BERBOHONGPUN GEJALA SOSIAL

Selama ini, persepsi yang timbul di minda masyarakat mengenai gejala sosial dalam kalangan anak muda ialah berkait rapat dengan perilaku negatif yang dilakukan individu seperti terjerumus dadah, seks bebas, mat rempit, mencuri, berjudi, minum arak dan sebagainya. Barangkali tidak terbersit dalam fikiran kita bahawa perilaku suka berbohong dan tidak berkata jujur merupakan sebahagian daripada ciri-ciri gejala sosial yang perlu ditangani secara serius.

Perkara ini dinyatakan oleh pakar psikologi dan ahli akademik Prof Dr Khaidzir Hj Ismail yang ditemuramah di pejabatnya Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa istilah gejala sosial dewasa ini semakin meluas dan tidak hanya merujuk kepada tingkah laku dan sikap negatif yang menjurus kepada jenayah, akan tetapi merangkumi sifat suka berbohong.

“Gejala sosial terjadi seiring dengan pesatnya pembangunan dan kesan kepada persekitaran yang buruk. Ia tidak hanya melulu kepada gaya hidup rosak seperti menghisap rokok dan dadah, merogol, berzina dan merompak tapi meluas kepada gejala suka berbohong. Ramai di kalangan kita yang memandang rendah kesan berbohong ini. Walhal, gejala sosial yang tidak terkawal akan meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara” tegas pensyarah yang aktif berdakwah ini.

“Anak muda yang terlibat gejala sosial suka berbohong bagi menutupi kebiasaan buruknya. Mereka yang suka ponteng sekolah cenderung berbohong kepada ibubapanya kerana dikuasai oleh sifat malas dan tidak bersungguh-sungguh belajar. Begitupun dengan anak muda yang suka keluar malam untuk tujuan melepak, dating dan terbabit aktiviti perlumbaan haram (mat rempit).”

Beliau turut menyesalkan sikap sesetengah ibubapa yang tidak bersikap tegas dan membiarkan anak-anak mereka terlibat dengan aktiviti negatif itu. “ Gejala sosial ini saya analogikan makan petai. Pada masa permulaan memakan petai, tiada apa-apa yang dirasakannya. Akan tetapi, ketika pergi ke bilik air baru terasa kesan memakan petai itu dengan keluarnya bau yang menusuk hidung.”

“Apabila anak mereka minta izin keluar dan melihat mereka bertemu dengan teman lelakinya, ibubapa itu hanya berdiam diri dan berkata ‘tak pe, mereka hanya berpegang tangan sahaja’. Namun, ketika di kemudian hari muncul ‘bau yang menyengat’ iaitu anaknya telah berbadan dua, baru mereka menggelabah dan menyesali sikapnya” katanya lagi.

Prof Khaidzir menegaskan bahawa punca utama berlakunya gejala sosial ialah faktor persekitaran. Apabila di persekitaran anak muda itu sihat, maka tidak akan muncul gejala sosial. Ibubapa turut memainkan peranan yang sangat besar dalam menentukan persekitaran yang baik dengan selalu memberi contoh yang positif.

“Apabila bapaknya merokok, sudah tentu peluang anaknya untuk merokok amat besar. Begitu juga apabila ibubapa tidak mengerjakan solat, berpuasa dan amalan ibadah yang lain, maka potensi anak untuk meniru perilaku ibubapa sangat besar. Maknanya, ibubapalah sebagai pihak yang paling bertanggungjawab dalam isu gejala sosial yang melanda anak-anak mereka”.

Ditanya mengenai apakah gejala sosial anak muda sekarang merupakan cerminan kepada fenomena split personality, beliau berpendapat gejala sosial tiada kena mengena dengan keperibadian yang bercelaru. Sebaliknya, gejala sosial murni akibat daripada tingkah laku yang terhasil daripada lingkungan yang buruk. Keadaan dan lingkungan yang negatif lah yang membentuk kepribadian seseorang sama ada berkepribadian baik atau sebaliknya.

“Generasi yang terbentuk daripada persekitaran yang buruk akan menghasilkan produk yang sama buruknya. Secara teoritikal, pelaku gejala sosial yang berkahwin dengan seseorang yang berlatar sama, akan menghasilkan zuriyat yang sama. Ini hukum siklus. Kecuali memang ditakdirkan Allah mendapatkan keturunan yang hafiz atau hafizah, itu di luar ketentuan manusia”.

Oleh sebab itu, beliau menyarankan kepada ibubapa untuk membentengi diri dan keluarganya dengan empat perkara iaitu ilmu pengetahuan, amal soleh, ikhlas dan pengorbanan. “Ilmu pengetahuan diperlukan bagi membekali kepada anak kita untuk dapat membezakan perkara yang baik dan buruk, yang ditegah dan diperintahkan agama dan sekaligus menciptakan modal insan yang baik bagi mengharungi lapangan pekerjaan kelak sehingga tidak mungkin terjebak dengan praktik gejala sosial”.

“Mendidik anak dengan amal yang baik dan dijalani dengan ikhlas akan menjadi kunci kepada terbentuknya generasi yang patuh dan taat kepada perintah agamanya. Dan yang terakhir ialah ibubapa perlu bersiap untuk berkorban bagi mempastikan anak-anak mereka menjadi anak yang sesuai dengan harapan dan impian ibubapa. Tanpa pengorbanan sama ada pengorbanan material, tenaga dan fikiran, mungkin anak-anak kita tidak akan sehebat pencapaian yang sekarang ini” tutup Khaidzir.

Oleh Masitah Esa dan Amin Fadlillah

No Comments

    Leave a reply