BERBEZA PENDAPAT DIRAI

Salah satu faktor terbesar yang menyebabkan rosaknya peradaban kaum ahli kitab ialah perselisihan dan perpecahan yang berpanjangan. Pengabaian terhadap etika dan moral, ketika berbeza pendapat serta menjadikan ilmu sebagai modal untuk berselisih, akhirnya akan menjunamkan mereka dalam kancah perpecahan yang tiada penghujungnya.

Akhir-akhir ini penyakit ini mula meresap ke tubuh umat Islam dan akibatnya timbul kesan seolah-olah seluruh ajaran dan doktrin Islam mendorong lahirnya perselisihan dan perpecahan.

Berbeza pendapat sebenarnya satu fenomena yang wajar dalam kehidupan manusia, namun hakikatnya persoalan ikhtilaf (berbeza pendapat) telah berubah menjadi malapetaka kerana hilangnya etika ketika berikhtilaf.

Namun yang menyedihkan kita, umat Islam kini telah mengabaikan prinsip kesatuan umat yang berlandaskan kalimat tauhid. Prinsip di mana kita mengakui Tuhan itu satu, nabinya satu, kitabnya satu, kiblatnya satu, namun hakikat kita tidak pernah mahu bersatu.

Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku. (Surah Al-Anbiyaa ayat 92)

Umat Islam sebenarnya telah banyak kehilangan harga diri serta maruah disebabkan kita terlalu mempermasalahkan perbezaan di sekitar hal yang mandub (bentuk keagamaan yang sifatnya hanya dianjurkan) dan mubah (harus). Manakala hal-hal yang menjadi kewajipan utama dan tujuan yang lebih besar – banyak yang kita lupakan.

Apabila kita berselisih pendapat, kita lebih mengutamakan emosi dan lupa etika dan moral sehingga mencetuskan pergaduhan yang akhirnya kita menjadi lemah dan hilang wibawa.

Janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu. (Surah Al-Anfaal ayat 46)

Ketika berikhtilaf dalam sesuatu perkara yang berkaitan hukum-hakam mereka mengetepikan persoalan akhlak dengan membanggakan diri dan mengagumi pendapatnya sendiri. Perbezaan pendapat di kalangan para imam empat dianggap perbezaan pendapat terbaik di abad itu kerana ia tidak memaksakan pendapatnya kepada yang lain atau meremehkan orang yang tidak sependapat dengannya.

Rasulullah s.a.w. menyedari bahawa keabdian umatnya bergantung kepada keeratan ikatan hati masyarakat yang saling mengasihi kerana Allah. Sedangkan kehancuran dan kejatuhan umat ini, berhubung erat dengan keretakan ikatan tali batin mereka. Justeru, Nabi s.a.w. sangat berhati-hati dan menggesa umatnya menghindar perselisihan (ikhtilaf ) di antara mereka.

Kamu semua jangan berselisih, sebab perselisihan akan menimbulkan keretakan di dalam hati kamu. (Riwayat Bukhari)

Di zaman Nabi s.a.w. bila berlaku perbezaan pendapat di kalangan sahabat, mereka berusaha menghindarinya dengan cepat-cepat mengembalikan masalah itu kepada kitab Allah dan Rasulnya. Pada saat terjadi ikhtilaf para sahabat sering mengutamakan pendekatan takwa dan menjauhi daripada emosi dan pengaruh hawa nafsu. Ikhtilaf di kalangan mereka beralasan dan sering mengunakan etika.

Ukhuwah Islamiah di kalangan sahabat merupakan doktrin pokok dalam kaedah-kaedah Islam. Islam tidak mungkin tegak kalau tidak dibangun oleh ukhwah tersebut. Ia merupakan sesuatu yang lebih luhur nilainya daripada ikhtilaf. Mereka berhujah antara satu sama lain tetapi tidak keluar dari batasan etika ikhtilaf. Tidak pernah terjadi saling kafir mengkafir, fasik-memfasik, menyebutnya sebagai ahli bidaah atau ungkapan yang lain.

Perbezaan pendapat tidak jadi penghalang bagi mereka untuk melakukan solat di belakang seseorang yang berbeza pandangan dengannya. Pada hakikatnya mereka lupa bahawa masalah yang dihadapi oleh Islam lebih penting daripada ikhtilaf.

Umat Islam seharusnya lebih bersikap sederhana dalam apa juga pandangan dan meninggalkan sikap berlebih-lebihan dalam beragama. Sikap itu merupakan faktor terpenting ke arah mencapai persatuan dan keakraban sesama muslim. Daripada Ibnu Masud bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: Binasalah orang-orang yang berlebihan.

Tiga kali Rasulullah menyebut hadis ini, baik sebagai berita tentang kehancuran mereka ataupun sebagai doa untuk kehancuran mereka.

Kita harus mempamerkan sikap bekerjasama dalam masalah yang telah disepakati dan saling bertolak ansur dalam masalah yang diperselisihkan. Toleransi yang dimaksud di sini ialah tidak fanatik atau taksub kepada suatu pendapat yang bertentangan dengan pendapat lain dalam masalah-masalah khilafiah. Di samping menghormati pendapat orang lain yang mungkin benar dan ada kebenaran.

Kita seharusnya berlapang dada apabila dikritik oleh orang lain, memuji orang yang tidak sependapat jika memang pendapatnya baik dan ini dikatakan akhlak terpenting bagi membebaskan diri daripada sikap fanatik. Di samping menanamkan sikap berprasangka baik kepada orang lain, tidak menyakiti atau mencela dan berdialog dengan baik serta mengelak daripada satu perdebatan sengit yang boleh mencetuskan permusuhan.

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply