BERJAYAKAH PH DI RANTAU?

Hanya berbaki sehari.

Dalam beberapa jam ini, banyak perkara boleh berlaku.

Dalam program Bicara Rakyat, TV 3 malam tadi (10.4.2019), ada beberapa andaian menarik yang mungkin boleh mengubah bacaan awal bahawa BN bakal mengulangi kejayaannya, mengekalkan kerusi DUN Rantau pada Sabtu ini.

Seorang pensyarah dan penganalisis politik memberitahu, setakat apa yang dapat dirumuskan sehingga Ahad lalu, kedudukan BN masih mengatasi PH, sekitar 52 peratus berbanding PH 48 peratus.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan keadaan itu boleh berubah. Ia berubah kerana masing-masing parti yang bertanding (kecuali dua calon bebas), BN dan PH mempunyai ‘formula majik’ menjelang hari-hari terakhir kempen. Formula itulah yang bakal menentukan senario, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar.

Seorang lagi ahli panel berkata, dari segi personaliti dan sentuhan peribadi, calon BN mempunyai kelebihan berbanding calon PH. Ia berdasarkan kepada sumbangan Mohamad Hassan kepada penduduk setempat, menjadi sesuatu teramat sinonim, bila disebut Rantau akan terjelma Mohamad Hassan dan disebut Mohamad Hassan akan terbayang Rantau. Rantau adalah kubu kuat BN, sekurang-kurang untuk tiga penggal sejak PRU ke-11 (2004).

Mohamad Hassan adalah anak tempatan Rantau. Beliau membesar dan bersekolah di Rantau sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang ekonomi. Selepas tamat, bekerja dalam sektor perbankan dan kemudiannya memasuki bidang korporat. Sebelum ditawarkan bertanding dalam PRU ke-12, Mohamad Hassan atau Tok Mat memegang jawatan tinggi dalam sebuah konglomerat antarabangsa dengan gaji dan elaun tahun yang besar.

Sama ada benar atau tidak, ada maklumat menjelaskan Tok Mat memperoleh gaji tahunan melebihi RM 2 juta. Jadi, jika dipersoalkan mengenai harga sebuah banglo bernilai RM 6 juta, penduduk Rantau tidak rasa terkejut. Tok Mat memang mempunyai kemampuan, tidak ada alasan untuk mengaitkannya dengan skandal dan salah laku.

Dari segi sejarah, Tok Mat menang dengan majoriti 6,199 undi (2004). Bagi PRU ke-12, menang dengan majoriti majoriti 3,783 undi dan PRU ke-13 dengan 4,613 undi. Ini bermakna, selepas dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sebaik sahaja memenangi PRU ke-11, prestasi Tok Mat tidak meningkat walaupun beliau kekal bertanding di DUN Rantau.

Ada sesuatu yang unik berlaku di situ; mungkin ada sedikit faktor penolakan ataupun ketidakpuashatian pengundi. Tetapi, dalam PRK DUN Rantau kali ini, statistik kemenangan sebelumnya tidak dilihat begitu mengikat. Ia bergantung kepada bagaimana pengundi merasakan sentuhan peribadi Tok Mat boleh memenuhi harapan mereka.

Janji Anwar tidak akan melupakan Rantau jika dirinya adalah Perdana Menteri tidak menjamin kemenangan PH. Apatah lagi apabila pengundi mula memikirkan kesan limpahan pembangunan yang akan berlaku di Port Dickson sebagaimana dinyatakan oleh Anwar akan menyebabkan sedikit sebanyak kedudukan mereka akan berubah.

Pembangunan memerlukan tanah. Pembangunan pesat akan menyebabkan sebahagian daripada mereka akan kehilangan tanah. Mereka terpaksa berkorban, tetapi, akhirnya pengorbanan itu bakal menyebabkan orang Melayu terpinggir. Pembangunan pesat lebih menguntungkan bukan Melayu, kerana mereka berupaya untuk menjadi peserta yang aktif sedangkan orang Melayu hanya menikmati kuah yang melimpah sahaja.

Anwar tidak memberikan jaminan, kepesatan pembangunan di Port Dickson yang bakal melimpah ke Rantau bukan dalam bentuk ‘kuah’, ia mestilah bersama isinya.

PRU ke-11, adalah kejayaan yang paling besar dicapai oleh BN. Secara keseluruhannya, BN berjaya merampas semula Terengganu dari penguasaan PAS. Di Dewan Rakyat, BN memperoleh kemenangan besar, iaitu 199 kerusi dari 219 kerusi Parlimen. Ketika itu, ia memberikan kemenangan besar kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan belum muncul kesepakatan parti-parti pembangkang.

PRU ke-12, prestasi BN sedikit terancam apabila parti-parti pembangkang mula membentuk kerjasama politik, PAS menukarkan retorik Negara Islam kepada Negara Berkebajikan untuk meredakan ketegangan yang pernah berlaku dengan DAP. Anwar Ibrahim dilihat sebagai tokoh yang bakal kembali menyerlah dalam politik Malaysia, walaupun ketika PRU ke-12, beliau masih belum dibenarkan berpolitik.

Sesudahkan dibebaskan, Anwar merancang strategi, menyatukan kesemua parti-parti pembangkang menjadi satu platform untuk ‘mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat’. Misi tersebut berjaya dilakukan, apatah lagi ketika itu kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat semakin lemah, ‘lost in transition’, dikuasai oleh ‘budak-budak tingkat 4’ dan pembabitan Dr Mahathir berkempen memperlekehkan penggantinya. BN mengalami kemerosotan: hilang penguasaan di empat buah negeri (Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak); PAS kekal di Kelantan;  dan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, hanya menang 140 kerusi daripada 222 kerusi yang dipertandingkan.

Situasi itu menghidupkan perancangan Anwar dengan misi terbaharunya, Road to Putrajaya, dengan cara lebih agresif termasuklah demonstrasi jalanan dalam pelbagai isu, desakan diadakan lebih banyak PRK dan memperlekehkan kepimpinan Najib, sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada bulan April 2009.

PRU ke-13 menjadi medan ujian pengaruh Najib, tetapi Najib juga telah gagal untuk memulihkan prestasi BN. Walaupun BN mampu merampas semula Kedah dan kekal berkuasa di Perak selepas perubahan tampok pemerintahan selama 11 bulan (Mac 2008 hingga Februari 2009), di peringkat Dewan Rakyat hanya mampu meraih kemenangan 133 kerusi.

Dari segi UMNO, ia memperlihatkan ada pemulihan yang berlaku, tetapi MCA, Gerakan dan MCA gagal menarik sokongan pengundi bukan Melayu. PRU ke-13 dikaitkan dengan tsunami pengundi bandar manakala PRU ke-12, tsunami pengundi Melayu. PRU ke-14 benar-benar memerangkan UMNO dan BN dalam ‘lingkaran fitnah’; yang kini mula dibuktikan tidak berlaku, hanya dikaitkan secara ‘tergesa-gesa’.

Isu yang ditimbulkan ketika kempen PRK DUN Rantau secara siginifikannya tidak menjadi kerana stigma pengundi dengan ‘jasa dan bakti’ Tok Mat terus kuat dalam ingatan pengundi walaupun dalam analisis data PRU ke-14 ada kecenderungan penolakan terhadap BN di situ berdasarkan rekod keputusan Parlimen Rembau. Tetapi, selepas Kerajaan PH gagal menunjukkan prestasi yang membanggakan, rakyat mula merasa bosan dan meluat dengan apa yang cuba ‘dipasarkan’ kepada pengundi DUN Rantau.

Itulah yang dicerap oleh kebanyakan penganalisis, PH memerlukan ‘formula majik’ untuk meyakinkan pengundi dalam tempoh terdesak ini. Cadangan untuk meminda laluan ECRL merangkumi Rantau hanya dipandang sebagai satu keputusan yang kelakar, walaupun ia boleh dilaksanakan.

Orang Melayu rasa sedikit marah dengan pengumuman hibah TH sebanyak 1.25 peratus bagi tahun 2018 dan merupakan terendah dalam sejarah. Pembentangan Kertas Putih Felda oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Dewan Rakyat tidak dilihat boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada BN walaupun dilakukan dengan harapan dapat digunakan sebagai peluru di Rantau. Ia mengambil masa untuk dihadam dengan baik, kerana beberapa perkara yang didedahkan itu memerlukan proses pencernaan secara berhati-hati.

Jika tersilap langkah, ia boleh menimbulkan kesan ‘overkill’ dan menyebabkan PH mungkin sukar untuk ‘menari dan berjoget’ dalam tempoh yang singkat.

Kegagalan PH untuk mendapat sokongan dua pertiga Dewan Rakyat mengenai pindaan Perlembagaan untuk memasukkan Semangat MA63 turut menjejaskan sedikit sebanyak peluang kemenangannya. PH dilihat tergesa-gesa sebagaimana penarikan diri dalam usaha meratifikasikan Statut Rome.

Kegagalan Lim Guan Eng menjawab pertanyaan bekas Pengerusi PAC mengenai kepemunyaan Gold Star oleh Jho Low membayangkan apa yang diuar-uarkan selama ini hanyalah dalam bentuk spekulasi, bukan realiti. Kesemuanya menyumbang kepada pengekalan BN untuk menang kerusi DUN Rantau pada 13 April nanti.

Beberapa hari lalu, calon BN dikaitkan dengan pemindahan wang berjumlah RM 10 untuk membelia seunit kediaman di London menerusi pengurup wang. Tetapi, hari ini calon PH pula dilihat terperangkap apabila dikaitkan dengan pendedahan pelaburan lebih 21000 masyarakat India ke dalam sebuah syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Dr S Streram.

Laporan itu mempersoalkan bagaimana syarikat milik beliau (Venus FX) boleh menerima deposit yang begitu banyak (RM 80 juta) menerusi kelicikan sepasang suami isteri, iaitu Datuk Seri G Datuk Seri G.Gnanaraja dan isterinya Datin Geethanjali G. G Gnanaraja sedang dibicarakan atas kesalahan memberi rasuah untuk menutupi skandal pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang. Isterinya, pernah dilantik sebagai penasihat media dan beberapa jam kemudian, pelantikan tersebut ditarik balik oleh Mahadzir Khalid.

Bagaimanapun, jentera kempen BN tidak seharusnya merasa selesa dengan telahan-telahan yang dibuat. Apa yang penting ialah memastikan agar hampir 11,000 pengundi Melayu keluar mengundi dan menyokong BN. Sekiranya BN boleh menguasai 80 peratus pengundi Melayu dan 10 hingga 15 peratus pengundi bukan Melayu, peluangnya untuk menang dengan majoriti lebih 2,000 adalah jelas.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply