Beri ruang kerajaan guna cara berdamai tangani LGBT

AWAL minggu ini, dua wanita masing-masing berusia 32 dan 22 tahun, dihukum sebat enam kali di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta lebih empat bulan lalu.

Isu mengenai lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT) bukan sesuatu yang baharu, sudah berlaku beribu-ribu tahun yang lalu. Pelbagai pandangan sudah diberikan, namun sehingga hari ini ia masih mengakar dalam masyarakat.

Perkara ini hangat kembali apabila keluar pelbagai kenyataan yang menggambarkan seolah-olah kerajaan yang baru dilantik, amat mesra dengan pengamal LGBT. Apakah tohmahan ini benar?

Mari kita fahami apa sebenarnya maksud LGBT atau juga dikenali dengan nama lain GLBT. Ia merujuk kepada sekelompok golongan yang mengamalkan cara hidup berteraskan lesbian, gay biseksual, dan transeksual.

Nama ini telah diguna pakai sejak 1990-an lagi bagi melabel mereka yang menjalani hidup anti-fitrah kemanusiaan.

Singkatan ini juga diterima pakai oleh sesetengah negara Barat seperti Amerika Syarikat, secara tidak langsung memberi kebenaran kepada golongan ini untuk menjalani cara hidup LGBT, sama seperti protokol diamalkan negara mereka, iaitu American is a free country.

Selain itu, antara negara lain yang membenarkan cara hidup LGBT ialah Argentina, Perancis, Kanada. Jangan terkejut, ada juga beberapa negara dianggap didominasi orang Islam tapi membenarkan aktiviti LGBT atas dasar hak kebebasan kemanusiaan.

Ironinya, tiada peruntukan undang-undang atau mana-mana agama di Malaysia yang membenarkan hubungan dan perkahwinan sejenis atau seks bebas.

Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksimum 20 tahun, termasuk sebatan, jika sabit kesalahan”.

Berdasarkan undang-undang syariah pula, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menetapkan beberapa peruntukan.

Antaranya Seksyen 25 (kesalahan liwat), Seksyen 26 (kesalahan musahaqah atau perhubungan sejenis sesama perempuan), Seksyen 28 (lelaki berlagak perempuan) dan Seksyen 29 (perbuatan tidak sopan di tempat awam).

Undang-undang ini, secara tidak langsung membuktikan penularan gejala LGBT di Malaysia sudah memakan masa yang begitu lama.

Pada 2012, hansard Parlimen menunjukkan menteri yang bertanggungjawab mengenai agama mengesahkan gejala songsang ini amat menular.

Ia juga menyatakan kerajaan memandang serius aktiviti LGBT dalam kalangan masyarakat dan mengambil langkah berterusan melalui dua pendekatan, iaitu pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang.

Namun, usaha murni kerajaan terdahulu gagal membendung aktiviti haram ini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Peliknya, mana mungkin dalam masa tiga bulan pertama pemerintahan Pakatan Harapan (PH), golongan ini tiba-tiba muncul seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Pendekatan berbeza

Kerajaan baharu di bawah menteri agama baharu telah menggunakan pendekatan agak berbeza dengan metod sebelum ini.

Dalam membasmi gejala ini, menteri berkenaan cuba menggunakan konsep ‘rahmatan lil alamin’, konsep berdamai dan bermesra sebagai konsep berdakwah, tapi malangnya, ia juga dikecam pelbagai pihak bersama dakwaan kerajaan sekarang menyokong kewujudan mereka ini.

Penulis amat pelik dengan pengkritik yang ada. Adakah perlu untuk kita menghentam hanya disebabkan perbezaan fahaman politik atau sememangnya mengkritik kerana menteri berkenaan berada di landasan yang tersasar?

Jika pun beliau telah tersasar, apakah mekanisme terbaik yang boleh kita kemukakan? Berikan formula baharu, jangan sekadar memberi komen tanpa penyelesaian.

Hakikatnya, kita janganlah cepat melatah dengan menabur fitnah demi kepentingan peribadi. Sebagai muslim, sebaik-baiknya menyokong sesuatu agenda jika membawa kebaikan dan menegur jika bertentangan dengan syariat Islam.

Teringat saya konsep dan pendekatan yang digunakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang keluar-masuk ke pusat-pusat hiburan dengan niat untuk menyampaikan dakwah Islam.

Tindakan itu bukan bermakna mereka menyokong hiburan yang melampaui batas, jauh sekali ingin menyertai golongan itu. Ia untuk menjadi rakan supaya mudah membetulkan kepincangan yang ada pada golongan berkenaan.

Menariknya, pendekatan ini menjadi pujian ramai orang, sehingga dijadikan satu kaedah terbaik penyampaian dakwah pada zaman moden.

Maka, apa pula bezanya dengan konsep yang diamalkan oleh menteri agama kita sekarang? Bagi penulis, selagi ia dilandaskan kepada niat untuk membawa kepada maaruf, tidak salah mencuba. Kekerasan bukan penyelesaian semua masalah.

Dalam usaha mendidik anak mendirikan solat juga, beberapa pendekatan lembut digunakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada ibu bapa sebelum kaedah penghukuman dijalankan.

Bagi penulis, keberanian golongan ini ialah kerana mereka diberi sokongan dan kefahaman yang salah. Hakikatnya, bukan semua yang terjebak dalam ilusi ini ialah golongan hard core.

Cegah penularan LGBT

Pada masa sama, setiap pihak tidak kira kerajaan mahupun individu prihatin perlu berganding tangan dalam usaha mencegah penularan LGBT.

Kita harus giat menyebarkan inti pati Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam yang jelas sama sekali menentang kewujudan LGBT.

Mereka yang bukan Islam juga harus mengikuti peraturan ini kerana bumi Malaysia sudah termaktub perlembagaannya dengan menggariskan Islam sebagai agama Persekutuan.

Secara jelas, sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam wajib dijauhi.

Bagi penulis, berilah ruang dan peluang kepada menteri dalam mengadaptasi kaedah yang beliau percaya boleh mengatasi isu ini. Kaedah terbaik selesaikan konflik ialah dengan menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Adapun, jika kaedah yang diterapkan ini sudah ternyata gagal, kritiklah dengan berhemah kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk tidak beradab.

Ingatlah, kadang-kadang sekeras-keras batu hanya boleh dipecahkan dengan titisan-titisan air.

Oleh Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri

Penulis adalah Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir, Universiti Utara Malaysia

No Comments

    Leave a reply