BERBEZA PENDAPAT TETAPI KEKALKAN PERPADUAN

Mengenai penghargaan atas perbezaan pendapat, Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Perbezaan pendapat (di kalangan) umatku adalah rahmat.” (Hadis riwayat al-Baihaqi). Justeru, tidak hairan dalam Islam ada beberapa mazhab dan aliran. Dalam fiqh ada beberapa mazhab yang paling tersohor iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hambali. Selain itu ada juga mazhab fiqh lain, meskipun tidak sebesar mazhab yang empat tersebut seperti Zahiri dan Jaafari. Islam bersikap toleransi dalam perbezaan pendapat sejauh ia tidak membawa perpecahan. Al-Quran mengingatkan, “Dan berpeganglah kami semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai….”

(Surah al- Imran ayat 103).

Pada fukaha sepakat menyatakan bahawa fiqh merupakan hasil ijtihad mereka melalui metod berfikir tertentu. Kerana metod yang mereka gunakan berbeza-beza, maka hasilnya pun berbeza-beza. Setiap fukaha yang melakukan ijtihad akan mendapat pahala, baik hasil ijtihadnya benar ataupun keliru. Mereka berpegang pada prinsip ijtihad yang menyatakan bahawa apabila seorang hakim melakukan ijtihad dan hasil ijtihadnya itu benar, maka ia akan mendapat dua pahala, dan apabila hasil ijtihad itu keliru, maka ia akan mendapatkan satu pahala. Tidak seorang pun di antara mereka mengetahui apakah hasil ijtihadnya benar ataukah keliru. Mereka melakukan ijtihad agar tidak terjadi kekosongan hukum tentang suatu tindakan.

Atas dasar prinsip tersebut, para fukaha menghargai perbezaan pendapat. Tidak ada seorang pun di antara mereka berani menganggap bahawa hukum yang diperolehnya melalui ijtihad adalah hukum Allah, tidak pula menyatakan bahawa hasil pemikirannya sahaja yang benar, sedangkan hasil pemikiran orang lain salah. Bahkan, para khalifah sekalipun tidak bersikap pemikiran orang lain salah. Bahkan, para khalifah sekalipun tidak bersikap fanatik terhadap hasil ijtihadnya sehingga menjadikannya mazhab yang harus menjadi rujukan orang ramai dalam usaha untuk memecahkan suatu perselisihan. Abu Bakar As-Siddiq, misalnya mengatakan bahawa apabila pendapatnya benar, maka kebenaran itu atas petunjuk Allah dan apabila salah maka kesalahan itu daripada dirinya dan syaitan. Umar bin Khattab mengatakan: “Hai manusia sesungguhnya pendapat yang benar itu hanya ada pada Rasulullah s.a.w, kerana Allah s.w.t memperlihatkan kebenaran itu kepadanya. Ada pun pendapat yang kita hasilkan hanya merupakan perkiraan dan usaha sungguh-sungguh. Oleh sebab itu, laksanakanlah apa yang disunahkan Allah s.w.t dan Rasul-Nya, dan janganlah menjadikan pendapat yang keliru sebagai sunah.”

Kesedaran di atas dimiliki oleh para mazhab. Mereka semua mengatakan bahawa apabila ada hadis atau pendapat yang lebih kuat dan lebih baik daripada pendapatnya, maka itulah pendapatnya. Kesedaran ini menunjukkan bahawa para imam menganjurkan kepada para pengikutnya agar membuang hasil pemikirannya apabila mereka menemukan hasil pemikiran yang lebih kuat. Di samping itu, mereka menghendaki lahirnya rasa toleransi antara umat dan menghilangkan sikap fanatisme terhadap sesuatu pendapat.

Perselisihan pendapat tidak dapat dihindari kerana setiap fukaha mempunyai jalan pemikiran masing-masing. Namun para fukaha sepakat menyatakan bahawa al-khuruj min al-khilaf mustahabb (keluar dari perselisihan dianjurkan). Tidak ada dalil langsung dari nas al-Quran mahupun menyatakan bahawa hukum itu didasarkan atas prinsip umum agama, iaitu memelihara kesatuan dan sikap berhati-hati di dalam agama.

Ulama-ulama salaf memang sering berbeza pendapat, namun mereka hanya berbeza dalam cara pandangan dan fikiran yang tidak mengakibatkan perpecahan. Mereka hanya berikhtiar dan tidak bertafaruq. Mereka memahami bahawa mempereratkan tali batin, satu langkah lebih utama dibanding mengejar tujuan yang agung dan lebih besar. Mereka berusaha menghilangkan dan membersihkan penyakit jiwa daripada diri mereka.

Rasulullah s.a.w menyedari bahawa keabadian umatnya bergantung kepada keeratan ikatan hati masyarakat yang saling kasih-mengasihi kerana Allah. Sedangkan kehancuran dan kejatuhan umat ini berhubung erat dengan keretakan ikatan tali batin mereka. Untuk menghindari hal itu, beliau sangat mengharapkan agar umatnya menghindari perselisihan (ikhtilaf) di antara mereka. Dalam hal ini beliau bersabda yang bermaksud: “Kamu sekalian jangan berselisih (ikhtilaf), sebab perselisihan akan menimbulkan keretakan di dalam hati kamu”. (Hadis riwayat Bukhari).

Nabi sendiri bersikap toleransi dan sedaya upaya cuba mengelak daripada berlakunya perselisihan. Beliau pernah berkeinginan menambah satu lagi pintu bagi kaabah sehingga menjadi dua pintu tetapi keinginan itu disimpan untuk menghindarkan kontroversi di kalangan para sahabat (maksud hadis riwayat Bukhari).

Demikian juga para sahabat sedapat mungkin berusaha untuk menghindari perbezaan pendapat (ikhtilaf). Sehingga, mereka tidak terlalu banyak mempermasalahkan masalah-masalah furu’. Para sahabat berusaha mengukur berbagai masalah berdasarkan petunjuk Rasulullah s.a.w. Dengan demikian, penyelesaian masalah yang timbul tidak harus berasaskan perselisihan, apa lagi pertengkaran (munazaat) dan perpecahan (syiqaq).

Catatan: Ibnu Khaldun

No Comments

    Leave a reply