Bantuan Qatar halang perang baharu meletus di Gaza

BANDAR GAZA: Wakil Qatar ke Gaza berkata, bantuan bernilai ratusan juta dolar negara Teluk itu ke wilayah terkepung Palestin serta komunikasinya dengan Hamas dan Israel membantu menghalang satu lagi perang bencana.

Bercakap dalam wawancara AFP di sini, Mohammed al-Emadi berkata, bayaran baharu bernilai AS$10 juta (RM41.9 juta) diagihkan semalam kepada 100,000 keluarga miskin di Gaza.

Ia adalah bantuan pembayaran baharu untuk bekalan elektrik, gaji dan bantuan kepada keluarga memerlukan di Semenanjung Gaza daripada Qatar yang memperuntukkan kira-kira AS$330 juta (RM1.38 bilion) dalam program dilancarkan tahun lalu.

 Katanya, lebih AS$150 juta (RM628.51 juta) daripada jumlah itu sudah dibelanjakan selain sejumlah besar bantuan lain disediakan Qatar kepada Gaza sejak beberapa tahun lalu.

“Wang itu penting kerana jika tidak Gaza akan menjadi tempat di mana tiada siapa boleh hidup atau tinggal.

“Kami tahu situasi amat teruk, justeru sebab itulah mengapa wang kami banyak membantu selain membantu menghalang perang baharu daripada meletus,” kata Mohammed dari pejabatnya di Hotel Al-Mashtal ketika kunjungan berkalanya ke sini.

Katanya, ia bukan satu-satunya bantuan diberi Qatar kepada Gaza malah komunikasi dan maklumat diselaraskan secara langsung dengan individu yang boleh membuat keputusan.

Bayaran itu adalah sebahagian perjanjian meluas dibantu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa Mesir bagi menamatkan kemuncak keganasan sejak beberapa bulan lalu antara Israel dan Hamas.

Siri keganasan bulan ini sekali lagi mengancam perjanjian damai sebelum pilihan raya umum Israel 17 September ini namun bantuan tunai baharu Qatar mungkin membantu keadaan tenang, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

Bagi Mohammed, pilihan raya itu bermaksud penyelesaian jangka panjang tidak dapat dibincangkan buat masa sekarang disebabkan sensitiviti politik, namun beliau berharap, rundingan dapat diadakan kemudian bagi melonggarkan sekatan Israel di Gaza.

“Sebarang perang baharu dengan situasi sekarang saya fikir akan membawa bencana kepada Gaza dan penduduk Gaza,” kata Mohammed.

Katanya, beliau bertemu dengan pemimpin kedua-dua sayap politik dan tentera Hamas yang turut mengadakan rundingan berasingan dengan pegawai Israel. -AFP

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply