Saya ingin bertanya kepada semua rakyat di sini:

1. Benarkah rakyat tidak kisah dengan hibah 1.25 peratus setahun sedangkan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah purata hibah tahunan adalah 6.75 pertaus?

2. Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan Pakatan Harapan (PH) bahawa wujud penyelewengan oleh Kerajaan BN yang telah mengakibatkan Tabung Haji rugi RM17.8 bilion?

3. Benarkah rakyat tidak kisah dengan akaun Tabung Haji yang didakwa telah dimanipulasi sehingga menampakkan tiada sebarang defisit untuk tahun 2017?

4. Benarkah rakyat tidak kisah dengan tuduhan menteri bahawa akaun Tabung Haji telah dipalsukan untuk menutup defisit RM4.1 bilion?

5. Benarkah rakyat tidak kisah dengan dakwaan bahawa defisit RM4.1 bilion yang dialami Tabung Haji kerana dirompak atau dicuri oleh BN?

6. Benarkah rakyat tidak kisah wang mereka berjumlah RM17.8 bilion digunakan untuk ‘bail-out’ atau sebagai suntikan dana kepada Tabung Haji sedangkan sejak puluhan tahun di bawah BN tidak pernah kerajaan terpaksa berbuat demikian?

7. Benarkah rakyat tidak kisah dengan penjualan aset-aset strategik Tabung Haji termasuk bernilai RM10 bilion kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn. Bhd.?

( Nota: Antara hartanah bernilai yang dijual termasuklah tanah TRX yang dibeli pada harga RM196 juta dan dijual pada harga RM400 juta; Platinum Park dijual pada harga RM737 juta sedangkan harga belian RM485 juta; ini tidak termasuk hotel-hotel Tabung Haji yang turut dijual di Bayan Lepas, Kuching, Kelana Jaya, Kota Kinabalu, Alor Setar, Terengganu).

8. Benarkah rakyat tidak kisah ke mana dibelanjakan baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga Tabung Haji kepada Syarikat SPV Urusharta Jemaah Sdn. Bhd.?

9. Benarkah rakyat tidak kisah dengan dakwaan menteri sebelum ini yang mengaitkan pelbagai kerugian pelaburan Tabung Haji yang dikaitkan dengan penyelewengan dan pelbagai salah laku seperti TH Heavy Engineering, Putrajaya Perdana, FGV dan PT TH Indo Plantation di Riau?

10. Benarkah rakyat tidak kisah apabila sukuk yang diterbitkan untuk mengumpul dana dengan penjualan aset-aset Tabung Haji hakikatnya tidak dijamin kerajaan? Apakah jaminan bahawa aset-aset yang dijual oleh Tabung Haji kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya dan tidak merugikan pendeposit Tabung Haji pada masa depan?

Kenapa agaknya kerajaan PH takut sangat untuk menubuhkan RCI mengenai Tabung Haji yang bebas sebagaimana janji manifesto mereka?