BENARKAH BN MAINKAN ISU PERKAUMAN ?

 

UMPAMA rumah sudah pahat berbunyi. Kisah kemenangan BN di Cameron Highlands dengan majoriti bertambah Sabtu lalu (26 Januari) dikeronyokkan sebagai kemenangan tidak ‘gentelement’ BN menang kerana menggunakan isu perkauman.

Dakwaan pemimpin PH itu bukanlah sesuatu yang pelik dan boleh dianggap luar biasa. Saperti tabiat orang kalah, kekalahan itu tidak pernah diteliti secara objek punca kekalahannya. Ia lebih mudah diambil kesimpulan, kekalahan kerana pihak lawan menghasut pengundi untuk menakut-nakutkan kaum tertentu.

Bukan sahaja calon yang kalah mendakwa BN pergunakan isu perkauman. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama juga berkata punca kekalahan PH kerana kempen perkauman, termasuk dirinya didakwa gagal menjaga institusi Islam dan umat Islam.

Perdana Menteri yang turut berkempen pada hari terakhir juga berkomentar senada dengan apa yang didakwa oleh calon yang kalah secara berturut-turut sebanyak tiga kali. Kalaulah orang biasa boleh memahami apa itu ‘perkauman’ maka adalah pelik sekiranya pemimpin-pemimpin PH sendiri berusaha mengkaburkan kekalahanannya atas dasar perkauman.

Menurut portal MyHealth (KKM), perkauman itu membawa maksud “kepercayaan bahawa kemampuan dan ciri-ciri yang dikaitkan dengan manusia adalah berdasarkan kaum dan sesetengah kumpulan kaum itu lebih tinggi kedudukannya dari yang lain. “.(Rujuk: http://www.myhealth.gov.my/perkauman/)

Dalam istilah sosiologi, perkauman itu dapat didefinisikan sebagai “orang yang mengamalkan kepercayaan atau junjungan bahawa hanya bangsanya sahaja yang dianggap unggul atau bangsa terhebat atau utama selain bangsa lain di dunia. Mereka ini mengamalkan kepercayaan prejudis bahawa satu bangsa adalah lebih tinggi darjatnya dari bangsa yang lain.”(Rujuk: http://jafawaraya.blogspot.com/2016/07/perpaduan-dan-perkauman.html)

Perkauman juga dimaksudkan “isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya. Dalam konteks Malaysia, isu-isu sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem kuota dan perkara-perkara stereotype.” (Rujuk: http://isuperpaduandanperkauman.blogspot.com/2016/07/perpaduan-dan-perkauman.html)

Berdasarkan perspektif Malaysia, perkauman boleh dirujuk sebagai tindakan untuk memperlekeh-lekehkan sesuatu kaum oleh individu ataupun kumpulan tertentu. Dalam pengertian tersebut, apa yang disebut oleg calon PH “BN’s calculation is, they think… They really don’t understand. You see, the Malays don’t even buy kuih from Orang Asli vendors. I don’t think they will go all out and vote for an Orang Asli…” adalah permulaan membangkitkan isu perkauman, tiga hari sebelum hari penamaan calon. (Rujuk: Manogaran says BN’s ‘Orang Asli’ plan may backfire, cites ‘kuih’ analogy, Malaysiakini, 9 Januari 2019)

Kenapa M Manogaran berkata demikian? Beliau yang dua kali kalah kepada calon BN dari MIC, kemudiannya merasakan dirinya memperoleh suntikan moral apabila berjaya membawa kes kemenangan BN dalam PRU ke-14 ke mahkamah. Dengan rasa gembira itu membuatkan M Manogaran rasa dirinya boleh menang kerana perbezaan undi adalah kecil, iaitu 597. Hasil congakannya, DAP boleh menang berdasarkan sentimen secara umumnya yang dikongsikan bersama oleh rakyat Malaysia kira-kira sembilan lalu ketika BN dikalahkan buat pertama kali.

Ramai yang melihat kemenangan kali ini mungkin berpihak kepada PH. PH mempunyai segalanya dan berkuasa di peringkat pusat. Imej pemimpin-pemimpin BN semakin memburuk apabila sebahagian wakil rakyatnya mengisytiharkan keluar parti, sebagai wakil rakyat bebas dan menyertai parti yang memerintah saperti PPBM. Bekas Perdana Menteri, bekas menteri dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan adalah contoh yang didakwa pemimpin BN tidak berintegriti dan kleptokrat.

Setelah  menyedari diri terperangkap dengan isu perkauman, M Manogaran “saya memohon maaf kepada semua berhubung kenyataan saya. Saya sedar bahawa itu kesilapan besar dan saya tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.” (Rujuk: Isu kuih: Manogaran mohon maaf, Utusan Malaysia, 10 Januari 2019). Tentunya jika kenyataan tersebut tidak dikecam oleh pelbagai pihak, termasuk warganet, ia berkemungkinan tidak dipohon maaf oleh M Manogaran. Orang Asli rasa terhina manakala orang Melayu rasa saperti sedang dibuli untuk tidak menyokong calon yang dipilih oleh BN, Ramli Mohd Nor yang berketurunan Semai-Temiar.

Nampak jelas, M Manogaran sebenarnya memulakan isu perkauman walaupun sebelum tiba hari yang dibenarkan berkempen secara rasmi. Kenyataannya, “The Malays will ask “How come we don’t have a Malay candidate? How come you put an Orang Asli? Chinese, Indian will not vote for the Orang Asli (as well).” Kenyataan sudah jelas, apakah sebenarnya yang dimulakan oleh M Manogaran, dan bukan BN. BN memilih Ramli sebagai calon kerana tokoh itu mempunyai imej yang bersih, mampu menarik sokongan orang Melayu dan Orang Asli dan juga dilihat calon yang paling layak untuk bertanding di PRK Cameron Higlands.

PH, khususnya DAP tidak melihat bahawa M Manogaran adalah liabiliti kepada parti kerana walaupun sejak sepuluh tahun dicalonkan (dua kali PRU), tidak banyak gerak kerja yang dilakukan dan kerana itulah beliau dilihat begitu kekok bila berhadapan dengan masyarakat Melayu dan Orang Asli di DUN Jelai.

Menurut laporan sebuah portal, pada 24 Januari 2019, iaitu dua hari sebelum hari mengundi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata dalam khalayak Cina di Cameron Highlands “Jika BN menang di Cameron Highlands, maka pada masa akan datang nanti, orang bukan Islam tidak akan jadi menteri bahkan nak jadi MP pun tidak boleh.” Bukankah kenyataan jelas bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan kebencian kepada BN, kerana meletakkan calon beragama Islam? Bolehkah kita melihat dengan jelas bentuk permainan politik yang ditanam oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dalam minda pengundi sebangsa dengannya?

Lim Guan Eng menambah, “sekiranya anda mahukan kita (kaum Cina) dihormati, pendidikan kita dijaga dan dijamin, kolej-kolej (3 kolej persendirian Cina), sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan juga sekolah persendirian Cina yang kini terjamin dan didanai maka undilah Pakatan Harapan pada 26 Januari nanti.” (Rujuk: Jika BN menang di CH, orang bukan Islam tidak dapat jadi menteri, MP, https://www.themalaysianinsight.com/chinese/s/128092? )  Bukankah frasa ini sudah membuktikan bahawa PH sebenarnya yang meniupkan isu perkauman kerana terdesak ingin menang di Cameron Higlands.?

Kerakyatan Penuh Untuk Orang Asli

Sebelum sebelum itu, Lim Kit Siang berkicau untuk memberikan kerakyatan penuh kepada Orang Asli sekiranya PH menang di Cameron Highlands. Tawaran itu dengan jelasnya menunjukkan Ahli Parlimen yang paling lama di Malaysia begitu cetek ‘pengetahuan amnya’ mengenai status Orang Asli di Malaysia? Warganet berusaha memahami Lim Kit Siang bahawa Orang Asli sudahpun memiliki ‘kerakyatan penuh’ dan apa yang diperkatakan oleh bapa kepada Lim Guan Eng itu adalah bentuk penghinaan kepada Orang Asli.

Naib Presiden UMNO yang memangku tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaacob mengecam dan bertanya  “Apakah secetek itu pemikiran seorang Ahli Parlimen yang paling lama berada dalam Dewan Rakyat ini? Untuk pengetahuan Kit Siang, Kabinet Kerajaan BN sebelum ini telah mewujudkan satu Majlis Penasihat Orang Asli.” (Rujuk: Tolak Calon PH, DAP ‘Buta’ Fakta Orang Asli, https://www.mynewshub.tv/utama-sensasi/tolak-calon-ph-dap-buta-fakta-orang-asli/).

Sekeping pamphlet berbahasa Cina yang turut dikeluarkan turut menampakkan niat sebenar Lim Guan Eng untuk memperkuatkan kedudukan pendidikan Cina dan risalah boleh dikaitkan dengan perjuangan sebenar DAP. DAP yang berselindung di sebalik parti berbilang kaum, sebenarnya mencurahkan perhatian yang besar untuk meletakkan pendidikan Cina ke tahap yang boleh mencabar pendidikan arus perdana.

Sejak beliau menerajui Kementerian Kewangan, peruntukan untuk sekolah-sekolah dan kolej persendirian Cina diberikan peruntukan (misalnya, RM 2 juta kepada Kolej New Era). Sepatutnya, peruntukan dalam sektor pendidikan diuruskan oleh Kementerian Pendidikan. Jika peruntukan ini diletakkan dalam Kementerian Pendidikan, Lim Guan Eng dijangka tidak dapat ‘laba politik’ dan kerana itulah beliau boleh berbangga memperjuangkan pendidikan Cina, sekaligus dapat mempengaruhi pengundi Cina untuk pilihan raya seterusnya. Kalau sebelumnya, DAP hanya dapat bercakap untuk mempertahankan pendidikan Cina, kini setelah berkuasa, Lim Guan Eng boleh menjadi ‘jaguh’ baharu.

Antara isu perkauman yang didakwa dimainkan oleh BN dan PAS ialah mengenai sokongan kepada calon beragama Islam berbanding bukan Islam. Hal ini tidak dapat dipisahkan dengan ‘dogma’ politik PAS, tetapi, ia bukanlah sesuatu yang dianggap berbahaya dari aspek hubungan kaum di Malaysia.

Ada pun membangkitkan soal seorang anggota bomba yang menjadi mangsa rusuhan di Kuil Maha Mariaman pada akhir November lalu, ia bukanlah secara tuntasnya dieksploitasikan sebagai isu perkauman. Apa yang dibangkitkan ialah keadilan untuk Mohd Adib, kerana selepas dua bulan tragedi itu berlaku, proses siasatannya dilihat terlalu perlahan.

Apa yang mendukacitakan ialah bila ditubuhkan satu jawatankuasa inqiuri terhadap kematian anggota bomba, yang dianggap sebagai satu percubaan untuk menutup kes. Ia bukan sahaja dikhuatiri oleh warganet, bahkan ahli keluarga Allahyarham turut kesal dengan kelambatan proses berkenaan. Ia hanya bergantung kepada laporan inkuiri, di mana mereka yang terbabit membelasah Mohd Adib masih bebas.

Dalam surat terbuka untuk Mujahid, seorang penulis yang menamakan dirinya Der Btader mengemukakan lima fakta untuk menyangkal bahawa BN memainkan isu perkauman ketika berkempen.(Rujuk: Surat Terbuka Untuk Mujahid Rawa: Menjawab Dakwaan Kononnya BN Menang di CH Kerana Perkauman, https://www.amenoworld.org/2019/01/surat-terbuka-untuk-mujahid-rawa.html). Apa sebenarnya berlaku ialah PH yang menggunakan isu perkauman kerana dilihat begitu terdesak setelah ramalan-ramalan penganalisis menyatakan bahawa BN mampu mempertahankan kerusi Cameron Highland atas sebab PH tidak menunaikan janji-janjinya.

Inilah sebenarnya faktor yang menyebabkan PH kalah yang tidak dapat diakui oleh pemimpin-pemimpinnya termasuk Dr Mahathir sendiri. Atas sifat ‘menuding jari’ itu ada sebilangan kecil pemimpin muda dalam komponen PH sendiri mempersoalkan sikap dan kecenderungan boss-boss mereka kerana malu mengakui kelemahan sendiri.

Ada juga dalam pimpinan PH mengharapkan parti itu akan kalah di DUN Semenyih nanti sebagai pengajaran berguna buat PH yang semakin sombong dan bongkak kuasa, tidak membantu rakyat untuk berhadapan dengan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Apakah yang berlaku pada malam terakhir kempen? PH dilaporkan telah mengagihkan hamper kepada pengundi Orang Asli. Ia menambahkan lagi ‘barah’ politik yang dulunya dilihat tidak beretika, kini dilakukan tanpa segan silu oleh pekerja kempen PH. Kesemuanya telah menyumbang kekalahan kepada PH, bukan kerana BN menggunakan isu perkauman di sepanjang kempen PRK Cameron Highlands.

Bukti gambar, video, audio tentang ugutan dan pengagihan ‘dedak’ akan terus tersimpan. Begitu juga dengan kesalahan calon ‘memakai baju berlambang parti’ ketika mendekati pusat mengundi dan kes ini, walaupun lambat, sekurang-kurangnya telah direkodkan sebagai kesalahan di bawah senarai kesalahan berdasarkan Akta Pilihanraya 1954. Ia turut menyebabkan PH terus dibelenggu masalah ‘cakap tak serupa bikin’, timbalan menteri salah guna aset kerajaan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) yang silap pasang papan tanda.

Kesemuanya memalukan PH yang kononnya berintegriti, bebas rasuah dan terus dilihat penuh cacamarba.

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply