“Secara lazimnya juga terdapat empat orang daripada pembangkang akan dipilih menduduki jawatankuasa tersebut dan oleh kerana saya hanya membaca laporan media dan tidak menerima tawaran rasmi, saya hanya akan mengambil tindakan setelah tatacara mengikut kelaziman amalan Parlimen itu saya terima,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mengesahkan hanya nama Ahmad Zahid sahaja dipertimbangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk dilantik sebagai Pengerusi PAC.

Ketika ditanya sa­­ma ada beliau akan menerima ja­watan tersebut sekiranya tawaran rasmi dikemukakan, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, tindakan selanjutnya akan diputuskan selepas perbincangan berkenaan.

“Oleh kerana Ketua Pembangkang bukan seorang terkenal sebagai autokratik, maka saya perlu berbincang dengan rakan-rakan dalam blok pembangkang,” jelasnya.

Sementara itu menurut Ahmad Zahid, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menolak tiga tawaran jawatan pen­ting dalam kepe­mimpinan parti.

Katanya, tawaran pertama adalah ber­kaitan cadangan agar Ahli Parlimen Rembau itu bertanding jawatan Naib Presi­den dalam pemilihan parti baru-baru ini selepas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Walau bagaimanapun beliau memberitahu, Khairy memilih untuk bertanding jawatan Presiden.

“Selepas Khairy kalah, saya te­lah menawarkan sekali lagi jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tetapi beliau menolak juga.

“Sebelum pengumuman barisan baharu kepemimpinan UMNO, saya buat kali ketiga menawarkannya jawatan Ketua Penerangan dan beliau sekali lagi menolaknya,” katanya.

Ahmad Zahid berpandangan, Khairy menolak ketiga-tiga tawaran tersebut mungkin kerana beliau mempunyai perancangan tersendiri untuk membantu memperkukuhkan UMNO sebagai parti pembangkang yang konstruktif.

Sementara itu Khairy berkata, beliau menolak dua tawaran daripada Ahmad Zahid kerana tidak mahu terikat dengan keputusan parti ketika ini.

“Ketika ini saya mahu jadi suara bebas dalam UMNO, saya masih bersama UMNO tetapi biarlah saya ada kebebasan untuk menyatakan pandangan. Namun hubungan kami masih baik, cuma biasalah ada sedikit tekanan, beliau seperti abang bagi saya,” katanya.