itu adalah “kehendak hati”. Sebab itulah membersihkan hati adalah syarat yang paling atas untuk membangunkan kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Meskipun, kesempurnaan mutlak tidak mudah dicapai, Islam telah memberikan panduan, kesempurnaan akan hadir apabila hati bersih dan mengamalkan ilmu secara ikhlas dan jujur.

Apakah kejujuran yang ditunjukkan oleh kumpulan baju kuning? Apakah baju merah sudah melampau? Inilah persoalan besar yang wajar diberikan perhatian oleh setiap orang Islam dalam menentukan kewajaran perhimpunan jalanan. Apakah yang dituntut oleh kumpulan baju kuning benar-benar membawa kebaikan manakala reaksi balas kumpulan baju merah tindakan melampau? Di sinilah setiap daripada kita memerlukan kebijaksanaan, kerana populariti bukan menjadi ukuran mutlak kepada kehidupan yang baik dan sejahtera. Populariti hanyalah tindakan yang kadangkala mengandungi manipulasi dan eksploitasi, termasuk eksploitasi emosi.

Dalam tulisannya yang lain, termasuk beberapa jilid Ihya Ulumuddin, Al-Ghazali menekankan bahawa setiap perlakuan hendaklah bersandarkan syariat, termasuklah bagaimana untuk menegur pemimpin. Menurut Al-Ghazali, seseorang pemimpin yang dipilih dan sedang berkuasa diharamkan daripada dijatuhkan. Menjatuhkan seseorang pemimpin yang sedang berkuasa, ia tidak dapat menyelesaikan masalah malah menyebabkan masyarakat akan terus berada dalam persekitaran tidak aman dan sentiasa bermusuhan.

Dalam sistem pemerintahan demokrasi, pemilihan pemimpin berdasarkan pungutan suara secara pilihan raya. Lazimnya, pilihan raya dilaksanakan setiap empat atau lima tahun. Ertinya, untuk menjatuhkan sesebuah pemerintahan, ia perlu dilakukan secara undang-undang, iaitu menerusi pilihan raya.

Kumpulan yang merasakan kerajaan yang memerintah sudah tidak lagi “berguna” perlu menggunakan kaedah yang sama untuk “menukarkan kerajaan.” Dalam situasi ini, kumpulan baju kuning tidak melihat ia sebagai saluran yang betul, lantas melancarkan perhimpunan jalanan untuk mendesak “kerajaan” digantikan. Sesuatu yang boleh dianggap sebagai “luar tabie”, bahkan terpengaruh dengan “kuasa rakyat” yang pernah berlaku di Filipina, Timur Tengah dan Thailand.

Kumpulan penentang kerajaan di Thailand menggunakan simbol baju kuning, manakala kumpulan penyokong kerajaan memakai baju merah. Kumpulan baju kuning berjaya menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi—Thaksin, Abhisit dan  Yingluck—menyebabkan negara gajah putih itu berhadapan dengan krisis politik yang besar, kematian rakyat dan kelumpuhan ekonomi. Keadaan ini wajar dielakkan, kerana menurut Al-Ghazali, keamanan tidak akan segera pulih dan kehidupan rakyat berjaya dikembalikan dengan cepat. Lebih banyak kemudaratan berlaku.

Perkara yang sama juga berlaku di Timur Tengah. Meskipun “Arab Spring” yang bermula di Tunisia sudah berakhir lima tahun lalu, ketenteraman awam masih belum dapat dipulihkan dengan baik. Rakyat Tunisia masih bergelut dengan kepayahan hidup.

Di Iraq, walaupun Saddam Hussein berjaya dibunuh oleh Amerika Syarikat, pergelutan dan krisis kemanusiaan masih berlaku. Usaha kerajaan Iraq untuk membina semula runtuhan perang akan mengambil masa yang terlalu lama, dan ia masih belum menampakkan kejayaan. Iraq kini banyak kehilangan khazanah budaya dan ilmu.

Pada awalnya, rakyat Libya menyambut penuh gembira kematian Muammar Gadafi. Setelah Libya dihancurkan, rakyatnya kini berhadapan dengan konflik yang lebih besar apabila sebahagian besarnya tidak dapat hidup tenteram, dibelenggu oleh masalah kemiskinan dan kekurangan kemudahan. Sebahagian besarnya dimusnahkan oleh gelojak emosi yang mahukan Gadafi disingkirkan.

Keadaan yang sama sedang berlaku di Syria. Sejak pemberontakan berlaku pada tahun 2011, lebih 300,000 orang terbunuh manakala lebih sejuta rakyatnya terpaksa memilih untuk meninggalkan tanah air mereka. Kini, pelarian Syria menjadi beban dan masalah kepada Eropah. Sebahagian besar negara Eropah tidak sanggup untuk menempatkan mereka, kerana takut peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan diambil oleh pelarian perang.

Sebab utama rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada Kesatuan Eropah ialah kerana merasakan kebanjiran imigran “merampas” peluang pekerjaan. Kini, Britain berhadapan dengan suasana sukar, termasuklah kejatuhan nilai mata wang pound. Hanya kerana manipulasi emosi oleh kumpulan yang menentang kerajaan. Kumpulan ini menggunakan alasan demokrasi, iaitu biar rakyat menentukannya.

Ia seperti konsep perdagangan bebas. Kuasa pasaran akan menentukan harga. Ia menyebabkan berlakunya pelbagai tektik kotor dan jijik, termasuk menyorot barangan dan spekulasi. Akhirnya, rakyat terbeban dengan “business game” yang dilakukan oleh politikus.

Malaysia tidak terkecuali daripada krisis ekonomi. Akibat melihat kesempurnaan demokrasi perlu ditegakkan, maka kumpulan baju kuning beranggapan “suara rakyat” menjadi petunjuk kepada “perubahan kerajaan.” Kumpulan ini menggunakan nilai-nilai anarki dalam mempamerkan kemarahan, akhirnya rakyat menerima kesan buruk. Hari ini, salah satu faktor kejatuhan nilai ringgit turut disumbangkan oleh perlakuan buruk itu, kerana ekonomi amat rentan dengan permasalahan politik.

Usaha memburuk-burukkan kepimpinan negara telah membawa kepada “politik kebencian” sehingga menggambarkan imej buruk kepada masyarakat luar negara. Disebabkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, usaha seumpama itu boleh dianggap sebagai sabotaj. Sabotaj ini turut merugikan rakyat kebanyakan. Situasi ini perlu ditolak oleh rakyat, kerana perhimpunan baju kuning mempunyai agenda yang bertentangan dengan peraturan negara. Seboleh-bolehnya, elakkan daripada terbabit, jangan percaya kepada provokasi kerana yang menganjurkan perhimpunan itu mengamalkan prinsip “lempar batu sembunyikan tangan.”

Kini, semakin jelas. Kumpulan yang kecewa sanggup melakukan apa sahaja bagi melepaskan nafsu marah dan mencapai agenda politiknya. Sebab itulah mereka sanggup “berbaik dengan musuh” hanya bagi mencapai matlamat. Sebab itulah kumpulan yang dahulunya menentang “demonstrasi jalanan” beriya-iya mahu melibatkan diri dalam Bersih 5.0. Ertinya, kumpulan yang kecewa bukan sahaja menjilat semula air liur yang diludahkan, bahkan menelannya semula sebagai sumber tenaga yang diperbaharui.

Soalnya, sama ada perhimpunan baju merah atau baju kuning, kemarahan emosi akan bertukar ganas apabila berhadapan dengan provokasi. Sebagai rakyat, tunggulah masanya, kalau nak tukarkan kerajaan, ikutlah peraturan. Berarak dan berhimpun dengan berkata lantang, mencaci dan memaki hamun menyebabkan mereka yang tidak berdosa terpaksa menanggung loya, gelagatnya semakin memeningkan.

Jangan sampai rakyat kembali merusuh di jalanan kerana ia bakal berakhir dengan persekitaran politik dan ekonomi yang lebih kronik. Rakyat semakin membenci “orang politik” kerana itulah mereka memberikan gambaran jelas, ahli politik adalah orang yang paling tidak boleh dipercayai. Mereka (ahli politik) sentiasa mabuk kuasa, bila sesekali berada di bawah, yang di bawah mencari jalan untuk ke atas semula.

Karma politik seperti yang pernah dialami oleh Sisyphus semakin menjadi realiti di Malaysia. Orang yang pernah berada di puncak kuasa, berusaha untuk kembali berkuasa secara langsung atau secara proksi, kerana dalam hatinya terasa, orang lain tidak mampu dan lemah. Tujuannya tetap terserlah, berkuasa sampai mati. Bukan sahaja dilihat gila kuasa, juga dianggap pelahap kuasa untuk meneruskan legasinya.

Kuasa disamakan dengan wang. Kuasa disamakan dengan peluang untuk membina kekayaan dan menyembunyikan kelemahan sebelumnya. Mereka ini perlu dibersihkan hati dan dirujuk kembali kepada prinsip kenapa manusia diciptakan oleh Allah SWT, bukan bergerak untuk mewujudkan “permusuhan dan peperangan”. Manusia dicipta agar hidup bermasyarakat dan memperbaiki keimanannya, kerana iman itulah yang membawa kepada kerukunan hidup dan timbangan sewaktu diadili di alam barzakh.

Mereka yang suka berperang dan bermusuh, masih belum masuk nilai iman di dalam hatinya. Mereka masih dibelenggu oleh nafsu, sedangkan Allah SWT mengingatkan: Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada syahwat, yaitu : wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik”. (Ali Al-Imran: 14)

No Comments

    Leave a reply