BENARKAH PEMIMPIN ISLAM SEMAKIN LESU?

Sudah beribu tahun Rasulullah s.a.w meninggalkan umat baginda, namun hari kelahiran Nabi Besar Junjungan ini masih diperingati saban tahun. Inilah di antara beberapa rahmat peninggalan Rasulullah s.a.w.

Bagi manusia biasa, hari kelahiran hanya disambut semasa hayat masih ada, setelah mati tiada lagi siapa yang akan memperingatinya, bahkan kadang-kadang tarikh kematian pun diterlupakan pewaris mereka.

Pemergian Rasulullah s.a.w tidak meninggalkan harta atau wang ringgit untuk diwarisi. Cuma yang menjadi pewaris Nabi ialah para ulama yang diharapkan dapat menyambung perjuangan Islam.

Mereka diamanahkan untuk melaksanakan Islam di muka bumi. Dengan itu salah satu tugas mereka ialah men”transformasikan” khazanah Islam dalam bentuk baru. Tentulah tidak cukup sekadar melaungkan bahawa Islam adalah agama yang syumul dan sejagat tetapi gagal mengetengahkan Islam sebagai alternatif untuk dipakai sebagai ganti kepada sistem Barat sekarang.

Setiap apa pun sistem atau nilai yang dikemukakan Barat, dengan bangganya ulama akan meuar-uarkan bahawa dalam Islam juga telah ada.

Kita mesti bersikap objektif bahawa masih terdapat beberapa kekurangan output pengkajian dan tulisan mengenai nilai-nilai Islam dalam bentuk baru yang sesuai digunakan dalam zaman moden.

Kita juga terpaksa mengakui dari segi penggarapan nilai ini dalam bentuk satu disiplin ilmu yang saintifik masih lagi terdapat beberapa kelemahan.

Model Islam masih lagi sedikit atau masih kurang.

Segala nilai Islam dari segi asas, konsep dan prinsip sudah cukup sempurna dan mantap untuk dihayati. Namun tidak keterlaluan jika kita katakan dalam era letusan informasi dan kepantasan kemajuan sains dan teknologi kita masih lagi gagal melaksanakan Islam secara meluas disebabkan kelesuan kita umat Islam sebagai para pemikir dan ulama.

Saban tahun orang Barat menghasilkan buku-buku best-seller mengenai budaya atau nilai tetapi jumlah kita orang Melayu Islam yang mempersembahkan Islam dalam bentuk baru masih lagi boleh dibilang dengan jari.

Kebanyakan tulisan yang dihasilkan menceritakan apa yang ada dalam Islam tapi kurang mendedahkan ke arah bagaimana nak melaksanakan Islam, aplikasi dan implimentasinya. Mungkin dengan adanya sambutan Maulidur Rasul dapat menjana semula tenaga ulama untuk memikirkan apa yang patut ditambah lagi untuk panduan umat Islam sejagat.

Ulama sebagai pewaris juga diharapkan dapat menghampirkan diri pada masyarakat demi kebaikan mereka. Inilah antara sifat kepimpinan Rasulullah s.a.w. seperti yang diceritakan dalam Surah al-Taubah ayat 128: Telah dihantar kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu yang cukup mengambil berat tentang apa yang menimpa kamu, sentiasa berusaha untuk kebaikan kamu dan tinggi belas kasihannya kepada kamu.

Betapa dekatnya Rasulullah s.a.W dengan masyarakat jelas terbayang bila baginda berjaya mentarbiahkan seorang Badwi untuk bersolat dengan khusyuk dan sempurna dalam masa tiga hari sahaja setelah Badwi itu bermalam di rumahnya.

Pendekatan yang digunakan Rasulullah s.a.w. ialah “solatlah seperti mana aku bersolat”, iaitu pendekatan teori dan praktikal. Badwi itu bukan sahaja mendapat ajaran secara langsung tetapi melihat sendiri bagaimana Rasulullah s.a.w melaksanakannya.

Betapa prihatin pula Rasulullah s.a.w pada umat baginda jelas dengan sikap baginda yang sentiasa mengelilingi rumah ke rumah untuk melihat sendiri penderitaan dan kesempitan yang dialami umatnya.

Mari kita fikirkan dan renungkan sedalam-dalamnya sejauh manakah yang telah kita lakukan untuk menghampiri masyarakat yang bermasalah.

Ada ulama yang mahu dihampiri masyarakat tetapi mereka pula yang sibuk atau tidak cukup masa untuk masyarakat. Ada pula yang mahu mendekati masyarakat tetapi sayangnya masyarakat pula rasa susah untuk menerima mereka sebagai pemimpin kerana pendekatan yang terlalu ketat.

Dalam dua keadaan ini, bererti kita sebagai ulama belum selesai melaksanakan tugas dengan sempurna sebagai pewaris nabi. Sama-samalah kita renungi.

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply