BERITA PALSU: PENYEBARNYA LEBIH KEJI DARI PELACUR

Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkan mereka yang menyebarkan fitnah atau berita palsu adalah lebih buruk daripada pelacur. Reaksi Putin itu adalah tersebarnya laporan yang mengatakan Donald Trump pernah bertemu pelacur di sebuah hotel di Moskow setelah pihak media berusaha untuk mengaitkan ‘hubungan mesra’ antara dua pemimpin berpengaruh dunia. Bagaimanapun, pertemuan itu dikatakan berlaku sebelum Donald Trump dipilih sebagai calon presiden dan menang pilihan raya pada 8 November 2016.

Menurut beberapa andaian, laporan sedemikian sengaja diadakan bagi menggambarkan sosok peribadi presiden Amerika Syarikat yang mengangkat sumpah pada 20 Januari 2017 adalah sebagai ‘seorang yang tidak layak’ dan mempunyai peribadi yang jelek. Hasil gambaran buruk terhadap Donald Trump itulah menyebabkan berlaku bantahan walaupun sebelumnya, belum pernah berlaku dalam sejarah politik Amerika Syarikat majlis angkat sumpah turut disambut dengan tunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan membantah kemenangan Donald Trump berlaku sebaik sahaja beliau diisytiharkan menang dan hingga kini, insiden yang sama berlaku untuk membantah beberapa Arahan Presiden yang dikeluarkan sebaik sahaja menduduki Rumah Putih. Antara Arahan Presiden yang dibuat ialah membina tembok di sempadan Mexico, menghalang kemasukan imigran daripada tujuh negara majoriti Islam, menarik diri dari menyertai TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement), menuduh China memanipulasi matawang yuan dan beberapa lagi peraturan yang bakal dipinda bagi menjadikan “Amerika Kembali Gagah”.

Menurut Vladimir Putin, tindakan Donald Trump untuk menjalinkan hubungan lebih mesra dengan Rusia telah disalahanggap oleh beberapa pihak yang terpaksa menerima kekalahan Hillary Clinton dalam suasana sayu dan sedih. Pihak yang mendokong Hillary Clinton telah membelanjakan wang besar bagi membantu kempen, dan sebahagiannya amat mengharapkan kemenangan calon Demokrat yang lebih mesra dengan kumpulan kapitalis-liberal dan pengusaha kaya raya.

Donald Trump tidak memperoleh dana kempen yang besar daripada kelompok pelobi politik di Amerika Syarikat dan kemenangan calon Republikan dianggap sebagai ‘bernasib malang’. Para pelobi tetap mengharapkan ‘dana kempen’ yang disumbangkan untuk menjamin kemenangan Hillary akan ‘dipulangkan’ kembali dalam pelbagai bentuk kemudahan perniagaan, pelaburan dan dasar Rumah Putih. Malangnya, andaian tersebut menjadi semakin sukar kerana Donald Trump yang menang pilihan raya presiden tidak sedia ‘membalas sumbangan dana’ yang dihulurkan kepada lawannya.

Menurut sumber rasmi, setiap calon yang berkempen memerlukan USD $ 1bilion pada tahun 2008 dan ini bermakna, perbelanjaan kempen merebut jawatan presiden Amerika Syarikat bukanlah sesuatu yang murah dan mudah. Barrack Obama ketika melancarkan kempen pada tahun 2007 berjaya mengumpulkan dana sejumlah AS$750 juta (RM2.2 bilion)  dan pada tahun 2012 disasarkan melebihi USD 1 bilion (RM 3.2 bilion).

Sebagaimana dilaporkan, Obama begitu bijak menggunakan media sosial bagi membantu meraih sokongan pengundi sehingga ada penyelidik melihat ia sebagai perubahan besar dalam penggunaan media konvensional. Kesan penggunaan lebih besar media sosial, di mana Obama mempunyai pasukan kempen yang hebat termasuk menjadikan pengasas facebook, Mark Zukerberg sebagai penasihatnya, beberapa serangan jelek terhadap Obama berjaya ditangkis, termasuk status warganegara dan agama. Obama didakwa bukan warganegara Amerika Syarikat, dan dengan begitu cepat pasukan kempen media sosial menyebarkan ‘sijil kelahiran Obama’. Ia mengesahkan bahawa Obama adalah rakyat Amerika Syarikat yang dilahirkan di Hawaii.

Status agama turut dikaitkan apabila nama penuhnya ialah Barrack Hussein Obama, yang turut didakwa beragama Islam, yang ketika itu kebencian terhadap Islam masih memuncak ekoran dasar Goerge Bush untuk melebarkan tesis ‘pertembungan peradaban’ di mana Islam adalah musuh utama Amerika Syarikat yang beragama Kristian. Walaupun Obama dikaitkan dengan agama bapanya, media sosial terus memberikan laporan mengenai susur galur keluarga dan sejarah kehidupannya yang dibesarkan oleh nenek yang beragama Kristian. Imej tersebut berjaya dipulihkan dan akhirnya Obama memperoleh kemenangan besar ke atas calon Republikan, John McCain.

Untuk pertarungan kedua (2012), Obama tidak berhadapan yang banyak masalah kerana sudah mempunyai ‘track record di Rumah Putih’ dan pasukan media sosialnya terus melancarkan kempen sejak awal. Pertandingan tersebut terus berpihak kepada Obama dengan 332 berbanding Mitt Romney 206 ‘elektoral vote’. Dari segi undi popular, pada tahun 2008 Obama memperoleh 61,148,244 (52%) dan John MacCain 54,564,713 (47%) manakala 2012, Obama meraih 65,915,795 (51.1 %) dan Mitt Romney 60,933,504 (47.2%). Ertinya peratusan undi Obama kekal dalam lingkungan lebih 50 peratus dan mengatasi lawannya dengan kelebihan undi popular walaupun berkurangan dari 6,583,531 kepada 4,982,291. Obama masih menguasai undi popular.

Keadaan ini berbeza dengan apa yang diperoleh Donald Trump, walaupun menguasai 306 ‘elektoral vote’ berbanding Hillary Clinton 232. Hillary telah berjaya menguasai undi popular dengan perbezaan 2,387,886 undi (64,962,422 berbanding Trump 62,574,536). Akibat penguasaan undi popular itulah penyokong Hillary Clinton terus melakukan tunjuk perasaan dan mendesak agar sistem ‘berperwakilan’ dimansuhkan dan digantikan dengan ‘undi popular’.

Keadaan yang sama berlaku di Malaysia apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 menghasilkan ‘undi popular’ berpihak kepada pakatan pembangkang. Pakatan pembangkang memperoleh 5,623,984 (50.87%) manakala BN meraih 5,237,699 (47.38%), iaitu perbezaan sebanyak 386,285 undi. (Rujuk: https://ms.wikipedia.org/wiki/Pilihan_raya_umum_Malaysia_2013).

Akibatnya, walaupun BN (133 kerusi Dewan Rakyat) masih menguasai keputusan majoriti, pakatan pembangkang (89 kerusi Dewan Rakyat) terus membuat desakan untuk ‘menukarkan kerajaan’ berasaskan keputusan undi popular. Sebelumnya, keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, BN menguasai 139 manakala pakatan pembangkang 83 kerusi Dewan Rakyat, undi popular masih dikuasai oleh BN dengan perbezaan  (BN 4,082,411 (50.27%) manakala pakatan pembangkang 3,796,464 (46.75%)). Desakan ketika itu hanyalah untuk menukarkan kerajaan atas alasan pakatan pembangkang berjaya menafikan kuasa dua pertiga BN di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, percubaan tersebut menemui kegagalan dan pakatan pembangkang terus menggunakan strategi propaganda melabelkan pemimpin BN dengan pelbagai pendekatan jelek dan menggelonsorkan peribadi.

Keadaan yang sama sedang dihadapi oleh Donald J Trump. Hillary Clinton merupakan calon yang mendapat sokongan Wall Street dan merupakan tokoh kapitalis-liberal Amerika Syarikat. Oleh kerana Donald J Trump tidak berpengalaman dalam sepak terajang politik Amerika Syarikat, beliau dianggap sebagai ‘orang luar’ yang bakal menjahamankan negara dengan mempersoalkan kecekapan pengurusannya termasuklah dalam bidang diplomatik.

Trump yang terkenal dengan slogan “you are fired” dikatakan mempunyai daya intelek yang rendah sehingga menyebabkan tiga orang profesor –dari Pusat Perubatan Harvard dan Universiti California—menulis surat kepada Obama pada bulan Disember 2016 menyatakan ‘kecelaruan mental’ yang dihadapi oleh Presiden Amerika Syarikat ke-45. Dalam cubaan memberikan amaran kepada orang awam, Dr John Gartner telah membuat diagnosis terhadap Trump dengan merumuskan “Trump mengalami sakit mental berbahaya dan tidak layak menjadi Presiden.” Trump dikatakan mengidap ‘narsisisme malignan’ (campuran narsisisme, anto sosial, agresif dan sadism). (Rujuk: http://www.bharian.com.my/node/242364 ).

Sejurus selepas pilihan raya, kumpulan yang menggelarkan diri mereka Citizen Therapist Against Trumpism telah bergabung untuk menerbitkan manifesto berhubung psikosis (penyakit mental teruk) yang dialami oleh Donald J Trump. Kumpulan ini membuat kesimpulan: “Menyalahkan dan menghapuskan kumpulan penduduk yang dlihat sebagai ancaman, termasuk pendatang dan minoriti agama; menjatuhkan maruah; menghina dan merendahkan lawan dan kritik; mencipta kultus Lelaki Gagah yang jelas tanpa rasa takut dan penuh kemarahan; berjanji menyelesaikan masalah kami jika kami mempercayainya; mencipta semula sejarah dan bimbang sedikit mengenai kebenaran dan tidak melihat keperluan pujukan rasional.” (Rujuk: http://www.huffingtonpost.com/harry-boyte/citizen-therapists-against_ b_ 10654104. html).

Sebelum Trump menang, kempen memburuk-burukkan beliau sudah dilakukan dengan mengaitkan sikap panas baran dan pembabitannya dengan skandal seks sehingga menggambarkan dirinya sebagai ‘lelaki tidak terkawal’. Media menghebohkan mengenai ‘keghairahan seks’nya dengan menampilkan beberapa wanita yang pernah menjalin hubungan perniagaan ataupun berurusan dengannya termasuklah seorang peserta The Apprenticeship (Summer Zervos), bekas model (Kristen Anderson) dan seorang pelakon filem lucah (Jessica Drake). (Rujuk:http://beautifulnaara.blogspot.my/2016/10/bekas-model-peserta-apprentice-dakwa.html)

Isterinya, Melina Knauss yang dilahirkan di Slovania (Yugoslavia) turut diseretkan dengan imej lucah apabila gambar bogelnya yang menghiasi kulit majalah fesyen sebelum berkahwin dengan Donald J Trump disebarkan. Kesemuanya dilakukan oleh media utama milik kapitalis-liberal yang meramalkan bilioner hartanah itu akan kalah.

Selepas Trump memperoleh kemenangan, media utama Amerika Syarikat –CNN, CBS, The Wall Street Journal, The New York Times, Washington Post—membuat tuduhan bahawa beliau adalah agen Vladimir Putin. Ini berasaskan hubungan baiknya dengan presiden Rusia dan keinginannya untuk berbaik-baik dengan Rusia. Trump berusaha menghapuskan stigma buruk rakyat Amerika Syarikat terhadap Rusia yang dibentuk menerusi kesan teori domino, di mana Rusia sebagai sebuah negara komunis ‘tidak berperikemanusiaan’ dan bersikap kejam.

Sehari sebelum pilihan raya diadakan, Rusia didakwa telah ‘menganggu sistem pilihan raya Amerika Syarikat’ bagi mempengaruhi keputusan yang bakal diraih oleh Hillary Clinton walaupun sebelumnya diserang dengan penggunaan komputer peribadi untuk tujuan menghantar emel rasmi semasa bertugas sebagai Setiausaha Negara. Rusi dituduh telah membocorkan maklumat berkenaan kepada WikiLeaks di mana pengasasnya, Julian Assange memperoleh perlindungan dari Rusia. Rusia melindungi Assange yang amat dikehendaki oleh Amerika Syarikat kerana berjaya mendedahkan beberapa maklumat rahsia kepada dunia. Maklumat rahsia itu diperoleh oleh Russia apabila KGB berjaya menggodam e-mel Hillary yang disalurkan menerusi komputer peribadi.

Pembocoran itu dianggap sebagai sabotaj manakala perisik bawah tanah KGB melakukannya atas arahan licik Vladimir Putin. Ekoran dakwaan tersebut, dua minggu sebelum Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45, Obama telah menghalau 35 orang pegawai diplomat Rusia dari Amerika Syarikat. Tindakan ini menguatkan lagi dakwaan pembabitan Rusia dan imej Trump sebagai ‘pengjahanam.’

Bagaimanapun, isi kandungan e-mel yang didakwa telah diceroboh oleh Rusia tidak didedahkan kepada umum. Dalam satu wawancaranya dengan ABC News, Hillary ‘memohon maaf’ dan ‘menyesal’ di atas kesilapan tersebut. Tetapi permohonan maaf dan penyesalan Hillary Clinton tidak dapat diterima oleh sebahagian pengundi, sebaliknya FBI bersedia untuk menyiasat 55,000 emel di mana 31,000 telah dihapuskan. Ini menimbulkan syak wasangka yang lebih besar sehingga tercetus pula pengakuan pengarahnya, James B Comey pada akhir Oktober 2016. Skandal emel inilah yang memberikan peluang kemenangan kepada Trump, di mana menurut Trump “lebih buruk dari Watergate”. Skandal Watergate (1972-1974) telah menyebabkan Richard Nixon terpaksa meletakkan jawatan (8 Ogos 1974) dan Amerika Syarikat mengalami ‘krisis perlembagaan’. (Rujuk: https://news.detik.com/internasional/3323584/donald-trump-sebut-skandal-email-hillary-clinton-lebih-buruk-dari-watergate) .

Salah satu emel yang bocor mengandungi ucapan sulit Hillary dalam satu majlis tertutup kepasa firma kewangan Goldman Sachs. Ucapan itu dilihat sebagai satu pembelaan Hillary terhadap pemilik sistem kewangan yang berusaha untuk bangkit selepas mengalami ‘keruntuhan ekoran skandal subprima’, yang turut menekan rakyat Amerika Syarikat sendiri.

Satu lagi surat yang ditulis oleh John Podesta, pengerusi kempen Hillary Clinton yang menerangkan perancangan bagi mengalahkan Bernie Sanders, calon yang turut bersaing dengannya untuk mewakili Parti Demokrat. Ketika itu, Sanders dilihat begitu popular dalam kalangan anak muda Amerika Syarikat dan lebih jujur berbanding Hillary. Sanders juga dikatakan mampu mengalahkan Trump yang sudah pun dipilih sebagai calon mewakili Parti Republikan.

Podesta telah merancang ‘penipuan undi’ bagi meminggirkan Sanders. Akhirnya, perancangan jahat itu berjaya menyingkirkan Sanders, tetapi ia sudah terlewat kerana Hillary sudahpun disahkan calon mewakili Demokrat. Bila emel ini bocor, Podesta meletakkan jawatan pada 13 Oktober 2016. Peletakan jawatan ini memberikan tamparan hebat kepada Hillary Clinton manakala FBI ikut membuat andaian akan menyiasat emel yang menggunakan ‘komputer peribadi’ walaupun sehari kemudiannya dibatalkan. (Rujuk: http://www.vox.com/2016/10/12/13253852/wikileaks-john-podesta-risotto dan http://www.thepoliticalinsider.com/hillary-campaign-chair-john-podesta-twitter-announces-vote-trump-20161/) .

Pendirian media Amerika Syarikat juga jelas, langkah memburuk-burukkan Donald J Trump dilihat sebagai satu teknik untuk membangkitkan persepsi buruk terhadap presiden walaupun pada ketika tertentu jelas Hillary Clinton disahkan sebagai ‘perancang utama pembentukan al-Qaeda dan ISIS.”  Dalam salah satu emel yang dibocorkan oleh WikiLeaks, Hillary mengakui bahawa al-Qaeda dan ISIS dibesarkan oleh CIA.

Hakikatnya, sebelum itu bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair mendedahkan bahawa beliau ‘turut bersetuju’ dengan Bush untuk menyerang Irak, yang kemudiannya membawa kepada pembentukan ISIS. Tony Blair menganggap Perang Irak merupakan satu ‘kesalahan besar’ atas kemahuan perisikan Amerika Syarikat dan beliau memohon maaf. Perang Irak menjadi punca tertubuhnya ISIS (Rujuk: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm dan http://www.kompasiana.com/rrnoor/tony-blair-perang-irak-kesalahan-besar_562d5ed83fafbdb10b6a2730) .

Dakwaan bahawa Trump memperoleh kemenangan hasil perancangan licik Vladimir Putin telah mula tersebar sebelum beliau terpilih mewakili Republikan. Jeb Bush, anak kedua bekas presiden Amerika Syarikat, Goerger Herbert Bush dan saudara kepada George Walker Bush berhasrat untuk memasuki perlumbaan sebagai calon presiden. Jeb Bush menggunakan firma penyiasatan untuk mencari kelemahan Donald Trump. Bagaimanapun, Jeb Bush kemudiannya menarik diri dan Hillary Clinton meneruskan khidmat firma penyiasatan tersebut. Kerja itu dilakukan oleh seorang agen M16 British yang pernah bekerja di Rusia dan dilaporkan memiliki jaringan risikan yang meluas. Hasil risikan itu kemudiannya disampaikan kepada John MacCain, kerana MacCain dan Trump tidak sebulu walaupun dalam parti yang sama.

Akibat ‘permusuhan’ itu, pada 10 Januari 2017, portal BuzzFeed telah menyiarkan laporan 35 halaman mengenai Trump. Sebelumnya, MacCain tidak bercadang mendedahkannya kerana tidak mempunyai bukti yang memadai. Setelah laporan itu disiarakan, kumpulan anti-Trump menyebarkan maklumat berkenaan kepada media arus perdana, termasuklah maklumat mengenai pembabitan Trump pada tahun 2013 dalam Pertandingan Ratu Cantik di sebuah hotel terkemuka di Moskow.

Dokumen itu mendedahkan mengenai jemputan Trump terhadap salah seorang ratu cantik atau pelacur ke bilik penginapannya. Wanita itu dilaporkan melakukan golden shower, di mana Trump dikatakan meminta wanita cantik berkenaan kencing di atas badannya. Babak itu dirakamkan secara rahsia oleh KGB. Sekiranya Trump bukan terpilih sebagai presiden Amerika Syarikat, golden shower itu bukanlah sesuatu yang salah dan buruk. Sebaliknya, mereka yang anti-Trump menuduh bahawa ‘rakaman golden shower’ itu sebagai ungutan Rusia ke atas Trump, maka sebab itulah Trump begitu ‘mesra untuk berbaik-baik dengan Rusia.’

Dakwaan itu juga akan terus digunakan oleh kumpulan anti-Trump untuk mendesak pemecatannya, sebagaimana Watergate berjaya menjatuhkan Richard Nixon. Inilah permainan politik Amerika Syarikat yang sekian lama ‘terpengaruh dan dipengaruhi oleh kapitalis-liberal’ yang berusaha mencalarkan imej demokrasi. Atas nama demokrasi mereka sedang bergelut untuk menjatuhkan seorang pemimpin yang dipilih secara demokrasi. Ertinya, demokrasi dilihat bagus dan hebat apabila berpihak kepada mereka, sekiranya berlaku di sebaliknya, demokrasi dilihat sebagai ‘malapetaka’ sebagaimana dakwaan bahawa Trump bakal menjahanamkan Amerika Syarikat.

Hakikatnya sama seperti yang sedang berlaku di Malaysia. Mereka yang mendakwa dan berkempen untuk ‘selamatkan Malaysia’ sebenarnya sedang berusaha menjahanamkan sistem politik yang sudah membuktikan keabsahannya sebagai sebuah negara yang mereka dan makmur.

Peperangan ‘propaganda’ akan terus berlangsung. Akhirnya, rakyat semakin keliru dan mereka yang mendesak untuk ‘selamatkan Malaysia’ dibebani dengan liabiliti silam yang amat banyak, yang sukar untuk dimaafkan oleh seluruh rakyat. Ertinya, mereka yang ingin ‘selamatkan Malaysia’ akan terus memburukkan pemimpin yang dipilih secara sah sebagaimana dihadapi oleh Trump sekarang.

Tentunya, dalam propaganda terlalu banyak kepalsuan. Berita palsu boleh menyebabkan suasana stabil menjadi ‘huru hara’ maka atas sebab itulah Majlis Tertinggi Ulama Indonesia sedang meniliti untuk mengeluarkan fatwa mengharamkan penyebaran berita palsu. Malaysia juga wajar melakukannya, kerana pada suatu ketika tersebar luas bahawa kemenangan BN dalam PRU ke-13 adalah ‘undi dari warganegara Bangladesh yang dibawa masuk’ ke Sabah dan Sarawak melibatkan seramai 40,000 orang.” (Rujuk: http://www.malaysiakini.com/news/340275).

Jika Dr Mahathir boleh menyifatkan pemakan rasuah itu seperti ‘memakan daging babi’ maka tidaklah keterlaluan dengan pendapat Vladimir Putin “orang yang menyebarkan berita palsu itu lebih buruk daripada pelacur.” Salahkah Trump untuk ‘mengubah perspektif dasar Amerika Syarikat’ untuk menjadi lebih baik daripada amalan sebelumnya yang bersifat ‘polis dunia’ dan ‘hegemonik’? Trump hanya mahu membuktikan bahawa langkahnya adalah ‘tepat’ untuk membawa “Amerika Kembali Perkasa” sekurang-kurangnya untuk rakyatnya sendiri dan bukannya menambahkan ketamakan pendokong kapitalis-liberal.

Oleh: Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply