Banyak waktu, tempat berdoa tanda Tuhan pemurah

SIFAT Allah Yang Maha Pemurah bermakna pemberian-Nya bukan sahaja tidak mempunyai had, bahkan Dia suka kepada hamba-Nya yang meminta dan memohon.

Malah Allah SWT Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengetahui tidak jemu serta bosan untuk mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-Nya.

Sifat itu tidak dapat ditandingi kerana manusia yang sangat kaya dan pemurah sekalipun pasti akan ada sifat jemu serta bosan terutama sekiranya permintaan dikemukakan pada ketika dan suasana yang tidak betul.

Salman al-Farisi meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT ialah zat yang mempunyai sifat yang sangat pemalu dan memberi dengan banyak walaupun tanpa diminta. Apabila seseorang mengangkat kedua-dua tangan untuk meminta sesuatu daripada Allah SWT, maka Dia malu untuk membiarkan tangan itu turun kosong dan tidak mendapat apa-apa. (HR Tirmizi)

Malah, tindakan meminta-minta atau memohon sekiranya dilakukan kepada manusia, ia lazimnya dianggap sebagai perbuatan yang rendah dan hina.

Bagaimanapun dalam konteks hamba yang meminta dengan Allah SWT, perbuatan itu dipandang baik dan digalakkan dalam setiap masa serta tempat.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Di sisi Allah SWT, tidak ada sesuatu yang lebih mulia daripada

doa.” (HR Tirmizi)

Tidak hairanlah banyak waktu dan tempat yang elok untuk digunakan untuk berdosa seperti dijelaskan sama ada dalam hadis mahupun pengalaman golongan ulama dan aulia.

Antara waktu yang mustajab ialah antara azan dengan iqamah, antara dua khutbah pada Jumaat yang juga sepanjang hari itu dan sepertiga malam terakhir, selain Hari Arafah ketika musim haji, iaitu 9 Zulhijjah.

Dalam konteks tanah suci, tempat yang mustajab doa ialah di sekitar dinding Kaabah, Multazam dan Hajarul Aswad, belakang Makam Ibrahim serta Hijir Ismail.

Begitu juga di bukit Sofa dan Marwah serta sepanjang saie, Arafah, Muzdalifah, Mina dan sekitar Jumrah Ula, Wusta dan Aqabah.

Sementara itu tempat mustajab doa di Madinah pula, Raudhah dan Masjid Quba serta Makam Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah SAW juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 64)

Oleh Nazmi Yaakub

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply