BERBELANJA MENGIKUT KEPERLUAN BUKAN KEMAHUAN

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi

Kenaikan harga barang dilihat tidak memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat Melayu-Islam supaya lebih bersikap berjimat cermat dan bersederhana dalam berbelanja. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah beberapa kali harga barang dinaikkan, namun cara perbelanjaan dan penggunaan dilihat masih tidak berubah-ubah. Kalau berubah pun, ia hanya sekejap sahaja, iaitu ketika harga barang baru dinaikkan. Paling lama pun lebih kurang sebulan dua sahaja. Pada ketika itu, pelbagai komen dan keluhan diviralkan. Persoalannya, kenapakah sikap sebegini masih berlaku?

Tidak dinafikan manusia mempunyai naluri keinginan dan kemahuan yang tidak terbatas (unlimited want). Dengan itu, tidak pelik jika ada dalam kalangan mereka yang sering berkeinginan besar untuk memiliki sesuatu yang di luar kemampuan diri. Kehidupan mereka boleh diibaratkan seperti pepatah Melayu ‘lebih besar kerak dari periuk’ hasilnya pula ‘biar papa asal bergaya’.

Sebenarnya punca utama yang menyebabkan timbulnya keinginan yang tidak terbatas ini kerana jiwa manusia dipengaruhi oleh nafsu-nafsu yang mendorong kepada sifat-sifat mazmumah (terkeji), seperti ‘ammarah, lawwamah dan mulhamah. Dengan ini, kemahuan manusia mulai menjadi tidak terbatas dan sukar dikawal.

Apabila kemahuan mereka sudah tidak terhad, maka tanpa rasa bersalah mereka berbelanja dan mengguna secara boros atau berlebih-lebihan. Dalam perkataan lain, segala-galanya dibuat berdasarkan kemahuan dan bukan keperluan. Misalnya berlebih-lebihan ketika mengadakan majlis perkahwinan, sambutan hari raya dan sebagainya. Begitulah juga ketika memperoleh ‘durian runtuh’ seperti bonus tahunan, hadiah, kenaikan gaji dan sebagainya. Jika sesuatu kemahuan itu tidak dapat dipenuhi, jiwa mereka akan menderita dan memberontak.

Untuk mengawal diri dari bersikap boros atau berlebih-lebihan ini, Muhammad Syukri Salleh menerusi bukunya Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam mengatakan kemahuan yang tidak terhad ini perlu dihadkan dan dikawal terlebih dahulu. Caranya adalah dengan menghapuskan nafsu-nafsu jahat (‘ammarah, lawwamah dan mulhamah) dan menggantikannya dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah), seperti nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah.

Menurut Muhammad Syukri Salleh lagi, hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup. Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran itu dilakukan ketika ada segelintir dari ahli masyarakat yang terlalu memerlukan bantuan.

Sebenarnya Islam tidak pun melarang umatnya membelanjakan harta yang dimiliki asalkan ia berfaedah serta mengikut etika-etika dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan syarak. Salah satu daripada etika-etika dan peraturan-peraturan tersebut ialah membelanjakan harta mengikut keperluan bukannya kemahuan.

Perkara inilah yang dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu” (Surah al-Furqan ayat 67).

Sifat bersederhana dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan harian adalah amat penting. Lebih-lebih lagi dalam situasi harga barang yang semakin meningkat sekarang ini. Ketika berbelanja dalam situasi ini, kita perlu memikirkan keperluan-keperluan mendatang. Islam mahukan penganutnya pandai dan bijaksana dalam mengatur perbelanjaan iaitu tidak boros, membazir serta tidak juga kedekut dan bakhil.

Kebijaksanaan dalam merancang perbelanjaan adalah penting agar wujud keseimbangan antara pendapatan dengan penggunaan. Di samping itu juga, cara berbelanja itu akan lebih terarah dan timbul sikap berjimat cermat. Berjimat cermat dan sentiasa bersederhana dalam perbelanjaan itu banyak mendatangkan faedah terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Antaranya faedah-faedah itu ialah:

Pertama, kehidupan seseorang itu pada masa hadapan akan lebih terjamin, terutama ketika kita menghadapi kesusahan dan kecemasan. Biasanya orang yang boros atau tidak cermat dengan pendapatannya akan menghadapi masalah kewangan di kemudian hari.

Kedua, seseorang itu akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT kerana kesederhanaan itu sebahagian dari tuntutan Islam. Pembaziran akan meninggalkan kesan yang buruk dalam kehidupan kerana pembaziran itu diasaskan dan didorong oleh syaitan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikan-Nya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah) mereka tetap beroleh pahala yang besar” (Surah al-Hadid ayat 7).

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’ ayat 27).

Ketiga, seseorang itu juga berpeluang menambahkan pahala melalui ibadah zakat dan sedekah pada jalan Allah SWT.

Kesimpulannya, bersederhana dalam perbelanjaan amat dituntut dalam Islam dan ia hendaklah dilakukan mengikut keperluan yang secukupnya sahaja tanpa terpengaruh dengan hawa nafsu. Biarlah setiap sen wang yang dibelanjakan bukan setakat memenuhi keperluan tetapi matlamat yang ingin dicapai ialah mendapat berkat dan keredaan Allah SWT.

Soal berjimat cermat dalam berbelanja ini bukan sahaja dituntut terhadap masyarakat yang dipimpin, malah ia merangkumi semua pihak. Sebaik-baiknya, pemimpin patut menjadi contoh kepada masyarakat yang dipimpinnya. Sangat tidak baik jika pemimpin meminta rakyatnya berhemah dalam perbelanjaan, tetapi mereka sendiri yang tidak berhemah dalam perbelanjaan. Sekiranya hal ini berlaku, ia boleh menjelaskan imej pemimpin itu sendiri.

No Comments

    Leave a reply