BERANIKAH KITA BERDAKWAH KEPADA ‘ANAK & BAPA AYAM’?

Ketika masyarakat kita ditimpa pelbagai masalah maksiat, apa kata kalau sekali ini kita mengenang kembali suatu kisah ahli sufi yang bernama Abu Yazid al-Busthami. Abu Yazid ini orang yang selalu bermunajat supaya dapat masuk ke syurga-Nya kelak.

Suatu hari, sambil mengkhayalkan keindahan syurga, hati Abu Yazid berbisik, “Di sinilah Rasulullah s.a.w dan orang-orang yang beriman kepada-Nya ditempatkan. Semoga aku juga akan menjadi jiran mereka di syurga nanti.”

Ketika tersedar daripada khayalannya, Abu Yazid tiba-tiba terdengar satu suara di arah belakangnya. Suara itu menyeru, “Ada seorang hamba Allah yang bakal menjadi jiran kamu di syurga. Jika kamu ingin berjumpa dengannya, carilah dia.” Suara itu kemudian memberikan gambaran lelaki tersebut dan di mana tempat tinggalnya. 

Didesak perasaan ingin tahu siapakah sahabat yang bakal menjadi jirannya di syurga nanti, Abu Yazid pergi mencari lelaki tersebut. Selepas mengembara sejauh 500 kilometer, akhirnya Abu Yazid sampai ke tempat yang dituju. Beliau bertanya kepada para penduduk di situ tentang lelaki berkenaan.

Anehnya, seorang tua yang ditemuinya melarang Abu Yazid. Orang tua itu berkata: “Kamu seorang yang soleh, tetapi mengapa kamu hendak berjumpa dengan orang fasik dan suka minum arak?”

Abu Yazid terdiam. Hatinya berkata, “Jika begitu, suara siapakah yang aku dengar ketika bermunajat? Adakah suara syaitan?”

Abu Yazid hampa, dia memutuskan untuk kembali ke kampungnya. Belum sempat melangkah, hatinya berbisik lagi, “Aku datang dari jauh untuk melihat hamba Allah itu, tapi aku belum berjumpanya lagi. Sia-sialah kalau aku sudah mencarinya sejauh ini tetapi kemudian pulang begitu saja.”

Abu Yazid bertanya kepada orang tua itu, “Di manakah tempat tinggalnya?”

Orang tua itu menjawab, “Dia dalam keadaan mabuk dan tidak terurus. Jika kamu mahu berjumpa juga, rumahnya tidak jauh dari sini.”

Abu Yazid terus berjalan dan apabila sampai di rumah lelaki berkenaan, ahli sufi itu terkejut. Terdapat 40 orang lelaki dalam rumah tersebut dan semuanya dalam keadaan mabuk kerana meminum khamar (arak). Lelaki yang dicarinya pula sedang duduk di tengah-tengah kumpulan itu.

Abu Yazid putus asa dengan apa yang dilihatnya. Dia yakin kata-kata yang didengarnya semasa bermunajat itu adalah angkara syaitan. Lantas Abu Yazid segera meninggalkan rumah tersebut. Tetapi lelaki itu memanggilnya kembali.

Wahai Abu Yazid al-Busthami, mengapa engkau tidak masuk ke rumah ini?  Bukankah engkau datang dari tempat yang jauh untuk berjumpa dengan aku. Adakah engkau sedang mencari jiranmu di syurga nanti?” tanya lelaki itu.

Abu Yazid berasa hairan dan serba salah. Bagaimana lelaki itu boleh mengetahui niat kedatangannya padahal dia langsung tidak bersuara dan  memberitahunya.

Lelaki tersebut bertanya lagi, “Mengapakah engkau begitu cepat meninggalkan rumah ini tanpa mengucap salam dan memberikan nasihat pada aku?”

Mulut Abu Yazid terus terkunci.

Sudahlah, wahai Abu Yazid. Engkau tidak perlu banyak berfikir dan berasa hairan. Suara yang menyuruh kamu datang ke sini sudah pun memberitahu aku tentang kedatangan kamu. Jadi, silakan masuk ke rumahku dan berehatlah seketika,” ucap lelaki berkenaan.

Abu Yazid akur dan terus bertanya, “Apa sebenarnya yang terjadi di rumah ini? Dan apa pula peranan kamu di sini?”

Jawab lelaki itu, “Wahai Abu Yazid, untuk masuk ke syurga Allah, jangan kamu pentingkan diri sendiri. Itu bukan sifat utama dan mulia daripada seorang lelaki seperti kamu. Dulu di sini terdapat 80 orang fasik yang mabuk seperti kamu lihat sekarang.  Selepas itu, aku berusaha menjadikan mereka sebagai teman dan jiran aku di syurga.

Seramai 40 orang berjaya dipulihkan dan mereka telah bertaubat kepada-Nya.  Kini hanya tinggal 40 orang sahaja lagi yang perlu aku pimpin ke jalan Allah. Sekarang tugas dan tanggungjawab kamu pula untuk membawa mereka ke jalan benar dan seterusnya menjadi jiran kamu di syurga nanti.”

Mendengar kata-kata itu, hati Abu Yazid seperti disambar petir. Dia berasa amat malu dan bertekad untuk mengikuti jejak lelaki berkenaan.

Abu Yazid memperkenalkan dirinya kepada 40 orang itu dan menjadikan mereka sebagai sahabatnya. Dengan usaha dakwah dan keikhlasan hatinya, 40 orang tersebut akhirnya sedar kesalahan mereka dan bertaubat kepada Allah. Mereka  bakal menjadi jiran Abu Yazid di syurga kelak.

Siapa berani berdakwah seperti Abu Yazid? Anda berani? Siapa sanggup berdakwah dengan menjadi sebahagian daripada mereka?  Anda sanggup?

Di negara jiran kita, suatu ketika dahulu terdapat seorang pendakwah bernama Kiai Hamim Djazuli dari Kediri, Jawa Timur. Kiai yang digelar Gus Miek ini diceritakan (mungkin benar, mungkin tidak) biasa meminum bir hitam dan kongkow di kelab-kelab malam seantero Surabaya.

Bagaimanapun, bir itu diteguk bukanlah untuk tujuan mabuk-mabuk, sebaliknya sarana permulaan untuk mendekati para pengunjung kelab serta artis yang hidup jauh daripada sentuhan agama. Usaha Gus Miek itu ternyata berhasil dan akhirnya kepada beliaulah para artis, selebriti serta pekerja-pekerja kelab malam datang mengadu.

Bersama ribuan umat lainnya, mereka kemudian hadir ke majlis-majlis agama dan membaca al-Quran yang dijalankan oleh Gus Miek. Majlis itu masih berjalan sampai sekarang, meskipun Gus Miek sudah meninggal kira-kira 15 tahun lalu. Alangkah besarnya jasa Gus Miek itu.

Adakah sesiapa dari kalangan kita, terutama sekali para ustaz, imam dan pendakwah, yang berani berjihad seperti Gus Miek?

Jika tidak, bagaimana pula dengan dakwah yang dilakukan oleh Abu Bakar Cholil. Jangan harap anda akan mendengar suara alunan kuat zikir dan asma’ul husna dari pesantren milik Abu Bakar di Kecamatan Rejoso, Pasuruan, Jawa Timur ini. Sebaliknya dari tempat belajar agama itu yang kerap terdengar adalah hingar-bingar muzik yang memekakkan telinga.

Jangan terkejut, Abu Bakar menamakan pondoknya itu Pesantren Metal. Di pintu gerbang pesantren beliau memasang tanda tiga jari – ibu, telunjuk, dan kelingking – yang menunjuk langit.

Kepada anak-anak muda, tanda itu adalah simbol metal. Tapi, di pesantrennya, Abu Bakar yang berusia 30-an memberinya makna baru sebagai simbol: iman, ihsan dan imran. Kata Metal sendiri, menurut Abu Bakar adalah kependekan daripada `Menghafal dan Menghayati Ayat-ayat Al-Quran’.

Pesantrennya dihuni penagih dadah, pemabuk, kaki judi, pencuri, perempuan yang hamil di luar nikah, hingga orang stres. Mereka berambut gondrong, memakai anting-anting dan seluar jeans. Pondok ini juga mengasuh puluhan bayi yang dibuang oleh orang tuanya. Mereka bebas berpakaian, keluar-masuk pondok, bermain muzik, biliard, merokok, bersukan dan sebagainya.

Mengapa Abu Bakar bertindak demikian?  Kerana Abu Bakar yakin, ”Jika mereka khatam Al-Quran, mereka akan berubah dengan sendirinya.” Ya, mula-mula dekati mereka, kemudian bawa mereka kepada al-Quran.

Pesantren itu pun tidak menerapkan kurikulum ala madrasah atau sekolah umum. Juga tidak ada sistem kelas. Semua penghuninya yang berjumlah sekitar 1,000 hanya diwajibkan solat berjemaah. Setiap hari diadakan sesi pengajian tafsir al-Quran dan belajar agama.

Biarpun sering dikritik, tetapi ternyata anak-anak muda metal dan hilang arah itu ramai yang telah bertaubat. Bukan itu saja, jumlah yang datang untuk bertaubat di pesantren Abu Bakar kian bertambah hari demi hari.

Mungkin dakwah yang dilakukan oleh Abu Bakar itu seperti biasa kita dengar. Tetapi, mampukah kita melakukannya? Kalau mampu, bagaimana pula dengan kaedah dakwah yang dilakukan oleh Kiai Khoiron Syuaib?

Kiai Khoiron bukannya berdakwah di masjid atau surau, tetapi  di pusat pelacuran Bangunsari, Surabaya, Indonesia. Rumah Kiai Khoiron sendiri terletak di situ, yang dikelilingi lebih 100 pusat maksiat dah dihuni lebih 4,000 orang pelacur.

Khoiron tinggal di sana sejak 1970-an lagi walaupun ramai sanak-saudara menyuruhnya berpindah. Ini kerana keluarga Khoiron tergolong penganut Islam yang taat. Ayahnya, Allahyarham H. Syu’aibadalah tokoh agama yang cukup terkenal, manakala ibunya, Muntayah, berasal dari keluarga yang taat beragama di Madura.

Khoiron yang lahir pada 17 Ogos 1959 mendapat didikan ilmu agama yang kuat. Selepas menamatkan sekolah dasar pada 1974 di Bangunsari, dia dihantar ke Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur, kemudian di madrasah tsanawiyah (setingkat SMP) dan aliyah (setingkat SMA).

Tahun 1984, Khoiron kembali ke Bangunsari dan mula berdakwah setelah menyelesaikan pengajian di Jurusan Syariah Institut Agama Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya.

Mengapa Khoiron berdakwah di pusat pelacuran, bukan di masjid-masjid? Ini kerana Khoiron percaya bahawa setiap manusia pasti memiliki keinginan untuk menjadi baik. Sekecil apa pun keinginan itu, ia pasti ada. Oleh sebab itu, Khoiron berusaha mengajak setiap penduduk di sekitar rumahnya, terutama para pelacur untuk kembali ke jalan Allah. Khoiron yakin, mereka menjalani kehidupan itu kerana terpaksa, bukannya suka-suka.

Cara yang Khoiron gunakan untuk memulakan dakwahnya juga unik. Mula-mula beliau memilih panggung wayang Bintoro sebagai tempat mengumpulkan orang. Di situ  Khoiron memutarkan filem-filem Hindi yang sedang laris. Setelah filem tamat, barulah dia memulakan dakwahnya.

Tidak seperti kebanyakan pendakwah yang suka  menghukum, Khoiron pula sering mengutip firman dan hadis yang menyebutkan bahawa dosa yang tidak diampuni Tuhan hanya perbuatan syirik. Jadi, sekotor apa pun pekerjaan seseorang itu di dunia ini, termasuk pelacur dan bapa ayam, peluang masih terbuka untuk mendapat keampunan daripada Allah s.w.t.

Pendekatan dakwahnya yang lembut, mengambil hati dan memberi harapan, amat disenangi para pelacur berkenaan. Biarpun apabila panggung wayangnya sudah menurun popularitinya dan tidak lagi menyiarkan filem Hindi, para pelacur, penzina dan pemilik pusat pelacuran tetap datang ke kelas agamanya. Begitu juga ketika tempat pengajiannya dipindahkan ke balai RW 04 Dupak, Bangunsari, mereka tetap hadir untuk membersihkan jiwa.

Sedangkan Rasul sering diancam ketika berdakwah, begitulah dengan Khoiron.  Bukan setakat dicemuh, malah dia pernah diugut bunuh dengan pedang oleh para penzina itu. Namun Khoiron tidak pernah berundur dari membasmi kegiatan pelacuran di daerah Bangunsari, Dolly, Moroseneng serta Tambaksari. Ternyata, usahanya itu akhirnya membuahkan hasil.

Memang Khoiron gagal membasmi sepenuhnya, pun demikian bilangan rumah pelacuran di Bangunsari kini sudah jauh berkurangan. Pada akhir 1980-an, terdapat 700 rumah pelacuran, kini tinggal 100 buah sahaja.  Malah terdapat pemilik rumah pelacuran yang mewakafkan premis miliknya untuk dijadikan surau. Selain itu, setiap hari tidak kurang daripada 300 anak dan cucu pelacur mahupun bapa ayam yang belajar mengaji di sana.

Khoiron turut menikahkan para pelacur itu dengan lelaki pilihan mereka. Memang kadangkala pernikahan yang dilakukannya dikritik kerana melanggar prosedur negara, namun bagi Khoiron, itu lebih baik daripada membiarkan mereka berzina serta bersekedudukan. Yang penting, kata Khoiron, penzina dan pelacur ini mahu bertaubat.

Sekali lagi ditanyakan, ada sesiapa di kalangan kita yang berani berdakwah seperti Kiai Khoron? Sanggup dan beranikah para ustaz, imam serta pendakwah kita berdakwah di kawasan maksiat sebegitu?

Sementara itu, Tombo Ati Gus Tanto pula berdakwah di Semarang dan Jawa Tengah dengan mengumpan anak-anak muda bermasalah untuk belajar ilmu kebal serta kebatinan. Tetapi sebelum diajar, Sutanto mensyaratkan mereka berpuasa selama 45 hari dan mendengar ajaran agamanya.

Setelah anak-anak muda itu terpengaruh, barulah Sutanto memberitahu mereka bahawa apa yang penting bukan kesaktian luaran dan tubuh yang kebal, sebaliknya kekuatan dalaman, iaitu iman. Itulah yang akan melindungi tubuh mereka luar dan dalam daripada sebarang ancaman.

Akhirnya ramai anak muda yang bertaubat dan insaf. Ramai kaki arak yang  kini membenci minuman itu dan mahu termuntah dengan baunya!

Seperti mana Khoiron, Sutanto juga berdakwah di disko-disko, kawasan pelacuran dan menyasarkan anak-anak muda terpinggir. Sutanto yakin, setiap orang mempunyai potensi negatif dan positif. Jika yang muncul sifat negatifnya, ini berlaku kerana sifat positifnya belum ditumbuhkan.

Tugas kita adalah menggugah dan merangsang kemunculan sifat positif seseorang. Sebengis apa pun seseorang itu, dia tetap seorang manusia, pasti punya nurani untuk berbuat baik,” jelas Sutanto.

Begitulah beraninya para pendakwah di negara jiran kita itu. Nah, sekarang ini pelbagai gejala sosial sedang menghujani kita. Baik pelacuran, buang bayi, seks bebas, penyalahgunaan dadah, rempit, homoseksual (LGBT) dan sebagainya, semuanya bermaharajalela. Ramai anak-anak muda kita yang terkorban.

Namun, cuba tanyakan kepada diri kita, berapa ramai daripada pendakwah kita yang turun ke rumah-rumah pelacuran? Pernahkah kita dengar ada ustaz dan imam yang setiap hari berdakwah seperti Kiai Khoiron di Lorong Haji Taib dan Chow Kit (Kuala Lumpur), Jalan Hamzah (Kota Bharu, Kelantan) atau Jalan Wong Ah Jang (Kuantan, Pahang)?

Cuba tanyakan pula, berapa ramai ustaz dan imam-imam yang sedia melepak di disko Jalan P. Ramlee, Bukit Bintang dan Bandar Sunway untuk mengajak anak-anak muda supaya meninggalkan maksiat, disko, arak serta dadah?

Pernahkah anda lihat ustaz dan imam-imam kita melepak dengan pondan, mak nyah, `adik-adik’, lesbian serta gay di kelab-kelab hiburan dan cuba memahami perasaan serta gelodak jiwa mereka?  Bukankah jihad ini lebih berkat dan besar pahalanya daripada bersyarah di hadapan para jemaah surau dan masjid?

Kini kita sedang rancak menjalankan program melahirkan pendakwah-pendakwah muda. Malahan setiap tahun kita menjalankan program realiti pencarian Imam Muda. Ternyata imam-imam muda yang dilahirkan melalui program realiti itu punya ketrampilan yang hebat boleh menjadi imam dan pendakwah yang hebat.

Maka, bukankah elok kalau imam-imam muda ini digerakkan untuk menjalankan dakwah di pusat-pusat maksiat? Kalau imam dan ustaz-ustaz tua sudah nampak janggal untuk mengenakan jeans, topi besbol, T-shirt hitam serta kasut sukan Nike, apa kata kalau imam-imam muda ini pula yang menjalankan usaha dakwah tersebut?

Ingatlah, orang yang datang ke masjid sudah sememangnya mahu bertaubat. Hati mereka sudah lembut. Kalau tidak diceramahkan pun mereka memang sudah mahu bertaubat. Sedangkan pengunjung serta penghuni pusat maksiat ini hati mereka sudah jauh dari Allah dan Rasul. Ramai yang sudah lupa cara berwuduk dan bersolat. Malah ramai dari kalangan mereka yang sudah pun lupa membaca al-Fatihah. Berpuasa lagilah jauh. Mereka inilah yang lebih perlu didakwahkan dan perlu dikasihani. Bukan begitu?

Akuilah, dakwah kita memang lemah. Sedangkan dalam masa yang sama ada pihak lain yang bergerak secara senyap menyusupi pusat-pusat hiburan serta maksiat, dan berjaya memurtadkan penzina serta pelaku maksiat tersebut. Apabila melihat mereka berjaya, barulah kita menggelabah dan bingkas menuding jari ke sana ke mari. Kelakarnya, apabila isu itu reda, kita tidur semula sampai berdengkur!

Selama ini kebanyakan kita suka berdakwah secara fiqh totok – yang menetapkan hitam dan putih, halal dan haram, dosa, dosa, dosa… hukum, hukum, hukum. Ini membuatkan sebahagian pendakwah membenci pelaku maksiat manakala pelaku-pelaku maksiat pula membenci dan menjauhkan diri dari pendakwah.

Dalam keadaan umat yang kini digelumangi maksiat, zaman yang sedang berubah dan jiwa yang bercelaru, mungkin sudah sampai masanya untuk kita mengubah cara dakwah kepada jalan tasauf dan psikologi pula, iaitu dakwah yang  mengenal diri sendiri, menyayangi orang lain termasuk pelaku maksiat serta mendekati dan memahami jiwa mereka, seperti yang dilakukan oleh Abu Yazid al-Busthami, Khoiron, Sutanto serta Abu Bakar.

Beranikah kita melakukannya?

* Nama sebenar Abu Yazid ialah Abu Yazid Taifur ibnu Isa ibnu Surusyan al-Busthami. Beliau lahir di Bustham, timur Parsi dan meninggal dunia di tempat yang sama pada 261 Hijar (874 Masihi). Abu Yazid adalah pengasas mazhab ‘cinta’ dalam aliran tasawwuf.

Oleh: Zulkarnain Zakaria

No Comments

    Leave a reply