BELAJAR JAWI, BUKAN FOBIA ‘MASUK JAWI’.

 

Kontroversi pembelajaran tulisan Jawi di SJKC dan SJKT mulai murid-murid Tahun 4 dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia mulai sesi persekolahan ini telah disambut dengan kemarahan dan kebencian. Tulisan Jawi tidak dilihat sebagai satu bentuk kesenian yang wajar dibanggakan. Ia dilihat sebagai satu petunjuk permulaan Islamisasi ke atas murid-murid bukan Islam atau bukan Melayu.

Dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas dan berunsur prejudis, bahkan ada ketikanya menggambarkan betapa tidak rasionalnya alasan untuk tidak menghidupkan semula warisan budaya yang hampir tenggelam itu. Ada seseorang berkata, tulisan Jawi adalah salah satu daripada tulisan-tulisan sedang menuju kepupusan. Namun, tulisan Jawi masih belum pupus seperti askara Sanskrit mahupun kaligrafi kuno yang tidak ada lagi penggunanya.

Tulisan Jawi, walaupun dilihat bukan lagi aksara penulisan yang popular di Nusantara atau dalam Dunia Melayu, ia masih boleh dilihat di mana-mana hatta pada label produk halal ataupun mata wang digunakan di Malaysia dan dominator remimbi di China. Maka, dakwaan bahawa tulisan Jawi sudah pupus boleh ditolak sepenuhnya. Bahkan dalam kontroversi itu masih ramai lagi netizen yang berusaha menulis aksara Jawi dalam posting mereka untuk menentang pendirian Dong Jiao Zong (Dong Zong dan Jiao Zong).

Rencana Abdullah Joned, “Menjadi Muslim” yang disiarkan oleh Malaysiakini, 29 Disember 2019 jelas menolak tanggapan prejudis segelintir penentang tulisan Jawi dengan Islam. Belajar membaca, menulis dan mengapresiasikan khat Jawi bukan bermakna menjadikan seseorang itu Islam, kerana Islam itu adalah cara hidup yang penuh peraturan dan hambatan terhadap nilai-nilai yang dikejar oleh kebanyakan orang. Islam mengharamkan zina. Islam melarang rasuah. Islam melarang apa sahaja yang dikaitkan dengan ‘kegilaan’ yang sedang diraih dengan cara yang salah (judi, menipu, adu-domba, riak, minum arak, bersekedudukan, spekulasi, dan bersikap zalim).

Aksara Jawi pada matawang China, Yuan

Sebagai cara hidup, Islam menetapkan peraturannya yang perlu diikuti oleh seseorang yang berstatus Muslim. Maksud Muslim ialah seluruh kehidupannya adalah untuk meraih keredhaan Allah SWT. Selain bersembahyang lima waktu sehari semalam, setiap Muslim tidak menjadikan dirinya sebagai hamba kepada manusia, kecuali kepada Maha Pencipta. Tentunya, bagi bukan Muslim peraturan-peraturan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan sepanjang hidupnya. Islam mesti bersih dari segala kekotoran: jiwa, kebendaan dan persekitaran. Sanggupkah bukan Islam menjadi Muslim? Begitu  mudahkah ‘menjadi Islam’ hanya dengan belajar ‘tiga muka surat tulisan Jawi’? (Asalnya enam halaman).

Berbeza dengan orang Islam yang belum boleh dikategorikan sebagai Muslim, mereka akan buat apa sahaja untuk memenuhi ‘kegilaan’nya, termasuklah seronok bergundik dan minum arak, mengenakan faedah untuk mendapatkan wang lebih banyak, menerima dan memberi rasuah untuk meraih sesuatu, yang kadangkala terlupa dengan peraturan hidup itu sendiri. Mereka mungkin dilahirkan sebagai penganut Islam atau memeluk Islam kerana memenuhi tujuan sesuatu (berkahwin dengan pasangan Islam bagi membolehkan didaftarkan perniagaan seperti kes di Sabah, memiliki aset yang dikategorikan Tanah Simpanan Melayu ataupun mendapat taraf Bumiputra selepas sekian lama ‘mualaf’ menerusi anak-anak hasil perkongsian dengan pasangan Melayu-Islam).

Satu lagi artikel yang menarik ialah tulisan Dr Mohd Mizan Aslam, pakar kajian strategik dan anti-keganasan bertajuk Hanya yang bodoh, buta sejarah tolak Jawi, “Malaysiakini, 30.12.2019. Penolakan terhadap pengenalan tulisan Jawi di SJKT dan SJKC oleh Ding Jiao Zong itu adalah “nampaknya masih tidak cerdik, sama ada bodoh atau buat-buat bodoh?….haprak dan dungu….Semua kita tiada masalah yang bermasalah Dong Zhong dan beberapa NGO berasaskan kaum yang ekstrem dan radikal.”

Sekali imbas, tidak ada lojik yang boleh dipertahankan oleh Dong Jong,  Jiao Zong, NGO dan individu yang menolak pembelajaran tulisan Jawi dalam kurikulum baharu Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT. Biarpun SEKAT (NGO- Gabungan Seni Khat Action Team) berjaya menyampaikan tujuh resolusi hasil Kongres Jawi Kebangsaan kepada Kementerian Pendidikan (30.12.2019) ia masih dilihat suatu usaha untuk “sekat’ pembelajarannya di sekolah-sekolah vernakular, dengan cara ‘lebih berdiplomasi’. Semuanya tertakluk kepada persetujuan majoriti, kalaupun bukan secara konsensus.

Sebelumnya, SEKAT turut mencadangkan agar para pelajar ‘ponteng sekolah’ ekoran ‘paksaan untuk belajar Jawi’ dan Arun Doraisamy turut memberikan jaminan akan belajar Jawi sekiranya ‘tidak dipaksa’. Ia perlu dibuat secara ‘pilihan’. Resolusi tersebut berkisar mengenai penangguhan pembelajaran tulisan Jawi kerana ia perlu berunding dengan semua pemegang taruh untuk mencari kata sepakat. Dan, tentunya dalam setiap perundingan berkaitan pendidikan, KPM perlu ‘mengalah’ apatah lagi bila berhadapan dengan dua NGO berkaitan pendidikan vernakular, Dong Zhong dan Jiao Zhong.

KPM sudah beberapa kali kecewa dengan keputusan ‘bercapah’ dua pertubuhan berkenaan. Ketika berunding, Dong Zhong mahupun Jiao Zhong sentiasa meminta ‘masa untuk mengkaji dan memberikan maklum balas’. Bahkan ada kalanya, keputusan akhir berbeza dengan apa yang dipersetujui secara dasarnya dalam perbincangan dengan KPM. KPM pernah kecewa dengan keputusan akhir Dong Jiao Zhong berhubung menambahkan masa belajar Bahasa Malaysia di peringkat sekolah rendah bagi membolehkan pelajar menguasainya dengan baik, tidak lagi perlu memasuki ‘kelas peralihan atau pemulihan selama setahun’ bila memasuki sekolah menengah.

Rasional itu ditolak kerana dilihat lebih mengutamakan bahasa Kebangsaan daripada masa pembelajaran bahasa ibunda, kadangkala ditafsir sebagai ‘tindakan halus’ untuk melemahkan penguasaan pelajar terhadap bahasa ibunda. Ia menjadi semacam alasan ‘tidak lojik’ kerana semua mata pelajaran diajar dalam bahasa ibunda, kecuali bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Dong Zhong dan Jiao Zhong bermain dengan persepsi. Mereka membentuk persepsi yang salah, sebarang bentuk penambahbaikan dalam sistem pendidikan akan dianggap tindakan ‘menghakis pendidikan vernakular, termasuklah apabila sekolah-sekolah menengah vernakular ditukarkan menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) sebaik sahaja Ordinan Pelajaran 1961 diperkenalkan.

Menariknya juga ada telahan tertentu mengenai ‘paksaan belajar tulisan Jawi’ diperkenalkan. Jawi diperkenalkan di SJKC dan SJKT dilihat ada kaitannya dengan kecenderungan ibu bapa Melayu-Islam menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular. Kecenderungan tersebut telah menyebabkan ada yang berpendapat, ia akan menyebabkan pelajar-pelajar Melayu di SJKC semakin menjauhkan diri dengan tulisan Jawi, sedangkan ia adalah warisan bangsa yang wajib dipertahankan. Ada juga reaksi nakal, pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia mulai Tahun 4 SJKC dan SJKT adalah reaksi balas kumpulan-kumpulan tertentu ke atas tanggapan sebelumnya, bahawa sekolah kebangsaan memupuk budaya Islam sehingga ditakuti oleh segelintir ibu bapa bukan Melayu.

Bagi pejuang bahasa kebangsaan, usaha memperkenal dan memperkasakan tulisan Jawi wajar dilaksanakan secara menyeluruh, bukan terhad di sekolah-sekolah kebangsaan menerusi pendekatan JQaf –Jawi, al-Qur’an dan Fardhu ‘Ain sahaja, ia wajar merentasi kaum. Ini kerana tulisan Jawi adalah khazanah yang perlu dipelihara kerana ia sudah memainkan peranan penting sebagai bahasa komunikasi sejak berabad-abad lamanya. Setidak-tidaknya, tulisan Jawi menjadi aksara perhubungan dalam dunia Melayu yang lebih luas, iaitu sebelum runtuhnya kerajaan-kerajaan di Nusantara akibat penjajahan.

Berdasarkan prasasti dan kajian arkeologi, tulisan Jawi mula digunakan menerusi aktiviti perdagangan oleh pedagang-pedagang Arab pada abad ke-10. Ia juga dikatakan seiring dengan kemasukan Islam di Nusantara. Namun, berlaku sedikit perubahan dalam abjad bahasa Arab di mana huruf Arab mengandungi 28 aksara. Tulisan Jawi memasuki lima lagi aksara yang dipinjam daripada Parsi-Hindi, iaitu ‘cha’, ‘gha’, ‘ghain’, ‘pha’ dan ‘qaf’ (Muhd Bukhari Lubis, dan kawan-kawan 2006, Tulisan Jawi: Sehimpun Kajian; Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1972. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu; dan, Amat Juhari Moain, 1996. Sejarah Aksara Jawi).

Menurut Kang Young Seock, Perkembangan Tulisan Jawi dalam Masyarakat Melayu (1990), perkataan Jawi berasal daripada istilah Arab, iaitu  Jawah. Istilah itu kemudiannya menyelaraskan perkataan-perkatan Arab agar sesuai digunakan dalam bahasa Melayu. Pada abad ke-11 hingga ke-14, tulisan Jawi digunakan secara meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara, malah orang Melayu pada waktu itu tidak boleh dikatakan ‘buta huruf’ kerana mereka ‘celik Jawi’.

Dalam kajian Anthony Milner, Melayu atau Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea (2019) turut mengakui bahawa tulisan Jawi telah digunakan secara meluas bukan hanya sebagai tulisan perhubungan (surat menyurat), arahan kerajaan bahkan tulisan undang-undang yang berkuatkuasa dalam politi kerajaan-kerajaan Melayu sebelum penjajahan. Wilayah Melayu atau juga dikenali “Kepulauan Melayu” merupakan satu kawasan yang luas dan oleh kerana politi Melayu prapenjajahan tidak dibataskan dengan sempadan, ia berdasarkan prinsip ‘kesetiaan kepada kerajaan’, sukar untuk dikatakan bahawa wilayah Melayu hanya sekitar Asia Tenggara, ia turut meliputi beberapa kepulauan di Lautan Hindi (hingga ke Madagaskar) dan Lautan Pasifik Selatan (New Guniea).

Malangnya, pada tahun 1966, Menteri Pelajaran, Tan Sri Khir Johari telah memansuhkan keseluruhan pendidikan tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam di sekolah-sekolah. Buku teks mula dicetak sepenuhnya dalam tulisan Rumi, yang kemudiannya turut meliputi mata pelajaran Pendidikan Islam, kecuali mengenai ayat al-Qur’an dan beberapa istilah tertentu. Akibatnya, kemerosotan pembaca tulisan Jawi semakin besar sehingga memaksa majalah dan akhbar bertulisan Jawi dihentikan percetakannya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa buah buku berkaitan agama Islam masih mengekalkan tulisan Jawi.

Naib Ketua Pemuda MCA Kluang, Johor, Joan Ng hampir diluku apabila ucapannya disalahtafsirkan sebagai menghina tulisan Jawi. Kutipan di luar konteks yakni tulisan Jawi turut digunakan untuk menulis buku-buku pornografi. Beliau turut menyatakan bahawa kaligrafi Cina telah digunakan secara meluas, dan bukan hanya untuk menulis teks-teks ajaran Buddha. Ini bermakna, sesuatu bentuk tulisan bukanlah berkait rapat dengan agama. Jadi, mempelajari tulisan Jawi bukanlah ada kaitannya dengan Islam. Ia hanyalah satu bentuk kemahiran dan penghayatan seni yang dilihat menarik, bermakna dan penuh seni sekiranya seseorang itu mampu menyelami keindahan bentuknya.

Agak janggal bagi seorang aktivis politik berkata, beliau hanya tahu adanya khat Jawi setelah kontroversi memasukkan enam muka surat ‘belajar Jawi’ dalam buku teks Bahasa Malaysia SJKT dan SJKC sedangkan pernah melihatnya sejak mata wang ringgit diperkenalkan. Wang kertas Malaysia, dalam semua dominasi di bahagian belakang tertulis Bank Negara Malaysia dalam tulisan Jawi. Pengakuan itu sebenarnya sesuatu yang dilihat ‘tidak jujur’ kerana seumur hidupnya, hampir sepanjang masa berurusan dengan matawang ringgit, dan pernah melihatnya.

TULISAN JAWI RM

Apabila pihak polis memperoleh perintah mahkamah untuk melarang penganjuran Kongres Organisasi Cina mengenai tulisan Jawi di Kolej New Era anjuran Dong Zhong (28.12.2019), beberapa orang pemimpin politik mula mempersoalkan kewajarannya. Jika Kongres Maruah Melayu boleh dilaksanakan (6 Oktober 2019), maka tidak ada sebab Kongres Organisasi Cina itu dihalang. MCA kecewa, bahkan dalam ulasa terbaharu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata “DAP rasa kecewa dengan pihak polis, halang perhimpunan yang dijalankan oleh Dong Jiao Zong. Sekiranya dalam Malaysia baru, kita percaya kepada kebebasan bersuara, tidak ada sebab mengapa perhimpunan ini dihalang.”

Bagaimana Lim Guan Eng melihat tindakan Dong Jiao Zong yang jelas menolak tulisan Jawi itu sebagai satu bentuk ‘kebebasan bersuara’ sedangkan, sejak sekian lama dua pertubuhan tersebut tidak pernah percaya kepada sekolah satu aliran. Setiap laporan dan kajian yang merekomenkan penggunaan satu bahasa pengantar di sekolah-sekolah mereka tolak dengan alasan ‘membunuh bahasa dan kesusteraan Cina’. Mereka menolak Laporan Barnes (1951), Penyata Razak (1956), Ordinan Pelajaran (1957), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961) dan Akta Pelajaran (1996). Semuanya dilihat mempunyai ‘matlamat akhir’, iaitu menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.

Menerusi Akta Pelajaran (1961), sekolah-sekolah menengah vernakular tidak akan diberikan apa-apa bantuan sekiranya tidak menukarkan kedudukannya sebagai sekolah menengah jenis kebangsaan. Akibatnya, pengasas dan penggerak Dong Zhong, dengan keras menentang dan pada 12 Ogos 1961, Lim Lian Geok (1901-1985) telah menerima surat pelucutan kerakyatan.

Lim Lian Geok alias Lim Chai Koo berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1927. Penghujung tahun 1926, Lim mengambil bahagian dalam protes pelajar apabila Maktab Jimei ditutup sementara waktu akibat berhadapan dengan masalah kewangan. Bila Maktab Jimei dibuka semula, Lim tidak kembali ke Jimei dan bekerja sementara di Sekolah Goumin, Ayer Tawar, Perak. Sebulan di situ, Lim kemudiannya berhijrah ke Jawa Timur (beberapa tahun) dan kembali ke Tanah Melayu.

Awal 1930-an, Lim kembali ke kampong halamannya di Yongchun apabila ibunya meninggal dan mengajar di sana selama setahun. Oktober 1935, Lim mengajar di Sekolah Menengah Confusian sehinggalah kerajaan membatalkan permitnya sebagai pendidik pada bulan Ogos 1961. (Lim Lian Geok: Jiwa Budaya Cina Malaysia, 2016). Pada 28 Disember 1985, ditubuhkan Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok yang disokong oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina dan tarikh kematiannya diisytiharkan sebagai Hari Pendidikan Cina.

Amaran Perdana Menteri kepada Dong Jiao Zong bukan sahaja dipandang sinis oleh dua buah pertubuhan politik Cina, bahkan veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa terdapat ‘teori konspirasi’. Isu tersebut dianggap sebagai motif politik dan salah menggelarkan Dong Zong sebagai rasis. (Kit Siang tuduh Mazlee, Tun Mahathir ‘berkonspirasi’ isu tulisan Jawi? Free Malaysia Today, 13 Ogos 2019). Dalam penjelasan tersebut, Lim Kit Siang turut menyatakan bahawa perubahan kurikulum itu adalah ‘warisan kerajaan lama’ kerana ia sudah diluluskan pindaannya pada tahun 2015. Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hanya mengetahui tentang perkara tersebut ketika kontroversi meletus. Ia sesuatu yang cuba dipertahankan oleh Lim Kit Siang, termasuk pendirian ‘tidak setuju’ Teo mengenai perkara tersebut.

Secara umumnya, tidak sepatutnya rakyat Malaysia merasa takut untuk mempelajari kaligafi Jawi sebagaimana tidak takutnya sebahagian ibu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular. Belajar Jawi tidak bermakna ‘masuk Jawi’. Belajar Jawi bermakna belajar satu lagi bidang penulisan, yang mempunyai banyak faedahnya, termasuklah memahami teks-teksi klasik ‘peradaban Melayu’ prapenjajahan. Walaupun aksara Jawi ada kaitannya dengan bahasa Arab, tidak bermakna belajar Jawi menjadikannya sebagai Arab.

“Masuk Jawi” pernah dikaitkan dengan Islam. “Masuk Jawi” atau berkhatan merupakan perkara yang digalakkan, bukan diwajibkan oleh Islam. “Masuk Jawi” mempunyai hubungan yang bermakna dari segi kesihatan. ‘Masuk Jawi’ memang disyorkan, tetapi, kerana ia adalah pilihan, maka tidak meributkan banyak orang. Hanya kanak-kanak daripada keluarga Islam ‘rasa sedikit cemas’ ketika hendak dikhatankan. Selepas seminggu, ia sudah tidak lagi rasa ngilu dan cemas. Begitulah juga dengan belajar tulisan Jawi. Terasa susah bila belum dimulakan, terasa curiga bila hanya memandang kebaikannya dengan prejudis dan persepsi keagamaan.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply