Jika ini terjadi, jurang dalam masyarakat berlaku. Hubungan sesama manusia bukan atas pertimbangan yang ikhlas tetapi berlaku atas pertimbangan pangkat, gelar dan kedudukan dan menyebabkan pemeringkatan sosial (sosial stratification) terjadi dan jiwa muafakat hilang. Lalu faham kedirian (individualisme) terbentuk, rasa kepedulian me­nipis dan menyebabkan hubungan sesama manusia berlaku secara berpilih-pilih.

Manusia boleh menjadi sombong disebabkan memiliki kuasa beli yang tinggi, pangkat dan darjat yang membezakan kedudukan, harta yang banyak menyebabkan cara melihat orang lain yang mempunyai kuasa beli yang rendah, miskin dan tidak berharta sebagai remeh dan tidak relevan. Tuntutan ke arah kesantunan hanya boleh terjadi sekiranya penghayatan ajaran agama dan etika berlaku dan kualiti manusiawi menjadi pedoman menyebabkan sifat belas kasihan dan kasih sa­yang berlaku dan rasa toleransi atau tasamuh mengambil tempat.

Malaysia amat menuntut suasana sebegini terjadi. Kelainan agama tidak menjadi sebab permusuhan berlaku. Kelainan kaum atau bangsa tidak harus menjadi punca syak wasangka subur.

Islam umpamanya mendidik pemeluknya supaya berjiwa muttaqeen (God-Conciousness). Jiwa takwa boleh menyebabkan seorang mukmin yakin hubungannya dengan Allah memberi kawalan diri supaya apa saja yang dilakukan terjadi secara jujur dan ikhlas dan dalam perbuatan dan amalannya, ia tidak boleh melakukan sesuatu di luar kebaikan yang menyebabkan pihak lain menerima padah­nya. Sekiranya ini terjadi diri seseorang itu berada dalam keadaan tertib dan adab dan memiliki sifat kesantunan yang tinggi.

Menyantuni orang lain boleh berlaku dalam beberapa cara. Sekiranya seseorang manusia itu berada dalam ke­adaan susah, ketrampilan kita membantunya adalah suatu kerja yang mulia. Dalam bilik darjah atau pun kuliah bakal terdapat murid atau pelajar yang lemah. Mendekatinya dan memahami masalahnya serta mencari jalan supaya pembe­lajaran terjadi dengan sabar dan bijaksana adalah suatu amanah mendidik yang cukup baik.

Jika jiran kita menghadapi masalah keluarga didekati dengan sabar dan bersama mencari jalan daripada masalahnya adalah bantuan yang sangat berguna supaya keceriaan yang ada pada jiran adalah keceriaan kita dan kesusahan yang dialami oleh jiran seolah-olah ianya adalah kesusahan kita.

Lebih-lebih lagi mendepani sebahagian generasi yang kehilangan jati diri harus mendorong kita memperkongsi jejak-jejak sejarah yang lalu dan mengambil iktibar dari­padanya. Peri pentingnya, generasi muda merasai syukur atas rahmat dan nikmat Allah yang diterima, berterima kasih kepada ibu bapa yang mendewasakan kita, sayang kepada tanah air dan menanamkan semangat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sedia untuk berkorban dan meng­angkat martabat diri supaya wujud rasa kebanggaan dan kesyukuran sebagai warga Malaysia.

Melakukan rasa kesantunan tidaklah mudah. Ia harus bermula sejak dari kecil lagi di bawah didikan ibu bapa kera­na ibu bapa adalah guru awal anak-anak. Kalau keciciran adab dan sopan berlaku di rumah ia menjadi masalah bila anak-anak berada di sekolah. Keciciran yang berlaku di sekolah kalau tidak disantuni bakal diteruskan dalam masyarakat dan natijah akhirnya menimbulkan masalah kepada negara.

Kunci utama kepada jiwa kesantunan ini ialah ilmu yang mendidik manusia supaya memiliki sikap kesukarelaan yang tinggi bersebab dari merasakan bahawa Tuhan menjadikan manusia atas asas yang sama secara fizikal tetapi berbeza dari segi jiwa dan kemahuan dan menyebabkan pencapaian dalam hidup tidak serupa dan mendorong manusia melakukan khidmat terbaik untuk umat manusia yang lain.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).