BENARKAH PELAJAR TAHFIZ BERFIKIRAN JUMUD?

SEDIH dan pilu. Sebagai orang Islam kita terasa sedih apabila ada di antara umat Islam curiga tentang institusi Islam. Tertubuhnya institusi dan penguatkuasaan peraturan Islam dilihat sebagai langkah terkebelakang yang boleh menghalang kreativiti dan inovasi.

Sebagai orang Islam kita amat bersedih apabila ada pemikir-pemikir dan aktivis dalam kalangan orang Islam mengesyorkan agar pendidikan agama tidak diinstitusikan. Bagi mereka, persoalan agama merupakan ‘kebebasan individu’, maka masyarakat dan negara tidak boleh campur tangan. Ia merupakan tanggungjawab individu itu sendiri, sama ada menjadi seorang yang beriman atau sebaliknya.

Untuk membangun dan membudayakan ‘iman’, seseorang itu memerlukan ilmu. Persoalan menuntut ilmu, dalam sudut pandangan Islam adalah suatu kewajiban. Ertinya, seseorang itu secara jelasnya berdosa jika tidak ‘mencari dan menuntut ilmu’. Tetapi, dalam beberapa keadaan, masih ramai orang Islam begitu jijik dan mual untuk belajar mengenai ilmu-ilmu Islam.

Akibat perasaan itulah ada umat Islam sanggup mengetepikan ilmu-ilmu Islam hanya kerana melihat ia tidak mempunyai nilai-nilai ekonomi. Ilmu-ilmu Islam hanya bergerak dalam lingkungan ‘keimanan’ dan kerana itulah ada umat Islam sanggup melabelkan mereka yang mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu Islam sebagai orang yang berfikiran jumud.

Atas dasar skeptisisme agama itulah menyebabkan bekas Menteri Penerangan Dato Zainuddin Maidin berusaha keras mempertahankan cadangannya agar sekolah-sekolah tahfiz dimansuhkan. Bagi beliau, akibat menumpukan pelajaran menghafaz al-Qur’an, para pelajar tidak mempunyai masa depan yang lebih baik manakala penubuhan pusat tahfiz telah membangkitkan pelbagai persoalan dan masalah.

Sekolah-sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh orang perseorangan, telah memperjudikan masa depan para pelajarnya kerana apa yang diketahui oleh lulusannya ialah menghafaz al-Qur’an. Para pelajar tidak dibekalkan dengan lain-lain ilmu sama ada bersifat akademik, vokasional dan kemahiran.

Ada juga sekolah-sekolah tahfiz didirikan atas tanah yang diwakafkan. Selepas beberapa tahun beroperasi, ia menimbulkan pertikaian kerana sama ada waris pemilik asal tanah berkenaan menuntutnya kembali ataupun pihak pengurusan sekolah merasakan tidak lagi mampu menampung perbelanjaan bulanan yang terus meningkat.

Sekolah-sekolah tahfiz milik persendirian turut mengabaikan keselamatan para pelajar. Akibatnya, sekolah-sekolah tahfiz umpama ‘perangkap yang disengajakan’. Ia bukan sahaja boleh ‘membunuh pelajar’ bahkan ada ketikanya berbuat salah dengan mengeksploitasi para pelajar untuk mengutip derma ataupun menjual barangan tertentu atas nama ‘dana pendidian dan tabung pembangunan sekolah’.

Bagaimanapun, pandangan tersebut hanya bersifat peribadi dan tidak boleh dijadikan asas yang kukuh untuk menutup sekolah-sekolah tahfiz.Namun cadangan tersebut  itu telah ditolak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa. Bagi beliau, cadangan tersebut itu tidak mempunyai merit yang kukuh dan data kajian yang sahih. Ia hanya bersandarkan persepsi peribadi yang mungkin dibingkaikan oleh skeptisisme agama.

Beliau  tidak sepatutnya mengeluarkan cadangan tergesa-gesa dan terlalu simplistik. Kalau pun beliau cenderung melihat sekolah-sekolah tahfiz ada kelemahan yang jelas, ia perlukan kepada kajian yang mendalam untuk mengenalpasti apakah kemunculan sekolah-sekolah tahfiz secara mutlaknya membina ‘minda tertutup’ sehingga para pelajarnya cenderung ekstremis?

Menghafaz al-Qur’an bukanlah saperti menghafal buku-buku. Untuk membolehkan seseorang bergelar hufaz, ia memerlukan disiplin yang tinggi dan sepanjang pembelajarannya perlu kepada kekuatan memori dan tertib tertentu. Ia berbeza dengan menghafal buku. Menghafal buku tidak memerlukan prasyarat pembersihan diri dan disiplin susila yang tinggi. Menghafal buku dianggap memadai sekiranya seseorang itu boleh menguasai abjad sedangkan menghafaz al-Qur’an perlukan tertibnya kerana setiap tanda yang terdapat di setiap abjad mempunyai maksud yang berbeza. Sebab itulah proses menghafaz al-Qur’an memerlukan masa yang lama dan tunjuk ajar yang jelas.

Setakat ini, dianggarkan lebih seribu buah sekolah tahfiz di seluruh negara. Sekitar 60 peratus telah mendaftar dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Negeri. Persekitaran dan kemudahan sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar sedikit sebanyak mendapat bantuan kerajaan dan kerana itulah sebahagian daripada masyarakat bukan Islam mula melontarkan pandangan curiga, sekolah-sekolah tahfiz bakal menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat.

Sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan bantuan ‘one off’ kepada sekolah-sekolah tahfiz sama ada dari bantuan pembangunan mahupun peruntukan dana pengurusan. Bagi mereka, apabila Dasar Pendidikan Tahfiz Kebangsaan (DPTK) diluluskan, ia bakal diiktiraf sebagai satu bentuk sistem pendidikan yang sah. Ia berbeza dengan sekolah-sekolah vernakular yang sukar memperoleh bantuan kerajaan sekiranya tidak sealiran dengan kurikulum kebangsaan.

Sekolah-sekolah vernakular swasta mengendalikan peperiksaan berdasarkan kurikulum yang khusus tidak diiktiraf oleh kerajaan untuk memasuki perkhidmatan awam ataupun melanjutkan pelajaran dalam negara. Bagi lulusan pusat tahfiz menerusi DPTK, lulusannya bukan sahaja diterima melanjutkan pelajaran di luar negara, bahkan diterima masuk di dalam institusi pendidikan tinggi kerajaan.

Sebab itulah bukan Melayu terus mendesak agar kerajaan mengiktraf sijil UEC yang dikelolakan oleh badan-badan pendidikan persendirian Cina. Setakat ini, kerajaan belum memberikan keputusan jelas mengenai pengiktirafan itu walaupun Menteri Pendidikan bersedia menunaikan manifesto PH.

Jika pengiktirafan penuh UEC diberikan pada tahun ini, ia bakal menimbulkan polemik yang lebih besar. Kurikulum pendidikan swasta Cina menggunakan kurikulum yang dimport dan mengetepikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Ia berbeza dengan kurikulum sekolah-sekolah tahfiz, kebanyakanya dikendalikan dalam bahasa kebangsaan walaupun bahasa al-Qur’an itu adalah bahasa Arab. Boleh dikatakan proses komunikasi antara guru dengan pelajar dan dalam kalangan pelajar berlangsung dalam bahasa Melayu. Hampir kesemua pelajar sekolah tahfiz adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Hanya sebilangan kecil sahaja pelajar-pelajar sekolah tahfiz bukan dalam kalangan orang Melayu.

Sepatutnya bagi setiap ibu bapa yang cenderung menghantar anak-anaknya ke sekolah tahfiz perlu menyemak terlebih dahulu kedudukan sekolah-sekolah tersebut sebelum membuat keputusan. Sekolah-sekolah yang dipilih itu mestilah berdaftar secara sah sama ada dengan Kementerian Pendidikan ataupun Jabatan Agama Islam Negeri. Sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar akan mendapat bantuan dan penyeliaan yang lebih baik daripada pihak berkuasa. Sekolah-sekolah tersebut juga lebih terjamin dari segi keselamatan para pelajar, termasuklah pemeriksaan berkala mengenai keselamatan penggunaan alatan elektrik dan aktivitinya lebih tersusun.

Melalui DPTK para pelajar bukan sahaja belajar menghafaz al-Qur’an bahkan beberapa mata pelajaran akademik, kemahiran dan vokasional boleh diintegrasikan ke dalam kurikulumnya. Sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar akan dapat diselaraskan mengenai sistem perjawatan manakala guru-guru yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pedagogi boleh dilatih. Ia bakal meningkatkan kualiti guru menjadi tenaga kerja professional.

Memansuhkan sekolah-sekolah tahfiz bukanlah satu tindakan yang bijak tetapi mengintegrasikan pendidikan tahfiz dengan kurikulum kebangsaan boleh menjadikan lulusannya setanding dengan hasrat melahirkan generasi ulul-albab. Generasi ulul-albab bukan sahaja mahir menguasai ilmu-ilmu Islam bahkan mempunyai kemampuan bersaing dengan lulusan pendidikan sekular.

Tentunya generasi ulul-albab inilah yang bakal membangun peradaban baharu yang lebih besar dan berdaya tahan kerana mereka berjaya membudayakan nilai-nilai keimanan dalam diri sendiri untuk melangkah lebih jauh dalam pasaran pekerjaan dan seterusnya mengekang pelbagai ancaman moral serta kebejatan sosial yang lahir daripada sistem pendidikan sekular yang terlalu menekankan nilai-nilai material.

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply