BASRA MERCU TANDA PERADABAN ISLAM

BASRA merupakan sebuah kota di bahagian tenggara negara Iraq, pernah menjadi salah satu pusat peradaban Islam. Pada awalnya Basra dijadikan markas tentera Islam pada masa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.

Namun pada perkembangan selanjutnya, kota itu menjadi pusat ilmu pengetahuan, kebudayaan dan perdagangan yang menjadi tumpuan ramai. Hal itu terus berlangsung hingga ke era Dinasti Umaiyah dan Abbasiyah.

Kota itu menawarkan pelbagai bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan, baik yang bersifat umum mahupun agama, dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi. Basra juga menjadi tempat pertemuan kebudayaan Parsi dan Arab.

Dari tahun 1534 hingga 1918 Masihi, kota itu dikuasai oleh pemerintah Turki Uthmaniah. Basra kemudian menjadi salah satu wilayah Iraq, sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1932.

Pada 16 Hijrah (636 Masihi), setahun setelah Basra ditakluk oleh tentera Islam di bawah pimpinan Saad bin Abi Waqqas, kota itu dimajukan oleh Saidina Umar al-Khattab. Umar melantik Utbah bin Gazwan sebagai arkitek pembangunan kota itu.

Utbah telah memberi nama kota itu al-Basrah (sejenis batu putih), diambil daripada nama bahan yang digunakan untuk membangun kota tersebut. Lokasi pembangunan kota Basra ditentukan sendiri oleh Saidina Umar, iaitu di daerah Kharibah yang berdekatan dengan kota pelabuhan Ubullah di Teluk Parsi.

Penduduk Basra pada mulanya belum mengenal Islam secara sempurna. Kerana itu, ketika kota tersebut ditakluk oleh tentera Islam, Saidina Umar al-Khattab, menghantar para ulama dari Madinah ke Basra, antara lain ialah Abu Musa al-Asyaari.

Seiring dengan proses pendidikan dan pengajian yang terus berlangsung, Basra muncul sebagai pusat pendidikan yang menjadi kunjungan ramai orang yang ingin mempelajari pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Ketika ilmu pengetahuan dan peradaban Islam mencapai puncak kemajuan di Baghdad, Basra menjadi pusat kajian bahasa Arab, sastera dan sains yang penting. Basra dijadikan tempat berkumpulnya para pujangga Arab untuk menyelenggarakan pelbagai bentuk diskusi atau perbincangan sehingga kota itu dikenal dengan panggilan Khazanah al-Arab.

Di Basra juga ditemukan banyak perpustakaan besar, salah satunya yang terkenal adalah perpustakaan milik Adud ad-Daulah, seorang penguasa Dinasti Buwaihi.

Kota Basra, tercatat sebagai salah satu mercu tanda peradaban Islam yang penting. Dari kota ini lahir ramai ulama kenamaan seperti Amir al-Ula, Yunus bin Habib, Isa bin Amr, al-Khalil bin Ahmad bin Amr, al-Asmai, dan Sibawaihi.

Tokoh pemikir yang terkenal antara lain ialah Hasan al-Basri dan Wasil bin Ata. Selain itu, kota Basra juga melahirkan sejumlah penyair terkenal seperti Farazdaq, Bisyar bin Bard, Muslim bin Wahid dan Abu Nuwas.

Catatan Ibnu Majid

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply