BERAKHIRKAH DOMINASI POLITIK UMNO?

Keyakinan orang Melayu mengalami kemerosotan dan UMNO semakin berhadapan dengan krisis apabila para pemimpin yang menerajuinya tidak lagi berusaha menjaga kepentingan ahli.

Gambaran itu dizahirkan oleh seorang veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga pernah disekat daripada menyertai UMNO setelah ianya diharamkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 1988.

Menurut Tengku Razaleigh Hamzah, “Sebenarnya kami disekat daripada kembali bersatu dengan rakan-rakan lain selepas UMNO didapati menyalahi undang-undang pada 1987. Di antara yang terbabit ialah pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn.”

Sebaik sahaja UMNO diharamkan, jelas Ahli  Parlimen Gua Musang sejak tahun 1974 itu, “para pemimpin pada waktu itu berperanan dalam menerima keputusan mahkamah tanpa membuat rayuan terhadapnya.”

Sebab itulah ada pihak memberikan penilaian bahawa Tun Dr Mahathir sebenarnya lebih rela UMNO dibatalkan berbanding mengambil tindakan merayu keputusan Mahkamah Tinggi.Jika membuat rayuan dan diterima, usaha untuk memulihkan UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat menjadi lebih sukar kerana kepimpinan pada waktu itu lebih mengutamakan kepentingan kroni.

UMNO pada ketika itu mempunyai asset yang banyak dan sebahagian pemimpin yang dibawa masuk oleh Tun Dr Mahathir merupakan golongan korporat sedangkan dokongan utama UMNO sebelumnya adalah kelompok guru dan aktivis masyarakat yang berjuang atas semangat penyatuan orang Melayu.

Sebaik sahaja Tun Dr Mahathir memimpin UMNO, beliau membawa masuk tokoh-tokoh korporat untuk bergiat aktif sehingga parti dilihat begitu eksklusif, dan mula menerima budaya politik wang. Hal ini telah menjadi kenyataan apabila perebutan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1987 didakwa turut tercemar dengan “sogokan wang” sebagai kaedah penentuan kemenangan.

Pada malam sebelum hari pemilihan diadakan, banyak pihak mendakwa wang tunai terus bertukar tangan manakala para perwakilan ada yang berjaya mengugut, jika jumlah wang tunai tidak diberikan, blog pengundi akan beralih kepada kelompok lawan. Ertinya, pihak yang inginkan kemenangan perlu menawarkan wang tunai yang lebih besar.

Dr Mahathir pernah menyelar mengenai budaya politik wang yang mula melanda UMNO, tetapi ia hanya sekadar amaran. Tindakan tegas tidak dilakukan, kerana Dr Mahathir sedar, dengan mengharamkan politik wang sokongan untuk beliau berkuasa dalam UMNO mungkin akan berakhir, apatah lagi ketika itu telah muncul dan berkembang proksi politik yang diberikan beberapa projek kerajaan menerusi dasar Pensyarikatan Malaysia dan Penswastaan.

Amalan politik wang juga telah meminggirkan “perjuangan membela orang Melayu dalam UMNO” dan kerana itulah UMNO dilihat semakin memuncakkan penguasaan kelompok tertentu, menyebabkan sebahagian kelompok yang menyokong Tengku Razaleigh semakin tersekat peluangnya.Itulah yang diistilahkan oleh Tengku Razaleigh dalam ucapan dasarnya menawarkan diri bertanding jawatan presiden UMNO, menentang kemungkaran politik dan ekonomi.

Bagaimanapun, kekalahan sejumlah 43 undi setelah proses pengundian berhenti untuk sholat Jumaat dan pengiraan undi pada malamnya diganggu oleh terputusnya bekalan elektrik, disifatkan oleh penyokong-penyokong Tengku Razaleigh sebagai “kalah dalam pertempuran tapi menang dalam peperangan.”

Akibat tidak puas hati dengan proses pengundian dan pengiraan undi, beberapa orang penyokong Tengku Razaleigh memfailkannya ke mahkamah berdasarkan peruntukan perlembagaan parti, sejumlah perwakilan dikira tidak sah kerana mereka mewakili beberapa cawangan yang belum disahkan penubuhannya.

Mungkin Dr Mahathir mengetahui situasi tersebut tetapi beliau enggan melakukan pembersihan awal, iaitu menyemak status cawangan yang mengambil bahagian. Dari sudut yang lain, ada pihak membuat andaian bahawa Dr Mahathir memang sudah menduga dan merancang agar UMNO diharamkan bagi membolehkannya menubuhkan sebuah parti baharu bagi menghapuskan perjuangan UMNO asal.

Sejauhmanakah kebenaran teori ini belum terungkai secara komprehensif, tetapi bagi penganalisis politik, ia adalah satu kemungkinan yang dirancang. Apabila UMNO diharamkan, dalam tempoh dua minggu UMNO (Baru) diluluskan pendaftarannya.Mendaftarkan UMNO (Baru) menjadi lebih mudah kerana Dr Mahathir boleh mengawalnya sedangkan mengemukakan rayuan menyebabkan dilemma Presiden UMNO semakin sukar untuk diselesaikan.

Atas kepentingan untuk menghidupkan semangat asal perjuangan politik orang Melayu, Tengku Razaleigh berkata, “Semangat 46 dipilih sebagai nama apabila saya tubuh sebuah parti politik baru atas gesaan Tunku untuk merapatkan saf apabila keadaan kembali seperti sedia kala. Nama ini merangkumi semangat parti yang ditubuhkan oleh Datuk Onn pada 1946 dan ketabahan Tunku memimpin wakil parti Perikatan dan Raja-Raja di perundingan kemerdekaan.”

Tengku Razaleigh menegaskan, “UMNO Baru bukannya UMNO.Budayanya berbeza daripada semangat perjuangan Umno 1946.“ Atas sifat dan dinamika perubahan itulah membawa UMNO kepada kedudukan yang semakin hilang kepercayaan dan keyakinan orang Melayu. Proses perebutan kuasa dan pengekalan kuasa terus berlaku sehinggalah berlaku beberapa kali pindaan perlembagaan parti.

Selepas peristiwa tersebut, Dr Mahathir turut mengajukan beberapa perundingan dan ketetapan agar jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan atas alasan “elak perpecahan”.Beberapa tahun kemudian, hanya jawatan presiden tidak digalakkan bertanding manakala jawatan Timbalan Presiden boleh dipertandingkan, yakni ketika pengaruh Anwar semakin memuncak. Kesannya, pertandingan dalam UMNO membawa kepada pemilihan secara blok, bukan lagi bersifat individu.

Inilah sebahagian sejarah UMNO yang memasuki usia 70 tahun (1946-2016) yang mendapat kupasan ilmiah oleh empat orang penganalisis politik dalam kumpulan esei yang dilancarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah semalam.

Buku bertajuk The End of UMNO?Essays on Malaysia’s Dominant Party diterbitkan oleh Strategic Information and Research Development ditunjangi oleh empat orang pakar dan penganalisis politik yang banyak terbabit dalam beberapa kajian sebelumnya. Profesor Bridget Welsh, selaku penyunting turut menulis pengenalan dan sebuah esei bertajuk “Malaysia’s Fallen Hero: UMNO’s Weakening Political Legitimacy”, iaitu esei keempat.

Dalam kata pengantarnya, Bridget Welsh menjadikan buku ini sebagai “memenuhi jurang” dengan melihat kepada tiga perspektif utama: (1) pemusatan kepimpinan pada era Dr Mahathir selama 22 tahun; (2) hubungan UMNO dengan sistem politik ekonomi negeri dan kerajaan; dan (3) UMNO dalam perspektif perubahan orang Melayu terhadap jatidiri, komuniti dan budaya politik.

Esei pertama yang ditulis oleh John Funston bertajuk “UMNO-From Hidup Melayu to Ketuanan Melayu”cuba melihat secara kritis perubahan asas perjuangan yang dialami sejak penubuhannya hinggalah kepada kemelut politik yang sedang dialami oleh kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak. Esei ini menyusur galur falsafah perjuangan politik UMNO asal dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam tempoh 70 tahun di mana setakat ini Najib masih menguasai dengan baik tanggungjawabnya sebagai Presiden dan Perdana Menteri.Dan, untuk selanjutnya, Najib perlu meyakinkan pemimpin akar umbi bahawa UMNO tetap merupakan sebuah parti Melayu yang dominan.

Esei kedua ditulis oleh Clive Kessler, seorang pengamat politik yang pernah tinggal beberapa bulan di Kelantan pada tahun 1960-an cuba membuat penilaian terhadap dua posisi UMNO, iaitu UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dan UMNO Baru yang didaftarkan pada tahun 1988 selepas UMNO dibatalkan.

UMNO yang berusia 70 tahun dalam penilaian Clive Kessler, sekurang-kurangnya telah membentuk tiga keadaan,  (1) agenda Melayu; (2) agenda Islam; dan (3) illiberal Islamist  agenda. Bagi beliau, UMNO masih tetap menjadi sebuah parti dominan Melayu sekiranya mampu mengekalkan agenda Melayu dan merealisasikan “ketuanan Melayu”, kerana inilah yang sedang diajukan oleh bekas-bekas pemimpin UMNO yang kecewa.

James Chin menulis esei ketiga “From Ketuanan Melayu to Ketuanan Islam:UMNO and the Malaysian Chinese” yang melihat secara meluas hubungannya dengan reaksi keturunan Tionghua. Kemunculan kebangkitan semula Islam bukan sahaja dilihat sebagai “ancaman” malah UMNO perlu memberikan keyakinan bahawa ia bukanlah untuk menyakitkan hati dan perasaan orang China, Islam memberikan jaminan kehidupan yang lebih baik untuk bukan Islam. Bagaimana tindakannya, ia bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan UMNO dan tidak membiarkan kelompok radikal terus mengasak dan membangunkan apa yang dirumuskan sebagai “disillusionment and disappointment.”

Bridget Welsh memperkatakan mengenai hero yang tewas, iaitu kelemahan legitimasi politik UMNO di mana persepsi awam adalah majoriti negatif. Tinjauan Barometer Asia 2014 misalnya, 26 peratus bersetuju bahawa UMNO merupakan parti yang dominan (33 peratus dalam kalangan orang Melayu), begitu juga pencapaian undi popular dalam pilihan raya. Untuk menjadikan UMNO terus dominan, ia memerlukan usaha keras para pemimpin untuk meraih kembali semangat kesetiaan ahli dan seterusnya berusaha menghapuskan kronisme dan proksi.

Dalam ucapan pelancaran buku yang boleh dianggap sebagai “amaran awal kepada UMNO” untuk melihat secara lebih mendalam mengenai sejarah kekuatannya ketika memperjuangkan “agenda Melayu”, “ketuanan Melayu” dan kelemahannya akibat “politik wang”, pengekangan suara akar umbi, Tengku Razaleigh mencadangkan 10 strategi, yang tindakannya perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana PRU ke-14 semakin hampir. Strategi tersebut ialah:

  1. Menyokong demokrasi berpelembagaan dan pemisahan kuasa sebagai prinsip asas;
  2. Kesamarataan kerakyatan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu matlamat perjuangannya;
  3. Dasar ekonomi dan politik yang tidak membeza-bezakan warganegara;
  4. Akur kepada matlamat perkhidmatan awam dan tidak melibat diri dalam perniagaan, dan memastikan pengasingan perniagaan daripada politik;
  5. Mempertahan dan menghormati kebebasan Badan Kehakiman dan proses penghakiman;
  6. Mematuhi kepada ukuran perlakuan tertinggi terhadap sistem pemilihan parti dan memastikan ia bebas daripada amalan rasuah;
  7. Memastikan dialog dan kenyataan politik tidak mencetus sengketa perkauman atau agama;
  8. Tidak mengguna hasutan berkaitan kaum dan berbau perkauman bagi matlamat politik;
  9. Mengenepi dan membenteras sekatan dalam parti yang menghalang perpaduan nasional dan perkembangan identiti Malaysia; dan
  10. Menjunjung Perlembagaan Persekutian dan Negeri termasuklah maksud serta semangat di sebalik penegakan demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan asasi seperti termaktub di Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan Pemasyhuran Hak Asasi Manusia Sejagat.

Ucap Tengku Razaleigh, kini para ahli mesti mendorong pemimpin untuk menggerakkan negara sebagaimana diimpikan oleh bapa kemerdekaan, mengawal dan mendisiplinkan pemimpin serta menghentikan perlakuan yang tidak disenangi rakyat. Rakyat mempunyai “kata pemutus” dan UMNO mesti “menjunjung keunggulan demokrasi, keadilan dan kesaksamaan.” Jika tidak, UMNO akan menerima nasib malang, nasib yang sudah menimpa beberapa buah parti politik setelah sekian lama bertahan pecah berderai seperti watak kartun Humpty Dumpty. Ia sudah berlaku di India (Parti Konggress), Jepun (LDP) dan juga di Indonesia (Golkar).

Buku ini cuba melihat kemungkinan-kemungkinan yang bakal mengakibatkan berakhirnya dominasi politik Melayu, khususnya UMNO. Atas apa pun wacana yang dikembangkan, pemimpin UMNO perlulah peka bahawa kehendak ahli mesti dipertahankan dan seboleh-bolehnya mewujudkan agenda Melayu yang jelas dan komprehensif tanpa mengalah dengan tuntutan politik bukan Melayu.

Sebabnya, Melayu tetap mahukan kedudukan tidak diancam, dan pemimpin Melayu tidak terus dibelenggu oleh keinginan membolot kekayaan, berlumba-lumba mencari keuntungan material bagi memenuhi kepuasan diri.Akhirnya, jadilah menang sorak, kampong tergadai. Hendaknya, tidak berlalu dan kemunculan buku ini merupakan “amaran awal” yang wajar diberikan perhatian serius oleh mereka yang menjadi pemimpin UMNO kalau mahu terus kekal relevan dan menjadi parti yang kuat. Bila UMNO kuat, parti-parti bukan Melayu lebih sedia menghargainya, bukan mempersoalkan apa yang UMNO laksanakan sebagaimana sekarang.

Oleh Mahanor Saleha.

Tags:

No Comments

    Leave a reply