Dan sejak itu, Noor Hafizah memasang impian untuk menjadi juruterbang. Kerana minatnya yang mendalam untuk mencapai impian tersebut, dia yang ketika itu bersekolah darjah tiga pernah menulis karangan tentang kerjaya juruterbang sebagai cita-cita nombor satunya. Namun dia amat kecewa apabila cikgu pernah memberitahunya bahawa kerjaya tersebut hanya untuk lelaki.

Walau bagaimanapun, Noor Hafizah berjaya membuktikan kata-kata cikgunya itu tidak benar. Pada usia 29 tahun, dia sekali lagi melangkah ke dalam pesawat dan kali ini bukan lagi sebagai penumpang tetapi juruterbang!

“Saya sentiasa berkata, jika anda mampu untuk bermimpi, kamu akan boleh mencapainya tidak kiralah siapa pun anda, lelaki atau perempuan atau atas alasan apa sekalipun. Letakkan hati, minda dan jiwa ke arahnya. Lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Lebih baik anda takut kerana tidak mencuba, berbanding takut kerana gagal,” katanya kepada Cekmek Molek, baru-baru ini.

Sebagai seorang wanita, untuk ‘terjebak’ dalam bidang yang dianggap bahaya dan mencabar ini, pastinya ia amat sukar mendapat green light daripada keluarga. Apatah lagi keputusan Noor Hafizah untuk mengikuti latihan penerbangan sebelum menghabiskan pengajian Ijazah Multimedia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada mulanya keluarga tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana dikhuatiri yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Namun Noor Hafizah nekad mengikuti latihan tersebut apabila syarikat penerbangan AirAsia menerima permohonannya sebagai juruterbang kadet di Malaysian Flying Academy pada 2004.

“Alhamdulillah, selepas saya lulus peperiksaan pertama saya dan memperoleh Private Pilot License, ibu ayah meletakkan keyakinan dan memberikan restu kepada saya untuk ‘membawa’ kapal terbang,” katanya yang kini merupakan Kapten pesawat Airbus A330 AirAsia X Malaysia.

Menceritakan detik pertama diberi kepercayaan mengendalikan pesawat, anak kelahiran Perak itu memberitahu, ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan bercampur gaul antara teruja, berdebar dan gembira. Dia seperti tidak percaya dapat ‘memandu’ dari Kuala Lumpur ke Kuching semasa masih lagi dalam ujian latihan.

Ketika itu, dia antara dua juruterbang wanita di Airasia X selain Kapten Norashikin Onn. AirAsia adalah antara syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang menerima juruterbang wanita dan membenarkan mana-mana juruterbang untuk berhijab.

“Ia satu penghargaan dan kebanggaan kepada saya bersama AirAsia untuk 13 tahun ini dan untuk tahun-tahun seterusnya kerana meletakkan kepercayaan kepada saya membawa beribu penumpang untuk tiba ke destinasi dengan selamat,” katanya yang turut berkongsi pengalaman manisnya apabila pernah menerima kejutan sambutan hari jadi oleh kru penerbangan dalam pesawat ketika mendarat di Melbourne.

Bidang penerbangan bukan sahaja sebagai lapangan Noor Hafizah untuk membina kerjaya, malah merupakan satu platform membina kehidupannya. Dia turut bertemu jodoh dengan ‘rakan sejawatnya’ yang juga juruterbang AirAsia, Mohamad Hadishahmy Halim, 30. Dia yang kini sudah bergelar ibu kepada Noah, 9 bulan mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan tugas sebagai isteri dan ibu. Untuk meninggalkan anak sebaik sahaja habis berpantang, betul-betul melukakan hatinya. Tetapi demi cintanya kepada bidang kerjaya itu, dia cuba menguruskan masa sebaik mungkin.

Walau bagaimanapun, segala kekangan itu tidak menjadi penghalang dan alasan untuk dia terus terbang tinggi bersama AirAsia. Langkahnya setapak demi setapak dalam bidang ini tidak pernah disesali. Dia bermula sebagai First Officer pesawat Airbus A320 AirAsia (2006-2010) dan kemudiannya sebagai First Officer Airbus A330/A340 AirAsia X Malaysia (2010-2013) sebelum dilantik sebagai Kapten Airbus A330, AirAsia X Malaysia pada 2014.

Bagi Noor Hafizah, tidak kiralah apa jua industri, setiap kerjaya mempunyai cabarannya tersendiri. Apa yang penting, seseorang itu perlu mempunyai minat dan berusaha untuk merealisasikan impiannya. Tanamkan sifat disiplin dalam diri. Buangkan sikap takut untuk mencuba sesuatu bidang yang dirasakan susah atau mustahil.

“Angin yang terlalu kuat ketika hendak mendarat atau kabus tebal sehingga sukar untuk melihat landasan merupakan satu tugas yang amat mencabar. Tetapi kami semua juruterbang sudah terlatih untuk mengendalikan situasi seperti itu. Setiap enam bulan, kami akan melalui ujian simulator penerbangan untuk memperbaharui kemahiran kami kerana keselamatan adalah keutamaan kami,” ujarnya yang turut kagum dengan kebolehan 60 juruterbang wanita lain di AirAsia.

Pastinya, saat dapat menyaksikan pemandangan matahari terbit dan terbenam dari dek penerbangan adalah satu moment yang tidak boleh digambarkan. Apatah lagi anda berpeluang untuk menikmati sarapan di Pulau Pinang, makan tengah hari di Bali dan makan malam di Kuala Lumpur dalam masa sehari. Semuanya hanya boleh dirasai jika anda seorang juruterbang! Bagi Noor Hafizah, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila penumpang berkongsi perasaan bangganya dapat menaiki pesawat yang dikemudi oleh seorang kapten wanita.

Ternyata sekiranya seseorang itu ada usaha, keyakinan dan kesungguhan, pastinya apa sahaja impian boleh dicapai. Bukan jantina menjadi ukuran, bukan kepayahan menjadi penghalang, sesuatu yang mustahil pasti boleh dilakukan jika benar-benar kita mahu melaksanakannya walaupun anda bercita-cita hanya di usia 9 tahun.