BERITA PALSU TIDAK SAMA DENGAN MENGKRITIK

Ketika pengumuman Perdana Menteri akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian COVID-19, berlaku tafsiran yang menakutkan. Tersebar di ruang media sosial bagi melaksanakan PKP itu, kerajaan akan menggunakan aset tentera seperti kereta kebal. Visual mengenai kebanjiran kereta kebal itu menimbulkan persepsi gerun kepada masyarakat, ia seolah-olah Malaysia berada dalam situasi perang.

Siapakah pemula kepada penyebaran tersebut tidak jelas. Berbeza dengan perkongsian video yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kuantan mengenai ‘rempuhan di Tambak Johor’ akibat sesaknya rakyat Malaysia bergegas pulang ke tanah air. Video yang dikongsikan itu akhirnya memaksa bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memohon maaf dan seterusnya memadamkan di dinding media sosialnya.

Beberapa hari lalu, Jabatan Penerangan Malaysia mengeluarkan infografik berkaitan Berita Palsu dengan cetakan layar media sosial dan butirannya ‘blur’. Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadhil mempersoalkan satu daripada jenis-jenis berita palsu yang dikategorikan oleh Jabatan Penerangan Malaysia, iaitu “menanam kebencian terhadap kerajaan pemerintah dan pemimpin”.

Menurut infografik tersebut, terdapat enam jenis maklumat yang dikatakan Berita Palsu: (1) menjatuhkan imej dan individu, reputasi organisasi dan negara; (2) menanamkan kebencian terhadap kerajaan, pemerintahan dan pemimpin; (3) berkaitan infrastruktur maklumat kritikal negara; (4) fahaman ajaran ekstrem; (5) menyentuh sensitiviti keagamaan dan perkauman; dan (6) mengandungi unsur-unsur pornografi, perjudian dan penipuan.

Secara langsung, impak penyebaran Berita Palsu itu ialah: (1) menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan sensitiviti, privasi dan reputasi individu, organisasi malah negara; (2) mewujudkan ketidakpercayaan terhadap kerajaan pemerintah; (3) menimbulkan kegusaran dan ketidakharmonian masyarakat dan merencatkan pembangunan sesuatu industri/sektor; (4) memesongkan akidah dan menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam; (5) mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara dan menggugat perpaduan nasional serta keharmonian kaum; dan, (6) menyumbang kepada gejala sosial, keruntuhan moral dan akhlak serta mendorong kepada kegiatan jenayah.

Saya bersetuju dengan pandangan Fahmi, definisi Berita Palsu dalam infografik itu tidak ada, maka ia menyebabkan tujuan baik Jabatan Penerangan Malaysia sedikit cacat. Tetapi dalam perkiraan lain, saya tidak boleh menerima apabila Fahmi seolah-olah cuba “mempersekutukan” Berita Palsu dengan kritikan. Ia adalah dua perkara yang berbeza, yang sepatutnya tidak digeneralisasikan dengan ‘keperluan untuk bersuara’.

information disorder

Berita Palsu adalah satu kesalahan besar dalam mana-mana negara sama ada sistem politiknya berbentuk demokrasi, sosialis atau pun  komunis. Mengkritik bukan ditakrifkan sebagai “Berita Palsu” sekiranya kritikan yang dibuat itu dikategorikan sebagai konstruktif atau membina.

Kritikan tanpa asas fakta yang jelas tidak menyumbang kepada pembinaan gagasan idea yang baik dan sebagai langkah pembetulan atau penambahbaikan.

Ketika PKP dilaksanakan, mereka yang mengkritik Menteri Kesihatan atas saranannya meminum air panas bagi membunuh virus bukan Berita Palsu. Ia diterima sebagai kritikan walaupun Dr Adham Baba sedikit kesipuan. Sanggahan netizen terhadap Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat kepada isteri-isteri bagi mewujudkan suasana lucu dan segar dalam keluarga ketika masing-masing dilanda kebosanan atau ‘emosi terperuk’ boleh diterima. Banyak cara lain yang boleh membantu, bukan beracuankan suara Doraemon.

Menteri Pengajian Tinggi, dikritik teruk kerana menganjurkan pertandingan video pendek berasaskan perisian Tik Tok, ia difikirkan tidak kena dengan suasana dan persekitaran peranannya. Sepatutnya, beliau memikirkan bagaimana ‘mententeramkan’ perasaan bosan para mahasiswa yang terpaksa menjalani PKP di kampus, asrama dan rumah-rumah sewa kerana mereka tidak dibenarkan pulang kampong.

Dr Noraini Ahmad bukan sekali menimbulkan suasana cemas mahasiswa sejak PKP diperkenalkan. Sehari selepas PKP diumumkan, berlaku kesesakan melampau di stesen bas kerana mahasiswa perlu pulang ke kampong masing-masing oleh kerana pihak universiti mengeluarkan arahan mengosongkan asrama ataupun kediaman mereka.

Sebelum kuatkuasa PKP untuk fasa ketiga, Noraini membuat kesilapan sekali lagi. Beliau  mengeluarkan kenyataan sedang berbincang cara untuk menghantar mahasiswa pulang ke kampong. Maknanya, tindakan kerajaan untuk ‘memutuskan rantaian’ akan berhadapan masalah besar. Bila mahasiswa dihantar pulang, ada potensi dijangkiti dan penularan COVID-19 turut berlaku di kampong-kampong walaupun bukan kesemuanya.

Awalnya beliau dikritik kerana membiarkan pengurusan universiti membuat keputusan sendiri. Kali ini, sekiranya mahasiswa dihantar pulang, seolah-olah KPT ingin melepaskan tanggungjawabnya,  bersama-sama kerajaan bagi ‘memutuskan rantaian COVID-19). Itu bukan Berita Palsu walaupun cadangan menghantar pulang mahasiswa belum berlaku, kerana Menteri Pengajian Tinggi sudah membuat kenyataan ‘sedang berbincang’ kaedah dan kebarangkalian keputusan.

Di akhir pentadbiran BN, suatu akta bernama Akta Anti Berita Tidak Benar telah diluluskan dan berkuat kuasa. Akta tersebut menjadi bahan kempen PH. Setelah PH membentuk kerajaan, Akta tersebut dimansuhkan. PH melihat tujuan Akta tersebut digubal ialah untuk tidak membenarkan kritikan dibuat terhadap kerajaan. Ia dianggap sebagai bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara yang menjadi teras sistem politik demokrasi.

Bagaimanapun, PH tersilap jangkaan. Pemansuhan Akta berkenaan telah menimbulkan lebih banyak sanggahan dan manipulasi maklumat sehingga kewibawaan demokrasi dan reformasi politik yang diangan-angankan mereka menjadi masalah. Ia boleh menimbulkan suasana ketegangan dan ketidakharmonian kaum.

Bukan sahaja berita-berita yang bersifat fitnah disebarkan secara terbuka, bahkan perkara-perkara tertentu yang sengaja ditular bagi menimbulkan rasa marah atau politik kebencian dalam bentuk provokasi dan pemesongan fakta sejarah. Contohnya, provokasi mengenai keturunan India sebagai penduduk terawal di negara ini hanya berdasarkan penemuan beberapa artifek dan rumusan arkeologi dari Lembah Bujang, Kedah. Malangnya, dakwaan itu dilakukan oleh seorang menteri keturunan India dalam kabinet Malaysia Baru. Ia tidak merujuk kepada konteks sejarah Tanah Melayu secara meluas dan mendalam.

Di awal pentadbiran DAP di Pulau Pinang, muncul juga gerakan untuk menulis semula sejarah masyarakat negeri tersebut. Percubaan itu telah mendapat serangan daripada banyak pihak termasuk ahli-ahli sejarah. Pulau Pinang sudah didiami lebih awal oleh suku kaum Melayu sebelum buruh-buruh Cina dibawa masuk oleh Inggeris. Batu Ban adalah kawasan petempatan awal orang Melayu dari Minangkabau. Ia dianggarkan mula diteroka antara tarun 1720 atau 1730 di mana Masjid Batu Uban dibina pada tahun 1734, iaitu lima puluh tahun sebelum Inggeris bertapak. (Ahmad Murad Merican, Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang, 2015:56).

Pulau Pinang bukan kawasan yang tidak berpenghuni. Inggeris mendapat kebenaran bertapak (menyewa) di situ dari Sultan Kedah pada tahun 1786. Dakwaan Francis Light bahawa Pulau Pinang tidak berpenghuni sebaik beliau mendarat  adalah satu bentuk pembohongan. Dan, pembohongan itulah yang digunakan oleh DAP untuk menukarkan sejarah petempatan orang Melayu dengan mengatakan keturunan Cinalah yang terawal membuka petempatan.

Sejarah Balik Pulau bukan hanya kerana ada tempat-tempat yang dikaitkan dengan orang Cina, seperti Kongsi. Kampong-kampong Melayu sudah muncul di situ seperti Pondok Upeh, Titi Teras ataupun Permatang Pasir. Bahkan catatan lama membuktikan bahawa Nakhoda Ragam yang sering belayar antara Linga dan Kedah menamakan Pulau Pinang sebagai Pulo Ka Satu atau Pulau Yang sebuah. Beliau turut menamakan beberapa tempat lain, antaranya Pulo Kindi (Pulau Kendi), Bayan Lepas, Gerratak Sangkol (Gertak Sanggol), Pulo Bittong (Pulau Betong) dan Puchat Muka.

Menurut Wikipedia, Berita Palsu ialah “sejenis kewartawanan kuning atau propaganda yang terdiri daripada penyebaran maklumat salah atau olok-olok secara sengaja melalui media akhbar tradisional, media penyiaran mahupun media sosial dalam talian. Berita palsu disiarkan dengan niat untuk mengaburi mata ramai untuk mengaibkan pihak tertentu demi kepentingan kewangan atau politik sendiri, selalunya menggunakan tajuk berita yang sensasi, tidak jujur atau direka semata-mata untuk menggalakkan pembacaan, perkongsian dalam talian, dan pendapatan klik Internet yang mana ia adalah serupa dengan tajuk berita “clickbait” dan bergantung pada pendapatan iklan yang dijana daripada kegiatan ini tanpa mengira kebenaran cerita yang disiarkan.”

Dua tahun lalu (13 April 2018), polis Johor menyiasat kejadian pertama yang dikaitkan dengan Akta Antiberita Tidak Benar (2018) yang diluluskan oleh Parlimen sebelum BN hilang kuasa (9 Mei 2018).  Dikatakan Tengku Mahkota Johor  akan memberi bantuan bernilai RM 200 setiap orang bagi membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya. Akibat penularan mesej tersebut, pasar raya berkenaan di Selat Tebrau diserbu oleh orang ramai dan kejadian yang hampir sama juga berlaku di beberapa pasar raya dan lokasi di negeri tersebut. (Harian Metro, 13 April 2018).

Akta Antiberita Tidak Benar (AKTA 803) diwartakan pada 11 April 2018 dan mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong pada 9 April 2018. Akta itu diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 April 2018 dengan undian 123 menyokong dan 64 wakil rakyat menolaknya. Wakil Rakyat yang menyokong Akta tersebut termasuk 10 orang daripada PAS manakala yang menentang ialah sebahagian besar adalah wakil rakyat Pakatan Rakyat. Dikatakan, wakil rakyat pembangkang (Pakatan Rakyat) amat bimbang dengan Akta berkenaan kerana mereka rasa terganggu dalam kempen-kempen politik dan  menuduh BN cuba menggunakannya sebagai ‘senjata politik’, bagi menutupi salah guna kuasa dan budaya kleptokrasi yang diamalkan.

Menurut takrif, Berita Tidak Benar ialah “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea (Perkara 2)”.  Di bawah Perkara 4, kesalahan-kesalahannya meliputi mengadakan, menawarkan, menerbitkan dan sebagainya, berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar (Sinar Harian, 11 April 2018).

Akta itu sebagaimana ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azlina Othman Said, diperlukan bagi ‘membasmi masalah berita palsu.” (Malaysiakini, 11 April 2018). Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan undang-undang khusus yang memfokus kepada individu dan organisasi yang menyebarkan berita palsu menerusi media sosial. (Rujuk: Ruzian Markom, Zinatul Ashiqin Zainol dan Nurhidayah Ahmad Fuad,  Literasi Perundangan Media Baharu Dalam Kalangan Belia, Jurnal Komunikasi, Jilid 35(3) 2019:372-389).

Akibat ketakutan itu, parti-parti pembangkang terutamanya yang menggelarkan pakatan mereka sebagai Pakatan Harapan berjanji akan menghapuskan undang-undang yang dianggap zalim, termasuk Akta 803 yang baharu dikuatkuasakan. Kempen mereka mendapat perhatian umum. Bila Pakatan Harapan menang PRU ke-14, sebulan kemudian (9 Mei 2018), pemansuhan Akta tersebut dilakukan. Pada 16 Ogos 2018, Akta Antiberita Tidak Benar dimansuhkan di Dewan Rakyat.

Ia dianggap sebagai satu daripada reformasi yang diperjuangkan. Namun, akhirnya PH sedar, ia cukup berbahaya kerana semakin banyak berita tidak benar ditular di media sosial berkenaan pentadbiran mereka. Sebagai satu bentuk ‘malu’, PH mula berura-ura untuk memperkenalkan semula Akta Antiberita Tidak Benar dengan beberapa perubahan agar ia tidak dilihat sebagai cengkaman kepada kebebasan bersuara yang diratibkan sepanjang kempen PRU ke-14.

Ketika mengulas mengenai ura-ura tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Hanifa Maidin menjelaskan “PH tidak silap” bila memansuhkan Akta tersebut. Alasannya, undang-undang sedia ada sudah cukup untuk mengekang penularan berita tidak benar, dan “berita palsu bukan satu fenomena baru meskipun saya akui sekarang ini ia semakin rancak di media sosial”. (Sinar Harian,  12 Februari 2019).

Selepas PH terlucut kuasa, Malaysia mengalami suasana resah dengan penularan wabak COVID-19 dan perlu mengambil langkah tegas untuk ‘memutuskan rantaian jangkitan’ mulai 18 Mac 2020. Langkah tersebut dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mulai daripada tarikh penguatkuasaannya pada 18 Mac 2020 hingga 14 April 2020, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah membuka 217 kertas siasatan berita palsu mengenai COVID-19 manakala 162 kes lagi masih dalam siasatan. Sebanyak 23 kes sudah dituduh di Mahkamah.

Antara yang sedang disiasat ialah Fuziah Salleh, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas dakwaan menyebarkan berita palsu, iaitu kejadian rempuhan di Tambak Johor akibat kepulangan beramai-ramai rakyat Malaysia dari Singapura.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, meskipun video tersebut sudah dipadamkan dan pemilik akaun sudah menyatakan permohonan maaf “Ini semua tidak terpakai kerana polis masih boleh memanggil individu itu untuk disoal siasat dan tindakan masih boleh diteruskan.Kita akan meneruskan tindakan kepada sesiapa saja yang mengeluarkan berita palsu sama ada di media sosial mahu pun portal media. Sekali lagi saya mohon jangan melakukan perkara yang menyusahkan diri sendiri”. (Berita Harian, 14 April 2020).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika mengulas mengenai wabak COVID-19 sebelum dilaksanakan PKP dan masih di peringkat pemantauan oleh kerajaan PH berkata “perbuatan menyebarkan fakta tidak tepat berhubung isu berkenaan adalah satu tindakan tidak cerdik kerana ia boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“Contonya semalam (6 Februari 2020) kononnya ada sebuah kapal di Kuala Linggi, Melaka yang tiba dari Wuhan, China membawa anak kapal dari China, ia adalah tidak benar dan orang yang menyebarkannya bukannya ‘Master’ pelabuhan”, jelas Ketua Polis Negara.

Beliau turut menyeru agar orang ramai tidak ‘mensia-siakan diri masuk ke lokap kerana menyebarkan berita pals berhubung penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara ini.” (Sinar Harian, 7 Februari 2020).

Dari perspektif lain, berita tidak benar dan berita palsu adalah dua perkara yang berbeza. Meskipun berita tidak benar itu juga menjurus kepada pembohongan, sama dengan berita palsu, dari segi istilahnya ia membawa kepada pemahaman yang berbeza.

Berita palsu, sebagaimana difahami makna ‘palsu’ mesti ada yang aslinya. Sesuatu yang palsu itu adalah sesuatu yang ditiru menyerupai yang asal, sedangkan apa sahaja yang tidak benar, tidak ada asasnya, termasuk penyamaran atau peniruan.

Apabila kita terbeli ‘barang palsu’ bermakna kita ditipu oleh penjual dengan sengaja menukarkan barang tidak asli. Kita mungkin pernah mendengar bahawa jualan murah beg-beg tangan (handbags) berjenama di Jalan Petaling bukanlah ‘produk asli’. Ia mungkin diimport daripada pelbagai negara, termasuk dari China. Sebab itulah harganya jauh lebih murah tetapi bentuk dan gayanya hampir menyerupai ‘yang asli’.

Dibawah peraturan perihal dagangan, menjual produk tiruan atau barang palsu adalah satu kesalahan. Tetapi, penjualannya terus berlaku di mana-mana , termasuk pasar malam dan kedai-kedai yang berselindung di bawah harga patut dan sebagainya.

Lebih menarik lagi bila kita perhatikan jenama barangan terkenal yang dijual di pasar malam atau pasar pagi, Adidas diubah menjadi Adidus; Puma kepada Puna; Lois kepada Luis atau Loes; Levi’s kepada Levis atau Lev’is; dan sebagainya. Kesemuanya ini dilakukan untuk meningkatkan ego manusia secara palsu. Itu adalah memang palsu, ia mengubah keasliannya dari tanda jenama hinggalah kepada penggunaan bahan tetapi bukan reka bentuknya.

Kalau Fahmi menyebut kritikan kepada sesuatu yang hakikatnya ada tetapi tidak dilaksanakan dengan sempurna, ia bukanlah berita palsu. Fahmi boleh mengkritik tindakan kerajaan dalam mengawal penularan Wabak COVID-19, tetapi kritikannya mestilah berasaskan fakta dan maklumat yang jelas.

Kritikan itu akan dikategorikan sebagai konstruktif sekiranya disusuli dengan cadangan yang jelas untuk penambahbaikannya, bukan hentam keromo atau dilihat sebagai kritikan membunuh. Apa yang berlaku, kerana ada sekelumit ‘rasa marah’ maka rasional yang dibincangkan itu menjurus kepada serangan peribadi, maka jadilah ia sebagai ‘pembunuhan karakter’.

Menurut International of Library Associations and Institutions (IFLA), yang dimasukkan dalam penerangan Wikipidea,  untuk membantu orang ramai mengenal pasti berita palsu sebagaimana ditentusahkan (validation) oleh pakar-pakar dalam sains kognitif pemprosesan maklumat, ia wajar dipertimbangkan: sumber (untuk memahami misi dan tujuannya); baca melewati tajuk berita (untuk memahami seluruh cerita)’ periksa penulisnya (untuk menentukan kesahan dan kebolehpercayaan); nilai sumber-sumber menyokong (untuk memastikan dakwaan disokong); lihat tarikh siaran (sama ada cerita itu relevan dan terbaharu); tanya sama ada itu gurauan (sama ada ia ditujukan sebagai satira); cermin pendirian diri (sama ada ia mempengaruhi pertimbangan anda); dan, tanya pakar-pakar (untuk pengesahan daripada sumber pengetahuan berkecuali).

infografik berita palsu

Kisah video ‘rempuhan di Tambak Johor’ jelas membuktikan bahawa Fuziah Salleh cuba memberikan gambaran salah dan bertujuan menimbulkan ‘kejelekan’ terhadap kerajaan. Ini berlaku kerana kerajaan yang mentadbir Malaysia sekarang bukan lagi yang pernah dianggotai oleh Fuziah. Video tersebut adalah latihan kecemasan dan merupakan video lama. Ini bermakna, Fuziah mempunyai niat buruk terhadap kerajaan sekarang kerana beliau sudah terlucut kuasa.

Memang benar, Berita Palsu ada nilai dan perkara yang tidak tepat, tidak benar dan bohong. Dari perspektif kebenaran, video tersebut adalah benar berlaku, tetapi masa dan tujuannya adalah tidak tepat. Tidak tepat itulah menyebabkan Fuziah disiasat dan boleh didakwa cuba menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat. Suasana panik pula boleh menggugat ketenteraman awam. Itulah yang dimaksudkan sebagai “mengancam ketenteraman awam” dan “menimbulkan kebencian kepada kerajaan”.

Dalam istilah post-truth, berita seumpama itu dikategorikan sebagai hoax. Hoax bermakana berita yang diselewengkan untuk tujuan buruk dan ditambah dengan penerangan yang salah. Berita yang sengaja diada-adakan, dipanggil fake news atau berita bohong. Namun kededuanya menjuruskan kepada satu atau beberapa jenis impak kepada masyarakat sebagaimana dipaparkan dalam Infografik yang ditularkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia tersebut.

Fahmi bebas mengkritik tetapi bukan mengeluarkan kenyataan palsu atau interpretasi yang tidak tepat. Fahmi mungkin masih ingat, kerana mahu menang (PRU 2013), Nurul Izzah sanggup berbohong bila mendakwa Raj Nong Chik salah guna kuasa dalam  urusan pembelian 4.856 hektar tanah di Bukit Kiara. Selepas melalui proses perundangan, pada 21 Ogos 2014, Nurul Izzah membuat permohonan maaf.

Dalam perspektif politik, patut juga dicadangkan satu peraturan khusus. Sesiapa yang menang dalam sebarang bentuk pilihan raya melalui kenyataan bohong atau palsu semasa berkempen, jika ia menang maka kemenangan itu dibatalkan setelah mahkamah mendapati ada kecenderungan tersebut. Jika ini dapat dilakukan, kita mungkin dapat mengurangkan jumlah ahli politik terdesak bohong dan gambar buruk mengenai tokoh politik sebagai ‘orang yang paling tidak dipercayai’ dapat dikurangkan, kalaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply