BERAPA LAMA LAGI ANWAR PERLU ‘STAND-BY’?

UMUM sudah tahu, Anwar Ibrahim begitu gigih berkempen untuk memastikan calon PH dari parti pimpinannya PKR menang PRK DUN Rantau Sabtu lalu.

Dalam kekecewaan menerima kekalahan yang disifatkan oleh Dr S Streram sebagai bermaruah, Anwar memberikan ulasannya agar PH komited untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan mendengar keluhan mereka mengenai kos sara hidup.

Ulasan itu menggambarkan seumpama ‘mencurah air ke daun keladi’ kerana sepanjang kempen yang berlangsung selama 14 hari di DUN Rantau tidak kedengaran dengan jelas apakah langkah kerajaan yang memerintah sama ada di peringkat pusat dan negeri untuk mengatasi himpitan kos sara hidup, yang juga dijadikan bahan kempen paling ‘menyayat hati’ oleh PH ketika menentang penguasaan BN dalam PRU ke-14 lalu.

PH berjanji akan mengurangkan kos sara hidup, tetapi setelah seronok dengan kemenangan tanpa diduga pada 9 Mei 2018 belum berlaku sebarang tindakan penyelesaian yang jitu untuk meringankan beban rakyat. Meskipun GST dianggap sebagai salah satu faktor penyumbang, keadaannya tidak bertambah baik selepas ianya direhatkan selama tiga bulan (Jun-Ogos 2018) dan digantikan dengan sistem cukai yang mudah dimanipulasi oleh peniaga, iaitu SST.

Kerajaan sebelumnya dikatakan meninggalkan hutang yang besar, maka Kerajaan PH tidak mampu untuk melakukan banyak perubahan struktur ekonomi dan memerlukan masa selama tiga tahun untuk membaiki kerosakan yang diwarisi. Rakyat mula melihat, alasan-alasan yang ditimbulkan dan beban kesalahan kerajaan terdahulu hanyalah escapism.

Escapism yang berlebih-lebihan diharap dapat membius minda rakyat agar boleh ‘mengikat perut’ walaupun ketika ini situasinya belum sampai ke tahap  kebulur. Rakyat masih boleh makan. Rakyat masih boleh ke sana ke mari kerana Kerajaan PH telah meletakkan nilai maksimum bagi setiap liter RON 95, tetapi gagal menurunkan harga barangan dan makanan.

Bila Perdana Menteri menasihatkan rakyat agar meminum sesudu minyak sawit setiap hari, kerana di dalamnya ada banyak khasiat yang tidak pernah dipromosikan secara meluas ketika harganya tinggi. Rakyat bertanya, kenapakah baharu sekarang Kerajaan PH begitu berminat untuk berkempen “Saya Sayang Minyak Sawit” dan sebelumnya, Menteri Perusahaan Utama yang menjaga industri minyak sawit pun mengakui tidak mengetahui kebaikannya, kecualilah apabila beliau berada dalam kemelut tersebut.

Bagi rakyat, imej yang terbina daripada pengakuan seorang menteri wanita itu. Sebelum dilantik sebagai menteri, seolah-olah tidak ada simpati langsung untuk menggunakan minyak sawit dan lebih percayakan kebaikan minyak sayur-sayuran. Dengan kata lain, mentaliti beliau masih tebal dengan prejudis dan prasangka, sehinggalah terpaksa melihat ke dalam peranan dan tanggungjawabnya yang baharu, iaitu  memikirkan masa depan mereka yang bergantung hidup dengan hasil kelapa sawit.

Anwar tidak mengambil kesempatan untuk merungkaikan pengalamannya sebagai seorang aktivis pelajar yang menggunakan isu kesempitan dan kebuluran penanam getah di Baling pada tahun 1974 sehingga mencetuskan demonstrasi. Ertinya, Anwar sebenarnya terlalu banyak retorik dan hanya mementingkan kuasa politik. Atas kepentingan itu, Anwar sanggup berkampung di Rantau untuk memujuk pengundi mengundi Dr S Streram yang dianggap gopoh dan kurang serius orangnya sehingga Najib menyifatkan kepakarannya ialah ‘menidurkan orang’.

TOK mAT HASAN

Pengundi Rantau tidak mahu ‘ditidurkan’ oleh pakar bius kelahiran Kluang Johor untuk menjadi pemimpin mereka. Ia berbeza dengan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hassan yang sanggup berkubang dan ‘mati’ dalam perjuangan di Rantau, kerana ia adalah sebahagian besar sejarah kehidupannya. Mohamad Hassan atau Tok Mat sudah tiga penggal dipilih sebagai wakil rakyat Rantau, dan jasanya telah mengikat hubungan yang akrab dengan penduduk tanpa batasan etnik.

Sebab itulah PH boleh ditewaskan kerana terus bersandarkan kepada andaian, pengundi bukan Melayu yang membentuk 45 peratus daripada jumlah pengundi boleh diharapkan sebagai deposit tetap. Percubaan yang perlu dilakukan oleh jentera kempen PH ialah memecahkan undi orang Melayu yang membentuk 55 peratus daripada 20,973 pengundi berdaftar di Rantau.

Atas mauduk itulah kempen PH begitu rancak menyerang secara peribadi Tok Mat, dari persoalan-persoalan yang sudah berjaya diselesaikan dibangkitkan semula sebagai ‘sisi negatif’ kepimpinannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sejak tahun 2004.

Tok Mat dihadapkan dengan dakwaan penyelesaian peneroka FELDA Labu-Sendayan yang tidak dapat diselesaikan semasa pentadbiran Tan Sri Isa Samad selama lebih dua dekad; bantahan penghuni di sebuah ladang yang telah berpindah milik (GATCO); pengiriman wang sebanyak RM 10 ke luar negara menerusi khidmat pengurup wang; dakwaan kronisme dan nepotisme terhadap perniagaan adik beradik; pembangunan di Rantau; dan seterusnya pemilikan sebuah rumah berbumbung Minangkabau di Seremban 2.

STRERAM

Bagi Dr S Streram, dengan isu-isu bersifat peribadi itu boleh menyebabkan pengundi Rantau beralih arah. Anwar juga yakin dengan pendekatan tersebut, kerana Anwar begitu percayakan kelicikan Rafizi Ramli yang hebat menimbulkan isu dan memulakan percaturan. Akhirnya, Anwar saperti ‘terbius’ dengan kepakaran Dr S Streram sehingga terlupa bahawa penduduk Rantau bukan boleh dipujuk dengan janji ‘tidak akan dilupakan’ kalaulah dirinya adalah Perdana Menteri.

Anwar mempunyai keyakinan besar, dan kadangkala menyangka dirinya dapat mempengaruhi pengundi sebagaimana kejayaannya menewaskan calon BN di Port Dickson pada Oktober lalu. Kali ini, isunya adalah berbeza dan perbezaan tersebut tidak dapat dibaca dengan baik oleh Anwar.

Kisah di Port Dickson saperti mengulangi Langkah Kajang (2014) dan Permatang Pauh (2008). Anwar yang bercita-cita besar bagaikan mendesak penyandang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi untuk membolehkan dirinya kembali sebagai wakil rakyat. Jika di Permatang Pauh, isterinya yang merupakan penyandang dengan rela melepaskan kerusi untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen sebaik sahaja edah pengharamannya berpolitik berakhir.

Port Dickson juga demikian. Setelah mendapat pengampunan diraja, Anwar tidak menunggu masa yang lama untuk menempatkan dirinya semula sebagai ahli Dewan Negara. Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi dan dalam PRK Port Dickson, Anwar menang dengan majoriti 23,560 undi mengalahkan enam lagi calon termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan  dan Kan Chee Yuen.

Apa yang berlaku ialah di sebaliknya. Pengundi Rantau saperti tidak merestui hasrat Anwar dan kekalahan tersebut menyebabkan Presiden PKR tidak berjaya untuk memposisikan dirinya lebih hebat daripada Dr Mahathir. Seolah-olah Anwar dan Dr Mahathir mempunyai merit yang sama. Anwar gagal membawa kejayaan kepada PKR dan Dr Mahathir terkandas untuk mempertahankan kerusi DUN Semenyih menerusi PPBM.

Dalam analisis yang lain, kekecewaan Anwar sebenarnya lebih parah daripada Dr Mahathir. PPBM di Semenyih kalah dengan majoriti 1,914 undi manakala PKR tewas di Rantau dengan 4,510 majoriti. Ertinya, prestasi PKR adalah lebih rendah daripada PPBM berdasarkan petunjuk tersebut. Tapi, mungkin boleh memberikan alasan yang menarik, majoriti yang besar diperoleh Mohamad Hassan adalah kesilapan Dr Mahathir sendiri, enggan turun ke Rantau untuk membantu calon PKR. Ia berbeza dengan Semenyih, Dr Mahathir turut bersama-sama berkempen secara dekat walaupun sekali pada 28 Februari 2019, dua hari sebelum tarikh mengundi.

Prestasi hambar PH di Rantau turut memperlihatkan gambaran sedih yang terpaksa dipertanggungjawabkan kepada Anwar, apatah lagi dengan keyakinan bahawa pengundi Melayu berpecah, PAS tidak ada kekuatan yang besar berbanding Semenyih dan Cameron Highlands, dan demografi pengundi India dikatakan salah satu tertinggi di Malaysia (sekitar 26 peratus). Peratusan pengundi India di Semenyih ialah 14 peratus manakala di Cameron Highlands sekitar 14.42 peratus.

Dengan hampir sekali ganda peratusan pengundi India, calon PKR yang berketerunan India tidak mampu memang. Ini bermakna ada sesuatu yang perlu diteliti, kerana tidak semua pengundi India yang berjumlah 5,448 undi tidak semua keluar mengundi dan mengundi Dr S Streram sebagaimana diharapkan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Rantau mempunyai 14 pusat daerah mengundi. PH hanya menang PDM Bandar Ekar manakala 13 lagi tewas. PDM Bandar Ekar mempunyai jumlah pengundi Cina yang tertinggi (42.1 peratus), dan India ketiga tertinggi selepas pengundi Melayu. Bagaimanapun, prestasi PH menurun di PDM Bandar Ekar sebanyak 10 peratus berbanding kemenangannya dalam PRU lalu (70 peratus, berdasarkan keputusan di peringkat Parlimen Rembau).

PDM Bandar Ekar dilihat sebagai kubu kuat PH. Dalam PRU yang lalu, PH memenangi hampir separuh PDM di Rantau dan dalam PRK kali ini, hanya mampu menang satu PDM. Ertinya, PH kehilangan pengaruh dan penguasaan di lima PDM yang dianggap kubu kuatnya. Antaranya ialah Linsum (54% bukan Melayu), Pekan Sagga (80% bukan-Melayu), Rantau (83% bukan-Melayu) dan Kuala Sawah (55% bukan-Melayu).

Bagi PDM Sagga, pengundi bukan Melayu membentuk 80 peratus pengundi. Pengundi India yang merupakan jumlah yang tertinggi 63.7 peratus, juga kecundang untuk mempertahankannya. Ia adalah isyarat jelas, ada sesuatu yang tidak beres mengenai PH, yang akhirnya disedari oleh Anwar selepas tewas. PH perlu memberikan perhatian serius kepada masalah ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Secara keseluruhannya, BN berjaya menambahkan jumlah pengundi antara 50 hingga 300 undi di setiap PDM. Bagi PDM yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang tinggi, BN berjaya meyakinkan mereka bahawa Negeri Sembilan memerlukan pembangkang yang kuat sebagai ‘check and balance’. Dan tentunya, berdasarkan pengalaman dan keupayaan Tok Mat berhujah, membentangkan sesuatu isu dengan mudah dan jelas, beliau akan dilihat amat layak untuk mengetuai pasukan pembangkang di DUN Negeri Sembilan.

Menurut beberapa ulasan penganalisis, kekalahan PH kali ini amat berkait rapat dengan prestasi PH secara keseluruhan. Ramai pengndi tidak boleh menerima dan melupakan rekod PH yang sentiasa mencari alasan untuk tidak menunaikan janji.

Hasilnya, ada yang mengatakan Dr Mahathir saperti mahu menguji pengaruh Anwar kali ini dan sebab itulah beliau tidak bersedia untuk turun membantu. Walaupun Anwar sering melihat dirinya lebih berjaya menarik sokongan pengundi sebelumnya, kali ini, Anwar terpaksa menerima bahawa Dr Mahathir tetap mempunyai kesannya jika beliau ikut berkempen, sekurang-kurangnya berjaya menyekat kekalahan dengan majoriti yang lebih rendah.

Sebagai ulasan untuk menghiburkan Anwar, sebaik sahaja pengumuman rasmi dibuat, pengarah pilihan raya PH, Aminudin Harun mengisytiharkan bahawa kekalahan di DUN Rantau tidak akan menjejaskan masa depan politik Anwar.

Bagaimanapun, banyak mereka yang berada di luar pemikiran politik PH, kekalahan itu sedikit sebanyak boleh memberikan tekanan kepada Anwar kerana beliau berada di Rantau hampir sepenuh masa untuk membantu calon yang terkenal dengan ‘anak bulu-bulu’ itu.

Kemenangan BN secara hatrik kali ini tidak harus dipandang rendah oleh PH mengenai kerjasama BN dan PAS. PH perlu mencari formula yang lain, dan tidak lagi menyerang kerjasama itu sebagai sesuatu yang tidak sehat, kerana semakin ditekan, kerjasama tersebut menjadi semakin kuat dan gagah menempuh apa sahaja dakwaan buruk terhadapnya.

Orang Melayu mahukan ‘perpaduan dalam kalangan mereka’ walaupun PH mendakwa ia hanyalah ‘sandiwara’, dakwaan PH telah membuktikan di sebaliknya.

Soalnya sekarang, ke mana Anwar selepas ini? Apakah Anwar benar-benar setia menanti untuk jangka masa yang lebih lama atau membina kaedah politik yang lain untuk membolehkan Dr Mahathir benar-benar mengotakan janji dalam tempoh setahun lagi?

Sejak tersingkir pada tahun 1998, Anwar merupakan calon Perdana Menteri yang paling lama menanti dan apakah sampai bila pun Anwar akan terus berada dalam ‘mode stand-by’?

Monosin Sobri

 

 

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply