BERCAPAHNYA PENDIRIAN HAJI HADI

Pendirian Presiden PAS, Haji Hadi Awang berkaitan video seks yang didakwa membabitkan seorang bekas sahabat politiknya ketika dalam Pakatan Rakyat menyebabkan orang ramai menuduhnya tidak pernah konsisten.

Dalam komen terbaharunya, Haji Hadi berkata “Kalau sayalah, kalau berlaku perkara seperti ini, saya letak jawatan. Ini kerana kepada kita moral adalah perkara penting dalam parti, dalam berjemaah. Ini (moral) yang memelihara jati diri kita,” katanya ketika berucap selepas meninjau Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat Ke-60 Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.

Bukan setakat meminta meletakkan jawatan, solusi lebih hebat turut diutarakan oleh Haji Hadi, termasuklah kemungkinan membubarkan parti. Ia seumpama ‘seekor kerbau membawa lumpur, semuanya akan terpalit’ atau ‘setitik nila merosakkan susu sebelanga’.

Itu pandangan Haji Hadi ketika ini, iaitu ketika PAS tidak lagi bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Ketika masih bersama Pakatan Rakyat, seorang pemimpin PKR turut didakwa terbabit dengan perilaku seks buan muhrim, tetapi Haji Hadi mempertahankan tokoh dalam video berkenaan.

Pandangan beliau berbeza sama sekali. Video tidak boleh dijadikan bukti untuk menuduh seseorang itu berzina di Mahkamah Syariah. Dalam peraturan undang-undang Islam, dakwaan zina memerlukan sekurang-kurangnya empat orang saksi. Video bukan boleh dijadikan bukti, kerana ia “besi”, maksudnya ‘kaku’ walaupun dalam video berkenaan gambarnya bergerak bukan gambar pegun (tidak bergerak).

Mereka yang mendedahkan video itu, dikenali sebagai trio dikenakan hukuman. Pelaku dalam video berkenaan masih bebas dengan alasan ‘bukan saya’ dan ‘saya tidaklah tummy, sedangkan lelaki itu sedikit buncit perutnya.’

Ada bukti lain, seutas jam tangan yang dikatakan mirip jam tangan yang pernah dipakai oleh pelaku berkenaan. Bagaimana pun isu itu berjaya ditepi. Maka, kisah China Doll terus diketepikan walaupun tetap terakam dalam sejarah. Itu kisah tahun 2011.

Pada kisah tahun 1998, pemimpin yang sama dipersoalkan dengan masalah moral. Ada pemimpin PAS mengutuk dengan melabelkan dengan pelbagai istilah, tetapi, itu cerita ‘main belakang’. Mohamad Sabu ada istilah ‘terbaik’ untuk memanggil pemimpin berkenaan. Ketika itu, belum ada pemuafakatan politik untuk bersatu, tetapi PAS mempunyai minat untuk menerima tokoh berkenaan memasuki parti mereka.

Ketika salah seorang pemimpin PAS dikaitkan dengan video lucah, parti itu mengambil pendirian ‘menyelamatkan tokoh berkenaan’ dengan menyebarkan kepentingan Islam untuk tidak menyebarkan aib seseorang. Akhirnya, Datuk Mustapha Ali meninggalkan fenomena ‘seluar dalam’ ketika kempen PRK DUN Sungai Limau, Kedah. Mustapha dikaitkan dengan seorang wanita yang ada kaitan konsesi balak di Terengganu ketika PAS berkuasa (1999-2004).

Mustapha kekal menjadi ahli PAS walaupun namanya tidak lagi disebut sebagai salah seorang pemimpin dalam kepimpinan parti. Kisah tersebut menggambarkan bahawa PAS tidak pernah konsisten, pendiriannya sering berubah-ubah demi kepentingan politik.

Kali ini, Presiden PAS membuat komen berbeza perihal video ‘semburit’ yang didakwa melibatkan dua orang pemimpin PKR. Orang ramai sedang menilai mengenai kejujuran parti itu, kerana pandangan Haji Hadi kali ini ada kaitannya dengan ‘permusuhan’ dengan PKR. Harapannya adalah jelas, PKR yang bermasalah itu dapat digunakan sebagai laba politik dan memperbaiki imejnya setelah Anwar begitu berselera mengkritik PAS, berhubung bayaran sebanyak RM 1.4 juta kepada pemilik portal Sarawak Report.

Pendirian PAS yang bercapah itu bukanlah satu perkara baharu, bahkan ketika masih bersama dalam gabungan Pakatan Rakyat, parti itu bersedia melenturkan prinsip perjuangannya untuk menubuhkan Negara Islam dengan memindanya menjadi Negara Berkebajikan. Kali ini, ketika menjalin kerjasama dengan UMNO, PAS tidak mengungkitkan semula keinginannya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

PAS pernah menuduh UMNO adalah sebuah parti kafir, bahkan pandangan Haji Hadi yang dianggap bersejarah pada tahun 1982, menjadikan permusuhan antara kedua parti begitu ketara. Ahli PAS ada yang taksub sehingga sanggup menceraikan isteri hanya kerana berbeza ideologi politik, bahkan pada suatu ketika menganggap ‘darah orang UMNO adalah halal’.

Walaupun kesemuanya sudah dianggap ‘sejarah’, pembetulan kepada insiden yang melatarbelakangkan sejarah tersebut tidak pernah dibuat oleh pemimpin PAS secara bersungguh-sungguh. Sebahagian rakyat menilai PAS bukanlah sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan politiknya, semuanya diperjuangkan kerana ingin berkuasa walaupun dalam muktamar terbaharu ada pandangan bahawa parti itu bukanlah mengejar kedudukan dalam kerajaan.

Ia juga suatu hakikat palsu yang sedang didendangkan oleh PAS. PAS sebagai sebuah parti, mengharapkan kemenangan dan laba politik, dan suatu hari akan muncul sebagai sebuah parti yang memerintah. Tentunya, ramai masyarakat Malaysia boleh faham, jika bukan untuk memerintah, PAS tidak adak bermati-matian mempertahankan kedudukannya di Kelantan. Jika bukan berhasrat menjadi kerajaan, PAS tidak akan bertanding begitu banyak kerusi dalam PRU ke-14 lalu.

Secara keseluruhannya, pendirian PAS dan Haji Hadi bukan sahaja dwi-standard, bahkan boleh dianggap terlalu berubah-ubah. Termasuklah pendiriannya mengenai isu seks dan masalah moral. Ketika membayangkan akan memperoleh laba politik, pendiriannya adalah berbeza-beza, daripada video tidak boleh dijadikan bukti kerana ‘besi’ iaitu kaku dan bisu hinggalah yang terbaharu, ‘tidak akan menyimpan mereka yang tidak bermoral’ sehingga sanggup memecat atau membubarkan parti.

Pendirian bukan sahaja tidak konsisten, malah bercapah-capah.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply