Berhikmah nasihat wanita ‘tanggal’ tudung

Walaupun sedar bertentangan perintah menutup aurat seperti ditetapkan syarak, ada wanita Islam yang tidak janggal atau malu, sebaliknya mengharapkan masyarakat memahami dan menghormati keputusan mereka.

Senario itu dibimbangi menjadi perangkap untuk mengangkat fenomena normalisasi dalam pemakaian hijab hingga tuntutan agama diremehkan.

Hal ini memang wajar dipandang serius sebelum lebih ramai kecundang atas pelbagai faktor khususnya dalam kalangan remaja yang terdedah dengan trend semasa tetapi perlu dilakukan dengan berhikmah.

Ketua Jabatan dan Pensyarah Jabatan Siasah Syari’yyah, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ketua Jabatan dan Pensyarah Jabatan Siasah Syari’yyah, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy, berkata sikap masyarakat yang terlalu menghukum dengan mengeluarkan kata-kata kecaman tidak membantu, bahkan lebih menyumbang kemudaratan.

“Janganlah terlalu lancang berkata-kata kerana perkara sama mungkin boleh berlaku kepada diri kita sendiri atau ahli keluarga.

“Dalam menanganinya, usah pula bersikap tidak ambil kisah sebaliknya perlu ada inisiatif menasihati dan menunjuk ajar bersesuaian mengikut keadaan supaya dapat menyedarkan mereka.

“Jika tidak, dibimbangi kita termasuk dalam golongan lemah imannya,” katanya kepada Ibrah BH di pejabatnya di UM, Kuala Lumpur.

Ia selari dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangannya; sekiranya tidak berkemampuan, dengan lidahnya dan sekiranya tidak berkemampuan, dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Beliau berkata, kedua-dua sikap menggunakan kata kesat dan tidak ambil peduli hanya mengundang kepada perkara lebih buruk termasuk golongan tidak bertudung akan mencari keaiban dengan menuding jari kerana tiada keharmonian antara pihak yang menegur dengan ditegur.

Sabda Rasulullah SAW: Mudahkanlah dan janganlah engkau persulit orang lain dan berilah khabar gembira pada mereka, jangan membuat mereka menjadi lari. (HR Bukhari)

Sharifah Hayaati bagaimanapun mengingatkan agak mustahil mengaitkan punca tanggal tudung disebabkan tidak faham agama kerana pendidikan agama diterapkan dalam masyarakat sekian lama, bahkan diajar di sekolah dan ceramah umum.

Beliau berkata, sikap kurang peka dan keinginan diri sendiri menjadi punca hingga ada yang tanpa rasa bersalah keluar ke tempat awam dengan hanya memakai baju tidur yang tidak sesuai dan tidak menutup aurat, manakala ramai pula bertudung tetapi mengenakan baju-T lengan pendek.

“Kita tidak boleh mengatakan masyarakat tidak faham, sebaliknya ia lebih kepada tidak ingin mengambil tahu dan serius mengenai hal aurat.

“Jangan ingat soal aurat boleh dipermainkan kerana hukum sudah jelas kepada wanita yang wajib menutup keseluruhan tubuh di hadapan lelaki ajnabi kecuali muka dan kedua tapak tangan.

“Aurat juga bukan bermaksud tutup semata-mata, sebaliknya memastikan bahagian tubuh dijaga daripada segenap aspek termasuk mengelakkan fabrik jarang dan busana ketat,” katanya.

Sharifah Hayaati berkata, antara godaan yang mampu melunturkan iman Muslimah ialah keghairahan mengikut trend fesyen yang semakin menjadi-jadi.

“Dunia fesyen semakin mudah diakses berjaya menambat keinginan khususnya anak muda hingga nafsu lebih terarah kepada hal itu berbanding mengutamakan hukum dalam menjaga aurat,” katanya.

Tambahnya, ia turut berpunca pengaruh trend fesyen artis, selain hiburan luar negara seperti fenomena drama Korea.

Justeru Sharifah Hayaati berkata, usaha menangani hal itu tidak cukup sekadar menekankan kepentingan kefahaman agama, sebaliknya perlu ditambah dengan pendekatan al-tadayyun, iaitu penghayatan ajaran Islam supaya istiqamah.

“Kefahaman menjaga aurat mesti datang daripada hati. Apabila ada niat dan memahami tujuan Islam menuntut wanita menutup aurat, penghayatan akan lahir.

“Proses ini perlu dilalui setiap Muslimah kerana sekiranya salah satu daripadanya lemah, ia mendorong perlakuan memakai tudung ketika di tempat dikenali ramai tetapi menanggalkannya apabila di tempat asing termasuk ketika bercuti di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, penghayatan agama perlu kepada usaha berterusan kerana manusia diuji dengan dugaan dan musibah yang berbeza-beza serta tidak berlaku sekelip mata.

“Kita perlu mendengar, belajar, mengawal nafsu atau keinginan dan berdoa supaya Allah SWT menguatkan hati kerana tidak mustahil kita menjadi orang baik pada hari ini tetapi esoknya berubah.

“Islam mementingkan istiqamah supaya dapat terus memelihara agama hingga orang yang tetap menjaga solat, akan melakukannya walaupun sakit dengan kaedah ditetapkan syarak,” katanya.

Sharifah Hayaati turut mengingatkan Muslimah yang belum bersedia menutup aurat dengan sempurna supaya tidak menunggu seruan sampai.

“Seruan tidak sampai sekiranya kita sendiri tidak berusaha ke arah perkara kebaikan dan alasan sebegini sebenarnya sudah ketinggalan zaman kerana segala kecanggihan teknologi moden.

“Seruan atau hidayah memang benar anugerah Allah SWT yang boleh berlaku hanya sekadar terdetik untuk menutup aurat dalam hati, iaitu dinamakan iman,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Muslimah supaya tidak menjadikan ‘seru belum sampai’ sebagai gurauan atau alasan menangguhkan penghijrahan.

“Setiap orang mesti menanam niat baik, barulah usaha untuk berubah atau berhijrah akan dipermudahkan.

“Ramai yang kita dapati apabila balik daripada menunaikan haji atau umrah, mula menutup aurat kerana mereka berusaha ke tempat suci dan berdoa kepada Allah SWT yang dengan izin-Nya, pintu hati terbuka untuk berubah,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Saffian. – Foto NSTP

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Saffian, menyentuh soal hukum menutup aurat dan menyifatkannya sama seperti hukum asas fiqh yang disebut dalam al-Quran, sunnah dan ijmak.

“Secara umumnya, mereka yang menolak kewajipan menutup aurat dan menyatakan tiada hukum menutup aurat, ia tidak wajar diikuti manusia, hukumnya murtad.

“Ini kerana mereka mengubah hukum ciptaan Allah SWT dan menjadikan perkara haram sebagai halal, sekali gus dihukum kafir dan jika mati tidak dikuburkan di tempat perkuburan Muslim.

“Mereka yang tidak menutup aurat kerana kelemahan diri, kejahilan atau takutkan manusia, hendaklah segera bertaubat,” katanya.

Bagaimanapun, Yasmin Hanani berkata, umat Islam sebaiknya mengambil sikap baik sangka dan usah terus menghukum tanpa sebab jelas.

“Kita tidak tahu isi hati mereka yang mungkin terleka melaksanakan hukum Tuhan kerana malas hingga jangan cepat menjatuhkan hukum itu kerana kesan amat besar kecuali mereka menyatakan tutup aurat bukan hukum Islam secara terang-terangan,” katanya.

Yasmin Hanani berkata, bagi yang baru berjinak-jinak menutup aurat, mereka perlu menambah ilmu agama dan kefahaman yang diikuti ikhlas menjadi yang terbaik.

“Pastinya ada banyak cabaran mendatang dalam proses berhijrah, sebaik-baiknya tanamkan sifat sabar supaya tidak mudah lalai.

“Selepas semua perkara dilaksanakan dengan baik, teruskan kehidupan dengan sentiasa beristiqamah supaya terus dipandu Allah SWT bukan sahaja di dunia, bahkan beroleh kejayaan akhirat kelak.

Sumber : Berita Harian

No Comments

    Leave a reply