BALAS DENDAM BUKAN CARA ISLAM DALAM SEGALA BIDANG

Manusia yang takbur akan sentiasa dilaknati Allah kerana mereka menyaingi kebesaran dan keagungan Allah dan juga kerana mereka telah membesarkan diri mereka sendiri. Mereka seumpama iblis yang pada mulanya makhluk yang sangat kuat beribadat tetapi takburnya kepada Allah satu saat sahaja, dia dilaknati Allah.

Demikianlah juga segala niat dan perbuatan kita, jika ditegakkan atas dasar sikap takbur maka akan hancur dan sia-sialah hidup serta amalnya. Dengan takbur, hajinya akan ditolak, puasanya sia-sia, solatnya akan membawa kepada kecelakaan. Salman Al-Farisi ketika ditanya “Apakah perbuatan buruk yang menyebabkan semua kebaikan menjadi sia-sia”. Salman menjawab “Takbur”.

Janganlah kita membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi sehingga meletakkan orang lain semuanya bodoh dan jahil. Janganlah kita bertakbur menimbulkan kerosakan di muka bumi ini, apabila ada segolongan manusia yang seagama menghulurkan tangan untuk bermaafan demi agama Islam yang murni.

Orang yang mulia dan baik di sisi Allah ialah mereka yang memulakan salam dan menghulurkan tangan pada saudaranya untuk berdamai. Manakala orang yang paling jahat adalah sebaliknya. Oleh itu golongan yang menolak tawaran berdamai adalah orang yang paling dibenci oleh Allah.

Rasulullah saw selalu memaafkan kesalahan yang dilakukan terhadap baginda. Nabi Muhammad saw tidak pernah menyimpan perasaan dendam kepada orang lain walaupun terhadap musuh yang sentiasa menghalang dakwah baginda. Sebaliknya, baginda sentiasa berdoa agar mereka dikurniakan hidayah untuk menerima ajaran Islam yang suci murni. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 199, bermaksud: ‘Jadilah engkau pemaaf dan serulah (manusia) mengerjakan yang makruf (baik) dan berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.’ Ketika turun ayat tersebut, Rasulullah saw bertanya kepada Malaikat Jibril. ”Apakah maksud ayat ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab, ”Sesungguhnya Allah menyuruhmu memaafkan orang yang telah menzalimimu, dan bersilaturahim kepada orang yang memutuskan hubungan denganmu”.

Ketika golongan Thaqif di Ta’if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah: ‘Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda’ifan tenagaku…..’ (Rujuk Fiqh al-Sirah, oleh Syeikh Dr Said Ramadhan al-Buti). Dalam pada itu, Rasulullah saw juga berdoa agar generasi mereka menerima hidayah Islam dengan sabda baginda: ‘Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu’. (Sila rujuk kitab Muhammad al-Insan al-Kamil, oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki).

Pada hari pembukaan Kota Makkah, Abu Sufyan memeluk Islam bersama isterinya Hindun Binti ‘Utbah. Walaupun pasangan suami isteri ini pernah menjadi penentang dakwah Islam dengan begitu kuat, namun Rasulullah saw menerima keIslaman mereka serta memaafkan perbuatan mereka bersama orang Quraisy yang lain. Rasulullah saw telah mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai kepada musyrikin Makkah yang pernah memusuhi baginda. Rasulullah saw berkata pada hari pembukaan kota Makkah: ‘Apakah yang kamu sangka aku akan lakukan terhadap kamu sekarang ini?’. Mereka menjawab, ‘kami bersangka baik terhadap tuan, engkau orang yang mulia dan putera kepada orang yang mulia’. Lalu Rasulullah saw bersabda: “Pergilah…kamu semua dibebaskan!”.

Rasulullah saw juga telah memaafkan Hubur bin Aswad, seorang yang terkenal memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum Muslimin. Bahkan dia juga pernah menyakiti puteri Rasulullah saw yang bernama Zainab iaitu apabila unta yang dinaiki oleh Zainab dalam perjalanan ke Madinah telah dipanah oleh Hubur sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati. Zainab yang pada ketika itu sedang mengandung terhumban dari atas unta menyebabkannya keguguran. Namun setelah itu, iaitu pada peristiwa pembukaan kota Makkah, Rasulullah memaafkan Hubur apabila beliau menemui Rasulullah untuk memohon maaf daripada baginda dan seterusnya menjadi pengikut agama Islam. Begitulah hebatnya akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah saw.

Firman Allah swt dalam Surah al-Syura ayat 43 maksudnya : “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)”.

Firman Allah lagi dalam surah Ali ‘Imran ayat 133-134 bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orangyang bertaqwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, danorang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dan berlagak sombong takbur lagi membanggakan diri. (Surah Lukman, ayat 18).

Kesombongan bukan sahaja merugikan manusia di dunia malah mengheretnya kepada kehinaan di akhirat, walaupun sombong itu hanya sebesar zarah.

Kharithsah bin Wahab r.a. berkata, Nabi bersabda yang bermaksud: Mahukah kamu aku beritahu tentang ahli neraka? Iaitu setiap sifat keras hati, berjalan dengan angkuh dan sombong. (Muttaffa-qalaih).

Malah Rasulullah s.a.w. apabila bertemu sesama Islam ia terlebih dahulu memberi salam dan apabila bersalam tidak akan dilepaskan tangannya kecuali orang itu yang melepaskannya dahulu.

Catatan Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply